Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,807
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

BAB 10

SEMANGAT kerja Nurin Amira menurun. Dia memaksa diri melakukan semua kerja. Jauh di lubuk hatinya bersyukur kerana tidak dikenakan tindakan oleh ketuanya. Ini bermakna kerja yang dilakukan tiada cacat celanya. Sempurna.

Wajahnya mendung. Walaupun sesekali tersenyum apabila rakan sejawat lalu di depannya, wajah itu tetap menyembunyikan dukanya yang tersendiri. Gundah di hatinya Tuhan sahaja yang tahu.

Safiah menyedari wajah kelat yang menghiasi wajah temannya itu. Namun, dia dia tidak punya kesempatan untuk menegurnya. Tambahan pula tuntutan kerja yang banyak di atas mejanya menahan dia menghampiri Nurin Amira.

Bukan Safiah sahaja yang terperasan dengan wajah mendung Nurin Amira. Ramai kakitangan di pejabat itu menyedarinya. Ada yang bersimpati. Ada juga yang melepaskan sindiran tajam. Tidak kurang juga ada yang mempamerkan senyuman sinis ke arahnya. Nurin Amira rasa ingin menangis.

“Aku tahu hang ada sembunyikan sesuatu dariku,” soal Safiah ketika keluar makan tengah hari bersama.

Nurin Amira mengangkat wajah yang sedari tadi menunduk memandang meja. Mata yang bersinar galak itu kini tidak bercahaya lagi.

“Ya! Mira rasa dah tak kuat lagi. Sedih sangat.”

“Berterus teranglah dengan Yaya. Sekurang-kurangnya hang akan lebih tenang nanti.”

“Semalam Najib minta duit, Mira tak bagi. Kami bertengkar. Mira cuba mengawal perasaan marah. Suara juga cukup perlahan. Entah macam mana orang tua Najib terdengar pertengkaran kami. Apa lagi. Mira disindir dan dihina oleh emak Najib.”

Peristiwa yang masih segar di ingatan disingkap satu persatu. Bagai terngiang-ngiang lafaz kata Mohd Najib yang menggigit sanubari.

Nurin Amira baharu keluar dari bilik air ketika masuk ke dalam bilik. Kelihatan Mohd Najib duduk bersila di atas katil. Sungguhpun meluat melihat senyum simpul Mohd Najib itu, Nurin Amira berlagak selamba. Seboleh mungkin dia cuba bersahaja. Setidak-tidaknya Mohd Najib tidak dapat membaca kegugupan yang menghantui dirinya.

Selesai solat, Nurin Amira mencapai surah Yasin pula. Dia langsung tidak mengendahkan kehadiran Mohd Najib di situ.

“Mira. Abang nak cakap sesuatu dengan Mira.”

Baharu sahaja hendak melafazkan Bismillah, Mohd Najib pula bersuara. Nurin Amira masih menunduk memandang buku Yasin di tangannya. Hatinya bersimpang-siur sambil mendoakan mudah-mudahan Mohd Najib tidak mengapa-apakan dirinya.

“Abang nak pinjam duit Mira seratus dua. Abang dah kehabisan duit.”

Berkerut dahi Nurin Amira. Selama ini orang tuanya sendiri tidak pernah meminta wang daripadanya. Kecuali dia sendiri dengan ikhlas hati menghulurkan wang. Kini lelaki itu dengan beraninya meminta wang daripadanya. Tertanya-tanya juga dia ke mana perginya wang gajinya selama ini. Apakah masih tidak cukup lagi menampung dirinya seorang?

“Awak minta duit saya. Tak malukah awak?”

Nurin Amira terperasan perubahan air muka Mohd Najib itu. Tetapi, dia sengaja tidak mengendahkan.

“Abang sungguh-sungguh ni. Kalau Mira sendiri tak dapat tolong abang, siapa lagi yang boleh abang harapkan.”

“Ooo... jadi selama ini awak buat saya macam ni, awak ingat awak boleh sesuka hati nak minta duit daripada saya? Nak ambil kesempatan ke atas diri saya. Lelaki jenis apa awak ni? Minta duit dari perempuan!”

Panas menyerbu ke dalam dada Mohd Najib. Tidak pernah terlintas di hatinya untuk meminta wang daripada Nurin Amira ketika ini. Cuma dia betul-betul terdesak. Baru-baru ini dia dikenakan saman kerana memandu laju ketika pulang dari tempat kerja. Wang gajinya yang cuma cukup-cukup untuk makan dia seorang sudah habis dibelanjakan. Tinggal sedikit saaja lagi buat mengalas perutnya untuk masa seminggu dua ini.

Nurin Amira pun tidaklah berniat untuk tidak membantu orang yang tengah terdesak. Dia sendiri pun kesempitan wang. Di dalam dompetnya ketika itu cuma tinggal RM150 sahaja. Dia juga perlu membayar insurans kereta berserta road taxnya sekali pada bulan itu. Itu belum masuk duit bulanan kereta lagi. Apakah tidak terlintas di fikiran Mohd Najib akan hakikat itu? Dia sendiri pelik dengan sikap lelaki ini.

“Awak nak tolong ke tak ni?”

“Macam mana saya nak tolong awak. Saya pun tak ada duit. Awak ingat saya cap duit ka? Senang-senang awak nak mintak duit kat saya?”

“Bini jenis apa awak ni? Tak boleh diharap!”

“Hei! Awak saja yang beria-ia. Saya tak pernah pun menginginkan semua ini. Awak kejam. Awak musnahkan masa depan saya. Awak busukkan nama saya kononnya saya sukakan awak. Saya mahu dilepaskan.”

“Ah.... awak. Jangan mimpi di siang hari,” jawab Mohd Najib seperti memahami maksud Nurin Amira.

Tiba-tiba pintu yang tidak berkunci dikuak oleh seseorang. Tersembul wajah ibu mertua dengan dahi berkerut-kerut.

“Isteri jenis apa macam ni? Tolong suami sendiri tak mahu. Kalau sudah tidak sanggup membantu, buat apa gatal nak kahwin dengan Najib ni?”

Nurin Amira terkasima. Terkejut dituduh oleh ibu mertuanya begitu. Dia tidak sedar sejak bila mertuanya itu mencuri dengar perbualan mereka. Air mata yang bergenangan cuba ditahan agar tidak menitis di depan mereka.

Mohd Najib tersengih gembira kerana ibunya menyebelahinya. Mengucap panjang Nurin Amira ketika itu apabila dihamburkan kata-kata kesat oleh ibu mertuanya sendiri.

“Teruknya. Anak dengan mak sama saja. Sudahlah baru-baru ini rosakkan kereta, ini nak meminjam duit pulak.” Safiah menggeleng kepalanya geram dengan perangai Mohd Najib yang keanak-anakan itu.

“Mujurlah bapa mertua aku ada. Dialah yang meleraikan pergaduhan kami. Tapi, aku tak sangka pulak, Najib sanggup mencuri dari dalam dompet aku.”

“Kenapalah hang simpan duit dalam dompet tu?”

“Dalam dompet aku cuma ada RM150 saja. Pagi tadi masa nak bubuh minyak, barulah aku perasan. Duit aku tinggal RM10 saja. Semuanya satu ringgit. Terpaksalah aku ambil duit dari bank, barulah dapat membayar duit minyak kereta. Itupun mujur aku tengok duit dulu dalam dompet. Kalau tak, malu aku kat stesen minyak tadi.

“Sebenarnya, RM100 tu aku nak buat bayar duit baju. Aku dah tempah baju tu kat butik. Tapi, sekarang aku gagal dapatkan baju tu. Dah bukan rezeki aku nampaknya.”

“Kalau hang perlukan duit, aku sanggup pinjamkan. Aku tahu hang tersepit sekarang ni.”

“Mira malu, Ya. Hang dah banyak bersusah payah kerana Mira.”

“Mira.... janganlah cakap macam tu. Hang kan kawan baik aku. Hari ni hang susah. Mana tau lain kali aku pulak kesusahan.”

“Terima kasih, Yaya.”

Nurin Amira menggenggam erat tangan sahabatnya itu. Tiada lagi sahabat yang sebaik Safiah yang sanggup ketawa dan menangis bersamanya. Sekali lagi dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana menganugerahi sahabat yang memahami.

Walaupun hampir maghrib, dia tidak terus pulang ke rumah. Tetapi, menghalakan keretanya ke halaman masjid ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Beberapa orang jemaah sedang bersedia untuk sembahyang berjemaah. Ada juga di antara mereka menunaikan solat sunat dahulu. Setelah mengambil air sembahyang dia duduk di saf kedua. Kedengaran bacaan ayat suci al-Quran sedang berlagu merdu membuahkan ketenangan di hatinya.

Dia ingin menunaikan sembahyang maghrib, seterusnya berdoa semoga diberi hidayah agar terhindar daripada penderitaan di dunia. Moga diri terus dipelihara dalam kesejahteraan dunia dan akhirat.

************

MOHD NAJIB menarik nafas lega kerana dapat melunaskan saman yang dikenakan terhadapnya. Dia berterima kasih terhadap Nurin Amira kerana dengan duit isterinya itulah dia dapat membayar saman tersebut. Dia tidak peduli sama ada duit yang diambilnya itu dihalalkan atau tidak oleh isterinya. Dia sudah meminta dengan baik daripada Nurin Amira. Nurin Amira sahaja tidak mahu membantunya. Dia benar-benar terdesak. Separuh lagi dia meminjam daripada kawan. Dia berjanji dalam waktu terdekat akan membayar semula wang itu.

Sakit juga telinganya menerima bebelan ayahnya yang tidak gemar dengan caranya yang suka berkasar dengan Nurin Amira. Kalaulah dia mampu menyewa sebuah rumah, mahu sahaja dia membawa Nurin Amira keluar dari rumah orang tuanya itu. Dia ada impian untuk membina keluarga bahagia bersama Nurin Amira. Biarpun suatu hari nanti Nurin Amira yang akan bekerja. Manakala dia akan membantu mengurus rumah tangga. Baik dari segi mengemas, membasuh dan memasak. Biarpun tugas itu terlalu asing baginya, dia akan cuba melakukannya. Hanya itu yang mampu dilakukan. Janji dia dapat hidup dengan gadis idaman hatinya. Bersusah payah dia mendapatkan gadis itu. Tidak sekali-kali dia akan melepaskannya.

Dia tidak betah bekerja kerana cepat bosan dengan kerja yang dipohon. Jadi, tidak hairanlah selama ini dia kerap bertukar tempat kerja. Tambahan pula dia tidak mempunyai kelulusan tinggi. Berbanding dengan Nurin Amira seorang lulusan univerisiti. Mampu memiliki kerjaya yang baik. Mungkin juga suatu hari nanti dia boleh berniaga dengan Nurin Amira. Mana tahu rezekinya lebih murah dalam perniagaan.

Mohd Najib terus terbuai dengan angan-angannya. Terlalu jauh angan-angan yang diciptanya itu. Sebaris senyuman terlukis dibibirnya.

“Hang minta duit daripada Mira tu, hang nak buat apa?”

Terkejut Mohd Najib apabila disoal oleh ibunya.

“Tak ada apa, mak.”

“Tak ada apa, tak ada apa. Dengan mak jangan nak menipu. Pantang tok nenek moyang kita kamu menipu.”

“Errr! Najib guna duit Mira tu buat repair motor.” Mohd Najib terpaksa menipu ibunya. Dia tidak mahu ibunya tahu duit itu digunakan untuk membayar saman. Jika ibunya tahu, sudah pastilah nanti akan sampai ke pengetahuan ayahnya. Dia tidak mahu perkara itu terjadi.

Repairmotor? Apa kena dengan motor hang? Mak tengok tak ada apa pun yang rosak,” sela Mak Senah lagi.

“Tengok dengan mata kasar memanglah tak nampak, mak. Najib yang hari-hari berdepan dengan motor tu. Mana tahan, mak. Tunggu, tunggu, tunggu. Tunggu lagi lama, alamat jadi besi buruklah motor Najib tu.”

“Itulah hang. Tau kuda aja. Bukan nak jaga betui-betui.”

“Mak masak apa? Lapaq la. Perut ni dah bekeroncong nyanyi lagu dak dik dut,” kata Mohd Najib mengalih topik perbualan. Dia tersenyum kerana ibunya itu mempercayai kata-katanya.

Dia tidak peduli lagi leteran ibunya selepas itu. Yang pasti, dia dapat mengisi perutnya yang kosong. Dia ketawa senang dalam hati.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.