Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,199
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

BAB 5

NURIN AMIRA tidak senang duduk di tempatnya. Sedari tadi Zakuan asyik mencuri pandang ke arahnya. Lelaki itu sekadar memandang dari kejauhan sahaja. Apabila mendekat, Zakuan menjauhkan dirinya. Sedikit sebanyak hati gadisnya tersinggung. Sikap Zakuan sudah jauh berubah. Baharu sahaja dia datang mendekat, segera lelaki itu menjauhkan diri. Pura-pura sibuk bekerja.

Nurin Amira melepaskan keluhan berat. Sambil memejamkan matanya, dia menarik nafas panjang. Dalam keadaan begitu, sukar untuknya memberi tumpuan kepada kerja yang menimbun di atas meja.

“Emm! Emm!” Nurin Amira membuka matanya apabila mendengar ada orang berdekatan mejanya.

“Hang, Lily! Ada apa?” tanya Nurin Amira.

“Aku ni bukannya nak menyibuk. Cuma, aku simpati melihat kau dengan Zakuan tu. Apasal, ha? Kau orang bergaduh ke? Seorang ke utara, seorang ke Selatan! Macam ada something! Itulah. Dari awal lagi aku dah cakap jangan sembarangan menjalin hubungan dengan Zakuan tu. Kau tak layak sebenarnya.” Terhambur kata-kata yang menyakitkan hati dari seulas bibir teman sekerjanya itu. Nurin Amira menelan air liurnya.

Lily Zuhaily, gadis kelahiran Kuala Selangor yang kembali menetap di Kuala Kedah sebaik sahaja ayahnya bersara dari tentera darat. Sejak mula bertugas di Perwira Enterprise, ramai yang menyedari dalam diam dia meminati Zakuan. Namun, Nurin Amira tidak mengendahkan khabar angin itu. Biarlah. Sedikit pun dia tidak berasa tergugat.

Sememangnya Nurin Amira sedar Lily Zuhaily dan Susan tidak pernah mahu menerimanya sebagai seorang kawan. Dia tidak tahu mengapa. Dia tidak pernah menyakiti hati kedua-dua orang gadis itu. Tidak pernah menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati. Mungkin juga tidak ada keserasian di antara mereka. Dia hanya membuat telahan sendiri. Hati manusia siapa tahu.

“Lily! Mira... Mira tak paham apa maksud Lily ni?” Lily ketawa sinis.

“Kau ni bertanya seperti tak ada perasaan.”

“Siapa yang tak berperasaan sebenaqnya. Hang atau aku? Keterlaluan tuduhan hang ni!” ujar Nurin Amira menampakkan kemarahannya. Kata-kata Lily Zuhaily itu menyakitkan hatinya. Dari sudut lain pula kadang kala dia hendak tergelak melihat temannya itu terkial-kial cuba memahami maksud kata-kata rakan sekerja yang lain dalam loghat Kedah yang kelat.

“Jangan nak berlakonlah, Mira....”

“Berlakon apanya? Dahlah ceroboh tempat kerja aku ni...,” pantas sahaja Nurin Amira memotong percakapan Lily itu. Tercabar kesabarannya apabila diserang begitu. Lebih-lebih lagi ketika waktu kerja begitu.

“Kenapa, Mira? Lily! Apa hang buat kat sini? Dah tak dak kerja ka? Mengendeng saja dari tadi,” sampuk Safiah yang sedari tadi melihat dari mejanya. Dia bercekak pinggang sambil memandang gelagat Lily Zuhaily dari hujung rambut ke hujung kaki.

“Tanyalah kawan baik kau tu.” Sinis kata-kata Lily itu. Dia beredar ke mejanya.

Buat kesekian kali Nurin Amira menitiskan air mata. Safiah bersimpati dengan nasib yang menimpa teman baiknya itu. Namun, apa yang mampu dilakukannya untuk membantu teman baiknya itu.

“Bersabaqlah, Mira. Usah diambil hati kata-kata Lily tu. Dia tertekan agaknya. Lain kali jangan dilayan orang tak betui tu. Okeylah, Mira. Aku ada kerja ni. Rehat nanti kita rehat sama-sama, ya.”

Kata-kata Safiah itu menyejukkan hati Nurin Amira saat itu. Dia membalas senyuman Safiah sebelum gadis itu berlalu. Saat dia mendongak, matanya bertembung pandang dengan mata Zakuan yang mungkin memerhatikan adegan yang tidak disangka tadi. Cepat-cepat Zakuan melarikan matanya dan beredar dari mejanya. Nurin Amira tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya dengan sikap endah tak endah lelaki itu.

Kenapa dengan Zakuan? Dia seperti membenciku. Dia tidak tahu duduk perkara yang sebenarnya. Apakah kerana dia mendengar dari mulut orang lain? Oh Tuhan! Apalah salahnya jika dia memberiku peluang untuk menjelaskan segalanya, bisik hati kecil Nurin Amira.

*************

“HARUS bagaimana lagi? Wan dah tak percayakan aku lagi.”

Nurin Amira meluahkan rasa tidak sedap hatinya kepada Safiah sebaik sahaja berpeluang rehat bersama-sama. Dahulu dia dengan Zakuan sering mendapat peluang rehat bersama-sama. Tetapi, kini segala-galanya sudah berubah.

“Cubalah berdepan dengan Wan. Beritaulah perkara yang sebenaqnya. Kalau tidak, keadaan akan bertambah buruk,” ujar Safiah pula. Nasi goreng di pinggan disuapnya lagi. Dia meneliti setiap inci wajah Nurin Amira yang kini sudah kelihatan hilang serinya.

“Aku dah cuba. Wan nak mengelak aje,” kata Nurin, seakan-akan berputus asa.

“Kalau tidak kerana mulut murai Kak Leha tu, tak adalah Zakuan marah macam tu sekali. Sepatutnya dia beri hang peluang untuk berterus terang.”

Nurin Amira menyilang tangannya di atas meja. Kuetiau goreng yang tinggal separuh di pinggan ditolak ke tepi.

“Ooo... gitu. Patut la sikap Wan berubah,” ujar Nurin Amira. Dia kesal dengan apa yang telah terjadi dalam hidupnya. Walaupun harapan yang disandarkan di bahu lelaki itu hancur musnah, dia bertekad akan menjernihkan keadaan. Dia penat sebenarnya menghadapi kehidupan baharu yang dilaluinya kini. Pengertian daripada Zakuan amat diharapkannya.

“Petang nanti hang keluaqlah awal sikit. Lepas sembahyang asar, hang terus keluaq. Lagipun semenjak dua menjak ni, Wan selalu keluaq awal.”

“Hang ni macam spy pulak. Jam berapa Wan masuk, jam berapa Wan keluaq, jam berapa Wan ada appointment, tahu aje hang. Mentang-mentanglah PA bos.”

“Dah itu kerja aku, kan. Kalau tak tau nanti susah la. Tak pasal-pasal aku dibuang kerja nanti. Apa la hang ni.”

“Saja nak mengusik hang. Dah lama sangat aku tak buat kerja yang satu ni.”

“Macam tulah. Kan nampak manis kalau tersenyum macam tu. Ini tidak. Macam orang sakit aje hang ni.”

Nurin Amira tersenyum. Hati menjadi girang apabila bersama kawan yang memahami. Hilang sebentar masalah yang menghantui benaknya.

Saat mahu beredar dari restoran, Nurin Amira berlaga bahu dengan Zakuan yang baharu turun dari tingkat atas. Teguran Nurin Amira tidak diendahkan oleh Zakuan. Nurin Amira sedih bukan kepalang. Begitu sekali Zakuan membencinya.

Safiah yang menyedari insiden yang berlaku, segera menghampiri kawan baiknya itu sambil memeluk bahunya.

“Sabaqlah, Mira. Tentu ada hikmah di sebalik semuanya ini. Jom kita ke surau dulu.”

Mereka berjalan beriringan menuju ke pejabat. Sepi seketika.

“Aku sebenaqnya tertanya-tanya tentang sesuatu yang aku tak pasti.”

Nurin Amira berhenti melangkah. Dia menghadap teman baiknya itu.

“Setahu aku, kahwin paksa ini tak sah di sisi agama sebab ia melibatkan hidup mati kita sama ada bahagia atau tidak. Kita ada hak untuk membuat keputusan. Tapi, bab-bab agama ni aku tak begitu pandai sangat. Kalau hang nak tau lebih lanjut, hang kena rujuk pejabat agama.”

Safiah mengutarakan pendapatnya. Sebagai seorang sahabat, dia tidak mahu sahabat baiknya terus-terusan dirundung duka. Baginya Nurin Amira seorang anak yang baik, teman yang memahami, sembahyangnya tidak pernah tinggal, kecuali pada waktu keadaan tidak mengizinkan. Tiba-tiba timbul perasaan ingin tahu keadaan hidup sahabatnya itu di rumah mentuanya.

Are you sure?”

“Yeah! Tapi... aku sebenaqnya risau dengan hang. Tiduq sebilik dengan Najib. Tak takut ke?” Soalan cepu mas itu terlontar juga akhirnya dari bibir mungil Safiah.

“Maksud hang, menyerah diri? Gitu?”

Safiah mengangguk.

“Buat masa ni, Alhamdulillah. Aku masih waras lagi. Sampai bila-bila pun aku akan pertahankan kesucianku. Mudah-mudahan diizinkan Allah. Tapi, walau dalam keadaan terpaksa, aku rela,” jawab Nurin Amira pasti.

“Masya-Allah. Mintak selisih malaikat 44. Tak dapat aku nak bayangkan. Jangan cakap macam tu Mira. Mintaklah Tuhan lindungi hang.”

“Terima kasih, Yaya. Sebab ambik berat tentang aku.”

“Aku akan mendoakan keselamatan hang. Itu yang terbaik. Aku tak berkenan Najib tu jadi suami hang. Tak padan langsung. Bagi aku la, hang tu layak bersuamikan lelaki yang lebih baik daripada Najib tu.”

Matanya yang bundar, bercahaya. Sebagai seorang wanita, Nurin Amira terharu dengan pengakuan yang dibuat oleh teman baiknya itu. Tidak terlintas di benaknya untuk dipuji begitu.

“Janji dengan Mira, ya. Rahsiakan hal ni.”

Safiah mengangguk.

“Dah. Jangan diragui kejujuran hatiku ini, sahabat. Hang takkan dapat ketemu lagi sahabat sebaikku ini,” ujar Safiah sambil ketawa. Nurin Amira turut tertawa. Terhibur dengan lawak spontan Safiah itu.

Nurin Amira berjanji pada teman baiknya itu untuk menemui pegawai jabatan agama bagi mendapatkan nasihat.

**********

TANPA disedari, hampir dua minggu Nurin Amira tidak bertegur sapa dengan Zakuan. Setiap kali bertembung dengan Zakuan baik ketika tiba di pejabat mahupun ketika pulang, Zakuan cuba mengelak daripada bertentangan matanya dengannya. Sikap Zakuan itu sedikit sebanyak menimbulkan masalah kepadanya. Rakan-rakan sepejabat yang tidak tahu duduk perkara yang sebenarnya sudah mula membuat andaian yang tidak betul.

Sudah banyak kali dia menegur Zakuan baik ketika berselisih bahu mahupun ketika bertembung di pintu keluar. Tetapi, Zakuan buat tidak endah sahaja. Kalau menjawab pun, acuh tak acuh sahaja jawapannya itu. Dia melepaskan keluhan berat.

“Zakuan tahu hang dah kahwin. Sebab tulah dia lari. Dia tak nak ganggu hang yang dah jadi isteri orang ni,” kata seorang teman sejabatan dengan Nurin Amira.

“Sampai hati kau mempermainkan hati Zakuan tu. Dia baik orangnya. Tak sangka begini perangai kau. Kalau aku tahu kesudahan percintaan kau orang, dah lama aku pikat hati Zakuan tu,” kata Lily Zuhaily, menuduhnya yang bukan-bukan.

“Hang ni, Lily tak sudah-sudah nak menyakitkan hati orang. Kalau macam ni la perangai hang, tak ada sapa pun yang berani nak jadi suami hang.”

“Hei, Safiah! Jaga mulut kau tu. Kalau tidak, tahulah nasib kau.” Seperti selalu, Lily Zuhaily akan berang jika Safiah membela Nurin Amira.

“Hei, girls! Apa lagi ni?” Zaleha yang baharu keluar dari pantrydatang ke arah mereka.

“Siapa lagi, kalau bukan Mira ni? Tak sedar diri dah jadi isteri orang, ada hati nak jumpa Zakuan tu,” kata Lily Zuhaili sambil ketawa sinis. Hatinya puas dapat mengenakan Nurin Amira.

Nurin Amira menarik tangan Safiah agar berundur dari situ. Dia tidak mahu keadaan menjadi bertambah buruk jika situasi tersebut diketahui majikan mereka. Dia tidak mahu prestasi kerjanya terganggu.

Kamu semua tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kenapalah cetek benar fikiran kalian? Kenapa tidak diselidik dahulu? Main tuduh-tuduh saja. Terdetik suara hati kecilnya. Hendak menangis, ditahannya juga.

“Aku rasa nak cili-cili mulut laser tu. Dia ingat dia sapa? Berlagak. Eksyen pulak tu. Sesedap rasa nak sakitkan hati orang!” bebel Safiah, menahan geram.

“Sudahlah, Yaya. Marah pun tak guna. Perangai depa bukan boleh diubah. Tuhan tahu! Aku sedaq ini ujian Tuhan untukku. Mungkin aku tak lama di dunia ini.”

Safiah sedikit terkejut, lantas memeluk teman baiknya itu.

Tuhan sahaja yang tahu aku sering diserang sakit kepala. Semakin kerap semenjak beberapa bulan yang lalu. Ada kalanya sebelah dan ada kalanya keseluruhan kepala berasa sakit yang teramat sangat. Apakah ia sekadar penyakit migrain yang dideritaiku beberapa tahun lalu? Aku cuma mampu menduga. Sungguh aku pasrah andainya inilah petanda aku akan pergi. Saat itu dia baharu teringat dia perlu membuat temu janji dengan doktor klinik panelnya untuk memastikan penyakitnya yang sebenar.

“Apa hang cakap ni ,Mira? Tolonglah! Jangan mengalah begini. Tabahkanlah hatimu, Mira. Yaya percaya suatu hari nanti hang menemui kemenangan dalam hidup ini. Percayalah cakap Yaya!” Safiah meleraikan pelukan Nurin Amira sambil menyapu air mata yang berjuraian di pipi temannya itu.

“Hang sahabat yang baik yang pernah aku temui. Aku beruntung punya sahabat sepertimu. Tuhan sajalah yang dapat membalas budi baikmu.”

“Mira! Aku sayangkan hang. Aku sedih tengok hang menderita macam ni. Hang terlalu baik.”

Sekali lagi mereka berpelukan.

Andai dapat diulang masa lalu, aku tak ingin berada dalam situasi begini. Untuk apa? Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

“Kalau hang perlukan aku, datanglah ke rumahku. Pintu rumahku sentiasa terbuka untukmu. Bila-bila masa saja hang boleh datang ke rumahku. Yaya tidak kisah.”

Menyedari Nurin Amira tidak selamat pulang ke rumah Mohd Najib, Safiah mempelawa teman baiknya itu datang ke rumahnya.

“Terima kasih, Yaya.” Dalam diam dia bersyukur kerana masih ada insan yang amat mengambil berat dirinya.

************

NURIN AMIRA tidak kisah lagi pulang lambat ke rumah. Biarpun bimbang akan keselamatan dirinya tinggal sebilik dengan suami yang tidak diiktirafnya itu, dia hanya mampu bertawakal menghadapi segala kemungkinan.

Pada pengamatannya, sikap Mohd Najib itu ada kalanya keanak-anakan. Padahal usianya sudah menginjak dewasa. Dalam masa yang sama, dia hairan kerana boleh tinggal sebumbung dengan keluarga lelaki itu. Bukan niatnya merendahkan orang lain. Memang sudah termaktub di sanubarinya, Mohd Najib bukan pilihan hatinya. Namun, dia percaya tentu ada hikmahnya Tuhan menduganya dengan dugaan yang maha hebat ini. Dia beristighfar lagi. Mengelak daripada terjahan bisikan syaitan yang sering membisikkan kata-kata nista di telinganya.

“Emm…” Mohd Najib berdehem sebaik sahaja kaki Nurin Amira memijak lantai ruang tamu. Nurin Amira memandangnya sekilas.

Mohd Najib kelihatan sedang tersenyum hingga ke telinga. Nurin Amira mencebik sambil mengutuk dalam hati.

Ya Allah. Apa ke hal pulak lelaki ini di sini?

“Dari mana?” tanya Mohd Najib sebaik sahaja Nurin Amira mencapai tuala untuk masuk ke dalam bilik air.

“Kenapa nak tau?”

“Saya berhak, tau. Awak isteri saya.” Kedengaran suara Mohd Najib yang agak kasar. Nurin Amira berkerut dahi. Tidak faham dengan sikap Mohd Najib yang sering berubah-ubah. Baharu sekejap tadi dia melihat suaminya itu tersenyum ceria. Perlahan-lahan perasaan gerun menular ke dalam sanubarinya.

“Isteri? Emm... awak saja menganggap saya sebagai isteri awak. Tapi, saya tak pernah mengiktiraf awak sebagai suami saya.”

Merah padam wajah Mohd Najib menahan geram. Ingin ditampar wajah wanita di hadapannya itu.

“Awak nak tampar saya, kan? Tamparlah! Saya boleh buat report polis nanti mengatakan awak mendera saya.”

Mohd Najib menjatuhkan tangannya. Direnung wajah yang manis itu. Tajam. Dia mendengus. Dadanya bergetar hebat melawan nafsu berahi yang datang silih berganti. Andai kata rumah yang didudukinya itu rumahnya, bukan rumah keluarganya, sudah lama tubuh seksi milik Nurin Amira jatuh ke dalam dakapannya. Sudah lama dia memendam rasa.

“Hang taulah akibatnya nanti!” kata Mohd Najib sambil menunjuk jari terlunjuknya ke arah Nurin Amira.

Sabaqlah Najib. Tak ke mana gunung di kejar. Bisikan-bisikan syaitan beralun di benaknya.

Tiba-tiba sahaja lelaki itu berubah sikap. Dari seorang lelaki yang sentiasa menahan sabar tatkala berhadapan dengannya, kini menjadi seorang yang pembengis. Renungan tajam itu menelanjangi seluruh tubuh Nurin Amira. Gelabah dia buat seketika. Kedengaran ketukan yang bertalu-talu di luar pintu menyelamatkan keadaan. Dia berasa lega. Buat kesekian kalinya dia terselamat daripada nafsu gila suaminya itu.

“Oh Tuhan! Isteri apakah aku ini? Namun, aku tidak mahu masuk ke dalam neraka-Mu. Bukakanlah hati dia untuk melepaskan aku. Sungguh aku tidak tahan lagi untuk hidup di samping dia. Antara kami tiada chemistry. Sampai bila aku harus begini? Bantulah aku untuk keluar dari belenggu ini!” Bergema jeritan hatinya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.