Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
53,168
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 29

BAB 29


YAYA senang sangat bila Zakuan sudi minta maaf padamu, Mira.”

“Sebenarnya, Mira pun tak sangka dia nak mintak maaf. Dari mana dia tau kisah Mira? Siapa yang beritahu dia?”

“Dari mana dia tau, tak penting. Dia mengakui kesilapannya itu dah memadai. Betul tak?”

“Mira tak harap itu semua. Wan berhak rasa marah. Sepatutnya Mira berusaha menerangkan duduk perkara yang sebenarnya. Bukan membiarkan orang lain yang beritau dia.” Ada sendu di hujung kata-kata Nurin Amira itu.

“Tapi, semua yang berlaku bukan salah Mira.” Safiah mengelus lembut tangan kiri Nurin Amira dengan niat mahu memberi sokongan kepada gadis itu.

Nurin Amira ingin menitiskan air mata. Tidak tahan dia menanggung sengsara itu sendirian. Untung saja Safiah di sisi sudi mendengar keluhan hatinya.

Thanks, Yaya. Hang dah banyak tolong Mira.”

“Kita kan kawan. Tapi,percaya tak kalau Wan masih menaruh harapan padamu!”

“Kamu yakin, Yaya?” Safiah mengangguk.

“Dia punya banyak pilihan. Lagipun, Wan tu seorang pemuda yang baik. Jadi, pemuda yang baik jodohnya dengan perempuan yang baik jugak,” ujar Nurin Amira sambil mengerling Safiah yang duduk bersandar itu.

Nurin Amira kembali memfokuskan tumpuannya pada jalan raya. Agak sesak juga pada waktu senja begini. Lebih-lebih lagi kenderaan berpusu-pusu pulang dari tempat kerja. Kesepian mula menguasai suasana.

“Betul ke jalan ni, Yaya?” Nurin Amira bertanya lagi untuk kesekian kalinya. Matanya melilau mencari rumah kebajikan yang dimaksudkan oleh Puan Salmi. Deretan kedai di sebelah kanannya langsung tidak menarik perhatiannya.

Kereta Proton Waja itu meluncur dengan kelajuan yang sederhana. Nurin Amira memberhentikan keretanya dibahu jalan agar mudah bagi mereka meninjau kawasan sekitar. Bimbang pula tersalah masuk jalan.

Deringan telefon bimbit milik Safiah mengejutkan mereka berdua. Segera Safiah mengangkatnya.”

“Hello, mak!”
“Dah jumpa rumah kebajikan yang emak maksudkan tu?”

“Belum, mak. Tapi, kami dah sampai pun Taman Selaseh. Cuma, tak tahu di mana lokasi rumah kebajikan tu.”

“Nampak tak papan tanda Taman Selaseh?”

Kelihatan Safiah mencari papan tanda yang dimaksudkan oleh ibunya itu.

“Nampak. Sebelah kanan dan ada deretan kedai makan dan kedai runcit di seberang jalan.”

“Rumah kebajikan tudekat belakang deretan kedai tu la.”

“Okey, mak. Kami pergi sekarang.”

“Balik makan malam kat rumah, ya.”

“Yalah mak. Okey, bye!”

“Emak cakap rumah kebajikan tu kat belakang deretan kedai di seberang jalan sana.”

“Betul?”

Safiah mengangguk. Nurin Amira melirik jam di pergelangan tangannya. Kurang 15 minit jam 7.00 malam.

“Dah dekat pukul 7.00. Hang rasa Datin tu ada ka waktu macam ni? Kita tak mengganggu dia ka?” soal Nurin Amira bertalu-talu.

“Emak dah beritahu dia kita nak datang. Dia tunggu agaknya.”

“Kalau macam tu, jom la.” Nurin Amira menghidupkan enjin keretanya. Dia memberisignal ke sebelah kanan sebelum membelok perlahan. Dia memberhentikan keretanya di tempat parkir kereta. Dari tempat parkir kereta, mereka berdua boleh nampak dengan jelas kedudukan rumah kebajikan itu. Nurin Amira menarik nafas lega kerana akhirnya tiba juga di tempat yang dituju.

Akan tetapi, pekarangan rumah kebajikan itu kelihatan lengang. Ada dua buah kereta di situ. Seandainya dia tahu, sudah tentu dia memberhentikan keretanya di dalam kawasan rumah kebajikan itu. Namun, sebaik sahaja hendak melintas, sebuah motosikal Honda ditunggang laju dari sebelah kiri menuju ke arahnya. Mujurlah Safiah sempat menjerit dan menarik tangan Nurin Amira kembali dekat dengan kereta mereka. Nurin Amira hampir dilanggar.

“Nak bunuh orang ke apa? Bawak motor macam hantu!” leter Safiah, geram.

Nurin Amira mengurut dadanya. Dia masih terperanjat dengan insiden yang baharu berlaku itu.

Are you okay?”

Nurin Amira mengangguk lemah.

“Kau kenal budak dua orang tu?”

“Entahlah. Tak pasti.”
“Mat rempit agaknya.”

“Dah la tu, Yaya. Janji kita selamat.”

“Kita hampir di langgarnya tau tak, Mira!”

“Biar la. Budak-budak nakal macam tu la.”

Safiah menggeleng-geleng melihat reaksi yang ditunjukkan oleh Nurin Amira itu. Langsung tidak terfikir dibenaknya itu dua orang lelaki yang cuba melanggarnya itu sengaja berbuat begitu. Mereka melangkah menuju rumah kebajikan itu dengan langkah yang lebih berhati-hati.

Kedatangan mereka disambut baik oleh Datin Reha yang ternyata sedang menanti kedatangan mereka. Datin Reha sudah diberitahu oleh Puan Salmi akan kedatangan mereka pada petang itu. Cuma, Datin Reha kelihatan bimbang kerana kehadiran mereka agak lewat daripada jangkaannya. Selepas menerangkan kelewatan mereka Datin Reha tersenyum lega.

Selepas berkenalan dengan Datin Reha, mereka meminta izin untuk menunaikan solat maghrib dahulu sebelum membincangkan tujuan mereka. Datin Reha tersenyum, malah dia sendiri pun hendak menunaikan solat maghrib dengan anak-anak yatim itu. Buat pertama kalinya Nurin Amira dan Safiah berkenalan dengan anak-anak yatim yang comel-comel itu. Mereka senang berada dalam lingkungan anak malang itu.

Nurin Amira dan Safiah selesa berbual dengan Datin Reha yang peramah itu. Dari air mukanya jelas ketara wajah keibuan. Jadi, tidak hairanlah dia mampu mengendalikan anak-anak yatim itu yang seramai 35 orang. Bermula dari usia empat tahun hingga 15 tahun. Setiap orang dibahagikan mengikut kumpulan umur masing-masing. Bukanlah tugas mudah mengendalikan anak-anak yang masih kecil itu. Melainkan kecekalan dan ketabahan untuk melihat anak-anak yang tidak berdosa itu mendapat kasih sayang dan pendidikan yang sempurna sahajalah mampu memberi kejayaan.

Datin Reha berpuas hati denganresume yang dikepilkan bersama borang peribadi yang diisi oleh Nurin Amira itu. Senyumnya melebar. Dia bersyukur kerana dipermudahkan urusannya dalam mengurus keperluan anak-anak yatim itu. Setakat ini, dia sudah mempunyai tiga orang pekerja untuk menyelenggarakan kebajikan anak-anak yatim itu. Namun, tiga orang tenaga pekerjanya tidak mampu mengajar dan mendidik anak-anak itu dengan ilmu pengetahuan yang berguna.

Dari kaca matanya yang sudah berpengalaman, dia yakin akan kemampuan dan kekuatan yang dimiliki Nurin Amira itu. Tugas Nurin Amira bukan sekadar memberi kaunseling dan motivasi, malah memberi latihan kepada anak-anak yatim itu bagi memantapkan pembelajaran mereka. Latar belakang Nurin Amira yang cemerlang itu melayakkan dia menerima jawatan sebagai guru sandaran.

“Ibu kesiantengok keadaan anak-anak itu. Mereka bukan saja dahagakan belaian kasih sayang. Mereka juga keliru mencari identiti sendiri. Tertanya-tanya ke mana hala tuju setelah tamat belajar nanti. Malah, mereka juga berasa rendah diri. Itu sebab ibu berazam membantu mereka sedaya mungkin,” lafaz Puan Reha yang senang membahasakan diri sebagai ibu itu.

“Saya akan cuba melaksanakan tanggungjawab dan amanah ini dengan sebaik mungkin,” jawab Nurin Amira pula.

“Kalau macam tu, bila Mira bolehstart kerja?” tanya Puan Reha, ceria.

“Kalau boleh, awal bulan depan. Sebab Mira perlusettlekan kerja-kerja Mira di pejabat dulu. Surat peletakkan jawatan pun tak buat lagi,” ujar Nurin Amira sambil tersenyum.

“Okeylah kalau macam tu. Ibu mengalu-alukan kedatangan Mira ke sini. Selamat datang ke Munawara.”

“Kalau macam tu, kami minta diri dululah. Dah lewat ni,” ujar Nurin Amira lagi sambil mengerling jam di pergelangan tangannya.

“Er... jemputlah makan malam dengan ibu malam ni. Lagipun, anak-anak ibu malam ni ada agenda mereka sendiri,” pelawa Datin Reha pula.

“Tapi, saya dah janji dengan emak pulang makan malam di rumah,” celah Safiah.

“Kalau macam tu, tak apalah,” ujar Datin Reha, sedikit hampa.

“Lain kalilah, ibu. Kami mintak maaf sebab tak dapat memenuhi permintaaan ibu,” kata Nurin Amira.

“Kirim salam sama emak, ya Safiah,” ujar Datin Reha sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan kedua-dua gadis itu.

Setelah Nurin Amira dan Safiah keluar dari pekarangan rumah kebajikan itu, kelihatan beberapa orang anak kecil berusia kira-kira 10 tahun berada di sisi Datin Reha melambai-lambai tangan ke arah mereka.

“Kesian pula Yaya tengok Datin Reha tu. Setelah kematian suami, anak-anak malang itulah yang menghiburkan hatinya,” sela Safiah ketika di dalam kereta.

“Untung juga Datuk meninggalkan sedikit harta buat Datin dengan anak-anak. Sekurang-kurangnya hidup dia terbela.”

“Tak ramai orang yang memiliki sifat macam Datin tu. Baik hati,” puji Safiah pula.

“Yelah. Orang macam Datin tulah yang mampu mengembalikan kegembiraan anak-anak tak berdosa itu. Kalau tidak, bertambah ramailah anak yatim yang bergelandangan tanpa arah tujuan.”

Safiah bersetuju dengan pendapat Nurin Amira itu. Sebagai hamba-Nya yang serba kekurangan, dia mengharapkan semoga anak-anak yang tidak berdosa itu dilimpahi rahmat dan keberkatan Ilahi.

“Kalaulah aku berkemampuan, aku jugak akan bertindak macam Datin tu. Buat apa hidup dalam limpahan harta kalau hati tak tenang. Sekurang-kurangnya dengan membela nasib anak-anak yang tidak berdosa tu, jiwa kita tenteram. Harta bukan boleh dibawa ke kubur pun,” sambung Nurin Amira lagi.

“Ye la. Aku la orang pertama yang akan memberi sokongan nanti,” balas Safiah sambil ketawa. Nurin Amira menoleh sambil turut ketawa.

“Kenapa ketawa pulak? Aku rasa tak ada yang lucu pun.”

“Tak ada apa. Cuma, aku berasa lucu pulak tengok kau begitu beria-ia bercerita tadi,” ujar Safiah sambil tersengih.

“Aku ikhlas apa. Aku tak main-main, tau.”

“Aku tau.”

Lebih kurang setengah jam meredah jalan raya yang agak lengang, kereta yang dipandu oleh Nurin Amira tiba di pekarangan rumah Safiah. Puan Salmi sudah pun menanti anak gadisnya di muka pintu. Sebagai seorang ibu, sudah tentulah perasaan bimbang menular dalam hati apabila anak yang ditunggu tidak kunjung tiba. Dia menunggu anak gadisnya hampir satu jam lamanya.

**********

MALAM itu Nurin Amira dan ahli keluarga Safiah menikmati makan malam lewat daripada hari biasa. Kebiasaannya mereka menikmati makan malam selepas waktu maghrib. Disebabkan Nurin Amira dan Safiah pulang agak lewat, mereka menikmati makan malam melewati jam 9.00 malam.

Sambal sotong, ikan goreng, dan sambal belacan serta ulam-ulaman benar-benar menyelerakan mereka. Puan Salmi memang bijak membangkitkan selera ahli keluarganya. Serta-merta saat itu Nurin Amira terkenangkan ibunya. Sudah lama dia tidak dapat menikmati hidangan ibunya. Hatinya diserbu kerinduan yang tidak berbelah bahagi.

“Eh, Mira. Termenung pulak dia. Tambah la nasi lagi,” kata Puan Salmi sebaik sahaja melihat Nurin Amira seperti memikirkan sesuatu.

Nurin Amira tersenyum sambil mencedok sedikit nasi ke dalam pinggannya.

“Tadi Datin ajak kami makan malam di rumahnya. Mengenangkan sudah janji dengan emak, tak dapatlah nak memenuhi permintaannya. Lain kali kita ke rumah dia, ya mak,” ujar Safiah sambil memandang wajah emaknya.

“Boleh jugak. Emak dah lama tak jumpa dia. Seingat mak, baru dua kali menjenguk dia selepas arwah Datuk meninggal,” sambut Puan Salmi pula.

“Ayah ada jugak mengajak emak kamu ni ke rumah Datin tu. Masa tu ada saja alasan emak kamu. Bukan apa. Ayah terhutang budi pada Datuk yang banyak berjasa kepada keluarga kita. Datuk banyak tolong abang kamu sampai abang kamu berjaya masuk universiti. Kalau tak kerana Datuk, kita tak dapat membiayai perbelanjaan abang kamu tu,” sampuk Encik Lutfi setelah lama mendiamkan diri.

“Bukan emak saja-saja tak nak pergi. Tapi, ayah kamu tu mengajak mak bukan pada masa yang tepat. Dekat nak raya pulak tu. Banyak tempahan baju yang belum siap. Kalau ayah pandai menjahit, tak apa jugak,” balas Puan Salmi sambil menjeling ke arah suaminya.

Nurin Amira dan Safiah tergelak melihat telatah Puan Salmi dan Encik Lutfi yang mesra itu. Jelas terpancar kebahagiaan pada wajah mereka suami isteri.

“Ye la, ye la. Kamu betul. Orangbisnes la katakan,” sela Encik Lutfi.

“Tau pun,” balas Puan Salmi.

Selesai menikmati makan malam, Nurin Amira membantu Safiah mengemas meja makan dan dapur. Mereka tidak sedar waktu sudah menginjak ke pukul 10.00 malam. Pantas benar masa berjalan. Selesai semua kerja di dapur, kedua-dua orang gadis itu beredar ke kamar. Nurin Amira berhasrat menelefon adiknya. Rindunya pada keluarga tidak dapat ditahan-tahan lagi.

“Kak Mira!Apasal lama takcall? Rindu, tau!” Suara Nurin Anisha di hujung corong telefon kegirangan.

“Akak sibuk la, sayang. Macam manaexam?”

“Susah jugak, kak. Dulu ada akak boleh tolong Nisha buathomework. La ni kena pandai-pandai sendiri.”

“Tak apa la. Sesekali belajaq berdikari. Emak dengan abah sihat?”

“Kami sihat. Cuma kadang-kadang Nisha tengok mak nangis sorang-sorang.”

Nurin Amira cuba menahan tangis. Sebak berada di mana-mana. Safiah yang sesekali mengerling sahabatnya itu mengerti situasi yang dihadapi gadis itu.

“Akak rindu sangat pada kalian. Tapi, akak tak tau sejauh mana penerimaan abah terhadap kesalahan yang tak pernah akak buat.”

“Akak baliklah. Mana tau rajuk abah dah berkurangan.”

“Insya-Allah, akak akan balik. Sabaq la, ya. Kirim salam dekat mak, ya Nisha. Akak tak boleh lama. Akak nakiron baju kerja.”

Selepas memberi salam, Nurin Amira mematikan telefon bimbitnya. Nurin Amira melangkah lemah ke sudut jendela. Dia ingin menikmati keindahan malam yang mengasyikkan. Keindahan kurniaan Tuhan yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Dia ingin menggapai bintang yang bergemerlapan di dada langit. Namun, yang pasti dia mungkin tidak dapat memenuhi gejolak hatinya itu.

Safiah yang sudah selesai menggosok bajunya itu datang menghampiri. Dipeluk bahu sahabatnya itu.

“Sabaq la, Mira. Tentu ada hikmahnya di sebalik apa yang berlaku.”

Nurin Amira mencapai tangan kanan Safiah dan menggenggamnya erat.

“Sebak dalam hati ini Tuhan saja yang tau,” ujar Nurin Amira, perlahan. Namun, jelas di pendengaran Safiah.

“Aku faham. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.”

Dalam hati, Safiah tidak lupa mengharapkan sinar kebahagiaan menyelubungi hidup sahabat baiknya itu. Gadis sebaik Nurin Amira itu sebenarnya layak untuk menikmati kebahagiaan di dunia ini. Walaupun begitu, takdir Tuhan mengatasi segalanya.

Sesungguhnya, Safiah sedar dan berasa insaf kerana hidup ini tidak pernah sunyi daripada ujian dan dugaan Tuhan. Hanya orang yang terpilih sahaja sering diuji dengan dugaan yang hebat. Safiah yakin Nurin Amira ialah seorang gadis yang cekal. Jika tidak, gadis itu tidak mungkin mampu berdiri seperti hari ini. Itu yang menjadi kebanggaannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.