Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,462
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

BAB 11

DALAM beberapa hari ini, Nurin Amira berulang-alik dari tempat kerja dengan menumpang kereta Safiah. Sudah beberapa hari dia bermalam di rumah Safiah. Keluarga Safiah sudah lama mengenalinya dan menerima kehadirannya. Dia terhutang budi dengan kebaikan yang diberikan. Itulah satu-satunya keluarga angkat yang amat memahaminya di kala dia melalui detik sukar dalam hidup.

Dia terfikir-fikir juga seandainya dia pulang ke rumah Mohd Najib sekalipun, dengan apa pula dia hendak pergi kerja. Takkan pula hendak menaiki bas. Sedangkan di tempat tinggalnya itu susah untuk mendapatkan bas. Untuk menunggu sebuah bas perlu lebih kurang 45 minit hingga sejam lamanya. Itu pun jika bernasib baik. Kadang-kadang dia mendengus marah atas kecuaian Mohd Najib. Sudahnya kereta kesayangan tersadai di bengkel. Bayaran untuk membaiki keretanya dia yang bayarkan.

“Mira dah siap?” tegur Safiah yang sedang memerhati ke arahnya. Suasana di dalam pejabat sudah lama sepi. Tinggal beberapa orang sahaja lagi menyiapkan kerja masing-masing sebelum pulang ke rumah.

“Hari ni... Mira ingat... nak balik naik bas ajalah. Mira...”

Belum pun sempat Nurin Amira menghabiskan kata-katanya, Safiah menyampuk.

“Yaya hantaq la. Tak jauh mana pun. Nak tunggu bas berjam-jam, eeiii... tak kuasa, Yaya.”

“Tapi...”

“Tak dak tapi-tapinya. Macam tak kenai Yaya ni jenis yang macam mana.”

“Kalau macam tu, tunggu kejap.”

Safiah menunggu temannya, Nurin Amira di dalam kereta. Di dalam kereta, dia terpandang Lily Zuhaily sedang berbual dengan Zakuan di tempat parkir kereta. Matanya membuntang. Kelihatan Zakuan kaget dengan kehadiran perempuan itu. Drama yang menjengkelkan itu membuat Safiah rimas menunggu kehadiran Nurin Amira.

Adui! Apalah yang dibuat Mira ni. Lamanya? Ha, itu pun dia. Melenggang kangkung pulak minah ni.

Sebaik sahaja Nurin Amira duduk di sebelahnya, Safiah tidak menunggu lama membawa keretanya keluar dari tempat parkir kereta itu. Sengaja dia lalu di hadapan Lily Zuhaily dan Zakuan. Tiba di situ, dia membunyikan siren kereta sehingga membingitkan telinga. Nurin Amira memandang dengan hairan.

“Apa kena dengan hang ni, Yaya?” tegur Nurin Amira, kurang senang.

“Hang tak nampak ka tadi? Meluat aku tengok Lily tu. Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.”

“Biaq pi la dia. Janji dia bahagia,” jawab Nurin Amira, langsung tidak ambil kisah. Dia rasa tidak ada kepentingan apa-apa untuk mengambil tahu perihal Zakuan lagi. Hidupnya yang dilalui kini sudah memeningkan, ini pula mengambil tahu perihal orang lain.

Safiah mengerutkan dahi. Hairan dengan sikap Nurin Amira itu. Dahulu hubungan Zakuan dengan Nurin Amira begitu mesra. Sehingga ke tahap untuk mendirikan rumah tangga pun. Kini semudah itu dapat melupakan hubungan separuh jalan. Secepat itukah dia mengaku kalah? Mira! Mira!

“Mira nak ke bengkel. Dah boleh ambil kereta,” kata Nurin Amira.

Safiah menurut sahaja tanpa banyak bicara. Mulutnya ringan bertanya tentang keadaan orang tua Nurin Amira. Entah mengapa topik yang ditimbulkan Safiah itu membuat Nurin Amira sebak. Sudah lama Nurin Amira tidak bertemu kedua-dua orang tuanya. Rindunya yang tidak terbendung, Tuhan sahaja yang tahu.

Lebih kurang 45 minit memandu, mereka tiba di bengkel yang dimaksudkan oleh Nurin Amira. Kelihatan Ah Lai sedang menanti kehadirannya. Safiah hanya menunggu di dalam kereta. Nurin Amira menghampiri Ah Lai. Kelihatannya mereka sedang berbincang sesuatu. Selepas itu Safiah nampak Nurin Amira menghulurkan beberapa keping wang kertas RM50.

Kasihan Mira. Angkara Najib, dia pulak yang kena bayar kerosakan kereta. Melampau betui Najib tu.

“Yaya! Malam ni aku tidoq rumah mertua. Yaya balik dululah, ya,” sapa Nurin Amira setelah selesai semuanya.

“Tapi, Mira... tak apa ka?”

“Tak apa. Don’t worry. Macam nilah. Apa-apa hal nanti, Mira contactYaya.”

Safiah tidak sampai hati melepaskan Nurin Amira pulang sendirian.

“Yaya ikut Mira sampai ke rumah, boleh?”

Nurin Amira tidak mampu menghalang lagi. Putih kata Safiah, putihlah jawapannya.

Nurin Amira ingin berlalu menuju ke keretanya. Namun, telinga bagai mendengar namanya dipanggil. Dia tidak pasti siapa yang memanggilnya. Safiah turut mencari kelibat suara perempuan tersebut. Dari kejauhan, kelihatan seorang perempuan lewat 30-an tercungap-cungap berlari ke arah Nurin Amira.

“Kak Limah! Dari mana ni? Ya Allah. Ingat siapalah tadi,” tegur Nurin Amira. Lantas segera dipeluknya wanita yang dianggapnya bagai keluarga sendiri itu. Dipandangnya wajah Halimah yang masih tercungap-cungap kepenatan akibat berlari tadi.

“Akak dari kedai. Nampak Mira kat sini. Teghuih akak berlari ke sini. Bukan apa. Dah lama tak nampak Mira,” kata Halimah sambil mengelap peluh dengan selendang di bahunya.

“Ooo... gitu. Kereta Mira rosak, kak. Tapi, mujur jugak sikit aja,” ujar Nurin Amira sambil tersenyum.

“Kamu semakin kurus, Mira. Dulu berisi jugak.”

“Saya gemuk pun orang risau jugak. Kurus pun risau jugak. Habis macam mana? Baik maintain aja. Janji sihat,” jawab Nurin Amira, cuba berseloroh. Namun, wajahnya yang ceria itu masih tidak mampu menyembunyikan lara di hatinya selama ini.

“Kamu tok sah nak berahsia dengan akak la, Mira. Dari air muka kamu tu akak tau kamu sedang menderita. Betui, kan?”

Nurin Amira menunduk cuba menahan tangis.

“Dah nasib Mira, kak. Nak buat macam mana? Ini bahagian Mira yang perlu Mira lalui.”

“Tapi..., akak tahu kamu tak bersalah. Kamu boleh tuntut keadilan demi maruah kamu, keluarga kamu, masa depan kamu jugak,” tutur Halimah bersimpati dengan nasib gadis itu.

“Insya-Allah. Bila dah sampai masanya nanti. La ni Mira masih boleh bertahan.”

“Pagi tadi akak ke rumah kamu. Keadaan emak kamu macam kamu jugak.”

“Mak macam mana, kak? Emak sihat?” tanya Nurin Amira tidak sabar.

“Alhamdulillah, sihat. Ayah kamu pun sihat. Akak nak beritahu, kenduri kahwin 29 hari bulan ni. Kamu datanglah, ya kat Taman Selasih nanti.”

“Shamsul? Ooo... Shamsul dah nak kahwin dah dia. Dah habis belajaq agaknya,” ujar Nurin Amira. Akhirnya rakan sepermainannya bakal menamatkan zaman bujang.

“Datanglah ya, Mira.”

“Insya-Allah, kak. Apa-apa hal pun, kirim salam kat Sham, ye kak.”

“Insya-Allah. Eh, lama berbual kat sini. Jom la ke rumah akak dulu.”

“Emm... Mira baru balik kerja ni. Lagipun, Mira bawak kawan. Lain kalilah, ya,” ujar Nurin Amira dengan sopan. Sebelum bersalaman, mereka sekali lagi berpelukan mesra.

Nurin Amira memperkenalkan Safiah kepada Halimah yang sedari tadi memandang ke arahnya. Kepada Halimah sempat Nurin Amira berpesan semoga selalu datang menjenguk orang tuanya. Dia rindu. Namun, tidak tahu bila akan kembali ke rumah orang tuanya.

“Mira.” Nurin Amira berpaling untuk ke akhir kali. “Bawa-bawalah bersabaq ya. Kuatkan iman.” Begitu pesanan terakhir Halimah, jiran kampung yang amat disenanginya kerana budi bahasanya yang tinggi itu. Nurin Amira sekadar mengukirkan senyuman sebelum berlalu ke kereta.

Safiah melewati jalan bertar yang sederhana kecil untuk menuju ke rumah mertua Nurin Amira. Ketika mula-mula masuk ke jalan kecil itu untuk menjemput Nurin Amira, hatinya digeletek debaran juga. Bimbang sesuatu perkara yang tidak dingini berlaku kepadanya. Namun, melihat kawasan sekitar yang aman permai, dia tersenyum lega. Rumah-rumah batu separuh papan di sekitarnya diperhati sekali lalu. Tiba-tiba dia terperasan seorang dua wanita separuh umur memandang kurang senang ke arahnya dan Nurin Amira. Entah apa yang dibisikkan oleh mereka, Safiah tidak mengerti.

Nurin Amira memberhentikan keretanya di halaman. Pak Mail yang menyedari kepulangannya, menjemput dia dan Safiah naik ke rumah.

“Ayah apa khabar?” tanya Nurin Amira, sopan.

“Ayah sihat, nak,” jawab Pak Mail.

“Ayah. Kenalkan ini kawan Mira, Safiah namanya. Selama beberapa hari ini rumah dialah Mira menumpang tidoq,” kata Nurin Amira pula merungkaikan persoalan di benak Pak Mail sepanjang ketiadaan dia.

“Macam dah tak boleh balik ke rumah ni. Tak fikir agaknya cakap-cakap orang kampung ni?” sampuk Mak Senah tiba-tiba.

Nurul yang datang dari arah dapur, menerpa kakak iparnya. Dipeluknya kakak iparnya itu.

“Senah. Kita ada tamu ni. Hormat sikit.”

Mak Senah akur pada arahan Pak Mail. Tambahan pula anak mata Pak Mail tajam menikam tertuju ke arahnya. Faham benar dia. Dalam banyak perkara sebagai pemimpin keluarga, Pak Mail cukup tegas menjalankan kewajipannya.

Nurin Amira dan Safiah menyambut huluran tangan Mak Senah. Nurin Amira terkilan apabila bersentuhan sahaja tangannya dengan tangan Mak Senah, pantas wanita itu menarik tangan yang dihulurkan. Walaupun terkilan, ditenangkan hatinya sebaik mungkin.

“Yaya duduk dululah, ya. Aku masuk ke dalam sekejap,” ujar Nurin Amira sambil mengukir senyuman ke arah Safiah. Manakala Nurul meminta diri ke dapur untuk menyediakan minuman.

***********

“EMMM... ke mana awak? Baru sekarang nak balik ke rumah?”

Nurin Amira terperanjat sebaik sahaja ditegur oleh Mohd Najib yang sedang duduk berlunjur di atas katil. Dia mengurut dadanya.

Mohd Najib mengerling wajah Nurin Amira yang masih terkejut dengan kehadirannya. Hatinya menjadi sakit kerana telah beberapa hari Nurin Amira tidak pulang ke rumah. Sudah banyak kali dia bersabar. Kalau berlembut gagal menguasai diri Nurin Amira, dia sanggup berkeras demi melunaskan tuntutan hatinya.

“Saya tanya awak ke mana? Kenapa diam?” Ulang Mohd Najib, perlahan. Namun, jelas pada pendengaran Nurin Amira.

“Saya ada ka, tak ada ka, awak peduli apa? Kereta saya tersadai di bengkel, ada awak ambik peduli?” Ada kalanya Nurin Amira hilang sabar juga dengan kerenah Mohd Najib. Terserlah juga api amarah di sebalik kelembutannya.

“Kurang ajar awak, ya!” Sepantas itu juga tangan kasar Mohd Najib mendarat di pipi Nurin Amira yang halus mulus. Jeritan kecil gadis itu memeranjatkan seisi rumah.

“Siapa yang kurang ajar? Ini rupanya perangai awak? Berkasar dengan perempuan. Puaslah hati awak sekarang!”

Nurin Amira tidak gentar walaupun berkali-kali di tampar. Dia tidak perlu tunduk kepada Mohd Najib lelaki yang egois itu.

Sekali lagi Mohd Najib tidak dapat menahan api amarahnya. Ingin ditampar lagi pipi Nurin Amira. Namun, kehadiran Pak Mail di situ menyelamatkan keadaan.

“Apa ni, Najib? Tak sudah-sudah nak berkasaq dengan perempuan! Hang berambus dari rumah ni!” tengking Pak Mail. Tanpa berfikir panjang, Mohd Najib berlalu.

“Mira tak apa-apa, kan?” tanya Pak Mail.

“Mira okey, ayah.”

Nurin Amira duduk di birai katil sambil meraba-raba pipinya yang terasa sakit. Safiah datang menghampirinya. Dia mengurut bahu Nurin Amira dengan lembut. Sejenak sepi menguasai suasana.

“Tidoq rumah aku ajalah malam ni. Risau pulak aku tengok keadaan kau orang,” kata Safiah, ikhlas mempelawa.

‘Sampai bila aku perlu tidur rumah Yaya?” jawab Nurin Amira.

“Sampai bila-bila la.”

“Aku tak sanggup jadi buah mulut orang kampung. Bila perlu, aku balik. Bila tak nak, buat rumah ni macam hotel. Aku tak nak dipandang serong dek orang kampung,” ujar Nurin Amira, pilu dengan nasib yang menimpanya.

“Biasalah. Masyarakat hanya tau menghukum. Dia orang tak tau apa yang berlaku. Mulut orang bukan boleh ditutup. Tapi, lambat-laun, senyaplah tu,” pujuk Safiah.

“Tak apalah. Mira tidoq rumah ni. Tawakal ajalah,” kata Nurin Amira lagi.

“Habis tu, kalau diapa-apakan oleh Najib, macam mana?” Safiah masih risau akan keselamatan Nurin Amira. Lebih-lebih lagi apabila mengingatkan Nurin Amira masih suci walaupun sudah hampir dua bulan diijabkabulkan dengan Mohd Najib. Bukan kerana dia menyokong tindakan Nurin Amira itu. Cuma, dia merasakan Nurin Amira berhak mempertahankan kesuciannya kerana dia dipaksa berkahwin dengan Mohd Najib. Bukan atas kerelaannya sendiri.

“Aku ada sesuatu nak cakap pada kau. Tapi, kau jangan marah, ya,” kata Safiah tidak lama kemudian. Nurin Amira mengangguk.

“Aku rasa kau patut merujuk ke pejabat agama. Sampai bila kau nak macam ni? Kau berhak membuat keputusan demi masa depan kau jugak. Macam tadi Najib tampar kau sesuka hati dia. Kau boleh buat laporan polis, tau.”

Nurin Amira terdiam. Leteran Safiah itu masuk juga ke fikirannya.

“Patutkah aku bertindak sejauh itu? Apa kata mertuaku nanti?” ujar Nurin Amira ragu-ragu.

“Kau ni terlalu memikirkan orang lain. Cubalah fikirkan diri sendiri pulak.”

“Aku bingung, Yaya. Kepalaku sakit sangat. Bukannya apa. Sarat dengan masalah.” Nurin Amira meraup wajahnya.

“Selama kau di rumah ni ada tak dia orang ambil kisah tentang kesihatan kau? Tak ada, kan? So, apa lagi yang kautunggu? Nak tunggu sampai jantan tu patahkan tangan kau, emm... patahkan kaki kau, masa tu baru kau nak bertindak. Masa tu dah terlambat, Mira.” Safiah masih tidak jemu memujuk.

Nurin Amira ketawa. Kagum dengan semangat Safiah yang tidak berputus asa memujuknya.

“Takkanlah sampai begitu sekali tindakan Najib. Dia tidak ada perasaankah?”

“Segalanya boleh jadi Mira kalau nafsu sudah dirasuk syaitan.”

Lama Nurin Amira termenung memikirkan kata-kata Safiah itu. Dalam masa yang sama, dia bersyukur ibu bapa mertuanya tidak mencampuri urusannya.

“Okeylah. Aku ikut kau kali ini. Insya-Allah, lain kali aku akan fikirkan semua kata-kata kau ni. Sekarang kepalaku berserabut sangat.”

Safiah tersenyum. Dipeluknya Nurin Amira erat. Dalam diam, dia cuba meletakkan posisi dirinya di tempat Nurin Amira. Dia yakin lambat-laun dia juga akan mengambil keputusan mengundur diri.

“Aku harap kau faham, Mira. Aku nak tengok kau bahagia dengan kehidupan kau.”

“Terima kasih, Yaya kerana memahami aku,” kata Nurin Amira pula sambil mengesat air mata yang bergenangan di tubir matanya.

Untuk mengadu ke pejabat agama, Nurin Amira belum cukup bersedia. Dia perlukan masa untuk memikirkan itu semua memandangkan banyak perkara yang perlu dia selesaikan lewat kebelakangan ini. Semuanya tidak ada kaitan dengan rumah tangganya itu.

Nurul yang mencuri dengar perbualan kakak iparnya dengan temannya itu di luar bilik, tidak sampai hati hendak mengganggu. Hampir teresak dia di situ menahan tangis. Selebihnya dia menyokong pendapat Safiah agar Nurin Amira mengundur diri sahaja daripada kehidupan abangnya sendiri.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.