Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,752
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 18

BAB 18

SEMALAMAN Zakuan tidak dapat melelapkan mata mengenangkan nasibnya yang agak malang. Insan yang dicintai menjadi milik orang. Satu persatu nostalgia cintanya mulai singgah di kamar hatinya. Dicapainya album kecil yang diisi gambar-gambar Nurin Amira yang masih tersimpan rapi dari dalam almari kecil di sebelah katil bujangnya. Nurin Amira seorang gadis sempurna di matanya.

Dibelek-belek gambar-gambar itu. Namun, gambar yang direnung tidak mampu mengusir rindu yang mula bertamu. Abang rindukanmu, rindukan kemesraan kita yang lalu. Maafkan abang kerana tidak mahu mendengar penjelasanmu, katanya dalam hati.

Dia mengimbas kembali setiap detik tatkala bersama wanita itu. Lagaknya yang sentiasa tersenyum apabila disapa, sikap mudah mesranya yang begitu menyenangkannya mengundang duka nestapa di hati.

‘Mira. Jikalau aku memahamimu, alangkah baiknya. Jikalau aku mendengar penjelasanmu dulu, tidaklah aku jadi seperti ini. Jikalau aku menyegerakan lamaranku, tidaklah aku lemas menanggung rindu begini. Jikalau….., ah! Buntu fikiranku, Mira. Maafkan aku kerana berlaku tidak adil kepadamu, bisik hati kecilnya.

Zakuan tidak sedar sejak bila air matanya begitu murah menitis membasahi pipinya malam itu. Di luar rumah gerimis hujan yang turun seakan-akan turut merasakan hiba yang berlagu di hati.

Zakuan tidak dapat melelapkan matanya. Justeru itu, dia bangun mengerjakan solat sunat dan tahajjud untuk mendamaikan hatinya. Selepas itu, dia berasa sedikit tenang. Akhirnya, dia terlena juga dengan harapan yang tidak pasti.

************

DERINGAN telefon pada pagi minggu yang dingin itu mengejutkan Zakuan dari tidur yang lena. Sengaja dia merebahkan diri sebaik selesai mengerjakan salat subuh. Dia memandang jam loceng di birai katil. Hampir jam 9.00 pagi. Dia membuat sedikit regangan dan senaman mudah sambil mindanya menerawang memikirkan hasrat Nurin Anisha yang beria-ia hendak bertemu dengannya di Bandar Sungai Petani sekitar jam 3.00 petang.

Semenjak dia memutuskan perhubungan dengan Nurin Amira sebulan lalu, belum pernah sekali pun dia bertemu dengan Nurin Anisha. Bukan dia tidak mahu berjumpa. Dia seboleh mungkin ingin mengelak daripada mengingati kenangan masa lalu. Biarpun sukar baginya memulakan kehidupan baharu, hidup perlu diteruskan. Dalam waktu terdekat, tidak akan ada pengganti Nurin Amira. Itu janjinya pada diri sendiri.

Panggilan Aziz yang menjemputnya untuk bersarapan pagi, melenyapkan kerinduan yang bertamu di kamar hatinya.

“Sedapnya bau! Siapa masak ni?” Zakuan tercium bau nasi beriani dari arah dapur.

“Ye... sedap. Memang sedap, sebab pagi-pagi lagi aku sudah terjenguk di Beriani Bestari tu. Tolong masak dan tolong tambah apa yang patut,” jawab Aziz pula.

Jeffri terkekeh-kekeh ketawa. Faham benar dia akan kegemaran kawannya yang satu itu. Setiap minggu kalau tidak merasa nasi beriani, tidak sah dibuatnya. Terasa ada yang kurang dalam hidup sahabatnya itu.

“Aku rasa kalau hang masak tak ada orang yang sudi makan termasuk hang sekali. Nak memasak konon, piiirah....”

“Eh, Jeff... cakap jangan sebarang cakap. Satu hari nanti aku bukak warung nasi beriani, baru hang tau.”

“Okey.... Aku nak tengok sama ada benar-benar akan berlaku atau hang hanya bermimpi di siang hari.” Jeffri tidak bermaksud hendak menyakiti hati rakannya itu. Dia sekadar mahu menyakat sejauh mana cita-cita sahabatnya itu.

Wait and see,” kata Aziz, kemudian berlalu ke ruang tamu. Walaupun dia tahu Jeffri bergurau dengannya, namun, sedikit sebanyak tersentuh juga hatinya dipersenda begitu.

“Apa la hang ni, Jeff. Kecik hati kawan kita tu,” celah Zakuan.

“Aku saja nak menyakat dia. Tak ada niat apa-apa pun. Salah ke?”

Zakuan menjungkit bahu. Enggan terlibat dengan drama sebabak teman-teman serumahnya itu. Ada sesuatu yang menjadi tanda tanya yang bermain di fikirannya kini.

**********

SEBAIK sahaja selesai menghadiri kelas tambahan bahasa Inggeris pada pagi minggu tersebut, Nurin Anisha mempercepatkan langkah bertemu dengan kakak sepupunya. Semalam Nurain setuju keluar dengannya bertemu seseorang. Dia ada hajat besar untuk disampaikan kepada bekas teman lelaki kakaknya itu.

Panggilan Hafiz tidak diendahkan. Teman sekolahnya itu turut sama mengambil kelas tambahan di Grafik Unggul.

“Nisha! Lajunya... Kenapa tak menyahut? Bagai nak terkeluaq anak tekak Hafiz ni memanggil Nisha. Nisha buat-buat tak dengaq pulak,” kata Hafiz sebaik sahaja dapat mengejar Nurin Anisha.

“Nisha nak cepat la, Fiz. Nisha ada janji dengan orang.”

“Kalau ya pun, bagitau la Fiz. Boleh Fiz temankan.”

Langkah Nurin Anisha terhenti. Dia memandang muka Hafiz.

“Tak boleh, Fiz. Ini woman secret. Fiz balik la dengan kawan-kawan yang lain, ye. Lain kali kita balik sama-sama, ya,” pujuknya.

Dating dengan pak we baru ke?” Hafiz sekadar menduga teman baiknya itu.

Come on la, Fiz. Kita masih student lagi. Cintan-cintan tak main la. Tunggu lepas sekolah, okey! Fiz! Pleasee...” pujuk Nurin Anisha lagi. Hafiz tidak jadi menarik muka masam.

“Hati-hati.”

Sayup-sayup sahaja kata-kata terakhir Hafiz di pendengaran Nurin Anisha. Dia mempercepatkan langkah. Dia tidak mahu kakak sepupunya itu tertunggu-tunggu kehadirannya. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati, melihat telatah beberapa orang remaja lelaki melepak di kaki lima jalan.

Namun, Nurin Anisha berasa hampa. Kelibat kakak sepupunya belum kelihatan. Sia-sia sahaja dia mempercepatkan langkahnya tadi. Lima minit menunggu di kaki lima, sebuah kereta Proton Wira betul-betul berhenti di hadapannya.

Nurin Anisha masih lagi menarik muka masam ketika Nurain memandu menuju ke tempat yang dijanjikan untuk bertemu Zakuan.

“Hei! Senyumlah sikit. Akak bukan sengaja datang lambat. Akak ada hal tadi.” Nurain mengerling adik sepupunya itu.

“Nanti abang kesayangan Nisha tengok Nisha muram macam ni, tak ke malu.”

“Okey... I know. Buruk kan muncung Nisha macam ni.” Nurin Anisha merapatkan bibirnya ke sisi kakak sepupunya.

Nurain ketawa. Perangai tak pernah berubah. Kuat merajuk bebenor, katanya dalam hati.

Nurain mencari tempat parkir, sementara Nurin Anisha diturunkan dari keretanya berdekatan cyber cafedi bandar KB.

Nurin Anisha terpandang Zakuan sudah menunggu di dalam restoran McDonald. Dia sedang membaca Mingguan Malaysia.

“Assalamualaikum. Maaf, bang. Saya lambat sikit,” sapa Nurin Anisha.

“Waalaikumusalam. Never mind,” jawab Zakuan. Dia memandang gadis manis yang duduk bertentangan dengannya itu. Sekilas terbayang Nurin Amira. Masing-masing mempunyai kecantikan yang tersendiri. Dia tersenyum.

“Kenapa pandang Nisha macam tu? Ada yang tak kena ke muka Nisha ni atau ada apa-apa yang lucu ke di mata abang?” tanya Nurin Anisha, hairan melihat lelaki itu tiba-tiba sahaja mengukir senyuman.

“Tak ada apa. Saja pandang sebab lama tak jumpa. Emm... ada apa nak jumpa abang ni?” Tanpa berlengah-lengah lagi Zakuan bertanya.

“Apa kata Nisha order makanan dulu? Kemudian baru Nisha cerita. Boleh?”

“Boleh, boleh. Abang belanja, ya.”

“Okey. Kalau macam tu, bagi Nisha dua biji burger daging, kentang goreng, dan Milo ais dua gelas.”

Berkerut dahi Zakuan apabila Nurin Anisha memesan makanan untuk dua orang. Padahal dia baru sahaja menghabiskan sebiji Burger King. Dia terpaksa beratur menunggu giliran memandangkan ramai pelanggan sedang menanti giliran masing-masing.

Nurin Anisha menggamit Nurain apabila menyedari kakak sepupunya itu tercari-cari kelibatnya di dalam restoran McDonald itu. Mereka berbual mesra tanpa menyedari gelagat mereka sedang diperhatikan.

“Hai....”

Nurain terpaku memandang wajah Zakuan. Buat seketika fikirannya terbayangkan wajah kacak keanak-anakan yang dikenalinya di alam persekolahan dahulu. Wajah di depannya itu saling tidak tumpah wajah yang pernah dikenalinya dahulu. Dia terleka memandang wajah itu. Zakuan tersenyum. Satu perasaan aneh menjalar ke ruang hatinya saat itu.

Excuse me!Akak dengan abang pernah berjumpa ke sebelum ni?” tanya Nurin Anisha kurang senang dengan gelagat yang menjengkelkan di matanya itu.

“Ya... 10 tahun yang lalu. Masa tu akak tercicir dompet di pasar raya Parkson. Abang Zakuan nilah yang menjumpai dompet akak tu. Kalau tak, tak taulah apa jadi. MyKad, kad bank, dan kak kredit semua ada dalam dompet tu,” terang Nurain.

“Akak cuai sangat,” ujar Nurin Anisha sambil memerhatikan mereka berjabat salam.

“Pertemuan kami tidak terhenti di situ saja. Akak berpindah sekolah selepas itu. Waktu tu kami duduk dalam satu kelas,” sambung Nurain.

“Wan ingat lagi. You ni Nurain, kan? Ala, ion lady cun yang mudah tersenyum tu. Rizal pun minat kat you.”

“Ye ke? Kecik dunia ni, kan. Selepas lapan tahun tak jumpa, akhirnya Tuhan ketemukan kita jugak. Wan pun dah banyak berubah sekarang. Ain patut berterima kasih pada adik sepupu Ain ni. Kerana dialah Ain dapat jumpa member lama Ain kat sini. Lagipun Ain sebenarnya dah nak balik Seberang Perai. Dialah nak sangat jumpa dengan Wan nak menerangkan sesuatu yang selama ini Wan tak pasti,” ujar Nurain lagi sambil mengerling sekilas wajah Nurin Anisha yang menunduk.

“Nisha! Come on!

Nurin Anisha tidak tahu hendak memulakan dari mana. Justeru itu dia rela mendiamkan diri. Apatah lagi menyaksikan drama di antara kakak sepupunya itu dengan bekas kekasih kakaknya. Rasa tidak manis pula kalau asyik menyampuk perbualan mereka. Mcam Jejak Kasih pulak, desis hati kecil Nurin Anisha.

Kalau aku tahu begini jadinya, tak ingin aku bawa Kak Ain temankan aku jumpa dengan Abang Wan. Pulak tu, macam aku tak wujud di sini.

“Kenapa ni? Diam pulak dia,” tegur Zakuan sambil meneliti wajah manis Nurin Anisha sekali lagi.

“Sebenaqnya... sebenaqnya...” Entah mengapa Nurin Anisha hilang punca untuk memulakan bicara.

Nurain mencuit paha adik sepupunya itu. Kalau diikutkan rasa tidak sabarnya, mahu sahaja dia membuka mulut menerangkan apa yang telah terjadi. Apabila memikirkan hubungan baik mereka selama ini, dia tidak mahu mencampuri urusan Nurin Amira dengan Zakuan.

“Sebenarnya, tentang Kak Mira. Kak Mira sebenaqnya terperangkap. Dia tidak pernah ada hati terhadap Najib. Saja Najib yang terlebih-lebih. Selama ini akak menahan derita seorang diri.”

“Mira! Sepupu yang baik. Ain sangat sayangkan dia. Tak sangka pulak begini kesudahan hidup dia. Kami bagaikan adik-beradik. Kalau tak kerana Nisha yang beritahu, sampai bila-bila pun Mira takkan beritau Ain cerita memalukan ini. Emm... tak sangka pulak dulu Wan coupledengan sepupu Ain tu,” sampuk Nurain pula. Kesal datang bertimpa-timpa melihat Nurin Anisha teragak-agak menceritakan perihal kakaknya.

Zakuan tersenyum. Nurain masih tidak berubah. Biarpun lapan terpisah, sikap mudah mesranya masih seperti dahulu. Cuma, dia terpegun melihat kejelitaan Nurain yang kian terserlah.

“Wan pun dah sedaq selama ini Mira tak bersalah. Tapi, Wan rasa dia boleh buat laporan polis ataupun ke pejabat agama. Kes dia ni kes kahwin paksa. Wan tak pasti pulak sama ada sah atau tidak perkahwinan dia dari segi undang-undang.”

Terkedu Nurin Anisha mendengar hujah yang disampaikan oleh Zakuan itu. Tak menyangka sama sekali rupa-rupanya Zakuan sudah tahu perihal kakaknya itu.

Kalau benarlah apa yang dikatakan oleh Abang Wan ni, kesiannya Kak Mira.

Zakuan pula berasa bersalah kepada Nurin Amira kerana selama ini telah memulaukan gadis itu. Sikapnya yang berlaku tidak adil terhadap gadis itu, telah menyulitkan keadaan lagi. Kalau tidak, dia boleh membantu gadis yang dicintainya itu menyelesaikan masalah berat itu. Simpatinya kini kian menggunung. Apatah lagi insiden di restoran tempoh hari buat dia bertambah bersalah terhadap gadis yang pernah menjadi wanita istimewanya. Bukan dia sengaja berlaga bahu dengan gadis itu. Dia tidak tahu dengan cara yang bagaimana untuk dia meminta maaf daripada Nurin Amira.

Kasihan Mira. Aku tak mampu menjadi teman yang baik.

Nurain menarik nafas panjang. Mengamati wajah Zakuan. Kacak. Lapan tahun tidak berjumpa, lelaki itu sudah jauh berubah. Daripada seorang budak lelaki yang pemalu, kini menjadi seorang anak muda yang peramah. Kematangan fikirannya kian terserlah. Sayangnya hatinya kini dimiliki seseorang yang sangat rapat dengannya. Terbayang wajah bujur sirih milik Nurin Amira di ruang matanya. Pilu hatinya tiba-tiba mengenangkan nasib yang menimpa gadis itu.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.