Home Cerpen Keluarga Bila Mentua Gila Duit
Bila Mentua Gila Duit
Raiza Khairina
7/4/2013 16:16:34
3,566
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Bila Mentua Gila Duit

Oleh Raiza Khairina

AYU bukanlah seorang wanita yang sempurna. Malahan, semua isteri dan wanita di atas muka bumi ini serba serbi ada cacat celanya. Setiap isteri dan wanita tetap mahukan yang terbaik dan memberikan sesuatu yang terbaik buat keluarganya.

Hakikat yang sebenarnya bahagia yang diimpikan tidak seindah mana. Ada jurang antara dia dengan ibu mertuanya. Punca yang sangat tidak disenangi apabila kehidupan anak mereka agak senang dan bahagia.

Cubaan menjalin hubungan baik dengan mertua menemui jalan buntu. Dia pendam rasa sedih sendiri saat mertua membenci dirinya. Kesedihannya kian membara apabila mertua sanggup menyerang dan menyuruh anaknya menceraikan dirinya.

Segala tindakan dan kelakuan mertua yang menyakitkan hati itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa luluhnya hati Ayu menempuh keperitan hidup di samping suami yang amat menyayangi dirinya.

Dari awal perkahwinan sehinggalah melahirkan tiga orang cahaya mata sikap mertua tidak pernah berubah. Apatah lagi setelah lebih 10 tahun berkahwin kehadirannya masih tidak dapat diterima oleh mertua serta kakak dan adik iparnya. Bahkan perasaan benci mereka kepadanya semakin menebal.

“Hello, Assalamualaikum.” Suatu petang yang dingin Ayu mendapat panggilan dari mertuanya. seperti selalu lembut dia menyapa.

Waalaikumussalam.”

“Ya, mak. Mak apa khabar?”

“Aku sihat. Panggilkan laki kau kejap.” Bibir bawahnya diketap.

Reaksi kurang senang itu disambut dengan istighfar berulang kali. Penat melayan telatah mertua yang sakit hati padanya itu, dia basuh luka di hati dengan kalimah suci yang menyejukkan hati.

‘Biarlah apa pun jadi. Mertua nak benci, ipar duai yang tak semenggah perangainya, aku tidak mahu kisah. Mudah-mudahan kasih suami padaku tidak pernah berubah.’ Pujuknya pada diri sebelum ganggang telefon berpindah tangan.

Setiap detik dan ketika Ayu tidak pernah berhenti berdoa semoga Allah swt memberi hidayah kepada keluarga mertuanya.

“Kenapa boleh jadi macam ni?” tanya Eton, salah seorang pelanggan yang sering menempah pakaian dengan Ayu.

“Selama lebih 10 tahun hidup bersama suamiku, aku tak pernah faham. Yang membezakan aku dengan ipar duai, ialah aku lulusan SPM dan bekas kerani kilang. Sementara mereka semua ada diploma dan berijazah. Dan mereka semua bertudung litup, memang nampak alim sangat. Sungguh aku tak sangka mereka boleh berkelakuan buruk macam tu. Sedangkan aku cuma bertudung biasa saja.” Selain daripada suami dan ibu bapanya, hanya pada Eton, Ayu berani berterus terang perihal kemelut rumahtangga yang dihadapinya.

Tidak terniat di hatinya untuk memburuk-burukkan sikap mertua yang tidak tahu menghargai kasih sayang dan perhatian menantunya. Cuma dengan cara itu sahaja dia dapat merawat kesedihan yang bersarang dalam hati.

“Banyak-banyaklah berdoa mudah-mudahan mertua kau berubah sikap. Kau bersabarlah ya,” kata-kata semangat itulah yang sering meniti di bibir orang yang mengasihinya. Kalau tidak kerana sabar dan iman yang teguh, Ayu tidak pasti hala tuju hidupnya selama ini.

Walaupun Ayu tidak bekerja tetap, tetapi dia mengambil upah menjahit pakaian dan langsir. Di samping itu dia turut mengambil upah membuat hantaran perkahwinan, kuih raya dan sebagainya. Pendapatannya itu lebih daripada cukup cuma dia tidak bergaji tetap sahaja.

Suaminya juga tidak berkelulusan diploma mahupun ijazah tetapi dialah yang sering membantu kakak dan adik-adiknya ketika mereka masih belajar dahulu. Mereka sering mengadu tidak mempunyai duit. Tanpa banyak soal suaminya membantu.

Namun, setelah mereka bekerja dan bergaji besar, ada yang sudah menjadi guru dengan berkelulusan ijazah mereka langsung tidak memandang suaminya walaupun hanya dengan sebelah mata sekalipun. Hanya kerana dia dan suami tidak mempunyai kereta besar seperti mereka.

Kehidupan Ayu dan suami amat bahagia tetapi kebahagiaannya tidak pernah disenangi oleh ipar duai terutama ibu mertuanya. Bagi mereka semua yang tidak elok dan tidak sesuai ada padanya. Hinggakan mereka tidak suka bercakap dengannya kecuali kalau berhajat hendak menempah baju, langsir atau memerlukan khidmat masakannya apabila ada kenduri kendara di rumah emak mereka baharulah dia dihubungi.

“Apa nak jadi dengan mertua kau tu Ayu? Sedih hati mak mendengarnya,” keluh emaknya Salmah saat Ayu menceritakan penderitaan yang dilaluinya. Itupun setelah didesak oleh emaknya. Dia tidak dapat mengelak melainkan terpaksa meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Macam mana kau boleh bersabar dengan kerenah mereka, Ayu?” tanya emaknya seakan tidak percaya.

“Kalau tidak sabar, apa yang dipertahankan akan musnah mak. Ini ujian buat Ayu.”

Selagi mampu bertahan, Ayu akan tetap bertahan. Dia sangat sayangkan keluarganya. Terutama sekali anak-anak yang sedang meningkat remaja.

Dibuat seperti orang gaji saat menjaga anak-anak buahnya sekalipun dia mampu bersabar lagi. Meskipun ketika itu luluh hatinya apabila anak-anaknya tidur beralaskan sejadah dan berbantalkan telekung di atas lantai.

“Lepas ni, kau jangan gatal-gatal nak ke rumah mereka lagi. Orang macam tu tak elok diberi muka,” kata Salmah lagi tidak mampu menahan rasa marahnya. Biadap sungguh keluarga mertua anaknya itu.

Kalau diikutkan hati yang tengah marah mahu sahaja Salmah datang ke rumah besannya itu untuk memberi teguran. Terdetik di hati kecilnya hendak menasihati anak beranak itu agar sedar dengan kesilapan yang dilakukan.

“Lain kali, jangan ditolong kalau mereka mintak tolong. Hati kau juga yang sakit. Biar mereka cari jalan sendiri. Mereka ada akal. Ha... kalau buat macam tu baru mereka tahu langit tu tinggi ke rendah.” Salmah berleter lagi.

“Mak cukup tak berkenan dengan orang sombong macam tu. Berlagak tak bertempat. Ingat mereka tu orang kenamaan. Orang kaya mana sekalipun tidaklah berperangai macam tu.” Marah Salmah lagi.

Ayu akui kata-kata emaknya. Namun, apa yang mampu dia lakukan? Ipar duainya adalah sebahagian daripada kehidupannya juga.

“Sepatutnya sebagai orang tua, kita kenalah doakan kebahagiaan anak-anak. Ini tidak menyusahkan anak-anak pulak. Patutlah tak pernah nak datang ke rumah kita. Mulanya mak hairan jugak dengan perangai mertua kamu tu.” Salmah merungut lagi.

“Apa nak buat, mak. Dah mereka macam tu. Kita doa-doakan ye, mak. Mintak mereka sedar dengan kesilapan mereka.”
“Cakap memang senang Ayu. Ni....” jawab Salmah sambil menunjal dadanya. “Dalam hati ni sakitnya tak terkata.”

Ayu sekadar melepaskan keluhan berat. Tidak tahu sampai bila hubungannya dengan mertua dan ipar duai akan berakhir dengan kemesraan dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Dia teringin benar hendak menjalinkan hubungan baik dengan mertua dan adik beradik iparnya itu.

Satu peristiwa yang tidak dapat Ayu lupakan seumur hidupnya. Ketika itu dia menolak tidak mahu menjahit langsir mereka sebab tempahannya sudah banyak, adik iparnya mengadu kepada ibu mereka. Apa lagi ibu mertuanya itu masam mencuka dan langsung tidak mahu menegurnya apabila bertandang ke rumah mereka. Namun begitu, tidak lama selepas itu mereka berbaik semula apabila mertuanya itu hendak mengadakan kenduri. Ayulah yang bertungkus lumus yang menyediakan segala masakan. Dari awal pagi lagi dia sendirian menyiapkan hidangan. Sesekali sahaja mereka membantu. Ipar duainya bersenang lenang duduk beristirehat di ruang tamu. Selesai sahaja kenduri mereka jadikan Ayu musuh. Serba tidak kena di mata mereka.

Ayu amat pasti. Mertuanya itu takut hendak memarahi anak-anak perempuannya. Dia akan mengikut semua kehendak anak-anaknya walaupun ditengking dan dimarahi. Janji duit masuk ke dalam akaun banknya setiap bulan. Kalau dimarah sudah tentu dia bimbang tidak dapat wang dari anak-anak perempuannya.

Suatu hari, berlaku pergaduhan besar antara Ayu dengan kakak dan adik iparnya. Puncanya kerana suaminya tidak dapat memberi duit untuk membesarkan ruang dapur dan ruang makan rumah ibu mereka. Suaminya memang tidak ada duit sebanyak RM5,000. Setakat lulusan SPM berapa sangat gajinya jika hendak dibandingkan dengan ipar duainya yang ada diploma dan ijazah.

“Manalah saya ada duit sebanyak tu. Berapa sangatlah gaji saya,” kata suaminya, Farid.

“Macam mana nak ada duit kalau lebih pentingkan isteri dari emak sendiri. Beli barang kemas tu boleh pulak,” jawab adiknya Faridah.

“Barang kemas tu semua bukan saya yang beli. Ayu yang beli dengan duit hasil tempahan pakaian dan langsir,” jawab Farid agak meradang juga apabila dituduh sebarangan oleh adiknya.

“Boleh percaya ke? Atau isteri kau tu kawal duit kau. Itu yang tak ada duit nak bantu emak,” kakak iparnya pula mencelah.

Oleh kerana masing-masing tidak percaya dengan alasan Farid, apabila Ayu bertandang ke rumah mertuanya, dia dijeling dan dimaki hamun oleh ipar duainya.

“Berapa banyak duit sudah dikumpul untuk beli rantai dan gelang emas tu,” sindir bapa mertuanya pula.

“Tak banyak sebab gaji abang pun kecil, anak-anak semuanya dah bersekolah. Banyak nak pakai duit,” jawab Ayu ikhlas.

“Anak aku sampai bila-bila pun takkan pernah ada duit, sebab dia seorang saja bekerja. Sedangkan engkau tu duduk goyang kaki di rumah. Kalau bekerja boleh juga membantu suami. Tak adalah kau orang anak beranak hidup membebankan anak aku. Orang zaman sekarang suami isteri kena bekerja. Kalau tidak boleh mati si Farid kau kerjakan,” ibu mertuanya pula menambah.

Tersentak Ayu mendengar sindiran itu. Terus sahaja dia menjawab dengan lantang.

“Farid kerja kilang. Ada shift. Kadangkala siang, adakalanya malam. Kalau saya bekerja anak-anak masih kecil tentu susah, siapa nak jaga. Sebab itu saya berhenti kerja. Lagipun Farid suruh saya berhenti kerja. Dia mahu saya jaga anak-anak sepenuh masa. Nak cari pembantu atau hantar anak ke rumah orang kami tak mampu.”

Walaupun saya duduk rumah, saya tidak duduk diam. Saya tetap membantu Farid menambah pendapatan. Saya ambik upah menjahit. Setiap tahun saya buat kuih raya. Memang pendapatan saya tak tetap macam orang kerja makan gaji, tetapi lumayan juga pada kami anak beranak.”

“Mana ada orang ambik upah jahit baju dan langsir boleh simpan duit. Kau tu selalu sangat kawal duit Farid sebab tu lah nak bagi duit satu sen dekat mak pun tak mampu,” tuduh kakak iparnya, Fauziah.

“Tak pernah sekalipun saya kawal duit Farid. Malahan gaji dia dapat setiap bulan pun saya tak tahu. Semua perbelanjaan makan pakai dan sekolah anak-anak Farid uruskan semuanya. Saya cuma diberi duit pasar setiap hari. Itupun tak cukup. Saya tambah sedikit untuk membeli keperluan dapur dan membayar bil api dan air,” jawab Ayu lagi.

Namun, Ayu tidak pernah menyangka apa pun jua alasannya mereka tetap tidak mempercayainya. Kejujurannya disalah ertikan.

Apabila diberitahu kepada suami, suaminya itu melarang dia bertandang ke rumah ibunya. Farid rela isterinya dikutuk dan dimaki hamun asalkan tidak bergaduh setiap kali berjumpa. Hati pun tidak sakit menahan perasaan tidak puas hati.

Bahkan bila ke rumah mertua sekalipun, jijik Ayu hendak memandang suami kakak iparnya. Lelaki itu biang keladi. Punggung dan badan menjadi sasaran rabaan lelaki itu. Malahan sengaja melanggar dan menghimpitnya sambil meraba tubuh badannya sekalipun di depan isterinya sendiri.

Malang sungguh nasibnya. Kebenaran tidak pernah menyebelahinya. Ayu pula dipersalahkan dan dimarahi serta disindir kerana cuba menggoda suaminya yang gatal itu.

Sejak kejadian yang memalukan itu berlaku Farid tidak lagi mengizinkan isterinya bertandang ke rumah ibunya lagi. Dia tidak suka bertengkar apa lagi bergaduh, apabila Ayu mengadu kepadanya.

Kerana serik Ayu termakan juga nasihat suaminya itu. Meskipun disakiti hatinya, tidak pernah sekalipun dia menyekat suami ke rumah ibunya. Padanya, hubungan anak dengan ibu dan saudara maranya tidak akan putus. Bukan salahnya jika suaminya yang malas hendak bertandang ke rumah ibunya.

Bahkan sebagai anak, kebajikan ibu bapanya Farid tetap ambil peduli walaupun tidak memberi duit kepada ibunya setiap bulan. Sekiranya ada lebihan wang, dia turut memberi kepada orang tuanya. Namun, untuk berkongsi wang membaiki dapur rumah ibunya, dia tidak mampu. Inilah yang menjadi kemarahan ibu dan adik beradiknya.

Kesengsaraan hidup tidak pernah berhenti di situ sahaja. Suatu ketika Farid jatuh sakit. Puas Ayu membawa suaminya berubat di hospital dan dengan bantuan seorang ustaz pun penyakit suaminya tetap susah hendak sembuh. Namun, dia tidak berputus asa sekalipun terpaksa berhabis duit. Nasib baik sentiasa menyebelahinya kerana orang tuanya ringan tulang membantu bagi meringankan bebanan yang ditanggungnya.

Apabila sudah sembuh dari penyakit misteri itu, Salmah memberitahu besannya tentang keadaan anaknya yang sering sakit-sakit. Sebaliknya pula berlaku Ayu dimarahi dan dituduh membomohkan anaknya. Tanpa rasa bersalah dia datang ke rumah hendak mengambil Farid dan hendak mengubati penyakit Farid dengan syarat Ayu diceraikan.

Hancur luluh hati Ayu melihat tangisan dan raungan anak-anak yang merayu kepada nenek mereka agar tidak mengambil ayah mereka.

“Bawa mengucap mak. Ingat Allah banyak-banyak. Saya tidak akan menceraikan isteri saya. Saya sayangkan anak-anak saya. Merekalah harta saya yang paling berharga,” jawab Farid.

“Kau ni Farid, sejak kahwin asyik menangkan isteri kau saja. Cubalah sedar sikit selama ini anak bini kau tu dah banyak susahkan kau. Sampaikan nak bagi duit dekat mak pun tak ada. Cuba kau tengok kakak dengan adik-adik kau. Pernah ke dia orang tak bagi mak duit? Setiap bulan mereka tak pernah lupa bagi mak duit. Bukan macam kau.” Sampai begitu sekali tuduhan mentua terhadap Ayu.

“Astaghfirullahalazim. Kenapa mak cakap macam tu? Sedarlah sikit mak, duit tu bukan segala-galanya. Bukan boleh di bawa mati pun. Tak berkat hidup mak kalau asyik pentingkan duit dari segala-galanya,” ujar Farid cuba untuk menyedarkan ibunya.

“Ah… sudahlah buat penat mak aje cakap dengan kau. Kau bukannya nak faham,” ujar mertua sebelum berlalu.

“Mak… Farid minta mak berubahlah. Bersyukurlah dengan apa yang ada. Hidup mak tidak akan tenang selagi mak pentingkan duit dalam hidup mak. Sedarlah mak, duit boleh dicari. Kasih sayang dan kebahagiaan anak tidak boleh dibeli dengan duit,” kata Farid melepaskan kesedihan yang bersarang dalam hati.

Ibunya berlalu tanpa mengendahkan kata-katanya. Diperhatikannya ibunya itu hingga hilang dari pandangan mata.

“Maafkanlah dia Farid. Bawa-bawalah bersabar. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan mak diberi hidayah dan semoga adik-beradik kamu pun insaf di atas kesilapan mereka selama ini.” Salmah menuturkan bicaranya setelah lama berdiam diri.

“Iyalah bang. Ini dugaan buat kita. Allah nak menguji kesabaran kita,” tambah Ayu pula sambil mengukirkan senyuman. Mereka suami isteri berbalas senyuman. Hanya mereka sahaja yang mengerti betapa pentingnya ikatan kasih sayang yang terjalin.

Ayu bersyukur kerana suaminya seorang yang penyabar dan penyayang. Dia kagum kerana Farid seorang anak yang soleh. Walaupun sering dimarahi dan dimaki hamun, suaminya tetap menghormati orang tuanya dan memberi duit setakat yang termampu.

Ayu turut tidak menafikan kalau duit sudah beraja di hati, tidak ada ubat yang mujarab yang mampu menyembuhkan.

Dia memohon kepada Allah juga semoga terbuka pintu hati mentuanya agar menerima dia seadanya. Malahan turut mendoakan kebahagiaan anak-anaknya dan bersyukur di atas kurniaan Allah. Di mana anak-anak tidak menyusahkan hidup mereka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.