Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,201
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

BAB 13

NURAIN tidak sedar sedari pagi umi sedang memerhati tingkah lakunya. Masakan tidak. Selesai berjoging, kemudian bersarapan, Nurain tidak turun dari biliknya. Dia memilih untuk berjemur di balkoni sambil membaca novel Seribu Kali Sayang. Selalunya pada setiap hujung minggu Nurain tidak betah duduk diam selagi kerjanya tidak beres di rumah. Dia senang berkemas, membasuh, dan memasak. Tetapi, pada hujung minggu tersebut, sikap Nurain benar-benar berbeza. Timbul tanda tanya di benak Puan Aina.

“Oh, ya. Sepatutnya hari ni Ain balik kampung jumpa kak ngah. Apasal cancelpulak?” tanya Encik Ghazali yang kebetulan ketika itu sedang leka membaca akhbar Berita Minggu.
“Entahlah. Kejap nak pi, kejap tak nak. Minggu depan kut?”

“Itu hari dia jugak yang beria-ia nak jumpa kak ngah.”

“Abang tak perasan ke perangai anak dara kita tu lain benar kebelakangan ni?” ujar Puan Aina ketika bersantai dengan Encik Ghazali di ruang rehat keluarga.

“Lain macam mana pulak? Aina tak tanya dia kenapa?” soal Encik Ghazali pula, bukan memberi jawapan kepada persoalan yang meracau benak Puan Aina.

“Eh, abang ni. Kalau Aina tau Aina tak tanya abang. Sebab Aina tak taulah Aina tanya abang.”

“Kenapa tak tanya dia? Tanyalah. Mana tau dia ada masalah atau apa.”

“Abang... Aina ingat Ain ada beritau abang apa-apa. Sejak balik dari seminar di Hotel Vistana minggu lepas lagi Aina perasan Ain lain sikit. Itu sebab Aina nak pastikan dulu,” terang Puan Aina.

Encik Ghazali menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia seperti memikirkan sesuatu.

“Abang rasa abang tau!”

“Tau apa?”

Encik Ghazali tersenyum geli hati melihat telatah isterinya yang seperti tidak sabar itu. Dia faham perasaan isterinya itu. Hati mana tidak risau melihat perubahan satu-satunya puteri harapan mereka yang bakal mewarisi harta dan menjaga mereka tatkala tua sebelum pergi menghadap Ilahi.

Encik Ghazali tidak terus memberitahu, sebaliknya mengajak isterinya ke tingkat atas menuju ke kamar beradu anak gadis mereka. Dia ingin tahu sama ada perubahan sikap Nurain itu ada kaitannya dengan pertemuan yang tidak di duga dengan kawan lelakinya tempoh hari.

“Haaa... entah-entah....”

“Eh, Aina. Apa kena dengan awak ni? Buat terperanjat abang aja.”

“Ni mungkin ada kena-mengena dengan budak lelaki yang abang bagitau Aina tu.”

“La! Dah agak dah,” jawab Encik Ghazali sambil menggaru kepalanya. Dia tidak jadi melangkah ke tingkat atas rumah teres itu. Tidak jadi hendak surprisekan isterinya itu. Isterinya lebih bijak meneka.

“Abang nak ke mana pulak? Tadi beria-ia tarik tangan Aina ajak Aina naik ke atas,” tanya Puan Aina, spontan marah.

“Aina ajalah yang naik ke atas. Abang nak ke toiletkejap,” jawab Encik Ghazali, berbohong.

Puan Aina menggeleng-geleng geram sambil bercekak pinggang. Namun, marahnya itu segera hilang sebaik sahaja terkenangkan betapa dia amat mencintai suaminya itu.

************

CINTA? Perkataaan itu seolah-olah telah menggeletek hatinya. Secara tidak langsung

menyebabkan dia ingin ketawa. Malah berdepan dengan Zakuan hatinya tiba-tiba berdebar-debar. Cintakah dia kepada Zakuan? Atau cintakah Zakuan kepada dia? Selama ini Nurain tidak pernah mengalami indahnya percintaan. Bukan tidak ada yang ingin menjalin hubungan istimewa dengannya. Hatinya belum boleh menerima. Tetapi dengan Zakuan, hatinya seolah-olah berbicara. Debaran di dada bergetar hebat.

Lewat kebelakangan ini Zakuan pula sering menelefonnya bertanya khabar. Jika tidak sempat menelefonnya, mereka sempat berSMS. Setiap detik, ingatan terhadap lelaki itu tidak pernah padam. Saban hari kenangan bersama di bangku sekolah kembali menjengah mengetuk pintu hati.

Dia keliru dengan hatinya sendiri. Dahulu dia boleh menidakkan perasaan. Mungkin mainan perasaan remajanya ingin disayangi dan dicintai. Tetapi, kini apakah sebenarnya yang bermain di fikiran? Semakin ingin diketahui puncanya, semakin dia kekeliruan.

Oh Tuhan! Perasaan apakah ini? Tolonglah daku! Aku tidak mahu bermimpi di siang hari. Jika benar ini cinta, aku tidak mahu menjadi mangsa cinta buta.

“Ain! Buka pintu ni, nak.”

“Masuklah, umi. Pintu tak berkunci.”

Daun pintu dikuak. Tersembul wajah Puan Aina sambil mempamerkan senyuman ceria.

“Mmm... bersih bilik anak umi. Patutlah selepas sarapan tadi tak turun-turun. Mengemas bilik rupa-rupanya,” kata Puan Aina sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kamar anak gadisnya itu.

Nurain hanya tersenyum. Dia memerhati sekeliling biliknya itu. Setiap hari dia akan memastikan bilik tidurnya teratur dan bersih. Baharu sedap mata memandang. Baginya bilik tidur bukan sahaja tempat dia melelapkan mata, malah bilik tidur juga tempat rehat buatnya.

“Baru lepas buat senaman?” tanya Puan Aina apabila melihat anak gadisnya itu berpeluh di sana sini.

“Baru saja buat senaman regangan. Rasa dah longgar semuanya. Maklumlah, makan tidur saja setiap hari,” jawab Nurain sambil meletakkan novel Seribu Kali Sayang di atas meja soleknya.

“Duduk dekat umi, sayang,” pinta Puan Aina sambil melabuhkan punggungnya di birai katil. Nurain datang menghampiri uminya. Puan Aina mengelus lembut rambut anaknya yang panjang melepasi bahu. Dalam hati memuji betapa cantik dan manis anaknya itu.

“Anak umi ni ada masalah ke?”

Nurain mendongak memandang uminya itu. Dahinya berkerut-kerut. “Kenapa umi tanya macam tu?” Soalan berbalas soalan pula.

“Anak umi tak macam selalu. Hari ini Ain memilih untuk berkurung di dalam bilik. Umi ingat Ain ada masalah.”

Mendengar sahaja bicara uminya itu, Nurain ketawa menampakkan barisan giginya yang putih melepak.

“Ain okey, umi. Jangan risau,” ujar Nurain. Puan Aina menarik nafas lega.

“Kalau macam tu, jomlah turun tolong umi kat dapur.”

“Er... Ain ingat Ain nak kemas almari buku. Kejap lagi Ain turun.”

“Baiklah kalau macam tu. Nanti turun, ya!”
“Okey, umi. Sayang umi.” Nur Ain melayangkan flying kiss kepada Puan Aina. Puan Aina sekadar menggeleng-geleng sambil tersenyum. Kemudian terus melangkah keluar.

Huh! Nasib baik umi tak perasan perubahan diriku. Umph... bertuahnya jadi anak gadis Aina dan Ghazali ini. Depa terlalu mengambil berat perkembangan anak-anaknya. Aku bangga menjadi anak mereka.

Dan senyuman terus mekar di bibirnya yang mungil.

***********

NURAIN sekeluarga sedang menikmati makan tengah hari. Hampir jam 2.00 petang baharu mereka menjamu selera. Sementelah pagi tadi mereka telah makan nasi lemak yang dimasak oleh Mak Leha yang sedap dan enak.

Sebanyak mana pun makan, Nurain bersyukur kerana tetap langsing tanpa mengambil sebarang ubat kurus. Cuma terus mengamalkan makan jamu buatan uminya dan rajin bersenam. Tidak perlu pergi ke gim untuk bersenam. Di dalam kamar tidurnya sudah tersedia kelengkapan untuk bersenam.

“Sepatutnya hari ini Ain balik kampung mak ngah, kan. Apasal tak jadi pulak?” soal Encik Ghazali, memulakan perbualan.

“Ain tak ada moodlah, abah,” jawab Nurain.

ayam masak merah, rendang kerang kacang panjang, sayur kangkung goreng, dan ulam-laman berserta sambal belacan begitu membuka selera Nurain sekeluarga. Ketika di London, masakan umi itulah yang dirinduinya.

“Sedap masakan umi?” tanya Puan Aina.

“Mestilah sedap. Kat London mana ada masakan sehebat masakan umi,” ujar Nurain, kegirangan.

Puan Aina dan Encik Ghazali tersenyum. Sebagai seorang suami, dia berbangga kerana mempunyai isteri yang pandai memasak. Lantaran itulah dia lebih suka makan di rumah. Isteri yang amat disayanginya itu pandai menambat hatinya dengan masakan yang lazat dan menyelerakan.

“Ain kena belajar memasak dengan umi. Nanti bila dah kahwin, senang,” kata Encik Ghazali sambil tersenyum.

“Lambat lagi la Ain nak kahwin. Calon pun belum ada lagi. Ain ada banyak masa dengan umi,” jawab Nurain malu-malu apabila abahnya itu membangkitkan persoalan tentang alam perkahwinannya pula. Tidak pernah terfikir pun dia tentang alam rumah tangga.

“Kalau macam tu, nak abah rekomenkan dengan seseorang?”

“Tak maulah, abah. Kata orang, jodoh tu tak perlu dicari. Ia datang sendiri. Betul tak, umi?”

Puan Aina memandang suaminya. “No comment,” jawabnya.

“Ala, umi ni.”

Puan Aina ketawa geli hati.

“Aiman pun nak cari isteri yang pandai masak macam umi.” Aiman tiba-tiba mencelah.

“Isy! Aiman ni. Sekolah pun tak lepas lagi, dah bercerita tentang calon isteri. Dah tamat sekolah, lepas tu dah kerja, dah boleh tanggung isteri, barulah boleh Aiman cari calon isteri,” kata Puan Aina. Aiman tersengih manja.

“Jangan pandai mengayat, sudah. Anak bujang umi ni bukan abah tak tau, handsome, ganteng, apatah lagi berkarektor. Macam mana perempuan tak toleh dua kali,” usik Nurain. Serentak dengan itu, meledak ketawa mereka anak-beranak. Aiman memuncungkan bibirnya, pura-pura merajuk.

“Mana ada Aiman ngorat budak perempuan. Perempuan ngorat Aiman adalah. Kan Aiman ni handsome,” kata Aiman kemudian sambil ketawa.

“Tengok tu, umi. Dah pandai dah.”

“Ada-ada saja hang pa ni. Tapi, apa-apa hal pun, umi harap anak-anak umi berjaya dalam hidup masing-masing. Lagipun tak ke mana perginya harta yang umi dan abah cari ni. Lambat-laun akan diwarisi hang pa jugak,” tegas Puan Aina.

“Betul kata umi kamu tu. Company abah mengalu-alukan kehadiran Ain di sana. Abah senang hati kalau Ain dapat membantu abah.”

“Insya-Allah, abah, umi. Itu pun kalau tak ada rezeki Ain di tempat lain. Ain akan kerja dengan abah. Abah jangan risau.”

“Buat masa ni, berehatlah dulu. Abah tak memaksa kamu. Abah tahu anak abah tau apa yang terbaik,” kata Encik Ghazali lagi.

Puan Aina mengangguk setuju. Dia faham kehendak anak-anaknya. Lebih-lebih lagi Nurain yang mahu menimba pengalaman di tempat lain dahulu. Sebagai seorang ibu, dia hanya mampu mendoakan kejayaan anak-anaknya. Mereka tidak perlu dipaksa mengikut telunjuk orang tua. Malah, semenjak kecil dia sudah mengajar anak-anaknya hidup berdikari.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.