Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
CULIK

"Lepaskan aku, tolonglah lepaskan aku... ," dia merayu.

Tangan dan kakinya diikat pada sebuah kerusi. Mahu saja dia menjerit sekuat hatinya namun dihalang oleh Datin Karmila.

"Aku dah pesan, jangan dekati Cairil. Tapi kau berdegil! Aku nak jodohkan Dhya dengan Cairil tapi kenapa masih ada kau yang menjadi penghalang?" herdik Datin Karmila.

Hanna hanya mampu menangis sepuas-puasnya. Tiada daya lagi untuknya melawan. Dia merasa cukup terkilan apabila ibu tirinya sanggup memperlakukannya sedemikian rupa.

"Matilah kau, Hanna!"

Datin Karmila menjerit di telinga kanannya. Hanna tersentak.

"Dah, jom balik. Tinggalkan saja dia di sini."

Datin Karmila dan pembantu peribadinya berlalu. Hanna ditinggalkan sendirian di sebuah pondok di tengah dusun milik Cairil.

Suasana sangat gelap. Sunyi sepi sekali. Unggas pula tidak berdendangkan irama merdunya. Tiada juga sinaran rembulan mahupun bintang di ruang angkasa. Hanna seakan berada di satu ruang kosong. Matanya seakan buta ditelan kegelapan malam yang kelam. Pendengarannya terbatas. Dengan kaki dan tangan yang masih terikat, dia berusaha untuk melepaskan diri. Setiap kali mencuba, pasti dia gagal dek kudratnya yang tidak seberapa.

Sayup-sayup, kelihatan cahaya lampu suluh menuju ke arah pondok itu. Sekali sekala terdengar seperti suara dua orang sedang berbual. Hanna menjerit meminta tolong. Kelihatan cahaya lampu suluh itu terhenti. Lampu itu dihalakan ke kanan dan ke kiri. Hanna pasti mereka dapat mendengar suaranya. Hanna menjerit lagi. Kali ini kelihatan mereka berlari ke arah pondok tempat Hanna diikat.

"Tolong saya encik... tolong bukakan ikatan ni," rayu Hanna.

"Eh, ada oranglah!" jerit salah seorang dari mereka.

Hanna tidak dapat melihat wajah mereka kerana silau cahaya lampu suluh itu. Cuma dia dapat mengagak dari loghat percakapannya seperti suku Orang Asli. Mereka berdua lantas membuka ikatan tali yang mengikat kaki dan tangan Hanna.

"Ter... teri... ma, kasih... ."

Hanna lemah. Dia pengsan dalam rangkulan pemuda itu sebelum sempat menceritakan apa yang telah berlaku pada dirinya. Mereka berdua kaget.

...

Hanna memegang kepalanya perlahan-lahan sambil mengerang kesakitan. Saat membuka mata, dia sangat terkejut. Kelihatan beberapa orang lelaki dan wanita separuh umur turut berada di situ.

"Saya dimana ni?" Hanna bersuara, agak tersekat-sekat.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Mungkin tidak tahu siapa yang patut menjawab soalan Hanna itu. Lalu Tok Batin menghampirinya dan berkata

"Aku Tok Batin di kampung ini, kau pengsan tadi. Orang aku jumpa kau di dalam dusun tu tadi."

Hanna hanya mengangguk faham. Dia mula mengingati kejadian yang berlaku sebentar tadi.

"Kau berehatlah dulu di sini. Lagipun hari dah nak hujan tu," tambah Tok Batin itu lagi.

Tambahan pula, keadaan Hanna ketika itu sungguh lemah. Jelas raut wajahnya pucat.

"Tapi Tok Batin, saya... ."

Hanna menyatakan hasratnya ingin pulang ke rumahnya. Tetapi telah ditegah oleh Tok Batin.

"Kau jangan risau, isteri tok akan jaga kau baik-baik."

Hanna terharu. Masih ada insan yang begitu baik padanya. Pandangan dilontarkan ke luar jendela kayu itu, hujan mulai turun dengan lebatnya. Kilat dan guruh saling silih berganti di atas sana. Dalam kesejukan malam itu, Hanna tertidur bertemankan bunyi hujan yang mengasyikkan.

#mimpi

"Hanna, tunggu Cairil! tunggu Hanna,"

Lambaian tangan Cairil seakan kabur dari pandangan peluput matanya. Hanya bayangan tangan sahaja yang kelihatan, sedangkan wajah dan tubuhnya tenggelam dalam kabus malam yang tebal.

Hanna berlari meninggalkan Cairil keseorangan. Sesekali dia menoleh kebelakang. Perlahan-lahan Cairil semakin tenggelam dalam bayangan kabus itu dan akhirnya hilang dari pandangan. Alangkah terkejutnya Hanna, Cairil kini berada di hadapannya. Hairan!

"Kenapa tinggalkan Cairil?" wajahnya berlumuran darah. Cairil melutut, lalu dirangkul kaki Hanna.

"Cairil! Tolong lepaskan Hanna, cukuplah Cairil! Hanna dah tak sanggup berhadapan dengan wayang ini lagi."

Hanna merentap tangan Cairil supaya dilepaskan segera.

Cairil mengalah. Dia terduduk saat ditolak Hanna. Tangisan Cairil cukup hiba.

"Hanna... !"

Cairil menjerit memanggil Hanna yang ketika itu meninggalkannya dengan perasaan sangat marah.

Sayup-sayup suara Cairil mulai tenggelam.

"Cairil!" Hanna terjaga daripada tidurnya. Sungguh, entah kenapa dia tersebut nama itu acapkali.

Ketika itu, hujan sudah mulai reda. Rintik-rintik yang menitis dari rumah beratapkan nipah itu, gugur ke tanah. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, terasa pagi itu dingin sekali. Jendela kayu yang terkuak luas itu mungkin sengaja dibuka. Rumah itu kecil sahaja. Hanya mempunyai ruang tamu, satu bilik tidur dan dapur untuk menanak nasi.

Hanna berpura-pura tidur. Dengan perlahan-lahan dia membuka mata. Sunyi. Tiada sesiapa pun di situ kecuali isteri Tok Batin yang sedang nyenyak tidur di hujung kakinya.

"Maafkan aku... ," getus Hanna.

Sehelai kain yang menyelimuti tubuhnya diletakkan di tepi dengan penuh hati-hati.

Lantai buluh dipijaknya perlahan-lahan. Wajah Hanna berkerut. Dia bimbang sekiranya bunyi dari buluh itu akan membuatkan mereka terjaga. Tiba-tiba isteri Tok Batin tersedar, lantas menegur Hanna.

"Kau mahu ke mana tu... ?" nadanya perlahan.

"Err... saya nak ke tandas, ha! ye ke tandas," tergagap Hanna membalas pertanyaan isteri Tok Batin itu.

Dia terkejut sebenarnya apabila diajukan soalan sebegitu.

"Oh... kenapa kau tak kejutkan je aku tadi, mari sini aku tunjukkan tandas," balasnya pula.

"Eh tak apa, makcik tunjuk saja di mana tandas tu, saya boleh pergi sendiri."

Hanna cuba mencari helah. Inilah peluangnya untuk melepaskan diri pada pagi itu juga.

Isteri Tok Batin memperbetulkan rambutnya lantas bingkas bangun menuju ke jendela.

"Itu tandas."

Dia menunding dengan menggunakan jari telunjuknya.

"Biasalah nak... tandas kampung," tambahnya lagi.

Isteri Tok Batin menghulur lampu suluh pada Hanna. Dia mengambilnya tetapi penuh dengan rasa bersalah. Dia mahu pulang ke rumahnya sendiri tetapi dihalang oleh Tok Batin. Mahu atau tidak, Hanna perlu membuat satu keputusan muktamad pagi itu juga.

Hanna berjalan sendirian ke tandas yang tidak berbumbung itu, hanya dipagari dedaun nipah sebagai dindingnya. Isteri Tok Batin memerhatikan Hanna dari jauh. Anak matanya mengekori setiap pergerakan Hanna. Dia risau jika Hanna rebah di tengah jalan-barangkali.

Jam tangan dipakai Hanna menunjukkan pukul 1.30 pagi. Dia dihimpit dengan pelbagai rasa. Sama ada mahu melarikan diri pada pagi itu juga atau sebaliknya.

Tanpa disedari, pergerakannya telah diperhatikan oleh seseorang. Dia didekati lalu dicekup mulutnya dengan sehelai sapu tangan. Hanna meronta-ronta minta dilepaskan tetapi tenaganya semakin lemah. Lampu suluh yang dipegangnya itu terjatuh ke tanah.

"Lepaskan aku! aku kata lepaskan aku,lah!" teriak Hanna.

Dia tidak dapat mengecam wajah penculik itu kerana memakai topeng. Hanna menumbuknya tetapi dapat dielak.

"Kenapa kau culik aku hah?" soal Hanna lagi.

Lelaki itu hanya ketawa.

Tangan Hanna diikat lalu dibawa ke dalam kereta yang diparkir di tepi jalanraya. Penculik itu hanya bersendirian. Hanna meronta-ronta minta dilepaskan.

"Masuk!"

Kepalanya ditolak secara paksa. Hanna rebah di dalam kereta itu. Mahu atau tidak, Hanna terpaksa menurutinya. Jika tidak, pasti nyawanya akan melayang.

"Kau nak bawa aku kemana ni, syaitan?"

Hanna menyinga. Amarahnya seakan tidak tertahan lagi.

"Kau akan tahu sekejap saja lagi, hahaha!" balas penculik itu lalu ketawa berdekah-dekah.

Hanna seakan dapat mengecam suara itu. Tetapi tidak mungkin!

"Kenapa kau bawa aku ke sini?" soal Hanna.

"Aku hanya mengikut arahan," penculik itu mendukung Hanna lalu dibawa masuk ke dalam sebuah rumah. Dia ingin menjerit, tetapi mulutnya telah diikat ketat.

Hanna kenal rumah itu. Walaupun dia tidak pernah ke situ tetapi dia pernah melihatnya sebelum ini dari jauh. Hanna diletakkan di atas sofa yang terletak di ruang tamu. Topeng yang dipakai penculik itu tidak ditanggalkan. Telefon bimbit dikeluarkan dari sakunya, lalu mencuba untuk menghubungi seseorang.

"Ya, dia dah ada di sini."

Hanna cuba melepaskan diri. Tali pengikat dileraikan. Dan akhirnya dia berjaya! Hanna hanya menanti peluang untuk melarikan diri.

Telefon bimbit itu diletakkan kembali ke dalam poket seluarnya. Lantas, dia berjalan menuju ke satu sudut lalu mengeluarkan sebotol racun. Dibuka perlahan-lahan tudung botol itu. Isinya dituang ke dalam segelas cawan kecil. Hijau warnanya.

Hanna hanya memerhatikan setiap gerak geri penculik itu. Dia tergamam tetapi cuba dikawal perasaannya itu. Tali yang mengikat tangannya pula dibuka perlahan-lahan. Tetapi Hanna belum bersedia untuk melarikan diri. Dia bimbang, sekiranya bertindak melulu pasti peluang untuk melarikan diri akan tipis kelak.

Penculik itu memandang tepat ke arah Hanna. Terdengar suaranya ketawa berdekah-dekah. Tidak terlalu kuat, tetapi masih dapat didengar.

"Sekejap lagi... kau akan mati, Hanna," jelas penculik itu.

Derap langkah sepatunya terhenti di hadapan Hanna. Dia melulut.

"Sayang sekali... kau cantik tapi bodoh!" penculik itu bersuara.

"Memang aku bodoh," ujar Hanna di dalam hati.

Tanpa berfikir panjang lagi, dia merentap topeng penculik itu. Segelas racun yang dipegang turut tertumpah. Lantas, Hanna menendang perut penculik tersebut lalu menyebabkannya jatuh terbaring. Ikatan kain dimulutnya dileraikan.

Hanna terkejut.

"Wak Karjo?" Itulah perkataan pertama saat penculik itu menampakkan wajahnya.

"Ya aku," balasnya sambil mengeluarkan selaras pistol yang terselit dipinggang. Dia mengacukan pistol itu ke arah Hanna.

Hanna kaget. Dia mengangkat tangan tanda mengalah. Bimbang sekiranya diapa-apakan, Hanna berundur beberapa langkah ke belakang.

"Aku terpaksa, Hanna."

Wak Karjo bingkas bangun. Pistol masih digenggam erat dihala ke arahnya.

"Aku hanya mengikut arahan."

Dia mendekati Hanna. Pistol itu diletakkan tepat ke dahinya. Hanna hanya memejamkan mata. Nasib dan nyawanya kini bagai di hujung tanduk. Tetapi dalam masa yang sama, fikirannya ligat mencari resolusi. Matanya dibuka kembali.

"Tolonglah Wak, lepaskanlah Hanna... ," dia merayu.

Airmatanya berlinangan.

"Wak sanggupkah memisahkan Hanna dengan Cairil?" tambahnya lagi.

"Aku dah katakan tadi, aku terpaksa."

"Adakah Wak sanggup, sampai terpaksa menjadi pembunuh?"

Wak Karjo tersentak dengan persoalan itu. Seumur hidupnya, tidak pernah sekali dia membunuh orang. Inikan pula seseorang yang sangat dikenalinya. Raut wajahnya seperti sedang memikirkan sesuatu.

"Aku nak kau berambus sekarang juga sebelum bodyguard Datin Karmila datang. Dan, aku nak kau rahsiakan hal ni. Jika bocor, fikir-fikirkanlah akibatnya nanti, pergi!"

Wak Karjo memberikan Hanna peluang kedua. Tanpa mempersoalkan apa-apa lagi, Hanna segera meninggalkan rumah itu.

"Hanna, tunggu!"

Langkahnya terhenti. Dia bimbang sekiranya Wak Karjo berubah fikiran sepantas itu. Wak Karjo menghulurkan kain dan tali pengikat. Gelas racun yang tertumpah itu dibersihkannya dan diletakkan didalam plastik.

"Aku nak kau buang semua ni ke dalam sungai," ujar Wak Karjo.

"Oh ya lagi satu, keluar ikut pintu belakang ni. Jangan sesekali melewati jalan utama. Kau ikut ladang teh saja, ingat tu!" pesan Wak Karjo lagi.

Hanna hanya mengangguk kecil. Wak Karjo membukakan pintu untuknya.

"Jangan kau pijak tanah, nanti meninggalkan kesan tapak kasut kau. Lalu atas rumput sana," pesannya lagi. Sebelum berlari meninggalkan rumah ladang itu, aku sempat menolehnya buat kali terakhir.

...

Datin Khalsom memerhatikan aku dari jauh. Kerusi malas di balkoni itu menjadi temannya. Raut wajahnya tersimpan perasaan yang tidak tergambarkan oleh kata-kata. Risau juga aku jika Dhya telah menceritakan kesemuanya.

"Cairil... tunggu." Datin Khalsom bersuara. Tegas bunyinya.

Aku menoleh dan berlalu pergi.

"Kenapa mama panggil, Cairil tak menyahut?" sapa Datin Khalsom dari belakang.

"Letih... Cairil tak cukup rehat ni, mama."

"Cairil pergi mana tadi? kenapa mama call banyak kali tak dapat?"

"Pergi makan di Tanah Rata dengan wak. Mungkin talian telefon di sana tak okay rasanya."

"Makan dengan wak? Oh okay, sejak bila anak mama ni belajar menipu?"

"Betullah... memang Cairil keluar dengan wak. Kan dah lama tak jumpa wak."

Datin Khalsom meninggalkan aku sendirian di situ. Mungkin dia dapat menghidu pembohongan aku tadi dan kerana tidak mahu memanjangkan cerita, dia berlalu pergi begitu sahaja.

Aku yakin, Dhya mesti sudah mengadu kepada Datin Khalsom atas kejadian di restoren tadi. Sama ada cerita yang disampaikan itu benar atau sebaliknya, kurang pasti pula aku. Kelakuan Dhya sedikit sebanyak telah membuatkan aku mulai jelek.

"Tuhan, mengapa terlalu berat ujian-Mu ini padaku? Apakah tidak cukup lagi ujian dan musibah yang telah Engkau berikan? Dan mengapa kini ditambah lagi dengan beban yang sebegini? Tuhan, dengarkanlah rayuanku. Fahamilah isihatiku. Aku memohon belas kasihan-Mu Ya Rabb."

Tanpa aku sedari, pipiku kebasahan dan tanah Cameron Highland juga seakan mengerti tangisan seorang lelaki seperti aku ini. Telefon bimbitku berdering. Belum sempat aku menjawab panggilan itu, talian telah terputus.

"Nombor siapa pula ni call tengah-tengah malam?" getusku.

Aku cuba menghubungi nombor itu kembali tetapi gagal. Aku merebahkan diri ke atas tilam yang empuk itu. Fikiran aku melayang, terbayangkan Hanna di sana. Panggilan dari nombor yang tidak dikenali itu juga silih berganti menerjah ke kotak hati.

...

Ladang Teh Palas kepunyaan Tuan Cairil, Hanna redahi. Entah berapa kali kakinya tersandung akar pokok teh yang menjalar, dan setiap kali itulah dia telah jatuh tersungkur. Namun semangatnya untuk melepaskan diri sangat kuat. Tiada istilah mengalah dalam kamus hidupnya.

Walaupun baju yang dipakainya bertukar menjadi kekuningan kerana terkena becak, itu semua tidak menjadi persoalan lagi. Dia hanya memikirkan keselamatan nyawanya. Terkadang, dia merasa bimbang, sekiranya itu semua hanyalah satu permainan dari Wak Karjo - tidak mustahil.

"Mungkin sahaja dia merancang untuk membunuh aku di tengah-tengah ladang teh ini, siapa yang tahu?" getus Hanna.

Ditolehnya ke belakang berulangkali, suasana sunyi dan gelap menjadi penemannya. Tanpa sebarang bantuan cahaya, Hanna terus berlari. Hanya tangannya meraba-raba ke kanan dan ke kiri supaya dia tidak terlanggar pokok-pokok teh itu.

...

Pintu diketuk berulangkali. Degup jantung Wak Karjo bertambah laju. Dia mencari alasan tentang kehilangan Hanna. Telefon bimbitnya berdering.

"Buka pintu ni cepat! apa yang kau buat lama-lama di dalam tu?" soal bodyguard Datin Karmila.

"Sekejap."

Sebaik pintu dibuka, bodyguard itu dikejutkan dengan kehilangan Hanna. Wak Karjo memberi alasan tetapi ditolak bulat-bulat olehnya.

"Kau gila! Kalau Hanna bocorkan rahsia ni, bukan aku saja yang mampus! tapi kau pun sama," ugut bodyguard Datin Karmila lagi.

"Maafkan aku. Aku tak sengaja. Kau jangan apa-apakan anak dan isteri aku... ," rayu Wak Karjo.

Bodyguard itu hanya ketawa.

"Mana kau sorokkan mereka?" tanya Wak Karjo dengan linangan airmata.

"Betul kau nak jumpa anak dan isteri kau?" soalnya.

"Ya, aku nak anak dan isteri aku! Dan aku janji, aku akan tutup mulut tentang apa yang terjadi malam ni," bersungguh Wak Karjo meyakinkan bodyguard Datin Karmila.

"Sekejap saja lagi kau akan dapat jumpa mereka... ."

Picu pistol itu ditarik lalu satu das tembakan dari jarak dekat telah dilepaskan lalu mengenai dada Wak Karjo. Darah berhamburan mengalir keluar. Mata Wak Karjo terbeliak menahan rasa sakit itu. Tidak berapa lama kemudian, dia kaku tidak bernyawa lagi.

Bodyguard Datin Karmila segera mengambil pistol yang dipinjamkan kepada Wak Karjo sebelum itu. Segala jejak yang boleh dijadikan bukti turut dihapuskan. Dan tanpa membuang masa, dia segera melarikan diri dalam kepekatan malam itu.

Hanna terhenti berlari. Jantungnya berdegup kencang. Nafasnya turut turun naik. Dia kaget ketika telinganya menangkap bunyi satu das tembakan dari arah rumah pekerja itu.

"Wak Karjo... apa yang terjadi?" soal Hanna.

Lantas dia teringat akan pesan Wak Karjo sebentar tadi. Tanpa berfikir panjang, dia terus berlari menyelamatkan diri. Sesekali dia tunduk dalam celahan pokok-pokok teh itu. Hanna seperti dibuai mainan perasaannya sendiri. Dia merasakan ada seseorang sedang mengekorinya.

Hanna merangkak pula di lorong antara pokok-pokok teh itu. Dia menjengah kepalanya. Suasana masih tetap sama, sunyi. Hanya sesekali kedengaran suara kodok keriangan bernyanyi saat selepas hujan.

"Ya Allah, tolonglah aku. Permudahkanlah aku untuk pulang."

Hanna menangis saat memanjatkan doa pada Tuhan Yang Maha Esa.

Setelah berasa yakin yang dia selamat, Hanna lantas menyambung lariannya kembali. Alangkah gembira hatinya tatkala melepasi bukit itu, lalu kelihatan cahaya lampu jalan yang sayup-sayup jauh dari pandangan.

"Terima kasih, Ya Allah," Hanna semakin lemah. Dia tidak mampu berlari lagi. Setapak demi setapak langkahnya diatur penuh dengan lemah longlai. Dia terduduk di bawah rimbunan pokok-pokok teh itu, lalu sedikit demi sedikit matanya terkulai layu. Pandangannya semakin kabur dan menjadi gelap!

...

Lamunan aku terhenti apabila dikejutkan dengan bunyi satu das tembakan dari arah rumah pekerja ladang. Aku bingkas bangun lalu mencapai kerusi rodaku. Aku segera ke bilik Datin Khalsom. Tanpa berlengah, pintu biliknya aku ketuk berulangkali.

Tok tok tok!

"Kenapa Cairil? Dah tengah malam ni, tidurlah..."

"Mama tak dengar ke bunyi tembakan tadi?"

"Tembakan? Takder pun!"

"Ada... Cairil dengar tadi. Jelas dari bilik Cairil."

"Budak main mercun barangkali"

"Mama... Cairil bukan budak-budak tau, Cairil tau itu bunyi pistol!"

Aku tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan Datin Khalsom. Tambahan lagi aku bukanlah seorang manusia yang mudah mempercayai sesuatu tanpa usul periksa. Dengan bantuan pembantu rumah dari Seberang, aku bersusah payah menuruni tangga itu. Terasa begitu seksa sekali. Manakala dia hanya memapah kerusi roda sehingga ke bawah. Datin Khalsom hanya memandang dari hujung anak tangga. Sedikit pun tidak membantu.Cara jelingannya cukup tajam. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari pengetahuanku.

"Cairil nak ke rumah pekerja sekejap," aku sengaja memberitahunya.

Datin Khalsom melangkah menuruni anak tangga itu satu persatu dengan perlahan. Gayanya begitu menjengkelkan sekali.

"Mama ikut," balasnya.

...

Unit Q-0-5 riuh rendah dengan suara pekerja ladang. Masing-masing masih terkejut dengan apa yang telah terjadi. Benar sangkaanku, seorang pekerja rebah terkena satu das tembakan di dada dari jarak dekat.

Saat mendekati mangsa, jantungku seakan terhenti berdegup. Aku hanya mampu melihat dan menyebut namanya.

"Wak Karjo!"

Wak Karjo telah tiada. Nadinya telah terhenti. Entah apa dosa Wak Karjo sehingga pelakunya sanggup berbuat sedemikian rupa. Aku bagaikan bermimpi. Baru beberapa jam tadi aku dan Wak Karjo keluar bersama. Tetapi kini dia sudah terbaring kaku. Aku pasti, semua yang berlaku seakan memberi petunjuk kepada sesuatu yang terselindung.

"Mama, jangan usik mayat tu. Kita tunggu pihak polis sampai."

Aku terpaksa bersuara sebaik sahaja mendengar Datin Khalsom mengarahkan beberapa orang pekerja ladang untuk memindahkan mayat itu ke tempat lain.

"Kalau mama nak alihkan juga, Cairil nak kata apa?" ugut Datin Khalsom.

"Cairil akan repot pada polis yang mama sengaja nak menghapuskan bukti," balasku pula.

Niat Datin Khalsom itu terhenti. Mayat Wak Karjo masih tetap di situ. Tidak terusik. Kerana merasa tercabar, Datin Khalsom pulang ke rumah agam sendirian dalam keadaan marah.



----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------

Previous: KEJAR
Next: BOHONG

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.