Oleh Raiza Khairina
SAYUP-SAYUP kedengaran alunan azan Isyak berkumandang
dari surau yang berdekatan. Puan Maria sekeluarga baharu saja selesai membaca
yassin bersiap sedia untuk mengerjakan solat Isyak secara berjemaah pula. Hanya
puteri sulungnya sahaja, Zarina yang tidak menyertai mereka. Alasannya kerana
uzur.
Ketika
ahli keluarga lain selesai solat berjemaah, Zarina sudah bersiap ala kadar. Dia
ingin keluar bertemu rakan-rakannya bagi membincangkan persoalan kerja. Pada
ibunya sudah dikhabarkan. Namun, Puan Maria menghalang puteri sulungnya itu
keluar pada waktu malam. Hatinya jadi risau melepaskan anak gadisnya itu keluar.
Oleh kerana ibu menghalang dikhabarkan pula pada ayahnya tentang rancangannya
pada malam itu. Senyuman lebar indah berseri terpamer dibibirnya saat mendapat
kepercayaan ayahnya.
“Jangan ikutkan
sangat keinginan Zarina tu, abang.” Puan Maria menasihati suaminya, Majid.
“Bersangka
baiklah dengan anak kita. Lagipun abang tak nampak apa yang berubah pada dia,”
jawab Encik Majid.
“Dia
memang tak berubah. Mungkin abang tak nampak apa yang saya nampak. Cara dia,
tingkah dia, penampilan dia sekarang sudah cukup buat saya memikirkan dirinya,”
ujar Puan Maria cuba memahamkan suaminya.
Encik
Majid mengerutkan dahinya. Dipandang wajah isteri dengan penuh tanda tanya.
Cuba memahami apa sebenarnya yang bermain dibenak isterinya itu.
“Apa
yang tak kena dengan anak sulung kita tu? Abang tak faham,” tanya Encik Majid
pula.
“Zarina dah
berubah. Sejak dua menjak ni dah pandai melawa dengan pakaian yang tidak sepatutnya.”
“Betul ke?”
“Zarina
tak macam Zalila. Zalila tu jaga betul aurat dia. Ina ni lain sikit. Dia suka mencuba
sesuatu yang dia tidak pernah cuba selama ini,” jelas Puan Maria lagi.
“Biasalah,
perempuan mana tak suka cantik. Asalkan dia jaga aurat dia, batas-batas
pergaulan dia, tahu mana yang betul dan tidak betul, itu sudah cukup baik,
Maria.” Encik Majid menyuarakan keyakinannya. Dia amat yakin anak sulungnya itu
pandai menjaga nama baik keluarga.
Anak-anak adalah
harta yang sangat bernilai buatnya. Oleh kerana itulah kasih sayangnya tidak
berbelah bahagi terhadap anak-anak. Dia cuba menjadi seorang ayah yang
memahami.
Puan
Maria mengalah meskipun dia sangat tidak berkenan dengan cara suaminya
memanjakan anak. Apa yang diinginkan anak itu dituruti. Bukan sebab anak
gadisnya itu sudah besar panjang. Sudah pandai jaga diri. Sebenarnya dia tidak
mahu sikap alpa suaminya itu memakan diri sendiri. Jika diikutkan hatinya, dia
tidak suka membenarkan anaknya keluar malam entah ke mana.
Emosi terganggu
“Janganlah
awak pandang serong terhadap anak awak sendiri. Tengoklah penampilan dia. Saya
tak percaya dia keluar nak berseronok di luar malam-malam buta macam ini,”
jawab Encik Majid di suatu pagi yang dingin.
Apa lagi
yang mampu dikatakan Puan Maria. Suaminya itu menilai dari pengamatan matanya
sahaja. Dia risaukan anak gadis sulungnya itu. Sudah beberapa kali dia
ternampak anak itu mencuba pakaian baru yang tidak menutup aurat. Sudah ditegur
katanya pakaian itu hadiah daripada kawan.
Sudah
disampaikan pesanan pada anak-anak, jangan sampai mengambil kesempatan pada
kepercayaan mama dan ayah berikan selama ini. Jika detik itu sampai, kesilapan
yang berlaku tidak akan dimaafkan lagi. Sebagai ibu dia ingin bertegas demi
kebaikan anak-anak.
Zarina
yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat korporat, berkeinginan untuk
terjun dalam bidang peragaan. Dia jadi teruja dengan susuk tubuhnya yang
menarik. Apatah lagi dengan susuk tubuh langsing dan senyuman yang menawan itu mampu
menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.
Pada ibu sudah
dikhabarkan keinginannya itu. Namun, ibunya menghalang. Halangan ibunya itu
tidak menjadi masalah buat dirinya. Aktiviti peragaannya itu dilakukan pada
hujung minggu.
Dalam
diam Zarina berusaha dengan inisiatifnya sendiri menyertai pertandingan ratu
cantik yang memperagakan pakaian pengantin yang mana lain dari konsep muslimah.
Beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya muncul sebagai naib juara. Dengan
meraih kemenangan itu, langkahnya semakin panjang.
Namun,
tentangan bukan sahaja datang dari ibunya semata-mata. Adik bongsunya, Zalila
turut tidak menyetujui impian Zarina
itu.
“Mama
tengok ada yang tak kena pada pakaian Ina tu.” Suatu hari Puan Maria menegur
cara anaknya berpakaian. Sebelumnya Zarina tidak pernah memakai pakaian seperti
itu. Hatinya curiga.
“Ala
mama. Ini fesyen terkinila. Ina pakai saja-saja nak try.”
Puan
Maria meneliti dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Zarina memakai blouseyang hampir menampakkan
ketiaknya. Manakala skirt yang
dipakai betul-betul di paras lutut Zarina.
“Mama
lebih suka Ina pakai baju yang menutup aurat. Pakai tudung lagi manis.”
Hati ibu
mana jadi tidak keruan apabila anak gadisnya ingin menceburi bidang peragaan.
aksinya di atas pentas akan ditontoni lelaki. Pada haldari
hujung rambut hingga ke hujung kaki adalah aurat bagi wanita kecuali muka dan tapak tangan
Zarina
mengeluh. Kecewa dengan penerimaan ibunya.
“Ina tak
nak menyesiakan kecantikan yang Ina ada. Ina sudah lama mengimpikan kejayaan
dalam bidang modelling,” begitu
jawapan yang diberikan Zarina telah mengundang rasa sedih di hati Puan Maria.
“Nak
jadi model tak semestinya mendedahkan tubuh sana sini. Ada banyak lagi caranya.
Semestinya batasan aurat kena jaga.” Puan Maria terus menegur kedegilan anaknya
itu.
“Untuk
pengetahuan mama, pakaian yang Ina cuba ini pun sebahagian daripada kehendak
penganjur. Dalam setiap pertandingan yang Ina sertai memperagakan pakaian
wanita yang terkini. Tidaklah melampau sangat. Hendak tak hendak semua model
kena ikut.”
“Sebagai
seorang muslimah, kamu kena lebih peka. Niat kamu yang sebenarnya,” keras nada
suara ibunya langsung tidak diendahkan Zarina.
“Menutup aurat bukan sekadar melilit
sehelai kain di atas kepala tetapi turut memelihara kecantikan diri daripada
diperagakan kepada orang lain. Mempamerkan aurat kepada orang awam bukan
kewajipan kita,” sekali lagi
nasihat ibu menampar cuping telinga Zarina. Namun, dia tenggelam dalam kamarnya
sendiri.
“Mama,
bersabarlah. Suatu hari nanti Lila yakin Kak Ina akan sedar dan insaf.” Zalila
yang mendengar perbualan kakak dengan ibunya itu, datang menghampiri.
“Mama
hanya mampu berdoa mudah-mudahan Allah bukakan hati kakak untuk kembali kepada
jalan-Nya. Bukan mama tak suka impian Kak Ina. Cuma mama risau dia tersasar
jauh dari landasan-Nya,” ujar Puan Maria pilu.
“Sama-samalah
kita doakan semoga apa yang Kak Ina lakukan semata-mata kerana Allah swt ya, mama.” Puan Maria mengangguk setuju.
Allah
sahaja yang tahu, betapa Zalila ingin melihat kakaknya menjadi contoh kepada
adik-adik. Menjadi seorang kakak yang kekal sebagai muslimah sejati. Dia tidak
rela insan yang sangat disayanginya itu terlalu taksub dengan kecantikan
sementara yang dimiliki.
“Tak baik
akak lawan cakap mama. Apa yang mama cakap tu untuk kebaikan kita semua,” tegur
Zalila saat Zarina bersiap hendak ke pejabat.
“Eh, akak bosanlah. Kau dan mama
sama saja. Apa yang akak buat serba tak kena. Macamlah akak ni teruk sangat,”
jawab Zarina.
“Akak… Islam tidak menghalang kita
berpakaian mengikut fesyen dan suasana asalkan ia menutup aurat. Lila harap
akak faham,” ujar Zalila lagi.
“Sudahlah Lila. Berhenti nak
mengajar akak.”
“Tapi, kak. Sampai hati akak biarkan
mama kecewa dengan akak.”
Zarina mendengus geram. Wajah
adiknya itu dipandang buat ke sekian kali.
“Pakaian akak masih up to date. Tuntutan kerja akak buat
akak ikut trend fesyen terkini. Malahan, sampai ke detik ini akak masih
bertudung lagi kan. So, akak masih
waras memilih mana yang boleh dan mana yang tak boleh. Faham,” tegas nada
Zarina menamatkan perbualan mereka.
Zalila menggeleng. Dipandang sayu
langkah Zarina hingga ke muka pintu. Dalam hati dia berdoa semoga diri
kakaknya itu diberi hidayah Allah semoga
kembali seperti dulu.
Kejayaan di hujung jari
Berjaya
dalam pelajaran sudah dirasainya. Namun, Zarina merasakan langkahnya sudah jauh
ketinggalan. Ketinggalan menempatkan diri sebaris dengan nama-nama model
terkenal yang lain. Dia merasakan dia perlu berubah agar peluangnya di atas
pentas catwalk lebih menyerlah.
Hari
demi hari berlalu bagai tidak cukup 24 jam satu hari buat gadis seperti Zarina.
Dia kian giat bergerak aktif memantapkan diri dalam kelas peragaan yang
disertainya. Setiap hujung minggu dia berlatih di pentas catwalk.
Seiring
dengan perubahan yang dilalui anaknya, Puan Maria tidak pernah berputus asa
menasihati anaknya itu. Selain doa, tanggungjawab menasihati dan mendidik
anak-anak kini menjadi perkara utama di dalam hidupnya. Dia tidak mahu gagal
menjadi seorang ibu yang baik buat anak-anaknya. Baginya, biarlah apa sahaja
anggapan suami asalkan anak-anaknya tidak terpesong akhlak.
“Dan
janganlah kamu membuka aurat, sesungguhnya membuka aurat itu langkah pertama
membawa anda ke lembah kehancuran,” kata Zalila suatu hari ketika Zarina
bersiap hendak ke pentas modelling.
Penampilan
Zarina hari itu sedikit berbeza. Tudung yang dipakai dahulu labuh kini hampir
menampakkan bahagian dadanya.
“Jangan
nak ajar akaklah. Akak tahu apa yang akak buat.”
“Allah
berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher
bajunya dengan tudung kepala mereka. Ayat dari Surah al-Nur, ayat 31,” ujar
Zalila lagi.
Zarina jadi marah ditegur begitu.
Dia menghempas pintu bilik air. Zalila tertegun melihat tingkah Zarina yang
berbeza itu. Langsung tidak menyangka, kakaknya jadi marah padanya.
“Akak dah fikir masak-masak. Akak
nak teruskan minat akak dalam modeling,”
kata Zarina usai keluar dari bilik air.
“Akak,
Lila tidak pernah akan berhenti menegur selagi ianya tidak bercanggah dengan
syariat Allah. Sesungguhnya cara berpakaian, pergaulan, interaksi, komunikasi
ketika bekerja dan sebagainya hendaklah merujuk kepada agama agar apa yang
dibuat mendapat redha Allah swt.” Zalila tidak berputus asa cuba menyedarkan
kakaknya.
“Jangan
nak jadi ustazah. Akak tahu apa akak buat,” merah padam air muka Zarina menahan
sakit hati.
Tanpa
berpaling lagi, Zarina terus melangkah yakin. Yakin bahawa keputusan yang
dipilih adalah yang terbaik buat dirinya. Dia tidak mahu lagi memberatkan
fikirannya tentang apa sahaja yang dikatakan ibu dan adiknya itu.
‘Ya
Allah, Kau lindungilah maruah dan harga diri saudaraku ini agar tidak terjebak
ke kancah maksiat atau terjerumus ke lembah kehinaan.’ Desis hati kecil Zalila.
Sebagai
seorang adik, Zalila hairan. Sedari kecil mereka berdua dibekalkan ilmu agama
yang cukup. Bersekolah di sekolah agama sehingga lulus pangkat satu. Namun,
sekelip mata kakaknya berubah. Apakah kerana perubahannya itu ada kaitan dengan
kerjaya yang disandangnya itu? Dia tidak mempunyai jawapan itu.
Hampir sebulan
berlalu, usaha keras Zarina berbaloi. Rezekinya semakin murah setelah berjaya
menjadi duta beberapa butik terkemuka. Wajahnya berjaya mencuri perhatian
media.
Kenangan
indah sepanjang perjalanan bergelar seorang model, mengitari bahagian dalam
hidup yang tidak mungkin dilalui tanpa sebarang persediaan rapi. Tersadung akar
di pohonan yang besar, terpijak duri
sepanjang lorong kecil, terperangkap dalam lubang yang tidak terlihat sudah
acap kali dilalui. Namun begitu, kekosongan di hati Zarina tetap terasa. Dia
tidak tahu mengapa dalam diam terbit rasa bersalah pada adik dan mamanya kerana
selama ini dia berdegil mempertahankan
prinsip dan kemahuannya.
Barangkali
doa seorang ibu dan adik itu mustajab. Kejayaan yang dilalui Zarina tidak mampu
dibanggai keluarganya sendiri. Dari sisi kejayaan, bagi Zalila kakaknya itu
gagal menjadi contoh ikutan yang baik untuk diikuti. Baginya, aroma perjuangan
kakaknya masih kurang dari segi nilai ketimuran.
Gelora
di hati Zarina mulai menghantui perasaan. Dia mulai terfikir kebenaran di
sebalik nasihat-nasihat dan pegangan hidup keluarganya. Seringkali dalam
solatnya dia menangis keinsafan.
Suatu pagi yang
dingin,perkara
utama yang dilakukan Zarina sebaik sahaja bangun dari tidur adalah melihat
wajahnya di cermin. Dia ingin memastikan tiada jerawat yang mencacatkan
wajahnya. Setelah itu dia akan tersenyum kepuasan.
Namun, pagi itu sesuatu yang berbeza
berlaku. Zarina tidak mampu tersenyum lega di hadapan cermin. Dia menangis dan
meraung melihat rupa parasnya yang hodoh penuh jerawat di muka.
“Tidak!
Tidak! Tidak!” jeritan Zarina menggegarkan ruang kamarnya yang sepi.
Pelik. Tiada seorang pun yang
mendengar raungan dan jeritan Zarina. Perasaan aneh menerjah ruang fikiran.
Selama ini Zarina tidak pernah mencuba sebarang alat solek untuk mencantikkan
wajahnya. Tetapi kenapa wajahnya begitu teruk sekali? Persoalan itu menjadi
tanda tanya di hatinya.
“Ha! Ha! Ha! Itulah wajah kau yang sebenarnya!”
Bergema satu suara entah dari mana.
“Eh! Siapa kau?” tanya Zarina.
“Kau tak kenal aku? Ha! Ha! Ha!”
Zarina melihat di setiap penjuru
kamar. Namun, dia kehampaan. Air mata mulai menitis membasahi pipinya yang
putih bersih.
“Jawablah pertanyaan aku! Siapa kau?
Keluarlah!” Tanya Zarina lagi.
“Aku... adalah diri kau yang selama
ini berselindung di sebalik wajah kau yang jelita itu. Ha! Ha! Ha!” Kata suara itu.
Zarina memandang ke arah siling pula.
Seolah-olah mencari wajah itu. Namun, hampa.
“Apa yang kau cari?” tanya suara
itu.
“Aku nak lihat kau. Keluarlah!”
Kedengaran suara itu ketawa
mengejek. Mempermainkan dirinya.
“Keluarlah. Kau takut sebab kau buat
salah padaku?” jerit Zarina geram.
“Kau tanya aku, kenapa? Aku ada dalam
dirimu...! Cerminlah dirimu. Kau akan lihat aku.”
Namun, dia tidak sanggup melihat
wajahnya di cermin. Lenyap sudah kejelitaan yang dijaga selama ini. Dia
menangis lagi.
“Tidak...! pergi kau! Kau iblis!”.
Suara itu mentertawakannya lagi.
Kemudian asap tebal menyelubungi ruang di sebelah kanan ruang kamar.
“Wahai Zarina, sedarkah kau
kecantikanmu tidak akan kekal lama. Satu masa nanti akan lenyap ditelan usia,”
ujar suara itu dalam nada sedih.
“Pergi! Pergi! Pergi...! jangan
kacau aku!”
“Jadilah manusia yang tahu bersyukur
dengan apa yang dimiliki.” Nasihat suara itu pula.
“Aku tak mahu dengar lagi. Pergi...!”
“Ina.... bangun nak. Kenapa ni?”
tubuhnya digoncang kuat. Zarina membuka matanya.
Di sisinya ada ibu dan adiknya.
Tiada lagi asap tebal yang menyelubungi ruang kamar.
Dengan pantas Zarina bangun.
Menghadap wajahnya di cermin. Ibunya yang melihat sikapnya itu menggeleng
sahaja.
Berkali-kali Zarina menenyeh-nenyeh
matanya. Dia menarik nafas lega.
‘Aku bermimpi rupanya,” katanya, separuh
berbisik.
“Mama! Maafkan Ina. Selama ini Ina
tak dengar nasihat mama. Melawan cakap mama, jadi anak yang degil dan selalu
buat mama susah hati,” ujar Zarina.
“Mama maafkan. Lega hati mama tengok
Ina dah insaf. Bukan mama tak suka Ina jadi model. Tapi, mama nak Ina jadi
model muslimah yang menarik lebih ramai wanita Islam menutup aurat dengan cara
yang betul dan tidak membuka auratnya di sembarangan tempat.”
“Betul cakap mama, kak. Lila bangga
dengan akak sebab akak seorang yang kuat,” celah Zalila sambil menghampiri
Zarina.
“Terima kasih mama dan adikku Lila,”
ujar Zarina dalam pelukan sayang ibu dan adiknya.
Kali ini
Zarina sedar, kecantikan bukanlah elok untuk dipertontonkan kepada umum. Dia
berjanji pada dirinya sendiri ingin menjaga batasan auratnya agar apa yang
dilakukan diberkati Allah swt.