Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,423
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

BAB 16

NURIN AMIRA baharu sahaja tiba di pekarangan rumah keluarga mentuanya. Keheningan malam jelas terasa. Kebanyakan rumah di sekeliling rumah keluarga mentuanya sudah bergelap. Lumrah orang kampung. Ada yang suka tidur dalam gelap. Ada pula yang gemar tidur dalam suasana terang. Dia tersenyum memikirkan gelagat jiran yang pelbagai.

Nurin Amira menoleh jam di pergelangan tangannya. Jarum jam menunjukkan sudah pukul 10.30 malam. Dia seperti berat hati untuk melangkah keluar. Mahu sahaja memecut laju pulang ke rumah keluarganya. Dia menyandarkan kepalanya di kusyen kereta. Melelapkan matanya sebentar. Baru sahaja hendak melelapkan matanya, dia disapa oleh seseorang.

“Eh! Ayah. Tak tidur lagi?” tanya Nurin Amira sekadar berbasa-basi.

“Ayah dari surau. Ada kenduri tahlil. Baru balik?” balas ayah mentuanya pula. Dia sedar sejak menjadi menantunya, jarang benar gadis itu pulang awal ke rumah. Dia sendiri tidak mengerti situasi anak menantunya itu.

“Banyak kerja di pejabat tadi, ayah.” Jawapan yang sering diluahkan oleh Nurin Amira setiap kali ditanya.

“Masuk aje la ke dalam,” pelawa ayah mentuanya lagi.

“Yalah, ayah,” jawab Nurin Amira. Akur dengan kehendak ayah mentuanya itu.

Melangkah masuk ke dalam bilik yang dikongsinya dengan Mohd Najib, Nurin Amira berdoa panjang. Mudah-mudahan Mohd Najib sudah lama tidur.

Sambil memerhati sekeliling biliknya, nafas Nurin Amira bagaikan terhenti, Mohd Najib sedang memerhatikannya sambil tersenyum nakal.

Nurin Amira buat-buat tidak tahu. Dia tidak mahu melayan kerenah Mohd Najib yang memualkan tekaknya itu.

“Awak ni, suami ada kat bilik buat-buat tak nampak. Cubalah bersopan sikit. Dahla masuk bilik bagi salam pun tak.” Mohd Najib seperti mahu bertelingkah dengannya. Dia terasa tercabar.

“Saya tahu apa yang saya buat. Dan saya sedaq saya hanya menumpang. Dan awak juga harus sedaq awak tetap orang asing dalam hidup saya. Awak dah sakiti hati saya. Saya nak awak...” Belum habis Nurin Amira meluahkan rasa hatinya, Mohd Najib membalas.

“Awak nak apa? Nak lepaskan awak tidak sekali-kali. Ingat tu?” Mohd Najib memberi peringatan.

“Kita tak akan bahagia. Biarpun awak menikahi saya, awak takkan mampu memiliki jiwa raga saya,” jawab Nurin Amira sambil menahan sebak di dada.

“Saya peduli apa. Saya mahu kita bina hidup baru. Saya nak awak hormatkan saya sebagai suami. Awak tahu apa hukumnya melawan cakap suami. Tak tercium bau syurga. Awak tau. tak?”

Nurin Amira memejamkan matanya rapat-rapat. Bicara Mohd Najib tadi langsung tidak meninggalkan kesan di hatinya. Malah, dia meluat mendengar bicara Mohd Najib yang mempersoalkan tentang hukum agama. Meluat dengan tingkah Mohd Najib berlagak pandai dalam soal hukum agama.

Melihat Nurin Amira diam, Mohd Najib berasa kemenangan di pihaknya. Dia tersenyum.

“Kalaulah... kalaulah Mira berlatih cintakan abang, takkan ada masalah dalam perkahwinan kita ini. Keadaan boleh berubah. Lagipun Tuhan sudah menjodohkan Mira dengan abang. Sepatutnya Mira kena reda dengan perkahwinan kita ini.”

Mohd Najib hendak memujuk. Namun, Nurin Amira menempelaknya pula.

“Awak bijak berlakon. Memujuk rayu saya. Awak memang pelakon yang hebat. Tapi, Tuhan tahu kesedihan saya, kebahagiaan bagi awak. Dan saya pun tahu status saya ini. Sampai bila kita akan begini? Lambat-laun awak akan bosan hidup macam ini. Penuh kepura-puraan,” ujar Nurin Amira. Setitis dua air mata menitis jua di pipinya.

Mendengar leteran Nurin Amira itu, Mohd Najib mengangkat kaki keluar dari bilik. Dia ke dapur. Hajat hati mahu menjamu selera. Tetapi, mengenangkan sindiran pedas Nurin Amira sebentar tadi, hilang terus selera makannya. Dia cuma mengambil segelas air.

“Hang tak makan lagi, Jib? Tu bawah tudung saji, mak buat gulai lemak pucuk ubi dengan sambal udang campur petai. Harapkan bini hang masak, alamat kebuluqlah nampaknya. Balik kerja pulak jauh-jauh malam. Orang lain pun kerja jugak, tak daklah malam-malam baru balik,” leter Mak Senah.

“Dah makan, mak. Lagipun petang tadi saya dah pekena mi goreng di kedai Pak Deraman,” jawab Mohd Najib. Dia tidak menunggu lama di dapur. Malas mendengar leteran ibunya.

“Hang dah makan. Tak ajak bini hang sekali?” tanya Pak Mail pula yang berselisih dengan anaknya itu di tengah rumah.

“Dah. Mira dah makan agaknya,” jawab Mohd Najib. Dia ingin berlalu ke hadapan. Mengambil angin di beranda rumah.

Mohd Najib sudah mengagak ayah dan ibunya bakal mempersoalkan tentang rumah tangganya. Sebelum mendengar sesuatu yang kurang enak, lebih baik dia menyendiri di beranda rumah.

Lagipun, Mohd Najib sedar ayahnya, Pak Mail tidak bersetuju dengan pilihannya yang tidak sepadan dengannya. Jauh panggang dari api. Sesiapa pun tak menyangka seorang gadis lulusan universiti menjadi isterinya kini. Isteri kepada seorang anak muda kampung yang tidak mempunyai kelulusan apa-apa. Lulus SPM sekadar cukup makan sahaja. Bekerja kilang pun tidak tetap. Asyik bertukar tempat kerja.

Bagi Pak Mail, Nurin Amira anak sahabat baiknya itu seorang anak yang baik. Tidak sangka sama sekali sanggup berbuat sesuatu yang tidak baik dengan anaknya. Namun, masih ada rasa was-was di benaknya, apabila melihatkan keadaan Nurin Amira yang sering pulang lewat ke rumah. Jarang pulang awal. Mohd Najib pula sering dilihatnya tidur di ruang tamu dan bilik tidur anaknya yang ketiga.

Pak Mail pernah bertandang ke rumah sahabatnya, Encik Zainal. Waktu itu, Nurin Amira baru sahaja pulang dari tempat kerja. Jam 5.30 petang sudah boleh balik ke rumah, katanya dengan ramah. Dia sendiri tertarik dengan kesopanan gadis itu. Dia mengerutkan dahi. Hairan dengan rutin kerja Nurin Amira semenjak menjadi menantunya.

Melihat Pak Mail begitu, Mak Senah menegur. Mati terus lamunannya itu.

************

DALAM keheningan malam itu, Nurin Amira bangun dari tidur. Dia berwuduk dan solat sunat dua rakaat. Dia memohon kepada Allah agar diberikan hidayah dan dipermudahkan segala urusannya serta diampuni segala dosa yang dilakukannya.

Ketika hendak merebahkan diri di atas tilam, ternyata Nurin Amira masih sukar melelapkan mata. Kepalanya masih lagi berdenyut-denyut. Direnung sekilas Mohd Najib yang enak tidur di atas katil.

Puas mengalih mengiring ke kiri, kemudian ke kanan juga tidak dapat melelapkan mata. Perlahan-lahan dia mengurut kepalanya yang sakit. Tekaknya terasa loya tiba-tiba. Lantas segera dia keluar menuju ke bilik air.

Sebaik sahaja sampai ke dapur, Nurin Amira terjerit kecil. Dalam kegelapan itu menyukarkan dia untuk mengenal pasti apa yang dilanggarnya ketika itu. Tiba-tiba lampu menyala.

“Ha! Mira tak tidoq lagi?” tegur suara garau dari arah belakangnya.

Nurin Amira yang masih terkejut itu mengurut dada. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Ayah! Saya tak boleh tidoq. Mira nak ke bilik air sekejap.”

Berhadapan dengan ayah mentuanya membuatkan Nurin Amira terpaksa menahan tekaknya yang loya. Tidak dinafikan ayah mentuanya itu begitu mengambil berat akan dirinya. Terasa disayangi ayah sendiri.

Sampai di bilik air, segala isi di dalam perut dikeluarkan. Namun, sakit di kepalanya masih terasa.

Nurin Amira ingin membasahkan tekaknya dengan segelas air masak. Dibawanya segelas air masuk ke dalam bilik.

Sekembalinya ke dalam bilik, Nurin Amira menelan sebiji pil penahan sakit. Air mata menitis di pipi kerana menahan sakit di kepala yang tidak terperi. Sejenak memandang siling sambil meletakkan belakang tangan di atas dahi. Dia terlena.

************

MOHD NAJIB terpisat-pisat menenyeh matanya. Sekilas memandang jam di dinding. Sudah pukul 9.00 pagi, dia masih membungkus di dalam selimut. Sayup-sayup kedengaran suara memanggilnya di luar tidak diendahkan.

“Jib! Dah pukul berapa dah ni? Tak kerja ke hari ni?” soal Mak Senah bertalu-talu sambil menggeleng melihat telatah anaknya yang masih menarik selimut ke dada.

“Emm... ada apa, mak?”
“Apa nak jadi dekat hang ni? Matahari tegak di kepala, masih nak membuta lagi!” Mak Senah menarik selimut yang membungkus Mohd Najib.

Mohd Najib menenyeh-nenyeh matanya lagi. Dia melunjurkan kakinya ke lantai.

“Saya dah berhenti kerja, mak.”

“Berhenti kerja lagi. Hei... hang ni tak tau rasa malu ke dekat bini hang tu? Hang tu lelaki. Dengarlah kata-kata mak ni, Jib. Malu mak ni dengaq umpat keji orang kampung.”

“Pedulikan cakap-cakap orang, mak. Dia orang apa tahu, Jib yang teruk-teruk kerja,” ujar Mohd Najib sedikit berang apabila tidurnya terganggu.

Mohd Najib bingkas bangun sebelum leteran Mak Nab berlanjutan. Sakit hati terhadap Nurin Amira masih bersisa. Ditambah pula leteran Mak Nab menambahkan lagi rasa sakit hatinya.

***********

SELEPAS waktu pejabat pada hari itu, terdetik hati Nurin Amira mahu melihat rumah yang baharu dibelinya. Diajak Safiah sekali untuk menemaninya. Bagai tidak sabar hatinya untuk menduduki rumah itu setelah disahkan menjadi hak miliknya. Sudah lama dia menginginkan rumah sendiri. Semenjak habis belajar dahulu dia memasang tekad membeli rumah dengan hasil titik peluhnya sendiri.

“Cantik jugak rumah hang ni. Pandai hang pilih, ya,” puji Safiah sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah.

“Sebenaqnya, kalau nak diikutkan, rumah ni dengan rumah yang lain tak jauh bezanya. Cuma, rumah ni di bahagian tepi sekali. Nampak luas sikit. Mira ingat nak tambah satu bilik lagi. Bilik kat belakang tu Mira nak buat stor.”

Dalam hati Safiah terdetik perasaan bangga kerana sahabat baiknya sudah mampu memiliki rumah sendiri. Biarpun masih muda, sudah pandai berdikari. Dia sangat beruntung dipertemukan dengan Nurin Amira, seorang gadis yang sering bersederhana dalam kehidupannya. Tidak kiralah bersederhana dalam pergaulan, perbelanjaan, penampilan mahupun dalam pekerjaan. Lagipun itu yang dituntut oleh syariat Islam. Tidak semena-mena Safiah tersenyum sendiri.

“Eh! Apasal ni senyum sendiri-sendiri? Teringat cik abang ka?” usik Nurin Amira.

“Tak dak la. Aku teringin nak makan masakan hang. Bila la agaknya dapat makan masakan hang kat rumah ni,” kata Safiah, cuba berselindung. Tidak sudi dia memuji sahabat baiknya itu kerana dia tahu Nurin Amira bukanlah seorang yang suka dipuji. Satu sikap yang amat menyenangkan kebanyakan orang yang mengenalinya.

“Sabaq la. Tak lama lagi dapat kunci rumah ni, aku akan berpindah duduk rumah ni. Lagipun dah sesak nafas aku berlama-lama duduk di rumah lelaki tu. Apa kata kita gi makan? Perut aku dah lapar dah ni,” kata Nurin Amira, memberi cadangan.

“Macam tau-tau aje hang ni.”

“Ya ka? Patut la tetiba aja nak merasa masakan aku. Itulah bila time gi rumah dia, orang nak masak tak dikasi. Kan kempunan.”

“Hang kan tetamu. Sebagai tetamu, kan tak manis kalau tetiba aja disuruh masak. Aku tak nak susahkan sahabat baik aku.”

“Ala... macam tak biasa dengan aku. Aku tak kisah la. Aku lagi suka memasak. Masa kat rumah aku dulu selalu jugak aku tolong mak aku masak. Masakan mak best, tau. Tak mampu aku tandingi kehebatan dia.”

“Mira. Dah lama hang tak balik rumah. Tak rindu dengan orang tua hang ka?” tanya Safiah. Peluang bertanya perihal keluarga Nurin Amira tidak dilepaskannya.

“Siapa kata aku tak rindu? Dalam hatiku ini Tuhan saja yang tahu. Tunggulah waktu itu akan tiba. Eh... hang nak makan apa? Aku belanja.”

“Apa-apa ajalah. Aku bedal aja apa yang hang makan.”

“Oooo... gitu. Kalau aku terjun longkang, hang pun nak terjun longkang?”

Safiah tergelak. Nurin Amira memang pandai mengambil hatinya. Ada-ada sahaja bahan kelakar yang dibualnya. Dia tahu sesekali Nurin Amira bergurau dengannya, sekurang-kurangnya penderitaan yang dilalui Nurin Amira terubat jua.

Petang itu, Nurin Amira dan Safian menikmati laksa asam Kedah yang menyelerakan di restoran kampung kegemaran mereka berdua. Safiah tidak lupa mempelawa Nurin Amira bermalam di rumahnya. Dia tahu sahabatnya itu tidak harus tinggal sebumbung dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu. Baginya Nurin Amira berhak memiliki kebahagiaan hidupnya sendiri. Namun, dia tidak tahu dengan cara yang bagaimana hendak membantu sahabatnya menangani masalah yang dihadapi.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.