Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Tujuh Hari Mencari Madu
Tujuh Hari Mencari Madu
Raiza Khairina
8/4/2013 11:42:27
3,110
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Tujuh hari mencari madu

Oleh Raiza Khairina

AKU memandang langit yang hitam pekat melalui tingkap bilikku. Bulan bercahaya terang bagai tersenyum bahagia padaku. Indahnya kurasa. Tambahan pula, belaian manja encik hubbyku romantik masih terasa hingga ke tulang sum-sum. Layanannya tidak perlu dipertikaikan lagi. Bagai semalam kami menikmati malam pertama perkahwinan.

Aku bersyukur sangat. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, kucupan mesra yang hangat, makan pun masih bersuap, solat berjemaah dan mandi bersama. Ha ha ha. Ketawaku dalam hati. Kenakalanku juga masih terserlah meskipun sudah berstatus isteri orang.

Namun, ada gundah yang berlagu dijiwa. Sementelah usia perkahwinan kami sudah menginjak hampir tiga tahun. Kehidupan rumahtangga kami sepi tanpa kehadiran cahaya mata buat menceriakan kehidupan kami.

Aku sudah pun berjumpa doktor sakit puan. Alhamdulillah, hasil pemeriksaan doktor ternyata aku sihat. Aku mampu mempersembahkan bukti kasihku pada hubby dari rahimku sendiri. Pesan doktor supaya mengajak hubbyku sekali berjumpa dengannya.

“Abang, Mia nak penuhi impian abang. Mia dah berusaha jumpa doktor. Ternyata Mia sihat. Cuma... kata doktor, abang kena ikut sekali.” Beria-ia aku mengajak hubbyku. Encik Hubby kelihatan tegang. Dia seperti tidak dapat menerima kata-kataku.

“Kenapa pula abang mesti ikut cakap Mia?.”

“Kita cuma berikhtiar bang. Mia ingin penuhi langit impian abang,” pujukku lagi.

“Abang tak mahu. Tak mahuuu. Keturunan abang tak ada yang mandul,” ujar hubby tetap berdegil.

“Abang... dengar dulu penjelasan Mia.”

“Abang dah ada cadangan lebih bagus dari ini. Abang cuma nak persetujuan Mia saja,” kata hubby sambil tersenyum lain sekali.

Mataku terkebil-kebil memandangnya. “Apa dia bang?” aku tidak sabar ingin tahu.

“Sempena hari baik, bulan baik ini, abang nak Mia restui abang kahwin lagi.” Bagai hendak gugur jantungku dibuatnya mendengar khabar itu.

“Abang mampu ke nak tambah lagi satu?”

“Mampu ke, tak mampu ke abang nak juga.”

‘Biar betul hubbyku ini.’ Aku berbicara sendiri.

“Tergamak abang nak lukai hati Mia,” ujarku lagi demi meraih perhatiannya.

“Tak kiralah. Abang bagi tempoh seminggu saja. Selama tujuh hari abang akan cari madu yang sesuai buat Mia. Genap tujuh hari abang persembahkan pada Mia demi menuntut restu Mia.”

“Kalau tak jumpa dalam masa tujuh hari?”

“Abang turuti nasihat Mia.”

Terkedu aku dibuatnya sambil menahan rasa. Tidak aku sangka sama sekali hubbyku sanggup menodai cinta suciku. Alahai... sayonara maduku, apa akan jadi padaku andai ianya berlaku?

“Abang outstation seminggu.”

“Abang outstation seminggu nak ke mana?”

“Abang cari madu buat Mia.”
“Abang...” briefcasedi tangan aku lontarkan ke arahnya. Namun, pantas encik hubby melarikan diri.

Aku tidak mampu memendam rasa kecewa. Lantaran itulah aku tanpa segan mengadu pada ibu mentua. Aku menangis teresak-esak dibahunya.

“Agaknya, kesepian yang dilaluinya mengingatkan dia pada kekasih lamanya.” Bagai hendak tercabut jantungku buat ke sekian kali.

“Kekasih lama? Abang ada kekasih sebelum Mia?” tanyaku.

“Abang sangat sayangkan dia. Setiap kali abang balik kerja kekasihnya itu menunggu di depan pintu. Kalau boleh sebelum tidur, abang ingin dodoinya dahulu.”

“Habis... kalau ada kekasih, kenapa pilih Mia?”

“Kekasih abang meninggal akibat demam panas. Kasihan, waktu terakhirnya kurus sangat sebab tidak lalu makan,” kata ibu mertuaku lagi dengan wajah kasihan.

Dengan wajah cemberut aku meminta diri. Tidak sanggup lagi aku menahan rasa yang berbaur di dada.

Kecewaku bukan sahaja tidak terubat. Malahan hatiku sakit bagai disiat-siat, bagai ditusuk sembilu. Aku bawa diriku ke rumah mama. Setelah tiga hari berdiam diri, aku hamburkan rasa kecewaku pada mama pula.

“Bawalah berbincang elok-elok. Tak baik bermasam muka.”

“Abang outstation seminggu.”

“Eloklah macam tu. Suami outstation, Mia merayap ke sana ke sini.” Mama berleter pula.

“Mama... Mia ingat datang sini boleh release tension. Dengar mama berleter, sakit telinga Mia dengar.”

“Itulah kamu. Mama kuat berleter merajuk. Marah sikit merajuk. Suami gertak sikit saja dah merajuk. Betul-betul dia cari lain baru tahu,” kata mama seolah-olah tidak percaya pada apa sahaja kataku.

“Mana ada abang gertak Mia. Dia cakap betullah mama. Mia cuma ajak abang jumpa doktor sebab abang selalu cakap dunianya sunyi tanpa anak-anak.”

“Pergilah rumah anak yatim. Ambil anak angkat. Manalah tahu berkat jaga anak angkat, Mia ada rezeki dapat anak sendiri.” Mama memberi cadangan.

“Apa ni mama? Mia boleh mengandung. Abang tu yang degil. Mia cuma nak abang buat rawatan. Manalah tahu ada masalah di pihak abang. Tak sangka abang berniat nak tambah cawangan lagi.”

“Melarikan diri dari suami itu bukan penyelesaian masalah. Apa salahnya duduk berbincang elok-elok. Sepakat cari jalan keluar.” Mama memberi pendapatnya pula.

“Mama... Mia dah cuba. Abang degil juga. Katanya, dalam masa tujuh hari dia mencari madu buat Mia. Dalam masa tujuh hari dia jumpa calon yang sesuai, dia balik jumpa Mia.” Mama terlopong seakan tidak percaya.

“Seminggu outstation ni, dia pergi cari madu buat Mia la ni?” tanya mam lagi.

“Iyelah mama.” Mulut mama terlopong lagi.

“Kalau tak jumpa?” tanya mama.

“Kalau tak jumpa abang akan dengar cakap Mia. Tetapi, kalau dah jumpa calon yang sesuai, dia persembahkan pada Mia.”

“Pulak!” ujar mama sambil menepuk dahinya.

“Macam inilah. Sudah beberapa hari Mia duduk di sini. Elok Mia pulang ke rumah Mia.”

“Mama halau Mia. Sampai hati,” kataku hampir hendak menitiskan air mata.

“Bukan mama nak halau Mia. Mia kan sudah bersuami. Tempat isteri di sisi suaminya. Kalau arwah papa ada, sudah tentu dia pun tak setuju dengan tindakan Mia.”

“Jadi... mama setujulah dengan tindakan abang tu?”

“Bukan macam tu...”

Belum sempat mama menghabiskan kata-katanya, aku berlari keluar. Aku tidak sanggup lagi mendengar bebelan mama yang lebih menyokong tindakan hubbyku itu.

Aku tidak tahu lagi ke mana harus kutuju. Mahu atau tidak, aku kembali ke rumahku. Namun, aku pastikan pada ketika itu encik hubbyku tiada di rumah. Aku tidak sanggup lagi mendengar pujukannya untuk menambah isteri lagi. Sungguh... aku tidak sanggup.

Aku mengemas beberapa helai pakaian. Malam itu dan malam seterusnya aku ingin bersendirian. Di mana aku belum pasti lagi. Yang jelas selagi belum genap seminggu aku tidak mahu bersua muka dengan hubbyku lagi.

Dalam kalut aku menolak bagasiku, terdengar deringan telefon di ruang tamu. Aku tertanya-tanya siapa pula yang menelefon tengah hari itu. Oleh kerana perasaan ingin tahu membuak-buak, aku mengangkat juga gagang telefon.

“Hello... sayang!” kedengaran nyaring panggilan dari arah sana. Hampir terlepas gagang telefon kerana terkejut.

“Hello, hendak cakap dengan siapa?” aku pura-pura tidak kenal mendengar suara hubbyku.

“Nak cakap dengan sayanglah. Dengan siapa lagi.”

“Maaf salah nombor,” ujarku sebelum meletakkan gagang telefon.

Sejurus selepas itu, kedengaran ada mesej masuk di peti pesanan ringkas telefon bimbitku. Lambat-lambat aku membacanya. Mesej dari encik hubbyku rupa-rupanya.

‘Sayang... abang dah jumpa pengganti kekasih hati abang yang meninggal tu. Hidupnya tidak tentu arah. Kesian abang tengok anak-anak dia seramai tiga orang tu. Datanglah rumah ibu. Abang kenalkan dia pada Mia.’ Begitu yang tertulis di skrin telefon bimbitku.

‘Arg! Suamiku... biar betul. Janda anak tigakah? Apa hebatnya janda tu? Belum pun genap seminggu. Takkan sebegitu cepat? Dah tak sabar sangat ke dia?’ gumamku dalam diam.

Namun begitu, aku tidak mengendahkan maksud kata-katanya itu. Aku malas hendak melayannya. Biarlah berlalu di angin lalu. Sejak hari itu aku lebih banyak mengabdikan diri pada-Nya. Malas aku hendak memikirkannya lagi. Buat sakit hatiku sahaja.

Setelah aku cuba melupakan apa yang terjadi, tengah hari minggu suamiku pulang ke rumah kami. Kali ini dia tidak bersendirian. Dia membawa ibunya sekali. Di sampingnya tidak kelihatan pengganti kekasihnya yang meninggal itu. Suamiku tersenyum penuh makna, apabila menyedari reaksiku sebegitu.

“Kejap abang lupa sesuatu,” katanya.

“Inilah buah hati abang yang abang cakap tu,” katanya lagi sebaik sahaja mengeluarkan sangkar kucing dari dalam kereta wiranya.

“Seminggu abang outstation abang cuma cari kucing ni?” tanyaku.

“Kawan abang dekat Johor Baharu berikan pada abang. Nak cari sangkar secantik ini punyalah susah,” katanya lagi.

Ibu mertuaku yang sedari tadi diam tidak mampu menyembunyikan tawanya lagi. Meledak tawanya memenuhi ruang tamu rumah kami.

“Kenapa ibu tidak berterus terang sahaja hari itu?” kataku pula.

“Belum sempat ibu nak beritahu, Mia tergesa-gesa keluar dari rumah. Ibu panggil pun Mia buat tak dengar,” ujar ibu mertuaku.

Giliran encik hubbyku pula mentertawakan aku. Hanya senyum maluku sahaja yang melebar menghiasi rona wajahku saat itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.