Home Novel Cinta Cinta Yang Tertukar
Cinta Yang Tertukar
Hanan Rahman
25/5/2015 15:13:01
135,003
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

“Assalamualaikum pa,” sapa Izz pada Tan Sri Hisyam yang sedang bersarapan pagi. Nea mengekorinya dari belakang. Tapi isterinya itu hanya diam. Langsung tidak menyapa mahupun memandang wajah papanya. Tan Sri Hisyam juga sama. Mereka bagaikan dua orang asing yang berada dalam satu tempat yang sama.

“Waalaikumsalam. Duduklah Izz,” balas Tan Sri Hisyam dengan senyuman lebar.

“Papa tak keluar ke hari ni?” Tanya Izz.

“Izz?”

“Err…” Izz memandang Nea yang sedang menyudu nasi goreng ke dalam pinggannya. “Tak tahu lagi.”

“Kalau tak keluar, papa ingat nak ajak Izz keluar dengan papa.”

“Boleh juga. Sayang tak kisah kan kalau abang keluar dengan papa?”

Nea menggeleng. Pentingkah jika dia kisah atau tidak? Izz pun… sesuka hati berabang dan bersayang. Pasti mahu mengaburi mata papa. Tapi apa guna panggilan itu. Bukannya papanya tidak tahu keadaan sebenar.

“Izz cuti berapa lama?” Tanya Tan Sri Hisyam. Sesekali matanya mengerling Nea yang langsung tidak bersuara sejak dari tadi.

Izz mengetap bibir. “Esok Izz masuk kerja.”

Tan Sri Hisyam terkejut. “Esok? Tak ambil cuti? Bila nak honeymoon?”

Honeymon?” Izz menggaru kepalanya. Dia hanya fikir pasal kahwin saja. Tidak terfikir pula tentang bulan madu. “Tak tahu lagi. Kita orang belum decide pun.”

“Tak payah decide. Ambil ni. Esok tak payah pergi kerja. Perkasa Group akan tetap berjalan macam biasa walaupun Izz tak ada. Tak lama pun. Empat hari je,” kata Tan Sri Hisyam.

Perlahan-lahan sampul di atas meja di ambil. Apabila isinya di keluarkan, melopong mata Izz. Tiket penerbangan berserta pakej bulan madu di Venice, Itali. Wow! Hebat! “Apa ni pa?”

“Hadiah dari papa. Jadi esok tak payah fikir pasal pejabat. Cuma fikir pasal honeymoon. Okey?”

Izz tersengih kelat. Nea pula hanya berlagak selamba. Venice. Satu tempat yang memang terlalu mahu di kunjungi. Tapi pergi bersama Izz. Entahlah. Dia tidak rasa keterujaan itu hari ini. Tambah-tambah lagi dengan sikap endah tak endah papa. Terasa seperti dia tidak wujud di ruang makan ini.

***

Mundar-mandir Nea menunggu di dalam bilik. Sudah pukul 9.00 malam. Tapi bayang Izz masih tidak kelihatan. “Mana papa bawa Izz ni?”

Tidak lama, pintu terbuka dari luar. Nea menoleh. Izz masuk dengan wajah yang sedikit penat.

“Kau dari mana?” Tanya Nea.

“Kau tunggu aku ke?” Izz sudah duduk di atas sofa. Penat mengikut Tan Sri Hisyam ke sana ke mari. Macam dia menantu perempuan! Mula-mula ke kafe bertemu kawan-kawan bapa mertuanya. Selepas itu, bermain golf dan manunggang kuda juga bersama kawan-kawan bapa mertuanya. Pendek kata, ia adalah seperti sesi memperkenalkan menantu.

“Ya, aku tunggu kau.”

Izz tersengih. “Tunggu sebab nak jadi isteri yang baik ke atau ada sebab lain?”

Nea mengetap bibir. “Aku nak bincang dengan kau pasal…”

“Oh, jadi maknanya bukan sebab nak jadi isteri yang baiklah? Macam ni, perbincangan selalunya lama. Jadi apa kata bagi aku mandi dan solat dulu. Lepas tu nanti baru kita bincang. Okey?”

“Tapi…” Nea tidak jadi mahu membantah apabila melihat tampang Izz yang letih dan tidak selesa itu. “Pergilah. Tapi lepas tu kita bincang.”

“Tahu,” balas Izz. Dengan malas, dia bangun dari sofa dan terus berlalu ke bilik air.

Nea pula terus menuju ke katil. Novel yang terletak di atas meja kecil di tepi katil, di capai dan di baca. Suamiku, Encik Sotong karya Syikin Zainal. Tapi... Suamiku, Encik Tenuk. Pantas Nea tergelak dalam hati. Kelakarnya! 

“Kau nak bincang apa?”

Nea tersentak. Izz sudah duduk di sebelahnya. Entah bila lelaki itu selesai mandi dan solat. Kemudian, novel di tangan di letak kembali di atas meja. “Aku nak bincang pasal honeymoon kita.”

“Yalah! Honeymoon. Kau dah kemas baju ke?”

“Tak.”

Izz terkejut. “Tak? Habis tu bila nak kemas? Esok? Sempat ke?”

Nea mengeluh perlahan. “Aku tak kemas sebab aku tak nak pergi.”

“Tak nak pergi? Kenapa?”

“Saja.”

Bulat mata Izz. “Saja? Nea, boleh tak bagi alasan yang kukuh sikit.”

“Aku…” Nea terdiam seketika. “Okey. Aku memang teringin nak honeymoon dekat Venice. Tapi masalahnya aku tak nak pergi dengan kau.”

“Kalau kau tak pergi dengan aku, habis tu kau nak pergi dengan siapa? Dah nama pun honeymoon, kenalah pergi dengan suami. Ke kau dah lupa yang aku ni suami kau?”

“Aku tahu tapi kau suami yang aku tak cinta atau sayang. Jadi aku tak nak lah rosakkan tempat tu dengan kenangan kita yang aku tahu tak kan manis.”

Izz mula berfikir. Ada benarnya juga kata Nea. Bulan madu adalah masa yang patut di nikmati dengan penuh romantik dan bahagia dengan pasangan masing-masing. Bukan sebaliknya. Dia sangat sedar dan faham tentang keinginan Nea itu.

“Izz…”

“Kalau kau tak nak pergi Venice, kau nak pergi mana?” Tanya Izz kemudiannya.

“Mana-mana je. Asalkan bukan Venice dan bukan untuk bulan madu,” jawab Nea.

Izz mengehela nafas panjang sebelum menghembusnya keluar. Dia bukannya mahu tunduk dan akur sahaja pada kata-kata isteri. Tapi dia cuba untuk menjadi seorang suami yang rasional memandangkan hubungannya dan Nea terbina bukan atas dasar cinta dan sayang. “Okey, kita tak payah pergi. Tapi dengan sayarat.”

Nea mengerutkan dahi. “Syarat apa?”

Tell me the truth. Kau gaduh dengan papa ke?”

“Gaduh? Kau cakap apa ni?” Nea cuba menutupi hal sebenar. Ah! Kenapa Izz tiba-tiba tanya soalan tu? Papa ada cakap apa-apa dengan Izz ke?

Come on Nea. Sesiapa yang nampak pun akan tahu yang kau ada masalah dengan papa.”

Nea meraup wajahnya. Ketara sangatkah yang dia dan papa sedang dalam krisis? Nampaknya terlalu mudah untuk membaca bahasa tubuh mereka. “Sebenarnya aku dah mengaku dekat papa yang aku tak cinta kau. Kita cuma berlakon.”

Izz tersentak. “What? Kau bergurau kan?”

“Tak.”

“Habis tu masa kita nikah dan masa kat meja makan tadi, papa kau tahu yang kita tak bercinta pun?”

Nea mengangguk.

“Kenapa kau tak bagitahu yang papa dah tahu?” Bentak Izz

“Penting ke untuk kau tahu?”

“Sangat penting! Nea, kau buat aku nampak macam orang bodoh tahu tak? Pura-pura mesra depan papa kau untuk nampakkan yang kita ni betul-betul bercinta. Tapi hakikatnya papa kau tahu yang semua tu cuma lakonan. Huh! I’m so stupid!”

Nea sekadar menjungkit bahu. Izz mahu marah atau apa, lantaklah! Dia malas mahu ambil peduli. Yang penting, dia sudah mengakui kebenaran. Lalu dia terus merebahkan tubuhnya. Dia mahu tidur.

Izz mengerling Nea yang sudah berbaring di sebelahnya. “Kau boleh tidur Nea? Kau tahu tak yang aku tengah marah ni?’

Tiada respon. Nea memejam rapat matanya.

Izz mendengus. Namun sempat dia berfikir. Kalau Tan Sri Hisyam tahu yang mereka hanya berpura-pura, kenapa masih mahu menghadiahkan mereka pekaj bulan madu? Dan paling penting, kenapa masih mahu menjodohkan mereka yang terang-terang sudah menipu? Ah! Persoalan itu hanya mampu di jawab oleh Tan Sri Hisyam.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman