Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,757
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1
“AKU terima nikahnya, Nurin Amira binti Zainal dengan mas kahwinnya, RM80 tunai.”

Sejurus selepas itu, maka sahlah Nurin Amira dan Mohd Najib menjadi pasangan suami isteri. Dengan dihadiri saudara-mara terdekat dan beberapa orang saksi dari pihak Nurin Amira, maka lengkaplah impian Mohd Najib. Mohd Najib tersenyum sinis setelah selamat diijabkabulkan oleh Imam Masjid Darul Falah dengan wanita idaman hatinya.

Kebanggaan jelas terserlah di wajahnya kerana berjaya memiliki Nurin Amira biarpun Nurin Amira tidak pernah menaruh perasaan terhadapnya. Dia percaya dengan cara itulah boleh melembutkan hati Nurin Amira.

‘Sekeras-keras hati perempuan tak ubah seperti kerak nasi. Bila dicurah air, lembutlah ia’. Fikir Mohd Najib dalam hati.

Segala usaha kerasnya selama ini untuk mendekati Nurin Amira tidak pernah berhasil. Surat-surat yang dihantar melalui Nurin Anisha tidak pernah berbalas. Kiriman salam juga melalui Nurin Anisha pun tidak pernah bersambut. Setiap hari dia disindir oleh teman-teman, kononnya dia tidak cocok bergandingan dengan Nurin Amira.

Mohd Najib bukan tidak sedar sekolahnya tidak tinggi. Dia bukanlah pemuda tampan yang menjadi kegilaan gadis. Dia seorang pemuda kampung yang sederhana. Dia sedar, dia tidaklah sehebat mana. Namun, oleh kerana begitu obses untuk mendekati gadis yang punya kecantikan tersendiri itu, dia ketepikan perasaan rendah dirinya.

Tambahan pula gadis manis itu jadi rebutan ramai jejaka di kampung itu yang cuba dengan cara apa sekali pun untuk mendekatinya. Sebagai seorang lelaki yang tidak gentar pada cabaran, dia tidak rela gadis itu jatuh ke dalam pelukan lelaki lain. Malah dia begitu ikhlas untuk menjalinkan hubungan dengan Nurin Amira. Apa-apa pun yang terjadi, dia rela berubah sikap andainya suatu hari impian untuk hidup di samping Nurin Amira menjadi kenyataan. Gadis itu sukar didekati. Apa kurangnya dia. Rupanya ada. Keluarganya juga berketurunan baik-baik. Namun, dia hampa. Nurin Amira tidak pernah memberi respons positif kepadanya. Jiwanya tertekan. Cintanya tidak dihargai.

**************

BERSENDIRIAN di kamar bujang Mohd Najib yang lebih senang membahasakan dirinya sebagai Najib, Nurin Amira terasa seperti terlontar ke sebuah daerah yang terlalu asing. Sudah kering air matanya menangisi nasib diri. Kalaulah dapat diputar masa yang lalu dia tidak ingin berada di situ. Ingin sekali dia menjerit melontarkan kekecewaan kepada Mohd Najib kerana helah lelaki itulah dia berada di sini. Tergamak memperlakukan dia sedemikian rupa.

Tidakkah dia terfikir cinta tidak perlu dipaksa? Kenapa buat aku macam ni? Apa dosa aku? Apa salah aku kepada kau! Kau kejam, Najib! Kejam! Sampai hati buat aku macam ni. Sampai hati kau musnahkan masa depan aku.

Jiwa Nurin Amira menjerit pilu. Tidak terbendung rasa sedihnya kerana ditipu oleh anak muda kampungnya sendiri. Selama ini dia tidak pernah terfikir Mohd Najib sanggup bertindak sejauh itu. Selama ini juga dia tidak pernah terfikir bahawa Umirah sudah lama berhijrah ke Kuala Lumpur. Tulus benar hatinya kerana mempercayai cakap seorang anak kecil, kononnya Umirah hendak bertemu dengannya di sebuah rumah buruk di tepi dusun milik bapa Umirah.

Melihat dua buah beg pakaian besar yang memuatkan segala pakaiannya itu, hati Nurin Amira menjadi bertambah sebak. Entah kali keberapa air matanya tumpah dibiarkannya. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Terlintas di fikirannya untuk lari dari kampung halamannya itu. Tetapi, dia mahu ke mana? Tidak mungkin menyusahkan saudara-mara. Tambahan pula jika dia membuat keputusan itu, lambat-laun orang tuanya ketahuan juga. Lebih-lebih lagi keluarga mentuanya itu pasti mencemuhnya lagi.

Dia tidak tahu sampai bila dia harus menghadapi suasana sebegitu. Sesekali terlintas di fikiran untuk mengakhiri segala-galanya. Namun, dia kembali berpijak di bumi nyata. Mengambil jalan mudah itu tidak mungkin menamatkan segala masalah yang melanda. Walaupun air mata membanjiri kamar itu, tidak mungkin dia dapat mengubah takdir yang menimpa.

Pasrah dia kepada Allah. Kembali kepada qada dan qadar Tuhan, sesungguhnya ada hikmah di sebalik kejadian dia diuji dengan begitu hebatnya dugaan di atas muka bumi ini. Dia percaya doa orang teraniaya akan sentiasa dilindungi-Nya.

Dia melangkah longlai menuju ke jendela, melihat kegelapan malam. Melihat bulan bagai tersenyum mengejek ke arahnya. Terdengar cengkerik berlagu riang, bersahut-sahutan dengan katak memanggil hujan. Namun, semua itu tidak mampu mendamaikan hati yang dilanda kesedihan. Andai dia seekor burung, sudah lama dia terbang bebas di angkasa. Bebas dari sangkar yang merantai jiwa ini.

Akhirnya, Nurin Amira mengambil keputusan untuk pergi bercuti. Peluang bercuti dipergunakan sebaik-baik mungkin. Dia belum cukup bersedia menghadapi Mohd Najib sekeluarga. Dia belum kuat menghadapi segala perubahan yang berlaku secara mendadak dalam hidupnya itu.

‘Ya Tuhan! Hebatnya dugaan-Mu ini. Apakah aku mampu melaluinya? Hanya pada-Mu aku berserah.’

Bersendirian di pulau yang indah dan aman damai ini mendekatkan Nurin Amira kepada Allah. Setiap kali sahaja selesai solat maghrib, dia akan terus membaca al-Quran. Ketenangan lebih dirasai selesai membaca al-Quran.

Selesai solat isyak pula, dia duduk di atas katil sambil berzikir dan bertahmid kepada Allah. Masanya dihabiskan dengan mendekatkan diri kepada Allah. Kemudian selesai berzikir, dia merenung diri. Dahulu dia punya segala-galanya. Mempunyai kasih sayang dari keluarga yang tidak berbelah bahagi. Dihargai ibu dan ayah dengan setiap perhatian yang bukan sedikit. Dihormati dan disayangi adik-beradik serta saudara-mara yang lain. Kini dalam masa yang singkat sahaja segala-galanya berubah. Entah kali keberapa dia melepaskan keluhan berat. Sudah kering air matanya menangisi nasib diri.

Seminggu Nurin Amira bercuti di pulau legenda, Langkawi. Namun, ternyata pulau itu tetap tidak dapat memberi ketenangan kepadanya. Dia menangis lagi mengenang nasib diri.

“Ya Allah. Besar sungguh cubaan-Mu ini. Ke mana lagi harus kumengadu? Hanya Kau jua yang mengerti, yang memahami akan perasaanku. Biar apa pun tanggapan orang terhadapku, Kau bukakanlah pintu hati orang tuaku untuk menerimaku seperti dulu. Terangilah hatinya supaya dia sedar anaknya ini tidak bersalah. Sungguh, Ya Tuhanku. Aku rindu belaian kasih emak, juga perhatian ayah yang selama ini begitu menyayangiku. Dulu akulah anak kebanggaan keluarga. Tetapi, kini tidak lagi. Ya Allah. Kasihanilah hamba-Mu ini. Andai ini suratan hidupku, aku terima dengan reda. Ya Allah. Engkau ampunkanlah dosa-dosaku selama ini. Amin.”

Berkali-kali doa dipanjatkan kepada Ilahi setiap kali selesai mengerjakan solat lima waktu. Hanya dengan cara itu sahajalah yang dapat menenangkan gejolak perasaannya.

***********

BERHARI-HARI Nurin Amira memikirkan nasib diri. Rasa bersalah pada sang kekasih tidak tertanggung rasanya. Pelbagai perasaan bercampur baur di benaknya. Tambahan pula apabila memikirkan si dia akan menjauhkan diri daripadanya. Mungkin juga terdera jiwa dan perasaan apabila mendapat tahu dia sudah berumah tangga. Musnah segala impian untuk hidup bersama.

Siapalah dia yang dapat menghalang semua ini terjadi. Tuhan sahaja yang tahu, bisik hati kecil Nurin Amira.

Suasana saujana mata memandang laut luas di hadapan mata tidak mampu meredakan perasaan kecewa yang bersarang di lubuk hatinya. Kicauan burung juga seakan-akan mengejek dirinya. Nurin Amira mengeluh lagi. Menungannya tidak mengira waktu. Kalau boleh, dia ingin berlama di sini mencari ketenangan. Namun, apakan daya tugas di pejabat yang menimbun menggamitnya untuk pulang. Untung sahaja cuti kecemasan yang dipohon diluluskan oleh majikan tanpa banyak bicara.

Nurin Amira memandang jauh. Sakit hatinya kian bernanah. Hidup di samping lelaki yang menjerat dirinya. Hancur musnah impian untuk hidup dengan lelaki yang dicintai. Sesekali dia tertanya-tanya apa salah silapnya hingga Tuhan menduganya dengan musibah ini!

Tiada siapa yang peduli cerita yang ingin disampaikan. Mohd Najib benar-benar licik. Berlakon baik, berlakon sopan. Rupa-rupanya ada agenda untuk mengenakan dirinya.

Nurin Amira melepaskan keluhan panjang. Dia percaya sesiapa pun yang berada di tempatnya pasti kecewa berpanjangan. Tiada siapa pun mahu melewati perkahwinan yang tidak dirancang. Tidak ada pelamin indah, hantaran kahwin, koleksi gambar pengantin buat kenangan, majlis nikah yang penuh adat, dan sahabat handai yang datang bertandang.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumusalam,” jawab Nurin Amira sambil berpaling memandang empunya diri yang memberi salam.

“Boleh akak duduk di sini?” ujarnya, meminta izin.

Selepas Nurin Amira mengangguk, gadis dalam lingkungan usia 30-an itu memperkenalkan dirinya. Anak jati Perlis. Bekerja sebagai peniaga sejak dua tahun lalu. Nurin Amira senang sekali berkenalan dengan Sarah yang kematian suami beberapa bulan lalu. Selepas itu, mereka berbual kosong pula.

“Akak orang susah, dik. Kerja makan gaji berapa sangat gajinya. Kena sara mak ayah yang dah uzuq. Anak lagi. Adik-adik pulak masing-masing dah bersekolah. Kadang-kadang kepala akak naik bingung jadinya,” kata Sarah, sedih dengan kehidupan yang dilaluinya.

“Berapa anak akak?” tanya Nurin Amira.

“Sorang. Adik yang kedua tu ada jugak membantu serba sikit. Lagipun, dia tengah kumpul duit nak sambung belajaq.”

Nurin Amira berasa simpati. Hendak menolong, dia sendiri tidak tahu dengan cara yang bagaimana. Sudahlah kematian suami kini kena menyara keluarga pula. Sungguh tabah perempuan ini menghadapi cabaran hidup. Kenapa tidak aku juga jadi sepertinya.

“Akak bukannya nak meraih simpati adik. Akak tahu hang seorang anak yang baik. Boleh menjadi pendengaq yang baik.”

“Akak janganlah terlampau memuji saya. Saya biasa-biasa saja. Sekurang-kurangnya akak rasa lega dapat berkongsi masalah dengan saya. Akak bersabaqlah, ya,” ujar Nurin Amira sambil menepuk-nepuk mesra bahu wanita yang baharu dikenalinya itu. Lupa sejenak kesedihan yang melanda dirinya.

Sebelum beredar ke hotel penginapan, Sarah menjemput Nurin Amira datang bertandang ke rumahnya yang tidak jauh dari hotel tempat Nurin Amira menginap. Ada sesuatu pada wanita itu yang baharu dipelajarinya.

**************

“MAK. Tolong maafkan Mira, mak. Dalam hal ini, Mira tak salah. Percayalah, mak. Mira difitnah. Mira masih suci. Ikhlas Mira katakan, Najib bukan pilihan Mira, mak!” jerit Nurin Amira melutut di kaki ibunya demi mempertahankan kebenaran. Satu lagi penampar hinggap di pipinya. Dia terduduk lemah, sedang ibunya, Puan Asiah menangis tersedu-sedu menahan malu. Sungguh dia terkasima melihat seluruh ahli keluarganya tidak mempercayai kata-katanya lagi.

Entah kali keberapa Nurin Amira ditampar oleh ayah dan abangnya. Sakitnya tidak terperi.

Pilu rasa hati. Sekelip mata suasana menjadi hingar-bingar. Rumahnya di penuhi jiran-jiran. Begitu cepat berita tersebar. Ibunya sekejap sedar, sekejap pengsan. Puas sudah disepak terajang oleh abang yang bagaikan dirasuk syaitan, Nurin Amira sedar sikap abangnya berubah mungkin terlalu kecewa dengan peristiwa yang tidak disangka-sangka itu.

Terhimbau lagi peristiwa pahit yang menimpanya. Sampai bila-bila pun tidak mungkin terpadam dari kotak ingatan. Dia pasti itu.

Nurin Amira mengesat air mata yang entah kali keberapa membasahi pipinya. Pada pagi yang dingin itu setelah puas menikmati pemandangan pulau legenda, dia segera bertolak pulang ke pejabatnya, Berkat Perwira Enterprise, syarikat konsultan yang memberi khidmat nasihat kepada orang perseorangan mahupun berkumpulan untuk melibatkan diri dalam perniagaan dan membekalkan peralatan canggih kepada para usahawan yang ingin memulakan bidang keusahawanan.

Andai ada kesempatan lagi pada lain waktu, dia ingin kembali menghirup udara segar di pulau legenda tersebut. Hatinya bagai sudah serasi mengagumi keindahan alam ciptaan Tuhan itu tanpa dicemari arus kemodenan.

Dalam kekalutan fikiran itu, sempat dia menelefon adiknya meninggalkan pesan, mengatakan dia berada dalam keadaan selamat.

**************

NURIN ANISHA menangis lagi. Sedih melihat kakak kesayangannya dipukul oleh ayahnya. Tidak cukup dengan itu, disepak terajang oleh abang sulungnya pula. Dia terkilan dengan sikap ayahnya yang tidak mahu mendengar sebarang alasan. Kemarahannya pada Mohd Najib tidak bertepi. Angkara Mohd Najib, dia terpisah dari kakaknya. Selama ini kakaknya itulah yang sering membantunya dalam pelajaran. Sanggup bersengkang mata menemaninya mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.

Dipandangnya hasil kerja tangan kakak yang menghiasi ruang kamar. Halus karya seni hasil kerja tangan kakaknya. Cantik dipandang. Menarik sekali. Kakaknya memang kreatif dalam menghasilkan kerja seni itu. Pelbagai corak alas meja yang dibuat oleh kakaknya menghiasi ruang di dalam rumahnya. Itu sahajalah sebahagian kenangan yang ditinggalkan oleh kakak untuk tatapan semua orang di dalam rumah itu.

Seperti juga kakaknya, dia tidak menyangka akan berlaku peristiwa yang memalukan dalam hidupnya itu. Masih jelas di ruang ingatannya peristiwa yang tidak diingini itu. Seperti biasa, cuti hari Sabtu dia dengan Nurin Amira akan ke pekan membeli barang keperluan dapur, sementara ibu di rumah akan membantu ayahnya di kebun. Cuma silapnya pada hari itu dia meminta kakaknya itu berhenti sekejap di kedai Wak Deraman ketika dalam perjalanan pulang dari pekan. Dia hendak melihat kalau-kalau suratnya ada di situ. Posmen selalu tersilap. Emak saudaranya memberitahunya ada suratnya di kedai itu. Untuk pergi ke kedai Wak Deraman, Nurin Amira perlu membelok ke sebelah kiri jalan. Manakala untuk ke rumahnya pula, dia perlu membelok ke sebelah kanan di simpang tiga tidak jauh dari simpang tiga Kampung Selasih Tengah. Terpinga-pinga dia apabila mendapati kereta kakaknya tiada di situ. Dia pulang ke rumah dengan hati yang sebal kerana ditinggalkan sendirian.

“Mana kakak? Kenapa tak balik sekali?” Bertalu-talu pertanyaan ibunya. Dia hanya mendiamkan diri. Hati masih sakit kerana ditinggalkan.

“Bukan kakak dah balik?” soalnya kembali. Ibunya mengerutkan dahi.

“Eh! Apa kena dengan hang pa ni? Pi sekali, balik asing-asing. Sudahnya pukul berapa nak siap masak hari ni?” leter Puan Asiah lagi dalam pekat loghat Kedahnya.

“Tak apalah, mak. Kita tungu aja. Susah-susah sangat, masak mi segera ajalah. mak. Dah lama tak merasa mi segera,” jawab Nurin Anisha sambil tersenyum.

“Banyak songeh anak dara ni. Tengah hari buta macam ni disuruhnya masak mi segera pulak. Habis, nasi yang mak masak tu nak buat apa?”

“Ala mak, bolehlah. Nasi tu nanti Nisha buat nasi goring,” kata Nurin Anisha, terus memujuk ibunya.

“Kot ya pun nak makan mi segera, Nishalah masak. Takkanlah ayah nak menjamu selera tengah hari dengan mi segera pulak. Nak ke dia?” jawab Puan Asiah pula sambil menggeleng-geleng.

“Okeylah, mak,” jawab Nurin Aisha sambil berlalu ke dapur.

“Banyak sangat songehnya.” Sayup-sayup kedengaran leteran emaknya.

Nurin Anisha tidak sanggup menunggu kakaknya lagi. Mahu tidak mahu terpaksalah dia menjamu selera tengah hari itu dengan mi segera.

Ke manalah kakak ni? Mati-mati aku ingat dia dah balik. Untung saja aku adik yang baik. Sempat mendoakan keselamatan kakaknya. Kalau orang lain, entah apalah sumpah-seranah dilemparkan apabila dibiarkan pulang bersendirian dari kedai. Jauh tu. Jalan kaki lagi balik ke rumah. Bertuah emak dan abah mempunyai anak sebaik aku. Ha! Ha! Ha!

“Nisha! Nisha! Nisha! Ke mana pulak Nisha ni? Tingkap tak ditutup, nasi tak dipanaskan lagi. Apa nak jadi dengan budak ni?” Puan Asiah memanggil anak gadisnya sebaik pulang dari rumah Pak Mail. Sungguhpun masih terkejut dengan situasi yang baharu dihadapi, dia cuba berlagak setabah mungkin. Dia perlukan kekuatan untuk meredakan kemarahan suaminya.

“Ya, mak. Nisha kat bilik.”

Terburu-buru Nurin Anisha keluar dari kamar kakaknya. Dia perasan perubahan air muka abahnya yang tidak setenang selalu. Setenang air di kali, dia boleh membaca bila air berkocak lalu berubah riak. Begitu juga wajah ibu. Keruh. Seolah-olah ada masalah besar yang baru ditangani.

‘Aku mesti mencari tahu punca sebenar masalah yang menimpa kakak. Aku yakin kakak tak salah. Najib yang salah. Kurang asam punya jantan. Eee… sampai bila-bila pun aku tak sudi anggap dia abang ipaq aku. Tak sesuai langsung dengan kakak.’ Tekad Nurin Anisha dalam hati. Dia juga terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada imam kampung sebaik sampai di rumah tadi. Terkejut kerana kakak ada di rumah imam tersebut. Nama Mohd Najib juga turut terbabit. Waktu itu dia mengesyaki sesuatu perkara buruk berlaku. Dan kini, perkara buruk itu benar-benar berlaku.

Marahnya tidak bertepi lagi terhadap lelaki yang telah merampas kebahagiaan kakak kesayangannya.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.