BAB 5
BERTEMAN bayu malam yang lembut menyapa tubuhku, wajah
tua nenek bergentayangan di pelupuk mata. Wajah yang semakin uzur dan tua
dimamah usia yang aku rindui setiap saat dan ketika. Wanita yang membesarkan
aku sepenuh kasih dan sayang. Selepas kematian datuk, kehadiranku sangat
bermakna dalam hidupnya.
Walaupun kasih sayangnya melimpah-ruah, nenek tetap
garang dan tegas. Dia tidak pernah alpa dengan segala keperluanku. Oleh sebab
itulah aku menerima sahaja jodoh pilihannya. Seorang tentera darat berpangkat
kapten. Kacak dan segak dalam sepersalinan pakaian seragamnya.
Banyak gadis di daerahku menaruh rasa cemburu kerana
suamiku bukan sahaja segak, malah bergaji lumayan dalam kerjayanya.
“Terima kasih kerana sudi menerima abang sebagai suami
Hanna,” katanya. Entah untuk kali ke berapa.
“Kasih diterima. Jodoh ketentuan Allah, Hanna terima
dengan reda. Doakan Hanna mampu menjadi isteri yang baik dan menantu terbaik
buat ibu abang,” jawabku sambil tersenyum malu.
“Ya... abang doakan. Kali pertama memandang Hanna, hati
abang dah jatuh sayang. Abang yakin abang tak salah memilih. Mula-mula abang
bimbang juga takut lamaran abang ditolak.”
Aku tidak tahu hendak bereaksi bagaimana kerana dari tadi
dia berterusan memandang ke arahku. Segalanya canggung. Sementelahan ketika itu
usia pernikahan baharu mencecah sebulan usia.
“Allah dah janji di Loh Mahfuz abanglah jodoh Hanna.
Jadi, Hanna reda saja.”
Kisah cinta yang baharu bermula bagaikan mimpi buatku.
Hubungan baik Hadry dengan nenek serta sanak saudara yang lain menyatukan aku
dengannya. Itulah kali pertama cintaku padanya kerana Allah buat dia bernama
suami.
“Hanna... selama abang tak ada di sini, jagalah ibu
baik-baik. Abang pergi bertugas di daerah seberang dua bulan saja,” ujar
suamiku pada malam sebelum berangkat pergi.
“Tak bolehkah Hanna ikut menemani abang? Bukankah tempat
isteri itu di sisi suami?” Aku sebenarnya kecewa akan ditinggalkan. Baharu
sahaja diijabkabulkan, bakal ditinggalkan pula.
“Abang kerja, sayang. Bertempur dalam hutan demi
membanteras jenayah. Untuk itu abang jarang ada di rumah. Hanna tentu bosan
mengikut abang,” jelas suamiku lembut.
“Alaa... tak boleh ikut ke?” Aku lepaskan keluhan berat
sambil membelek cincin dan inai di jari.
Inai di jari masih merah, terpaksa pula berjauhan dengan
suami. Apalah nasibku selepas ini? Tidak dapat aku bayangi detik itu.
“Sayang... abang janji. Selesai tugas abang di Hutan
Lintang, abang kembali. Abang bawa Hanna tinggal dengan abang.”
“Janji?”
“Ya... abang janji. Apa saja untuk isteri abang.”
Aku pegang janjinya. Demi rumah tangga yang baharu
dibina, aku berusaha untuk tabah sepanjang ditinggalkan nanti.
Di azali, sudah tertulis garis pertemuan kami. Kerana itu
aku melepaskannya pergi. Berpegang pada janjinya, aku pasrahkan hati.
Selama menjadi isterinya, aku dilayan bagai seorang
puteri. Aku juga diajar memasak, membuat kuih-muih kegemaran suamiku. Namun,
kukira panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Ibu mertuaku
bukan seperti yang aku sangkakan. Hidup aku berantakan tiba-tiba.
“Hanna...! Ke sini kau!” laung ibu mentuaku dari dalam
rumah.
“Ada apa, ibu?” tanyaku dalam nafas yang masih
tercungap-cungap. Aku datang menghampirinya walaupun urusanku menyidai pakaian
di luar rumah belum siap sepenuhnya.
“Sini kau. Cuba rasa apa yang kau masak ni.” Aku menurut
sahaja arahannya.
“Masin, ibu.”
“Tahu pun masin. Kau ni kenapa, hah? Lembab. Sudah
berkali-kali aku ajar cara memasaknya. Tapi, tengoklah hasilnya. Sudahlah
masin, cair pulak kuahnya.”
Masakan kurma ayam di dalam periuk itu aku tatap dengan
perasaan kecewa. Sekali lagi aku gagal memuaskan hati ibu. Tetapi, terlintas
juga dibenakku. Kenapa masakan aku itu masin? Sedangkan tadi telah aku
mencicipi kuahnya. Tidak mungkin aku tersilap.
“Tadi Hanna dah rasa. Tak masin seperti ini,” jawabku
cuba membela diri.
“Hei... masih tak nak mengaku. Menantu tak tau diuntung.”
Ditunjal-tunjalnya kepalaku tanpa perasaan.
“Kau kena makan lauk ini. Pokok pangkalnya habis,” tegas
ibu mertuaku itu. “Menantu tak boleh diharap,” sambungnya lagi.
Mahu atau tidak, aku kena habiskan lauk itu. Kalau tidak,
entah apa lagi kata-kata hinaan yang akan dilemparkan kepadaku. Ikut sedap
mulutnya sahaja. Entah kenapa membenci sangat menantunya yang satu ini.
Langsung tidak mahu berlembut dalam berbicara.
“Jangan lupa masakkan lauk yang lain untuk aku!” laung
ibu mertuaku dari ruang tamu.
‘Aku harus bersabar. Walaupun dia ibu mertuaku, tarafnya
sama seperti ibu sendiri juga.’ Lagipun dia tiada sesiapa selain aku di sini.
Sudahlah ditinggalkan suami. Siapa lagi akan menemani hari tuanya kalau bukan
aku. Hati kecilku berbicara. Belajar memujuk hati sendiri.
Hanya tangisan sahaja yang membasuh luka di hati. Aku
menantu di dalam rumah ini. Namun, statusku tidak ubah seperti orang gaji. Aku
kena menyiapkan kerja rumah. Mengemas, membasuh, mengelap lantai, dan memasak.
Perkara yang tidak pernah aku bayangkan selama ini.
Setiap hari, pada awal subuh lagi aku sudah bangun.
Menyapu sampah dan mengelap semua habuk pada kabinet di ruang tamu, almari, dan
mengemas bahagian dapur. Oleh sebab penat kerja mengemas dari pagi, aku
tertidur. Tersedar sahaja, ibu mertuaku sudah memekik di luar bilik.
“Menantu pemalas memang suka bersenang-senang saja. Tak
boleh diharap. Ini dah pukul berapa, bangunnya belum. Jam berapa nak masak?”
Sayup-sayup kedengaran ibu mertua memburuk-burukkan aku di luar bilik. Sengaja
dia menguatkan nada suara semata-mata mahu menyakitkan hati aku.
“Hanna dah bangun seawal subuh tadi. Sarapan pagi pun
Hanna dah siapkan. Hanna tertidur sekejap saja sebab penat sangat.” Aku membela
diri. Tidak sanggup berterusan dijerkah dan diherdik oleh ibu mertua.
“Hah... menjawab. Suka sangat menjawab. Suka sangat nak
naikkan darah aku. Tak faham betullah aku dengan kau ni, hah!”
Melalui pintu kamar yang tidak dikunci, mertuaku itu
menerobos masuk. Wajah yang jarang bermanis kata dalam menyulam bicara itu
tajam menikam mata.
Apalah dayaku. Menjawab salah, tidak menjawab pun salah.
Masakan aku mahu menipu. Sengaja tidur sebab malas. Sama seperti yang didakwa
oleh ibu mertua. Gila!
“Kenapa ibu tak suka Hanna? Apa salah Hanna?” Aku
memberanikan diri bertanya.
“Soalan apa, ni?”
“Hanna nak jawapan jujur daripada ibu.” Tidak aku peduli
lagi mutiara jernih di mataku.
“Berani kau soal aku, ya? Suka hati akulah suka atau tak
pada kau.”
Keras jawapan yang diberikan. Dia datang menghampiriku.
“Jodoh pertemuan rahsia Allah, ibu. Abang Hadry yang
melamar Hanna. Keikhlasan abanglah yang menambat hati nenek sekeluarga. Hanna
terima bila keluarga Hanna setuju,” luahku sayu.
“Kau ni kalau tak kerana abah Hadry tu, tak kuasa aku nak
setuju. Entah dari mana datangnya kau ini dikutipnya jadi menantu. Yang Hadry
tu pun macam mana boleh terpikat dengan kau ni, ha? Tak sesuai langsung jadi
menantu aku, tau tak?” Spontan sahaja dalam berbicara itu dia sempat menarik
rambutku.
“Mak! Sakit!” Air mata yang mahu jatuh ke pipi segera
kuseka.
“Isy! Geram pulak tengok kau ni! Cepat bangun pergi
masak!” arahnya tanpa perasaan.
Dengan langkah lemah, aku menurut. Sekujur tubuh ini
bertahan demi sebuah ikatan suci yang
terjalin antara dua hati yang saling mencintai. Tetapi, sampai bila?
Bukan kupinta jerat sengketa yang dibina oleh ibu mertua
ini berterusan meracuni hidupku. Aku terperangkap dalam jurang permukaan insan.
Debu-debu kebaikan berterbangan menutupi kegembiraan. Bagaimana hendak
kubendung supaya tidak berpanjangan sengsara yang melingkari kehidupan? Aku
tiada jawapan untuk itu.
Aku turuti menu yang dipinta. Resepi yang diberi aku ikut
satu persatu. Selesai memasak, segala jenis hidangan itu aku siapkan di meja
makan. Seperti selalu, aku akan ke bilik ibu mertua mengajaknya makan.
Bagaimanapun, sebaik langkahku hampir tiba di hadapan pintu kamarnya, aku
terpaku saat cuping telinga terdengar perbualan dari dalam kamar.