Home Novel Cinta Cinta Yang Tertukar
Cinta Yang Tertukar
Hanan Rahman
25/5/2015 15:13:01
135,008
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

“Kalau bukan sebab mama, tak ingin aku nak ajak kau naik kereta aku ni,” kata Izz. Mamanya yang beria-ia menyuruh dia menjemput Nea. Walaupun sudah di kata mereka akan naik kereta yang berasingan, mamanya tidak peduli. Kata Puan Sri Fatimah, dia perlu gentleman sikit. Huh! Dengan Nea, tidak perlu gentleman. Buang masa dan tenaga saja.

“Ingat aku nak sangat ke naik kereta dengan kau?” Balas Nea sebal. Kalau tidak suka, diam-diam sudahlah. Izz memang mulut kepoh!

Izz mencebik. Sepanjang perjalanan dari banglo Tan Sri Hisyam sehinggalah hampir tiba ke destinasi yang di tuju, mereka diam saja. Yalah, bukannya mereka keluar untuk berborak. Jauh sekali mahu bergurau senda. Mereka hanya mahu membeli cincin tunang. Itupun dalam keadaan yang sangat-sangat terpaksa.

Setelah sampai dan kereta di parkir di kawasan yang di sediakan, Izz terlebih dahulu turun dari kereta. Dia melangkah tanpa menoleh lagi ke belakang. Nea hanya mengikut. Lelaki itu masuk lif, dia ikut. Lelaki itu naik eskalator, dia juga ikut. Setelah beberapa ketika, kelihatan Izz memasuki kedai Habib Jewel. Nea pula masih membuntuti dari belakang. Baru dia melabuhkan punggung di sebelah lelaki itu, Izz mengejutkannya dengan dengan sebaris ayat. "Aku dah pilihkan untuk kau.”

Nea mengetap bibir. Cepatnya pilih. Lalu cincin yang sudah di serahkan oleh pekerja wanita di kedai itu, di ambil. Cincin belah rotan. Memang sesuai di jadikan cincin tunang. Tapi masalahnya dia tak berkenan. Ringkas sangat! “Tak cantik.”

“Eh kau ni. Jangan nak demand sangat. Ingat sikit, cincin ni aku yang bayar tau.”

“Kau yang bayar tapi aku yang pakai. Nanti kalau orang kata cincin tunang aku tak cantik,malulah aku.”

Izz tersenyum sinis. “Bukan salah cincin. Salah jari kau. Jari kau tu tak cantik.”

“Cakap je lah apa-apa. Yang penting, aku tak nak pakai cincin yang kau pilih tu,” kata Nea.

“Aku tak bayar kalau kau pilih yang lain,”ugut Izz.

“Aku bayar. Macamlah aku tak ada duit.”

Izz mengetap bibir. “Jangan nak malukan aku. Bayar sendiri konon? Mana cincin yang kau nak? Aku bayar. Yang paling mahal kat kedai ni pun aku sanggup bayar.”

Nea ketawa. “Betul ni? Jangan menyesal dah lah.” Setelah itu, laju matanya mencari cincin yang berkenan di hati. Hampir dua puluh minit berlalu, akhirnya dia memilih sebentuk cincin emas putih dengan bentuk round cut. Harganya tidak mahal dan tidak murah. Sedang-sedang saja. Sama seperti rupa cincin itu yang sedang-sedang cantik. “Aku nak yang ni.”

“Ni?” Pantas Izz merampas cincin itu dari Nea sebelum di belek-beleknya. “Macam ni yang kau suka?”

“Aku yang pakai. Jadi suka hati akulah nak yang macam mana. Jadi, apa lagi? Bayarlah.”

“Yang paling mahal tak ada ke?”

“Kalau encik nak yang paling mahal, saya boleh tunjukkan,” kata pekerja wanita yang sejak tadi melayani Nea dan Izz. Walaupun pelik dengan perangai pasangan di hadapannya ini, dia tetap bersangka baik. Mungkin mereka gaduh-gaduh manja.

“Eh tak apalah. Yang ni pun dah okey,” balas Izz.

Setelah selesai urusan pembelian, Izz terus berjalan di hadapan. Nea pelik. Si tenuk ni tak nak balik ke? “Kau nak pergi mana?”

“Makan. Kenapa?”

“Tapi aku nak balik,” kata Nea.

“Baliklah,” balas Izz lalu terus melangkah tanpa menghiraukan Nea.

Nea bercekak pinggang. Nanti kalau dia balik naik teksi, papanya pasti akan menyoal yang macam-macam. Dia malas mahu bertekak dengan papa. Sudahnya, langkah Izz yang semakin jauh di kejar.

“Kata nak balik?” Sindir Izz apabila Nea menarik kerusi di hadapannya. Mereka kini sudah berada di restoran Secret Recipe.

“Malas nak bazir duit bayar tambang teksi.”

“Kalau kau pujuk uncle Hisyam supaya batalkan pertunangan kita ni, tak adalah kau kena keluar dengan aku. Semua ni salah kau.”

Nea mencerlungkan mata. “Sampai bila kau nak salahkan aku ni?”

“Sampai kita tak jadi kahwin.”

“Kau pula, kenapa tak pujuk uncle khalid? Cakap orang lebih-lebih. Dia sendiri, tak ada hasil.”

Izz mendengus. “Ingat senang ke nak pujuk?”

“Samalah macam aku. Ingat senang nak pujuk papa? Lain kali sebelum mengata tu, cermin diri sendiri dulu.”

“Tak payah nak sindir-sindir. Macam ni lah, aku rasa kita dah tak sempat nak pujuk dia orang. So, kita kena fikir cara lain.”

“Maksud kau?”

“Lusa kita dah nak tunang. Jadi memang dah tak sempat. Dalam masa dua hari rasanya tak ada apa yang kita boleh buat. Semua orang dah tahu, barang-barang pun dah beli. Jadi dah terang-teranglah yang parents kita tak kan setuju kalau kita minta tangguh. Jadi sekarang ni, kita tunang je,” kata Izz.

Nea tersentak. “Kau nak tunang ke? Jangan kata kau dah ubah fikiran pula?”

“Jangan nak perasan. Aku bukan nak sangat tunang dengan kau. Tapi aku ada rancangan yang lebih baik. Papa aku cakap kita tunang sebulan. So, kita akan ada lebih banyak masa untuk plan macam mana nak batalkan perkahwinan kita ni. Kalau kita tak boleh pujuk, kita guna cara lain.”

“Okey juga,” balas Nea. Tapi rasanya dia tidak berani lagi untuk memujuk Tan Sri Hisyam. Minta tangguh kahwin pun sudah mengalir air matanya. Apa lagi kalau mahu minta batalkan perkahwinan. Ngeri! “Tapi…”

“Tapi apa? Jangan kata yang kau dah give up. Ke kau dah jatuh cinta dengan aku?”

Nea menjuihkan bibir. “Jangan perasanlah tenuk! Aku tak kisah kau nak buat apa pun untuk batalkan perkahwinan kita nanti tapi aku tak nak pujuk papa.”

Izz mengerutkan dahi. “kenapa pula? Susahlah macam tu.”

“Kau tak kenal papa aku.”

“Memanglah aku tak kenal sebab tu papa kau bukan papa aku.”

Stop it Izz. Sakit hati bercakap dengan kau ni.”

Izz ketawa. “Kau ni Nea, janganlah marah-marah. Nanti cepat tua. Tak ada pula yang nak dengan kau nanti.”

“Sebab kau tu menyakitkan hati. Jadi wajiblah aku marah-marah. Tak kan nak suka pula?”

“Tapi kan Nea…” Seketika Izz merenung wajah Nea. Di amatinya satu-satu bahagian wajah Nea. Bibir, hidung dan berakhir di mata. Kali pertama merenung wajah Nea dengan bersungguh-sungguh menerbitkan satu perasaan asing dalam dirinya. Tapi rasa itu tidak di pedulikan. Bukannya apa-apa pun. Tak penting! Bidas hatinya.

Renungan mata dari Izz itu membuat Nea tidak selesa. Kenapa pula dia ni? “Kenapa tenung aku macam tu?”

“Macam mana kalau satu hari nanti, aku jatuh cinta dengan kau? Kau cinta aku balik tak?”

“Hah??” Nea membulatkan matanya. Biar betul Izz tanya soalan macam tu? Gila ke apa?

Namun tidak lama, Izz ketawa kuat. Kelihatan bergegar-gegar badannya. “Kau percaya ke? Tolonglah Nea, benda tu lah yang paling last akan terjadi dalam hidup aku. Atau mungkin juga benda tu tak kan pernah terjadi langsung. Aku mesti dah gila kalau jatuh cinta dengan kau.”

Nea menjeling geram. Tapi dalam hati, dia sedikit terasa. Teruk sangat ke kalau jatuh cinta dengannya? Ah! Si tenuk ini memang tidak tahu menghargai wanita. Siapalah yang suka spesies lelaki seperti Izz Anaqi ini? Tiada. Eh, adalah. Shasha!

“Oleh sebab kau dah berjaya buat aku ketawa terbahak-bahak, aku belanja kau makan. Lain kali, kalau kau nak aku belanja kau, buatlah aku gelak lagi,” ujar Izz dengan sisa tawa yang masih kedengaran.

“Ha,ha,ha. Kelakar sangat!” Balas Nea geram. Memang dasar tenuk!

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman