Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,435
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

BAB 24

SENYUMAN manis terukir di bibir Nurain. Perasaan girang yang mewarnai hatinya saat ini, membuatkan dia lupa seketika pada kertas kerja yang dibawa pulang hari Jumaat lalu. Pada mulanya dia ingin menyelesaikan sendiri beberapa kertas cadangan daripada pekerja-pekerjanya berkenaan penambahan produk baharu di syarikatnya. Dia perlu meneliti pelbagai aspek sebelum membuat keputusan.

Semuanya bagaikan terbantut dek kerana bertemu dengan Zakuan hampir senja tadi. Lelaki itu entah mimpi apa berkunjung ke salon uminya. Dia seolah-olah mengetahui Nurain berada di situ ketika itu. Nurain tidak dapat membayangkan wajah terkejutnya ketika itu. Terkejut kerana menerima kunjungan Zakuan yang entah bila segak berdiri di hadapannya.

“Assalamualaikum.”

Rasa macam kenal suara itu.

“Waalaikumusalam.” Nurain menjawab setelah mengenal pasti milik suara yang memberi salam itu. Rasa terkejut masih menguasai diri. Lama mereka bertatapan mesra.

“Err...”

“Apa khabar?” tanya Zakuan.

“Er...bb... baik. Wan dari mana ni?”

“Dari mana? Dari rumahlah.”

“Emm... buat apa kat sini?”

Perbualan mereka terhenti apabila Puan Aina datang menghampiri mereka.

“Eh, Ain! Dah siap? Umi nak tutup awal sikit ni. Kita balik awal kemudian singgah di Billion beli barang dapur sikit.” Puan Aina menoleh apabila menyedari kata-katanya tadi tiada sahutan daripada Nurain.

“Patutlah umi rasa macam bercakap dengan patung tadi. Ada tamu rupanya. Siapa ni? Tak nak kenalkan dekat umi ke?” kata Puan Aina.

“Oh ya, umi. Tak perasan pula umi kat belakang Ain tadi. Ingat umi masih kat office,” jawab Nurain malu-malu.

Kening Puan Aina sedikit terangkat apabila pertanyaannya tadi tidak dijawab.

“Umi... Ain kenalkan, ini Zakuan. Kawan sekolah Ain masa bersekolah di Sungai Petani dulu. Umi ingat lagi tak?” jawab Nurain, mengerti bahasa isyarat uminya itu.

“Rasa macam pernah jumpa. Tapi, umi tak pasti bila. Maafkan untie. Maklumlah dah meningkat usia ni, banyak perkara ingat-ingat lupa,” jawab Puan Aina sambil tertawa kecil.

“Biasalah, untie. Eh, untie dah nak tutup kedai ke? Awalnya!”

“Hari minggu sekejap aje. Itu pun kalau ada temu janji dengan pelanggan. Kalau ada pelanggan nak buat facial ke, kenalah untie buka sekejap.”

Zakuan mengangguk faham. Dia mengerling Nurain yang sibuk mencatatkan sesuatu ke dalam sebuah buku.

“Zakuan dari mana sebenarnya ni? Kalau tak keberatan, singgahlah rumah untie,” sapa Puan Aina, ramah.

“Kebetulan dari Taiping dalam perjalanan nak balik Sungai Petani. Dah dua hari saya bermalam di rumah ayah. Biasanya pada cuti sekolah, saya berkunjung ke sana.”

“Orang Taipinglah ni!”

Entah mengapa Zakuan merasakan ada kemesraan di antara dia dengan ibu Nurain. Seolah-olah mereka sudah lama saling mengenali.

“Begitulah nampaknya.”

Menyedari anak mata Zakuan ralit memerhatikanya, Nurain mengangkat wajahnya. Dia menghadiahkan sebaris senyuman buat anak muda itu.

“Maaf, ya... Wan. Ain sibuk sikit.”

I’ts okay,” jawab Zakuan.

Melihat Puan Aina sibuk mengangkat barang-barang yang bersusun di luar, Zakuan menawarkan diri untuk membantu. Tambahan pula timbul rasa kurang enak di sanubarinya apabila menyaksikan dua beranak tersebut sibuk berkemas untuk menutup kedai. Berkali-kali Puan Aina menolak. Namun, dia tidak menghiraukan arahan itu. Sudahnya, Puan Aina memberi kebenaran kepada Zakuan untuk menghantar Nurain pulang.

Hari itu buat pertama kalinya setelah lebih lima tahun tidak bersua, mereka berdua menikmati hidangan tengah hari di sebuah restoran yang tidak kurang glamor di daerah Bukit Mertajam. Nurain berasa bagaikan bermimpi dapat berdua-duaan dengan Zakuan ketika itu. Ingin rasanya dia memeluk lelaki itu bagi melepaskan rindu yang bersarang di hatinya sejak sekian lama. Mengenangkan mereka berdua bukan saudara muhrim, disabarkan hatinya. Direnung wajah tampan itu sepuas hati.

Nurain dan Zakuan terus berbual mesra menghimbau saat indah bersama sebelum terpisah. Nurain dapat merasakan Zakuan juga mempunyai perasaan yang sama dengannya. Namun, dia tidak pasti sejauh mana perasaan itu.

Sendirian di dalam bilik memberi peluang kepadanya mengingati kembali detik-detik indah sebelum berangkat ke London. Sayu hatinya mengenang perpisahan itu.

Mereka bertemu untuk kali keberapa. Bibit-bibit kemesraan yang baharu berputik semakin segar. Biarpun ramai rakan-rakan mengusik sama ada persahabatan yang terjalin itu sekadar cinta monyet atau apa, Nurain tidak kisah. Dia lebih mengerti akan perasaannya sendiri.

Saat mula bertemu, mata lebih banyak memainkan peranan. Sementara Nurain tersenyum, Zakuan tersengih manja sebelum masing-masing mengambil keputusan untuk berbual kosong. Sesekali mereka memandang pengunjung yang tidak putus-putus keluar masuk restoran Burger King itu. Itulah kali pertama mereka keluar bersama di tempat terbuka seperti itu.

Setelah lama berbual kosong, Nurain membuka cerita familynya akan berangkat ke Kuala Lumpur. Sementara pelajarannya pula sudah pun diatur oleh orang tuanya. Mungkin juga dia akan menyambung pelajaran di luar negara.

“Abah Nurain bertukar ke sana. Mungkin lima atau enam tahun Nurain di rantau orang,” ujar Nurain, sedih.

“Lamanya! Tapi, kenapa cepat benar nak bertolak?” Zakuan seperti terkejut.

“Apa nak buat. Tugas orang tua. Kita terpaksa akur. Lagipun, hubungan kita tak putus di sini saja. Kita masih boleh terus berhubung. “ Nurain memujuk Zakuan.

Seketika kemudian waiter membawa makanan dan air yang dipesan.

“Berjanjilah, Ain. Kau takkan lupakan aku di sini.”

“Ain tak suka berjanji. Takut nanti janji dimungkiri. Insya-Allah. Selagi nafas Ain berdenyut, takkan ada lelaki lain di hati ini. Ain dapat merasakan sesuatu yang teristimewa dalam hubungan kita ini. Cuma masa yang akan memisahkan kita. Bukan hati kita,” ujar Nurain, penuh yakin.

“Wan pun tak lama di sekolah tu. Wan dah dapat tawaran masuk MRSM Taiping. Ibu Wan setuju Wan terima tawaran tu.”

“Oraitlah tu! Tercapai juga hasrat Wan nak masuk asrama. Good luck for you,” ucap Nurain sambil tersenyum. Matanya menatap gelagat Zakuan yang leka mengunyah burger.

Zakuan mendongak.

“Tapi, keadaan takkan sama seperti hari ini tanpa Ain di sisi. Entah macam manalah nanti, kalau Ain tak ada?” kata Zakuan menunduk pula sambil menghabiskan baki burger.

“Wan! Wan! Tak sangka nakal juga Wan ni. Kecil-kecil cili padi. Tapi, ingat kita masih muda. Banyak lagi yang perlu kita pelajari sebelum melangkah ke alam kedewasaan.”

Sebagai anak sulung, kematangan terserlah daripada percakapan Nurain. Zakuan mengagumi segala apa yang diucapkan oleh gadis itu.

“Ingatlah, Ain. Perpisahan kita bakal menguji sejauh mana persahabatan kita dapat bertahan. Seandainya diketemukan lagi, saat itu sudah jauh berubah. Wan mungkin hadir dalam hidupmu bukan sebagai sahabat lagi. Tapi..., ah malulah nak cakap. Masih terlalu awal lagi.”

Nurain tergelak manja.

“Benar ke cakap Wan tu?”

“Yalah! Kalau tak percaya, nak buat macam mana. Bukan senang nak cari lelaki setia macam Wan ni, tau.”

Nurain ketawa lagi. Zakuan juga turut ketawa. Geli hati pula sejauh itu mereka boleh membicarakan tentang masa depan yang tidak pasti. Tidak semena-mena Nurain tersenyum sendiri.

“Ain! Ain!”

Ketukan bertalu-talu di pintu berselang-seli suara umi memanggilnya menyedarkan Nurain daripada lamunannya yang panjang. Langkahnya diatur menuju ke pintu.

“Tak tidur lagi sayang?”

“Belum, umi. Tak mengantuk lagi.” Ketika itu barulah dia teringat fail yang dibawa balik dari pejabat siang tadi belum lagi dibukanya.

“Ila telefon tadi nak cakap dengan Ain katanya,” kata Puan Aina.

Nurain mengerutkan dahinya. Mindanya diserbu tanda tanya. Selama ini anak saudara abahnya itu jarang menelefonnya melalui telefon rumah. Gadis kecil molek itu gemar menelefonnya melalui telefon bimbitnya sahaja. Tetapi, malam itu, gadis tersebut mengubah tabiatnya pula. Lama Nurain termenung mengingati sikap pelik temannya itu.

“Apa yang dimenungkan tu? Cepatlah sikit. Orang tengah tunggu tu.” Lontaran kata-kata Puan Aina mengejutkan Nurain.

“Yalah, umi,” jawab Nurain sebelum membuntuti Puan Aina.

************

MIMPI apa pulak Ila malam-malam gini call aku. Selalunya kau SMS aje. Tiba-tiba pulak call aku pakai telefon rumah.” Nurain terus melontarkan pertanyaan sebaik sahaja mendengar suara Ila di hujung talian.

“Kau jangan tak tau. Berpuluh kali aku dial handset kau. Jawapan yang aku dapat, nombor yang anda dial tidak dapat dihubungi. Sila cuba sebentar lagi.”

“Ye ke? Aku tak perasan pulak. Bateri kong agaknya,” jawab Nurain sambil tertawa kecil, sedar akan kecuaian dirinya.

“Emm.... ada apa call aku ni?”

“Aku minta maaf kalau apa yang bakal aku cakap ni buat kau marah.”

“Kau belum cakap lagi dah takut aku marah. Apa benda yang buat kau risau sangat tu?” soal Nurain lagi.

“Siang tadi lain macam aje aku tengok kau dengan Zahim. Kau orang berdua bergaduh, eh?”

“Dari mana kau tahu?” Nurain melontarkan pertanyaan tanpa menjawab persoalan yang bermain di benak Ila semenjak siang tadi.

“Aku nampak dari jauh.”

“Apa yang kau nampak?”

“Aku nampak Zahim naik angin. Kenapa, eh?”

Terdengar di pendengaran Ila, Nurain mendengus seperti menyesali sesuatu.

“Ain...”

“Aku tak sangka Zahim sanggup merosakkan hubungan persahabatan yang terjalin. Dia mengecewakan aku, Ila.”

Nurain tidak berniat mahu merahsiakan persengketaan di antara dia dengan Zahim siang tadi. Ila patut tahu apa yang berlaku.

“Maksud kau?”

“Aku tak boleh terima bila Zahim menganggap aku ni lebih daripada seorang kawan. Kami kenal pun semenjak di sekolah menengah lagi. Kita kan selalu belajar sama-sama, buat study group lagi. Kadang-kadang tu kita keluar ramai-ramai pergi shopping ke, picnicke, entah apa-apa majlis lagi. Takkan kau tak ingat semua kenangan tu?” ujar Nurain menghimbau kembali detik perkenalannya dengan Zahim. Kedengaran Ila melepaskan keluhan berat.

“Kau betul-betul tak ada sedikit pun perasaan sayang kau dekat Zahim?” soal Ila. Jauh di sudut hatinya mengharapkan Nurain dengan Zahim bersatu menjadi pasangan yang paling serasi. Jika tidak, dia tidak tahu apa yang harus diberitahu kepada Zahim mengenai keputusan Nurain. Terlalu tinggi harapan anak muda itu.

“Sayang sebagai seorang sahabat, Ila. Zahim kena terima hakikat itu.”

“Tapi... Ain. Zahim ikhlas mencintai kau.”

“Sudah la, Ila. Untuk pengetahuan kau, cinta tidak perlu dipaksa dan tak perlu dicari. Ia akan datang sendiri. Bila... itu aku tak pasti. Lambat atau cepat, itu semua ketentuan Tuhan. Kadang-kadang cinta itu datang tanpa kita sedari. ” Nurain mengulas panjang apa yang dia tahu mengenai cinta. Ila kedengaran mengeluh lagi.

“Kau kenapa, Ila? Aku rasa macam ada sesuatu yang aku tak tahu.”

“Ah... jangan nak merepek, Ain. Perasaan kau aje tu.”

“Tapi..., Ila. Aku perasan kau dah lama tau perasaan Zahim terhadap aku. Apasal selama ni kau tak sedarkan aku?”

Ila menelan liur. Dia langsung tidak menyangka Nurain mengesyaki sesuatu yang dia sembunyikan.

“Er... kau jangan salah faham. Aku sayangkan kalian berdua. Lima tahun kau kat overseadah banyak perkara aku belajar tentang Zahim. Lima tahun dia tunggu kau. Walaupun dia tidak berterus terang, aku tahu dia mencintai kau.”

Saat itu, Ila berharap sangat Nurain akan berpuas hati dengan penjelasannya. Dia tidak dapat membayangkan reaksi Nurain seandainya gadis itu tahu selama ini dia berusaha menyatukan mereka. Itu pun atas permintaan Zahim sendiri. Sebagai seorang sahabat, dia tidak sampai hati untuk mengecewakan permintaan seseorang.

Lama Nurain mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi.

“Sekali lagi aku nak mintak maaf. Aku tak ada niat nak...”

It’s okay. Don’t worry. Aku tak marah pun. Cuma aku harap akan datang kita tak bincang hal ni lagi. Apa yang penting sekarang, aku yakin Zahim akan dapat perempuan yang lebih baik,” tegas Nurain menamatkan perbualannya dengan Ila.

************

SELEPAS itu, Nurain termenung panjang memikirkan setiap patah kata yang dibicarakan dengan teman baiknya, Ila. Sesekali bayangan Zahim hadir dengan wajah menaruh simpati mengusik khayalan. Namun, Zakuan lebih mendapat tempat di ruang hatinya. Perwatakan kedua-dua anak muda itu jauh berbeza. Dia meneliti satu persatu setiap keistimewaan dan kelemahan yang ada pada kedua-dua anak muda itu.

Dia yakin benar akan kata hatinya. Zahim dianggapnya tidak lebih daripada seorang sahabat. Ya! Dia pasti benar akan hal itu.

Ketukan di pintu mematikan lamunan Nurain yang panjang.

“Masuklah, umi. Pintu tak berkunci.”

Seketika kemudian, terjenguk Puan Aina yang kelihatan cantik walaupun dengan pakaian tidur.

“Ain buat apa? Nak umi bantu?”

“Ain nak periksa kertas cadangan staf kita. Banyak yang perlu diteliti dulu sebelum memberi persetujuan. Abah pun dah bersetuju hendak menambah beberapa produk memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.”

“Nak umi bantu? Mana tahu Ain perlu pendapat umi pulak nanti.”

“Tak apa, umi. Nanti kalau Ain perlu tahu pendapat umi, Ain tanya umi esok.”

“Kalau macam tu, umi masuk tidur dulu. Jangan tidur lewat sangat ye, sayang.”

“Baiklah, umi. Selamat malam.”

“Er....” Puan Aina kembali menoleh. Tidak jadi meneruskan langkahnya.

“Ada apa, umi?”

Puan Aina melabuhkan punggungnya di sisi Nurain. Dia mengusap lembut rambut anak gadisnya yang ikal melepasi bahu itu. Buat seketika hati Nurain terbuai bahagia.

“Ain... Umi rasa macam mimpi. Dah 25 tahun dah umur anak umi ni. Umi tak dapat bayangkan kehidupan umi nanti bila Ain dah kahwin. Selama ini kita kan macam kawan. Banyak perkara kita kongsi bersama.” Luah Puan Aina. Dia tersenyum penuh makna.

“Tak semestinya bila Ain dah kahwin kita tak boleh berkongsi cerita lagi. Melampaulah tu... sampaikan nak bermanja dengan ibu sendiri tak boleh. Siaplah kalau suami Ain tu nanti buat hal.”

So... bunyi macam Ain dah bersedia aje. Ain dengan Wan macam mana? Umi berkenan tengok penampilan dia. Kelihatannya dia seorang lelaki yang berwibawa, penyayang, matang dan bertanggungjawab.”

Glup! Ah sudah! Umi buka cerita apa pulak ni? Apa aku nak jawab?

Nurain menggigit bibir. Tidak tahu hendak mula dari mana.

“Ain dengan Wan ada apa-apa ke?”

Nurain bingkas bangun dari pembaringannya. Dia berlalu menuju ke meja soleknya.

“Ain tak ada apa-apalah dengan dia umi. Kami sekadar kawan aje. Tak lebih daripada tu. Kenapa umi tanya?” Nurain merasakan itulah jawapan yang terbaik buat masa ini. Kedengaran Puan Aina melepaskan keluhan.

“Umi nak sangat tengok Ain bahagia dengan seseorang yang umi percaya. Siapa pun dia janji dia dapat membahagiakan anak perempuan umi satu-satunya ni,” jawab Puan Aina sambil memeluk bahu anak gadisnya.

“Masanya akan tiba, umi. Insya-Allah, Allah akan kabulkan doa umi tu.”

Ada cahaya kasih terbentuk dalam anak mata hitam milik wanita kesayangannya itu.

“Sayang umi.” Nurain memeluk mesra wanita kesayangannya itu.

Tidak lama kemudian, Puan Aina memohon diri beredar ke kamarnya. Dia yakin benar anak gadisnya itu sedang dilamun cinta saat ini. Dia percaya pada kata hatinya. Namun, dia mengalah. Mungkin ada kebenaran di sebalik kata-kata Nurain sebentar tadi. Mungkin juga Nurain belum cukup bersedia meluahkan perasaannya itu.

Selepas Umi berlalu dari kamarnya, Nurain menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia dapat menyembunyikan rasa aneh yang bermukim jauh di sudut hatinya buat anak muda itu daripada pengetahuan orang tuanya. Dia belum cukup bersedia berterus terang tentang perasaannya kala itu.

Mujurlah umi tidak perasan apa-apa perubahan dekat aku tadi. Kalau tak, malu jugak. Tak pasal-pasal umi menyoal yang bukan-bukan pulak nanti. Eh! Aku belum solat lagi. Baik aku solat dulu, baru meneliti kertas-kertas cadangan itu.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.