Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
LAMARAN

Dengan berat hati, aku menjawab panggilan dari Joanna itu. Katanya ingin berjumpa denganku buat kali terakhir. Aku katakan yang persahabatan tetap terjalin jika dia masih mahu berbuat demikian. Aku pula bersedia memaafkannya sekali lagi. Kerana aku tidak mahu menyimpan dendam apatah lagi tidak bertegur sapa. Bagiku, bukan salah dirinya jika menaruh perasaan padaku. Aku tidak dapat menghalang. Perasaan itu fitrah, lahir dari hati. Tetapi untuk berjumpa dengannya pada waktu yang sesuntuk ini, pasti sukar buatku. Aku harus memilih Hanna berbanding Joanna ketika ini. Hanna lebih memerlukan aku.

Aku ceritakan pada Joanna, Hanna kini berada di hospital untuk mendapatkan rawatan susulan akibat kemalangan kecil tadi. Pada mulanya, Joanna enggan mempercayaiku. Tetapi setelah kuterangkan situasi sebenar, Joanna beransur-ansur menerimanya. Aku memberitahunya yang aku perlu berada di sisi Hanna buat masa sekarang. Dan tidak mungkin, aku dan Hanna dapat ke lapangan terbang untuk berjumpanya pada waktu segenting ini.

Joanna pula tidak dapat melawat Hanna kerana perlu melapor diri lebih awal. Aku katakan padanya, usah jadikan hubungan aku dengan Hanna sebagai penghalang untuk dia menjauhkan diri. Aku mohon supaya masing-masing melupakan sengketa yang telah lalu. Dia hanya berdiam diri. Mungkin, masih memikirkan apa yang aku perkatakan itu.

Sebelum menamatkan panggilan itu, aku sempat berpesan kepada Joanna supaya mengekalkan talian persahabatan ini, lebih-lebih lagi dengan Hanna yang merupakan sahabat baiknya.

Hanna yang menerima rawatan, keluar dari bilik itu.

"Apa kata doktor, sayang?" tanyaku kepada Hanna.

Hanna melabuhkan punggungnya di sebelahku. Kerusi panjang di hospital itu kosong kerana tidak ramai pesakit sewaktu itu.

"Tak ada apa, cuma luka sikit saja ni," balasnya sambil memegang balutan luka di kepala.

"X-ray?" soalku ringkas.

"Doktor kata, semua okay. Abang risau ya?"

"Mestilah risau, baru nak rasa bahagia tapi dah datang satu persatu masalah," ujarku.

Hanna kerling ke arahku lalu tersenyum.

"Abang takut sayang lari lagi?"

Aku terdiam seketika. Sukar untukku menjawab soalan itu. Bukan kerana aku tidak tahu, tetapi ingatan pada kenangan lama menghantuiku.

"Abang... ," Hanna memanggil namaku.

"Ya."

Aku terkejut.

"Dah, jom balik," aku mengajaknya untuk beransur dari situ.

...

"Kata nak balik, tapi kenapa singgah di sini pulak?" tegur Hanna.

Aku tidak menjawab soalannya itu.

"Eh, kenapa tarik tangan sayang ni... ?" tanya Hanna lagi.

"Ikut sajalah... ," jawabku.

"Malulah, abang. Dahlah kepala sayang berbalut macam ni. Apa kata orang nanti," Hanna bersuara.

Hanna tertunduk malu.

"Okay, cuba awak tengok di atas sana, cantik kan? aku mengangkat jari telunjuk ke arah Eiffel Tower.

"Ya, memang cantik. Kenapa, abang? sayang betul-betul tak faham."

Aku mengeluarkan sebentuk cincin yang kubeli tadi sewaktu menunggu Hanna di hospital itu tadi. Kebetulan, hospital itu bersebelahan dengan sebuah kedai emas. Jadi timbul niatku untuk membelikannya cincin itu.

"Ini, untuk sayang. Nah, ambillah," aku hulurkan sebentuk cincin emas putih yang tersemat di dalam kotak itu.

"Untuk sayang? betul ke!"

Hanna kelihatan sangat gembira sehingga terlupakan malunya itu. Dia lantas mengambil cincin itu lalu dikeluarkan daripada kotak. Dibeleknya lama-lama.

"Pakailah... ," aku tersenyum melihat keletahnya.

"Malulah!" jawabnya.

"Aik, nak pakai cincin pun malu? Sini! abang sarungkan di jari manis sayang tu," aku berseloroh.

"Eh, tak boleh! Kita bukan suami isteri, jadi tak boleh pegang-pegang," Hanna menarik tangannya lalu disorokkan dibelakang badan.

Aku ketawa.

"Kalau macam tu, sudi tak kalau... sayang menjadi isteri abang yang sah? kita rujuk semula, nak!"

Hanna tersipu malu. Matanya berkaca. Dia hanya mendiamkan diri tanpa sebarang jawapan.

"Hanna, jujur saja sayang... katakan yang sayang mahukan abang lagi?" aku serius kali ini.

Hanna menatap wajahku lama-lama. Sesekali matanya berkelip seakan memberi isyarat bahawa dia menerimaku seadanya. Tetapi itu belum cukup untuk membuktikan apa yang aku rasa saat itu. Mungkin sahaja tafsiran aku tersilap. Siapa yang tahu?

"Sayang memang sudi menerima abang dan... sayang bersedia menjadi isteri abang yang sah untuk sekali lagi. Ya, sayang jujur dengan abang. Jangan risau, sayang terima abang seadanya walaupun jika ditakdirkan abang sebegini selamanya," panjang penjelasan Hanna.

"Terima kasih. Sayang suka ke abang macam ni?" soalku.

"Sayang yang pantau kes abang, jadi sayang tahu satu masa nanti abang boleh berjalan seperti orang lain."

Masing-masing agak lama membatukan diri sambil menyaksikan keindahan Eiffel Tower di waktu petang begini. Mata meliar menyaksikan pelbagai gelagat manusia yang berterusan datang berkunjung ke menara ikonik ini.

"Jujur saja sayang... please!" aku bertanyakan soalan yang sama itu lagi.

"Abang... rasanya semua benda abang dah tahu tentang rahsia sayang. Dah tiada apa lagi untuk sayang ceritakanlah," Hanna memujukku.

"Ada satu lagi yang abang belum tahu."

"Apa dia, abang?"

"Siapa yang selamatkan sayang sewaktu di ladang teh haritu?"

"Mama... Datin Khalsom."

"Mama?"

Hanna menceritakan kembali saat-saat genting itu. Sewaktu Hanna tersedar dari pengsan, pekerja-pekerja ladang telah membawanya ke rumah agam itu. Datin Khalsom telah mengugut supaya mereka merahsiakan perkara itu dari pengetahuanku. Walaupun Datin Khalsom tidak menyukainya, tetapi dia tetap menjaga Hanna sebelum melepaskannya pulang. Dan, itulah kali terakhir Hanna berada di Malaysia sebelum membuat keputusan untuk bekerja di Kota Paris.

Aku tahu, mama tiriku itu hanya terpengaruh oleh desakan Datin Karmila. Dan Dhya juga turut menjadi mangsanya.

Hanna membawa aku bersiar-siar untuk menikmati saat-saat indah bersama. Lalu dia memberhentikan aku ketika tiba di bangku kayu itu.

"Sayang dah menjawab semua keraguan abang selama ni. Ya, jujur saja sayang yang abang ulang-ulang itu juga sayang telah jawab dengan sepenuh hati. Ikhlas, dari hati kecil sayang.

Aku puas mendengar penjelasannya itu. Terasa bagaikan layunya bunga tetapi tetap mekar juga setelah disiram dan dijaga sepenuhnya.

"Eiffel Tower menjadi saksi bahawa cinta abang terhadap sayang kembali terjalin. Di sini juga menjadi saksi dua hati disatukan, Tuan Cairil dan Hanna Nadia bakal menjadi suami isteri yang sah suatu hari nanti. Kita nikah selepas abang habis fisioterapi nanti, nak tak sayang?" aku melamar Hanna untuk entah keberapa kalinya.

"Ya, Tuan Cairil... Hanna Nadia sudi."



Previous: DENDAM
Next: FINAL

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.