Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,831
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

BAB 6

SELESAI kerja pada hari itu, Zakuan memecut laju menuju ke sebuah destinasi yang agak sepi, jauh dari hiruk-pikuk manusia yang sibuk dengan urusan masing-masing. Sudah lama tidak datang ke Pantai Merdeka buat dia rindu untuk datang ke situ. Dia mengambil tempat duduk di sebuah batu berhampiran dengan pelantar.

Pantai Merdeka ketika waktu kerja begini tidak ramai orang yang datang. Kelihatan beberapa orang anak kecil sedang bermandi-manda di situ sambil diawasi ibu bapa masing-masing. Ada dua buah keluarga sedang bersantai di atas sebidang tikar sambil makan di situ. Zakuan tertarik memerhati gelagat mereka. Suasana yang dirasainya ketika itu menghindar dia memikirkan masalah yang sarat di fikirannya.

Tiba-tiba benaknya kembali mengingati wajah-wajah gadis yang pernah hadir dalam hidupnya. Laut yang bergelora itu ditenungnya lagi tanpa jemu. Dia tidak tahu sampai bila akan terus sendiri begini. Hidupnya sepi tanpa perhatian orang tersayang. Ada kalanya dia serik untuk mengulangi episod cinta dengan gadis yang berminat menjalin hubungan dengannya.

Angin bayu berpuput lembut menampar pipinya. Rambutnya yang beralun dibawa angin itu, kelihatan berserabut. Namun, masih tidak mencacatkan wajahnya yang tampan itu. Dingin tubuhnya ditampar angin bayu. Seram sejuk dirasakan sehingga ke tulang sum-sum.

“Assalamualaikum.” Suara garau seseorang memberi salam menghentikan lamunan panjang Zakuan. Ditolehnya ke sisi. Bulat matanya memandang raut wajah lelaki berumur yang bersih itu. Kelihatannya warak dan berpakaian bersih.

“Waalaikumusalam,” jawab Zakuan.

“Pak cik tengok dari tadi anak termenung panjang di sini. Pak cik rasa anak bukan orang sini.” Lelaki itu bertanya lembut.

“Ya, saya bukan orang sini. Kediaman saya di Sungai Petani. Saja nak cari ketenangan di sini.”

Lelaki itu tersenyum mendengar luahan hati Zakuan itu. “Mencari ketenangan seperti ini sebenarnya tidak memberi apa-apa makna. Sebaliknya, dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT, kita mendapat ketenangan yang besar nikmatnya,” ujarnya.

Zakuan rasa terpukul mendengar kata-kata lelaki itu. Ada benarnya di sebalik ungkapan itu walaupun setiap detik dia tidak pernah melupakan kewajipannya terhadap Ilahi.

“Maafkan pak cik seandainya kata-kata pak cik tadi menyinggung perasaan anak. Tapi, sebenarnya pak cik tertarik melihat gelagat anak yang sedari tadi termenung di sini. Pak cik tak bermaksud apa-apa pun.”

“Saya okey, pak cik. Tak apa. Lagipun, saya setuju dengan pendapat pak cik itu. Cuma, saya sengaja ke sini sekadar melarikan diri sebentar daripada belenggu masalah yang hadir dalam hidup saya kebelakangan ini.”

“Pak cik faham kekecewaan yang kamu alami. Kamu patut bersyukur kerana tidak semua orang mengalami kekecewaan dalam hidup. Tidak semestinya kita akan selamanya kecewa. Salah tu.”

Zakuan terpinga-pinga tidak mengerti. “Maksud pak cik?”

“Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan hujan petir. Kita bersedih dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari? Rupa-rupanya, Allah nak menghadiahkan kita pelangi yang indah. Allah berikan kita kesusahan dan rintangan sebab dia hendak memberikan kesenangan sekiranya kita terus tabah dan berusaha.”

Zakuan termangu-mangu mendengar pengakuan lelaki itu. Lama dia menghafal kata-kata lelaki itu. Dia ingin tahu lebih lanjut maksud kata-kata itu. Namun, keinginan itu segera hilang sebaik sahaja melihat kelibat lelaki itu sudah tidak ada. Ditolehnya ke kiri dan kanan. Wajah lelaki itu tetap tidak ada. Dicubitnya lengan yang terdedah. Dia mengaduh sakit. Ternyata dia tidak bermimpi. Baharulah dia tersedar kewujudan lelaki itu semestinya bukan manusia biasa. Jika tidak, masakan bulu romanya berdiri.

Pantas sahaja dia mengatur langkah meninggalkan tempat itu. Misteri lelaki berjubah itu terus menghantui dirinya.

Azan maghrib dari masjid berhampiran sayup-sayup kedengaran menerpa cuping telinganya. Cepat-cepat dia melangkah menuju ke masjid yang berdekatan untuk mengerjakan rukun Islam yang kedua itu. Selesai solat, dia beredar. Mengenangkan peristiwa yang baharu dialami buat kesekian kalinya, dia akan berfikir dua tiga kali untuk datang lagi ke situ.

Sampai sahaja di keretanya, telefon bimbitnya berbunyi nyaring menandakan ada mesej yang masuk.

Rupa-rupanya, Aziz dan Jeffri mengajaknya makan malam di Restoran Anando. Mereka sedang menuju ke situ. Segera dia memecut laju keretanya membelah malam yang sepi. Tidak sampai setengah jam memandu, dia tiba di restoran yang dijanjikan.

“Ha, itu pun dia,” kata Aziz sebaik melihat kelibat Zakuan sedang berjalan menghampiri mereka.

“Lama tunggu?” tanya Zakuan sambil menarik kerusi duduk berhadapan dengan Aziz.

“Lama tak lama. Tapi, dah panas kerusi aku duduk ni,” jawab Jeffri.

“Hang pi mana? Selalunya tak menghilang macam ni pun!” Aziz langsung bertanya.

“Aku... aku.... Cuba teka aku pi mana?”

“Kalau hang tak habaq, manalah kami tau,” jawab Aziz. Jeffri mendengar sahaja.

“Aku pi Pantai Merdeka habis waktu kerja tadi. Eh! Hang pa dah order makan?”

“Weh! Pi Pantai Merdeka tak habaq pun, noh. Cilok punya kawan,” jawab Jeffri sambil menjeling.

Zakuan ketawa geli hati.

“Dah aku tension sangat. Sorrylah, tak ajak hang pa. Lain kali kita pi lagi. Er... Tapi, ha, soalan aku tak jawab lagi. Dah ordermakanan ke belum?”

Zakuan teringat lelaki berjubah yang baharu ditemuinya tadi. Tiba-tiba sahaja perasaannya tidak enak.

“Dah! Aku belanja hang makan mi goreng special,” ujar Aziz. Hatinya terdetik tanda tanya masalah apa pulak yang membelenggu hati temannya itu. Lain macam sahaja. Macam ada yang tak kena.

Thank you! Thank you. Memang aku teringin nak makan mi goreng.”

“Ek eleh. Macam orang mengidamlah pulak,” kata Jeffri.

Zakuan ketawa lucu.

“Hang okey, ka?” tanya Jeffri pula.

“Aku okey. Kenapa? Nampak macam tak okey ka?” Wajah kedua-dua temannya direnung lagi.

“Tak daklah,” jawab Aziz lalu memandang Jeffri. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak memberitahu akan kelainan sikap temannya itu.

Seketika kemudian, datang pelayan membawa pesanan yang diminta. Mi goreng, nasi goreng dan kuetiau goreng.

“Ada bola la. Untung jugak malam ni kita keluaq makan kat luaq,” ujar Zakuan sebaik sahaja matanya terpanah kepada skrin TV besar di sudut tepi Restoran Anando. Aziz menoleh untuk memastikan perlawanan bola sepak yang disiarkan di TV. Melihat sahaja aksi pemain-pemain bola sepak yang tangkas menyepak bola, serta-merta dia beralih tempat duduk supaya lebih selesa menontonnya.

Pasukan Argentina beraksi dengan pasukan England. Peminat-peminat bola sepak mulai memenuhi ruang tempat duduk yang kosong. Sekejap sahaja tidak ada satu pun tempat duduk yang kosong. Baik di dalam mahupun di luar restoran.

Menonton perlawanan bola sepak sambil makan mi goreng yang enak. Aziz yang memesan kuetiau goreng juga begitu berselera sekali menikmati makanan itu. Manakala Jeffri sudah lama selesai menikmati nasi gorengnya.

Sedang leka menonton perlawanan bola sepak, mata Zakuan terpaku pada sesusuk tubuh yang amat dikenalinya sedang berjalan beriringan dengan beberapa orang wanita dan lelaki separuh umur, lebih kurang sebaya bapanya. Ditenyeh matanya berkali-kali. Tenyata dia tidak bermimpi.

Pandangan Zakuan terpaku pada gadis yang sedang berbual-bual dengan beberapa orang wanita dan lelaki di situ. Mereka baharu keluar dari Hotel Vistana. Perlawanan bola sepak di TV tidak menarik perhatiannya lagi.

Ya Tuhan! Aku tak bermimpi. Gadis itu memang Nurain. Gadis yang kurindui selama ini. Tapi, buat apa dia di sini? Bila dia pulang ke sini? Bukankah dia masih belajaq di London? Ya, Allah. Pantasnya, masa berlalu. Patutkah aku menyapanya? Ah, lantaklah!

“Eh, hang pa duduk di sini sekejap. Aku nak ke sana. Jangan ke mana-mana!”

Aziz dan Jeffri terpinga-pinga melihat gelagat Zakuan itu. Mereka mengekori langkah Zakuan menuju ke arah sekumpulan lelaki dan wanita di hadapan Hotel Vistana dengan ekor mata. Di hati mereka terdetik pertanyaan. Buat apa Zakuan ke situ?

“Apa kena dengan Wan tu? Dia kenai ka perempuan tu?” tanya Jeffri, memecah keheningan yang hadir di antara mereka.

“Cuba hang teliti betui-betui. Aku rasa aku kenai perempuan cantik tu,” jawab Aziz pula.

“Yang mana satu? Aku tengok lebih kurang sebaya mak aku, kakak aku je. Hang biaq betui!”

“Hang tengok sebelah mata ka apa? Yang muda-muda la. Isy, hang ni bikin suspenssaja. Ada ka Wan nak ngorat perempuan sebaya mak dia.”

Jeffri mengekek ketawa. “Mata aku tersilap pandangkah?” Jeffri bertanya lagi.

“Ah! Dahlah.”

Kalau betullah matanya tidak menipu, musnahlah harapannya. Dia punya agenda mengajak rakan-rakan serumahnya itu makan di luar. Dia ingin merekomenkan Zakuan dengan adik sepupunya yang baharu keluar dari Universiti Sains Malaysia. Sementelah dia berkenan dengan perilaku Zakuan yang setia dan berpenampilan menarik itu. Oleh sebab itulah dia merahsiakan dahulu rancangannya itu. Kononnya hendak surprisekan rakan-rakannya. Kini sebaik melihat kelibat gadis cantik di hadapannya itu, terbang entah ke mana idea gila yang diciptanya itu.

**********

PULANG dari Restoran Anando, lebih kurang jam 11 malam, Zakuan terus membersihkan diri. Dia mahu segera menunaikan solat isyak. Selepas itu, dia duduk berlunjur di atas katil. Matanya masih belum mengantuk. Terkebil-kebil matanya memandang siling bilik. Peristiwa di hadapan Hotel Vistana kembali berlegar-legar di ruang benaknya.

Setelah mengamati gadis tersebut bergerak agak jauh dari sekumpulan lelaki dan wanita itu, Zakuan menyapa. Ternyata sapaan itu menyebabkan gadis tersebut terperanjat. Lama mata mereka bertatapan. Sukar ditafsirkan dengan kata-kata.

“Er, kalau tak salah Ain, ini Zakuan, kan?” tanya Nurain apabila menyedari keadaan mereka itu.

Zakuan tersenyum. Ternyata telahannya benar. Rasa bangga menyelinap masuk jauh ke ruang nubarinya kerana gadis itu masih mengingati dirinya.

“Memang tak salah lagi. Bila balik dari London? Rasanya dah lebih lima tahun kita tak jumpa,” jawab Zakuan.

“Dah hampir tiga minggu dah. Tak sangka ya, kita berjumpa lagi.”

“Ain buat apa kat sini?”

“Ikut abah. Ada seminar perniagaan. Umi tak dapat ikut. Jadi, Ain kenalah ganti tempat umi. Lagipun untuk persediaan Ain jugak dalam urusan pekerjaan Ain nanti,” terang gadis itu panjang lebar. Dia masih ramah seperti dahulu. Malah, penampilannya juga turut berubah. Dari kaca mata Zakuan, Nurain lebih anggun dan bergaya sesuai mengikut peredaran masa.

Zakuan menunduk seperti memikirkan sesuatu. Dia ingin berbicara lagi dengan Nurain. Namun, dia tidak tahu apa yang ingin dibicarakan dengan gadis itu.

“Ain rasa abah dah nak balik. Bila kita boleh berjumpa lagi ya? Banyak perkara yang nak Ain bualkan dengan Wan,” ujar Nurain sambil mengerling wajah bapanya sekilas.

Zakuan kembali ke alam nyata. “Berapa nombor telefon Ain? Nanti Wan call.

“012-4433012.”

Segera Zakuan menyimpan nombor itu di dalam telefon bimbitnya.

“Ain!” tegur seseorang tidak jauh dari mereka.

“Abah! Kenalkan kawan sekolah Ain masa di Tingkatan Empat dulu. Zakuan namanya.”

Zakuan berjabat tangan dengan bapa Nurain, Encik Ghazali yang masih nampak handsome dari kaca matanya.

“Asal mana?” tanya Encik Ghazali sekadar berbasa-basi.

“Saya orang Taiping. Dah habis belajaq, berhijrah ke Sungai Petani. Kerja di Berkat Perwira Enterprise sebagai Juruteknik Komputer,” jawab Zakuan lagi.

“Emm... I see.”

“Tak silap Ain, Wan minat bidang IT. Tak cuba mohon jawatan sebagai arkitek dalam bidang multimedia?” Sudah lama dia akui minat dalam diri anak muda itu menjurus ke arah membaik pulih komputer. Bukan itu sahaja. Dia juga berkebolehan melukis pelan. Baik dalam bidang perkomputeran mahupun pembinaan.

“Alah, Ain. Macam tak tahu zaman sekarang susah nak cari kerja. Kalau terlampau memilih kerja, sampai bila-bila pun tak maju,” kata Encik Ghazali.

“Yalah. Cakap pak cik tu betui. Saya ingat nak kumpul modal, kemudian cuba-cuba berniaga sesuai dengan kos yang saya ambil masa belajaq dulu.”

“Baguih idea kamu tu. Pak cik kagum dengan kamu yang berpandangan jauh. Jarang anak muda sekarang memikirkan masa depan. Harap berjaya hendaknya.”

“Terima kasih, pak cik.”

“Okeylah, Wan. Kita jumpa lagi. Senang-senang, datanglah ke rumah pak cik di Bukit Mertajam. Tak jauh. Lebih kurang 45 minit dari sini ikut highway,” sambung Encik Ghazali.

“Insya-Allah, pak cik. Hati-hati di jalan raya.”

Dalam kesempatan bertemu Nurain pada malam itu, Zakuan sebenarnya tidak menyangka dapat berkenalan dengan bapanya yang peramah. Dia menyenangi lelaki itu. Setahu Zakuan, bapa Nurain seorang ahli perniagaan dalam bidang kesihatan. Syarikatnya menghasilkan produk kesihatan berasaskan herba. Wajah Encik Ghazali pernah terpampang di dada akhbar dalam ruangan wawancara bersama ahli perniagaan berjaya. Jadi, tidak hairanlah Nurain memilih subjek pentadbiran perniagaan sebagai melengkapkan diri dengan ilmu perniagaan.

Nurain dan Nurin Amira, dua orang wanita yang tidak jauh beza yang berjaya menggetarkan debaran di dadanya. Kedua-duanya lemah lembut, sopan santun, berbudi bahasa dan pandai mengambil hati. Cuma Nurain lebih bergaya berbanding Nurin Amira yang ayu dengan penampilannya yang tersendiri. Nurain juga agak agresif orangnya berbanding Nurin Amira. Mungkin juga tinggal berjauhan di perantauan mengajar dirinya hidup berdikari dan segala-galanya dilakukannya sendiri.

Dalam masa yang sama juga, wajah lelaki misteri berjubah putih yang baharu ditemui di Pantai Merdeka petang tadi juga sekali lagi berlegar di ruang fikirannya.

“Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan hujan petir. Kita bersedih dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari? Rupa-rupanya, Allah nak menghadiahkan kita pelangi yang indah. Allah berikan kita kesusahan dan rintangan sebab dia hendak memberikan kesenangan sekiranya kita terus tabah dan berusaha.” Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata azimat yang diucapkan oleh lelaki berjubah itu. Terfikir dibenaknya kenapa dia dipertemukan dengan lelaki itu.

Ya Allah. Hikmah apakah ini? Siapa lelaki itu? Ghaib begitu saja sebaik saja aku nak tahu lebih lanjut maksud kata-katanya tadi.

Zakuan kebingungan. Akhirnya, dia membaringkan tubuhnya di kepala katil sambil menatap siling kamarnya.

**********

AZIZ teragak-agak hendak mengetuk pintu bilik Zakuan. Dia ingin berbicara dengan temannya itu. Sejak pulang dari Restoran Anando tadi, Zakuan langsung tidak keluar dari bilik sebaik selesai solat. Hati lelakinya berdetik hairan. Hendak juga tahu kehadiran Nurain di hadapan Hotel Vistana itu. Namun, Zakuan langsung tidak memberinya peluang bertanya dengan lebih lanjut. Apa sebenarnya yang mengganggu fikiran temanku itu?

“Apa hal?” tegur Jeffri.

“Tak! Aku pelik tengok kawan kita tu.”

“Pelik macam mana?”

“Hang ni... tak prihatin langsung. Hang tak perasan ka sejak balik dari restoran tadi, lain macam aku tengok Si Wan tu,” jawab Aziz sambil melangkah menuju ke sofa.

Jeffri menggaru dagunya yang tidak gatal. Rasanya tidak ada yang pelik berkaitan Zakuan di matanya.

“Hang tersalah pandang agaknya. Atau hang nak tau gerangan perempuan cantik yang Wan jumpa tadi, kan?” teka Jeffri.

“Ada pulak.”

“Nak pi mana tu!”

“Nak masuk tidoq la. Esok kerja. Tu tak nampak jam di dinding dah pukul berapa?”

Jeffri mengerling jam di dinding. Dah 12.30 malam. Meskipun sudah lewat malam, dia sukar melelapkan mata. Mungkin juga penangan kopi O tadi buat dia sukar untuk melelapkan mata. Dia tidak perlu bangun awal kerana esok waktu kerjanya sebagai tukang masak di salah sebuah restoran tidak jauh dari kawasan rumah sewanya, pada pukul 1.00 petang. Jadi, dia punya banyak masa pada waktu pagi sebelum pergi kerja. Entah jam berapa dia terlelap di sofa, dia sendiri tidak sedar. Sedar-sedar sahaja suis TV yang dibukanya tadi sudah dimatikan. Berasa selesa tidur di sofa mematikan niatnya untuk bangun masuk ke bilik. Sudahnya, dia tidur meringkuk di atas sofa.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.