Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,850
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

BAB 17

SETIAP petang kalau tidak ada apa-apa yang hendak dilakukan, Puan Asiah lebih senang membantu suaminya di kebun. Kalau tidak menebas, dapat juga melihat tanaman serai, kacang bendi yang ditanam dan dapat juga memetik pucuk ubi. Kalau ada rezeki, dapatlah makan ubi kayu rebus cicah kelapa parut. Dia tahu makanan kegemaran suami.

Dahulu ketika Nurin Amira ada, anak itulah yang menolongnya memasak di dapur. Bergurau senda dengannya. Menghiburkan hatinya apabila dilanda masalah keluarga. Dia tidak tahu keadaan anaknya itu ketika ini. Dalam hatinya mendoakan yang baik-baik sahaja agar anak-anak yang dikasihi sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

“Dah lama Mira tak balik kan, bang,” luah Puan Asiah kepada suaminya.

“Buat apa diingat anak yang derhaka tu? Tak balik sini pun tak apa!” kata Encik Zainal, masih marahkan anak perempuannya itu.

“Dah takdir Tuhan, bang. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpa keluarga kita ni.”

“Ah! Itu alasan awak. Yang penting, hati. Guna akal, fikir dulu baik buruk perbuatan. Itulah silapnya Si Mira tu buat apa pun tak nak fikir dulu,” balas Encik Zainal, melepaskan perasaan geramnya.

Puan Asiah diam membisu, malas hendak menjawab. Malas hendak memanjangkan topik perbualan, bimbang lama-kelamaan api kemarahan suaminya menjadi-jadi, selesai menyemai benih rambutan, dia beredar menuju rumahnya yang terletak di bawah bukit.

Sebelum beredar pulang, Puan Asiah meminta kebenaran suaminya. Dibiarkan suaminya menyiapkan kerja menanam pokok pisang. Jika dibiarkan lama nanti, layu pula anak pisang itu.

Sampai sahaja di rumah, Puan Asiah memandang sayu kad jemputan kahwin teman baik Nurin Amira semenjak di kolej dahulu. Nurin Amira pernah membawa balik teman baiknya itu ke rumah. Dari situ dia mengenali Mariana. Gadis itu tidak lama lagi bakal melangsungkan perkahwinan.

Hancur luluh hati keibuannya kerana hasrat untuk melihat anak gadis kesayangannya bersanding di atas pelamin indah tidak kesampaian. Sudahlah tidak ada gambar kenangan mereka sekeluarga. Dia dapat merasakan betapa kecewanya anak gadisnya itu terpaksa menurut desakan mereka. Sedangkan dia dapat merasakan anaknya berkahwin tanpa kerelaannya.

Dia juga kecewa perhubungan Nurin Amira dengan Zakuan, lelaki pilihan anaknya putus di tengah jalan. Memang secocok Zakuan dengan anak gadisnya. Sama cantik sama padan. Namun, apa yang mampu dilakukannya? Tidak ada jodoh di antara mereka. Masih jelas di ingatannya saat Nurin Amira membawa anak muda itu pulang ke rumah.

“Kalau sudah berkenan dekat anak pak cik, cepat-cepatlah masuk meminang. Tak manis dipandang orang kalau asyik berdua saja ke hulu ke hilir,” luah Encik Zainal tanpa berselindung lagi. Zakuan hanya melebarkan senyuman.

“Insya-Allah. Kalau di pihak pak cik sudah setuju, insya-Allah, saya akan maklumkan hal ini kepada keluarga saya. Saya serahkan kepada keluarga untuk mengatur segala-galanya,” ujar Zakuan.

“Baguslah tu. Pak Cik bukan apa. Anak pak cik tu perempuan. Tak manis dipandang orang ke sana ke mari berdua. Mana memikirkan keselamatan dia lagi. Pak cik hanya mampu mendoakan keselamatan dia saja.”

Zakuan hanya mengangguk setuju. Perbualan mereka terhenti di situ apabila Nurin Amira datang menyampuk.

“Apa yang dibualkan tu? Rancaknya Mira tengok. Ni mesti bercerita pasal Mira ni,” kata Amira, meneka topik perbualan dua orang lelaki yang disayanginya itu.

“Mira!. Tak manis menyampuk orang bercakap,” tegur Puan Asiah dari belakang Nurin Amira. Muka Nurin Amira kemerah-merahan menahan malu.

“Abahnya tunggu apa lagi? Nasi sudah dihidang tu,” sambung Puan Asiah.

“Jangan malu-malu, Wan. Makan kenyang-kenyang,” pelawa Encik Zainal.

“Sedap masakan emak ni, Wan. Ulam pucuk ubi pun ada. Kalah masakan Mak Cik Leha jika nak dibandingkan dengan masakan emak. Betul tak, abah?”

Zakuan menjeling memandang Nurin Amira sambil mengukir senyuman.

“Siapa Mak Cik Leha tu, Mira?” tanya Puan Asiah.

“Tauke katering yang selalu Encik Idris jemput.”

“Oh! Ingat siapa. Kalau macam tu, tempah dengan mak ajelah.”

Serentak dengan itu, berderai ketawa mereka memecah kesunyian.

Lamunan Puan Asiah terganggu oleh bunyi deringan telefon di ruang tamu. Membiarkan kenangan itu berlalu bersama angin pagi.

“Hang rupanya, Zim. Mak ingat siapa tadi. Tak balik makan dekat rumah mak ka?” tanya Puan Asiah sebaik sahaja terdengar suara garau di hujung talian telefon.

“Tak, mak. Zim ada berita baik ni, mak. Zarina dah selamat melahirkan anak, mak. Baby girl,” jawab Nazim, anak sulung Puan Asiah dalam nada gembira.

“Eh, ya ka? Mak dah agak dah. Baby tak sabaq nak tengok dunia tu. Bila agaknya Ina boleh keluar hospital?” tanya Puan Asiah, kegirangan. Gembira mendapat berita menantu sulungnya selamat melahirkan anak.

“Kalau tak ada apa-apa, esok dah boleh keluaq hospital dah. Bila mak dan abah nak datang sini?”

“Insya-Allah, minggu depan ka mak dan abah ke sana. Kamu hati-hati jaga Ina tu,” pesan Puan Asiah kepada anak sulungnya itu.

Puan Asiah tidak perlu risau kerana anaknya itu sudah ada pembantu rumah. Namun, sedikit sebanyak dia bimbang juga kerana menantunya itu melahirkan anak sulung. Banyak perkara yang perlu dipelajari.

“Mertua kamu ada kat sana ka?”

“Mestilah ada. Baru sampai malam tadi.”

“Baguslah tu. Sekurang-kurangnya ada juga orang tengok-tengokkan bini kamu. Orang dalam pantang ni nak kena jaga betul.”

“Ya la mak. Zim faham. Zim minta diri dulu. Assalamualaikum.” Serentak dengan itu, talian terputus.

“Waalaikumusalam,” jawab Puan Asiah kemudian, sambil mengukir senyuman. Bermula dari detik itu dia sudah naik pangkat nenek. Bahagianya dia rasakan tidak dapat dilukis dengan kata-kata. Segera dia mendapatkan suaminya untuk menyatakan berita gembira itu. Tidak sabar rasanya hati hendak berkongsi kebahagiaan mendapat cucu pertama dengan suaminya. Hilang sebentar rindunya kepada anak perempuannya, Nurin Amira.

*************

“AH! Ada menantu pun tak guna. Memerap di bilik saja dari tadi. Pelik aku!”

Pedasnya sindiran Mak Senah. Terpaku sebentar Mohd Najib di muka pintu dapur. Dia ingatkan Nurin Amira yang sedang memasak.

“Mak! Tak baik cakap macam tu. Kak Mira penat agaknya. Iyelah dari awal Subuh keluaq pi kerja, dah dekat Maghrib baru balik. Apalah salahnya bagi dia peluang berehat sekejap. Setakat nak panaskan lauk ni, Nurul boleh buat mak.”

“Hang jangan nak mengajaq aku, Nurul. Apa yang mak cakap ni betui la. Di rumah kita begitu sekali perangainya susah nak lekat kat rumah, di rumah sendiri bagaimana la agaknya? Kalau dah dari keturunan tak baik tu, tak baik jugak.”

“Mak ni, sesedap rasa mengata orang. Anak-anak mak pun apa kurangnya.” “Eh... eh! Anak dara ni melebih-lebih pulak dia.”

“Orang ada perasaanlah, mak. Hati orang terguris, mak tak peduli. Tak baik tau, mak.”

“Ewah! Ewah! Sejak bila pulak hang dah pandai dari mak ni? Hah, Nurul?”

“Mak...! Susahlah cakap dengan mak. Mak ajelah yang panaskan lauk-lauk ni.”

Nurul ingin berlalu ke dalam bilik. Sedih hatinya apabila kakak iparnya diperlakukan sedemikian rupa oleh emaknya. Ketika balik dari sekolah tadi dia ada menjenguk bilik kakak iparnya itu. Tujuannya ingin bertanya khabar dan soalan-soalan matematik yang tidak difahaminya. Melihat sahaja kakak iparnya itu yang keletihan, dimatikan hasratnya. Tidak sampai hati pula hendak mengejutkan kakaknya itu.

Apabila memastikan abahnya tidak ada di dapur ketika itu, baharulah Mohd Najib masuk. Dia menegur emaknya yang sedang sibuk menyediakan makan malam. Diambil air dari dalam peti sejuk. Orang tua itu apabila melihat sahaja kelibatnya itu di dapur, segera ditegur perangai isterinya yang tidak disukai itu. Bebelan emaknya itu berjaya merasuk fikirannya yang tidak tenteram kebelakangan ini. Apa lagi ada-ada sahaja sindiran pedas daripada rakan-rakan kampungnya di kedai Pak Mahat tadi. Siapa boleh tahan andai kata diserbu soalan-soalan dan bebelan-bebelan yang entah apa-apa itu. Dan sekarang Nurin Amira pula buat perangai.

Terlintas di fikirannya tadi, isterinya itu tidak pernah pulang awal ke rumah, tiba-tiba sahaja hari ini dia pulang awal ke rumah. Mimpi apakah dia? Mahu ditanya? Serba salah. Baharu sahaja idea jahatnya hendak membuat kejutan, emak dan adiknya pula bertelingkah di dapur. Dia tidak jadi hendak menyergah emak dan adiknya di dapur. Perasaan lain pula yang menular ke sanubarinya. Dia melangkah laju menuju ke biliknya.

************

HARI Selasa itu, Nurin Amira balik awal daripada biasa. Dia rasa tidak sedap badan. Sejak semalam sakit di kepalanya masih tidak surut. Malah, lebih sakit daripada sebelumnya. Dia tidak tahu mengapa. Ubat yang dibekalkan oleh doktor yang merawatnya, dimakan mengikut peraturan yang ditetapkan. Dia ingin berehat malam itu. Keesokan hari baharulah dia membuat keputusan menemui doktor muda itu untuk mendapatkan kepastian sudah sejauh mana penyakitnya itu.

Seperti biasa, dia tidak dapat menahan perasaan sepanjang berada di rumah mentuanya. Ada sahaja kata-kata yang menyakitkan hati menghiris perasaannya. Sindiran pedas yang dilemparkan kepadanya menambahkan lagi rasa kurang enak berada di rumah itu. Dia tidak berniat pun untuk bersenang-lenang di dalam bilik. Andai dapat diucap penderitaan yang dialaminya ketika itu, alangkah baiknya. Namun, hanya hati yang berbicara. Sudah puas dia menangisi nasib diri.

Dan tatkala itu tidak semena-mena pintu biliknya ditolak keras. Terjenguk wajah Mohd Najib seperti harimau kelaparan mahu menerkam mangsanya.

“Oh... di sini pun awak. Emak bersusah payah di dapur memasak, awak goyang kaki di sini. Menantu jenis apa awak ni?” Lantangnya suara Mohd Najib ketika bertutur. Tidak ada insurans langsung.

Nurin Amira hanya mampu membungkam diri. Menenangkan diri buat seketika. Menunduk.

“Awak dengaq ke tak dengaq? Macam bercakap dengan dinding saja!” Mohd Najib menghamburkan kata-kata kasarnya sekali lagi. Jika tidak ada abahnya di rumah, dia berani berkata selantang itu terhadap isterinya.

Bercakap macam tidak ada perasaan. Beginikah sikap suamiku? Tidak ada tanda-tanda boleh menjadi suami mithali. Mungkin inilah masanya aku keluar dari rumah ini.

‘Hei! Awak ni pekak ke apa?” Mohd Najib sudah mengangkat tangannya.

“Awak nak lempang saya? Silakanlah. Itu ajelah senjata awak.” Nurin Amira sudah tidak mampu menahan rasa lagi.

“Hang jangan cuba nak cabaq aku. Isteri tak sedaq diri, tak guna.”

Mohd Najib mendekat. Nurin Amira berundur.

“Okey! Fine. Baru sekarang awak tau saya tak berguna. Kenapa tidak dari dulu lagi? Kenapa awak tipu saya jugak? Dan sekarang saya rela keluaq dari rumah ini.” Nurin Amira melangkah ke pintu almari untuk mendapatkan beg besarnya.

Mohd Najib berang. Tercabar dengan sikap Nurin Amira itu. Panas hatinya sudah naik ke muka. Sudahlah beberapa hari ini angin tidak baiknya sering datang menyerang, ditambah pula dengan sikap Nurin Amira yang keras kepala. Abahnya berleter tidak kira siang dan malam, dia pekakkan telinga. Emaknya pun tidak kurang juga marahnya. Semuanya gara-gara kerana dia berhenti kerja secara mengejut. Hendak buat macam mana lagi, khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi di kilang itu. Dia ingat boleh menumpang kesenangan isteri, rupa-rupanya tidak. Indah khabar dari rupa. Sikap Nurin Amira semakin menjadi-jadi.

Bagai halilintar membelah bumi. Pipi Nurin Amira berbekas lima jari kesan tamparan Mohd Najib. Melayang-layang tubuh Nurin Amira terjatuh ke lantai. Perit dirasakan. Terasa cecair panas meleleh keluar dari lubang hidungnya.

“Abang! Tergamak abang pukul Kak Mira. Apa salah Kak Mira?” Terjenguk Nurul dari muka pintu. Dari tadi dia mendengar pertengkaran kakak iparnya dengan abangnya gara-gara emak berleter yang bukan-bukan di dapur. Dia merasakan dia perlu masuk campur meleraikan pertelingkahan itu.

“Hei... perempuan! Dengaq sini. Hang tak ada hak nak campur urusan aku. Ini antara aku dengan dia ni. Dia isteri kurang ajaq. Patut diajaq macam ni. Biaq dia tahu rasa!”

Keras nada suara Mohd Najib memarahi adiknya itu. Nurin Amira menyumpah dalam hati kerana tidak mengunci pintu bilik.

“Abang tak nampak ka, Kak Mira tu tak sihat? Dah buta mata agaknya. Tengok pucat aje mukanya tu.” Nurul tidak peduli amaran keras abangnya itu.

“Menjawab! Menjawab!” Mohd Najib sudah mengangkat tangannya ingin menampar adiknya yang dengan berani berlalu mendapatkan Nurin Amira.

“Sudah! Sudah! Rumah ni tak pernah aman semenjak perempuan tu masuk ke dalam rumah ni. Kamu pun dah semakin lain perangainya,” bebel Mak Senah di muka pintu. Tidak senang duduknya apabila bunyi kecoh dari dalam bilik anak menantunya.

Mohd Najib berlalu keluar. Nurul menyapu bibir Nurin Amira yang berdarah. Kedua-dua ipar-duai itu tidak dapat menahan perasaan.

“Sampai hati Abang Najib buat akak macam ni. Eeii.. rasa macam nak cekik saja dia tu,” marah Nurul dalam sedu sedannya.

“Tak apalah, dik. Nak buat macam mana? Dah perangainya macam tu,” jawab Nurin Amira cuba mempamerkan senyuman. Dia bangun mendekati almari. Malam itu juga dia bercadang keluar dari rumah itu. Jiwanya semakin tidak tenteram berlama-lama di rumah mentuanya. Tekanan yang dihadapi buat fikirannya bercelaru.

“Akak nak pi mana?” tanya Nurul sebaik sahaja melihat kakak iparnya itu mengambil sebuah beg besar dari dalam almari.

“Malam ni akak nak tiduq di rumah kawan akak. Dekat dengan tempat kerja akak. Lagipun akak ada janji dengan orang awal pagi esok. Takut tak sempat pulak masuk office.” Nurin Amira memberi alasan. Dalam hatinya berdoa mudah-mudahan adik iparnya itu memahami keadaannya saat ini.

“Dah malam sangat dah. Akak boleh ke memandu malam-malam buta macam ni?” Nurul meluahkan kegusarannya.

“Akak okey dik. Jangan risau. Doakanlah keselamatan untuk akak ya!” jawab Nurin Amira.

“Nanti bila akak dah sampai di rumah kawan akak tu, hantaq SMS dekat Nurul, tau!” jawab Nurul sambil membantu Nurin Amira mengemas baju-bajunya. Terlintas di fikirannya saat itu andai dia sendiri berada di tempat kakak iparnya itu sudah tentu perkara yang sama akan dilakukannya. Dia sudah lama tidak sebulu dengan abangnya itu. Acap kali kawan-kawan rapatnya memberi komen tentang abangnya yang sering mengusik mereka ketika balik dari sekolah. Sakit hatinya menahan rasa marah.

Nurin Amira keluar beriringan dengan Nurul dari bilik. Di ruang tamu dia terserempak dengan emak mentuanya. Ingin disalam tangan emak mentuanya itu. Namun, sepantas kilat tangan tua itu disembunyikan. Dia bersyukur waktu itu ayah mentuanya tidak ada kerana ke surau. Kalau tidak pemergiannya nanti pasti akan dihalang.

Dia sedar kehadirannya di sini tidak diperlukan. Malah, dia sendiri tidak pernah mengimpikan begini kesudahan hidupnya. Walau apa pun dia sudah nekad dengan keputusannya untuk tidak kembali tinggal di sini lagi. Tiada tempat untuknya. Bagaimana reaksi Mohd Najib? Terlintas di benaknya akan tindakan lelaki itu nanti.

**************

MALAM itu Safiah menerima kehadiran Nurin Amira dengan senang hati. Begitu juga dengan orang tuanya tidak keberatan mengizinkan Nurin Amira bermalam di rumah mereka. Sudah lama mereka berkenan dengan sikap sopan santun dan baik budi bahasanya itu. Setelah mengetahui Nurin Amira menjadi mangsa fitnah, bertambah rasa sayang mereka terhadap Nurin Amira.

“Jangan malu-malu, Mira. Buatlah macam rumah sendiri,” ujar Puan Salmi.

“Terima kasih, mak cik. Maafkan Mira, mak cik seandainya kehadiran Mira ke sini sudah menyusahkan mak cik,” kata Nurin Amira.

“Tak ada susahnya, nak. Anggap ajalah mak cik ni macam mak Mira sendiri.”

Nurin Amira dipeluk oleh Puan Salmi. Susah senang gadis itu dapat dirasainya. Sinar mata yang jernih itu memberitahu segalanya.

“Rumah mak cik ada lima bilik aja. Mira pilihlah nak tidoq bilik mana. Hang temankan Mira ni. Mak nak ke bilik,” ujar Puan Salmi sambil mengukirkan senyuman.

“Rumah aku ada lima bilik. Satu bilik ibu dan ayah, satu bilik tamu, satu lagi bilik adik lelaki aku dan satu lagi bilik bacaan. Jadi, Mira tidoq dengan aku ajalah. Bilik aku luas jugak. Boleh la kita berborak panjang nanti.”

“Hei... cik adik! Tengok jam dah pukul berapa. Esok-esok ajalah. Kalau cuti esok tak apa jugak, kan?” kata Nurin Amira kemudiannya sambil merebahkan dirinya di atas tilam empuk.

Mata Safiah membuntang.

“Kat rumah Najib pukul 12.00, hang dah tidoq ka?”

“Mira dah baring dah. Kawasan sekeliling pun dah senyap sunyi. Tunggu apa lagi? Tidoq la!”

“Tak takut?”

“Takut apa?” Nurin Amira pura-pura tidak mengerti.

“Hai... kucing kepala hitam tu la. Lagi mau tanya,” Safiah menjeling geram.

“Alhamdulillah. Selama ni dia tak berani lagi nak dekat-dekat dengan Mira. Tapi, sesekali kecut jugak perut ni. Takut diapa-apakan,” luah Nurin Amira.

Nurin Amira mengerutkan dahinya seperti memikirkan sesuatu.

“Kenapa?” tanya Safiah.

“Mira buat macam tu kat Najib, tak berdosa ke?” tanya Nurin Amira seakan-akan kesal.

“Alah... Najib tu tak patut diberi muka. Dia memang patut terima balasannya.”

“Mudah-mudahan Mira di pihak yang benar.”

“Aku yakin 100 peratus. Hang jangan bimbang la. Eeiii... best la hang tidoq kat rumah aku lagi.”

“Ya... hang la teman Mira dunia dan akhirat,” ujar Nurin Amira sambil memeluk pinggang Safiah.

“Hei! Cover-cover la sikit! Lemas nih!” Safiah terjerit kegelian.

Nurin Amira ketawa dan ketawanya memecah keheningan malam. Suasana sekeliling rumah taman itu walaupun sunyi sepi, terang-benderang dengan lampu jalan yang menerangi seluruh pelosok taman perumahan itu. Ada yang sudah dibuai mimpi, ada yang masih menonton televisyen bersama keluarga, ada yang masih berborak dengan jiran sebelah di luar rumah dan ada juga yang masih bermain badminton. Yang pasti, suasana di rumah taman itu tidak pernah sunyi, siang dan malam.

Previous: Bab 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.