Home Novel Cinta Cinta Di Perdu Hati
Cinta Di Perdu Hati
Raiza Khairina
21/11/2014 16:28:56
11,408
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Lapan tahun kemudian


“EMM...jauhnya melamun. Entah ke benua mana dia menghilang?”

Suhaila sedikit kaget ditegur begitu. Tanpa pamitan salam dia disapa sebegitu. Tertanya-tanya juga sejak bila Wafhi memerhati tingkahnya.

“Abang ni datang tak bagi salam, mengejutkan orang saja,” balas Suhaila.

“Dah bagi salam, tapi Sue tak dengar. Abang nak buat macam mana. Asyik sangat melayan angan-angannya tu.” Wafhi tersengih.

Sudah lama tinggal berjiran. Sedikit sebanyak momen indah gadis itu turut terlakar dalam cacatan memorinya. Tambahan pula gadis itu membesar di hadapan matanya. Dahulu dia berkawan rapat dengan Iqram. Semenjak Iqram tidak ada, pada Suhaila jualah dia melepaskan rindu yang terbuku di dada.

Whafi muda setahun daripada Iqram. Beza umur dia dengan gadis itu cuma empat tahun. Tidak hairanlah Suhaila menganggap Wafhi seperti abang kandungnya sendiri.

Merenung bening mata Suhaila, Wafhi menjadi hiba. Sangat hiba. Dia sangat bimbang keceriaan gadis itu tersentap dengan seandainya apa yang terpikul di pundaknya terbongkar. Sesuatu yang sudah rapi terbungkus sejak dulu.

“Iye ke? Malunya Sue. Sampai hati abang ya, mengendap Sue dari tadi. Abang ni tak patut tau, mengendap orang. Nanti Sue bagi tahu mak teh,” kata Suhaila sedikit terperanjat.

Whafi tertawa geli hati. Meskipun usia Suhaila sudah menginjak ke angka 23 tahun, sikap keanak-anakkan gadis itu mengundang tawanya. Pernah juga, Whafi mengejek Suhaila, nama sahaja budak perempuan. Apa sahaja yang budak lelaki ada, dia pun mahu juga.

Mengimbau zaman kanak-kanak, membuatkan dia sering tertawa sendirian. Di hadapan gadis itu pun dia masih ketawa-ketawa.

“Tengok tu. Mengumpat Sue dalam hati ya?” sambung Suhaila sambil memasamkan wajahnya.

Bertambah sukalah Whafi menyakat Suhaila.

“Ek eleh! Salah ke? Orang yang abang pandang ni pun abang dah anggap macam adik sendiri. Buat apa nak malu? Lainlah kalau orang tu ada buat salah ke apa ke!” ujar Whafi.

Namun, buat seketika dia mulai terfikir, benarkah Suhaila sudah dianggapnya seperti adik kandung sendiri? Entahlah! Dia sendiri tidak dapat menjawabnya.

“Itulah modal abang. Ada aje alasan nak mengelat. Tahu sangat.” Suhaila menggumam geram.

“Dah seminggu Sue balik. Lepas ni Sue nak buat apa?” Sengaja Wafhi mengubah tajuk perbualan.

“Hm... jangan tanyalah bang. Sue belum bersedia apa-apa. Sue cuma nak tolong ibu di kedai. Buat sementara waktu ni, itulah rancangan Sue, ” beria-ia Suhaila bercerita.

“Iye ke? Tak ada perancangan lain?” Wafhi menyoal.

“Entahlah, Sue tak terfikir apa-apa. Abang, kenapa?”

“Abang ada peluang baik buat Sue. Tak tahulah sama ada Sue suka ke tidak.” Wafhi terus berterus-terang.

“Apa dia tu bang?” Tanya Suhaila tidak sabar.

“Ada tawaran kerja sebagai akauntan dari syarikat kawan abang. Sesuai sangat dengan Sue,” ujar Wafhi lagi.

“Nanti Sue fikirkan ya. Memang Sue teringin juga nak tambah pengalaman. Tapi, bagaimana pula reaksi ibu.” Suhaila tidak pasti keputusan bekerja di tempat lain itu adalah keputusan yang baik. Kalau boleh dia ingin membantu memajukan perniagaan ibunya.

“Tak apalah. Sue fikirkan dulu ya. Bila dah ada ada jawapannya nanti bagitahu abang. Hmm… dah seminggu Sue balik. Ceritalah pengalaman tiga tahun lima bulan Sue di universiti tu,” ujar Wafhi.

“Hm... teruk Sue nak belajar tau, bang. Nak buat ulangkaji kena cari bahan rujukan di library. Bukunya tebal bagai nak rak. Kalau terjatuh atas kepala boleh pengsan tau.”

“Iyer ke? Begitu sekali?”berdecit-decit bibir Wafhi sambil menggeleng-gelengkan kepala. Wajahnya kelihatan serius walaupun ada senyuman cuba disembunyikan.

Suhaila ketawa. Ketawa menang kerana dapat mengenakan Wafhi.

“Abang pun pernah belajar dekat U jugak. Tak adalah nak pening-pening kepala buat ulangkaji itu semua. Dah adabnya begitu kan? Ni mesti tak ikhlas belajar ni. Betul kan.. kan.. kan...” Aliff Wafhi berseloroh lagi.

“Astaghfirullah alazim. Mana ada tak ikhlasnya. Ikhlaslah ni. Jangan tak tahu pulak Sue bawak balik result cemerlang tau.”

“Iyer ke? Boleh percaya ke?”

Suhaila sudah memuncungkan bibirnya. Manis sahaja rona wajahnya ketika itu. Wafhi sudah mahu ketawa.

“Sue nak tau tak?” wajah kacak Whafi dijelingnya. Janggut sejemput yang terhias di dagu menyerlahkan lagi kematangannya. Riak wajah yang lembut itu menyenangkan sesiapa saja yang memandangnya. Ada ketenangan terukir di situ.

“Apa dia bang, cakaplah?” ujar Suhaila tidak sabar.

“Sue ni kalau marah makin cun. Tu yang abang suka tengok tu.” Wajah manis Suhaila berubah rona. Dia menarik muka masam lagi.

“Tengok tu. Tetap jelita walaupun masam mencuka. Tak jemu-jemu mata ni memandang tau.”

“Uwekkk! Nak muntahlah dengar. Jiwang karat betullah.” Suhaila pura-pura menunjukkan reaksi loya.

Whafi tidak dapat menyembunyikan tawanya. Terhibur hatinya melihat wajah gadis itu merona merah menahan malu. Suhaila tidak jadi meneruskan rajuknya. Dia pun turut tertawa. Keheningan suasana petang itu sungguh menceriakan.

“Abang ni kan, kalau ada cili dekat sini dah lama Sue sumbat ke dalam mulut abang. Biar abang tahu.”

“Sampai hati Sue nak sumbat mulut abang dengan cili. Cili padi ke cili besar?” Whafi berseloroh lagi.

“Cili padi, biar berapi-api.”

“Cili padi abang tak heranlah. Kalau masak abang suka bubuh cili padi. Biar kaw-kaw rasanya.”

“Amboi! Bangganya dia. Nantilah abang tahu rasa resepi terbaru dari Sue khas buat abang seorang.”

Kelu lidah Whafi. Dia tahu selalunya Suhaila akan mengotakan kata-katanya. Tidak pernah Suhaila bercakap kosong dengannya.

‘Harap-harap tidaklah cik adik manis. Mahu terlompat abang dibuatnya nanti.” Hati kecil Wafhi berbisik.

“Sue tak jawab lagi pertanyaan abang tadi.”

“Apa dia?” berkerut dahi Suhaila cuba memahami maksud di sebalik kata-kata anak muda itu.

“Takkan Sue dah lupa pertanyaan abang yang mula-mula tadi.” Wafhi sengaja berteka-teki dengan Suhaila.

“Pasal apa ya?” manis sungguh reaksi Suhaila yang meletakkan jari telunjuknya di tepi dagu runcingnya. Lagaknya seperti memikirkan sesuatu..

Buat seketika Wafhi ralit memandang rambut Suhaila yang sudah mulai panjang melepasi bahu terbuai-buai ditiup angin. Perlahan-lahan terbayang di ruang mata satu wajah yang dahulu setiap saat dirinduinya. Satu wajah yang pernah membangkitkan rasa aneh yang bermukim di sudut hatinya. Namun, tidak lama kerana wajah itulah juga yang telah menghancurkan harapannya.

‘Ah! Untuk apa lagi mengingatkan dia yang telah melukai hatiku. Gadis yang berada di hadapanku ini jauh lebih baik daripada dia. Duhai hati bersabarlah.’ Hati kecil Wafhi berbisik syahdu.

“Pasal apa Sue termenung tadi ke?” mengangguk. “Abang nak tau jugak ke?” tanya Suhaila lagi.

“Mestilah abang nak tahu. Kalau tidak buat apa abang tanya.” Wafhi memasamkan wajahnya. Sengaja mahu menduga gadis itu.

“Sue bukan apa. Sue terkenangkan ibu, arwah abang dan ayah yang .... Entahlah bang, Sue kesiankan ibu. Bila dingat-ingat sikap ayah tu sakit sungguh hati ini.” Hendak tidak hendak, terpaksalah Suhaila meluahkan perasaan yang terbuku di hati.

“Abang faham perasaan kamu. Abang kagum sebenarnya dengan ketabahan mak cik membesarkan kamu. Tak ada seorang ibu di dunia ini sanggup membiarkan anak kesayangannya hidup dalam serba kekurangan. Tentang ayah Sue tu usahlah Sue berdendam. Anggap aje itu antara dia dengan Tuhan. Kita sebagai hamba-Nya seeloknya mendoakan agar dia berubah sikap supaya lebih bertanggungjawab terhadap darah dagingnya sendiri.” Panjang berjela Wafhi menasihati gadis manis di hadapannya itu.

“Cakap memang senang bang. Abang tak pernah rasa apa yang Sue rasa selama ini. Bayangkanlah masa arwah abang Mie bertarung nyawa di hospital, ada dia tengok? Tak ada, bang! Dia langsung tidak hargai kehadiran zuriatnya ni.” Suara Suhaila kembali berubah nada.

“Bersabarlah Sue. Tentu ada hikmahnya di sebalik semuanya ini.”

“Sue sudah cukup bersabar. Pernah tak abang terfikir, kepedihan, kepahitan, kekecewaan yang ditanggung ibu sepanjang ayah meninggalkannya? Tak ada orang yang akan faham. Kecuali merasai sendiri penderitaan tu,” ujar Suhaila sambil cuba menahan tangis agar air matanya tidak jatuh berjuraian di pipi.

Suhaila bangun berdiri menuju ke pokok-pokok bunga tanaman kesayangan ibunya. Aktiviti kesukaan ibunya di masa lapang. Wafhi mengekorinya dari belakang.

“Sue boleh rasa kesakitan ibu melawan sakitnya. Sue boleh rasa hidup ibu dihambat trauma masa lalu. Semua tu hadiah dari ayah Sue, bang. Kalau abang di tempat Sue, berat nak terima bang,” tambahnya lagi.

“Jadi, apa yang akan Sue lakukan?” kata Wafhi sambil menggaru kepalanya. Dirasakan bodoh pula mengajukan pertanyaan yang entah apa-apa itu.

“Sue tak fikir, Sue akan terima ayah. Meskipun dia akui kesilapan lalu. Walaupun ibu tak pernah ajar Sue biadap terhadap orang tua. Tapi, sikap ayah tu yang buat Sue kecewa sangat. Ayah pentingkan diri sendiri,” ujar Suhaila lagi. Di dadanya penuh dengan kebencian terhadap ayah kandungnya sendiri.

Wafhi pula tidak menyebelahi sesiapa. Dia berpendapat Pak Cik Ibrahim berubah tentu ada sebab-musababnya. Bukan mudah bagi seorang lelaki bertanggungjawab seperti Pak Cik Ibrahim itu berubah sikapnya. Kecuali di desak oleh sesuatu di luar kawalan diri. Hanya Tuhan sahaja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku. Dia sangat berharap gadis di hadapannya itu memaafkan kesilapan yang dilakukan ayah kandungnya sendiri.

“Sue... apa kata yang baik dijadikan pengajaran, yang tak baik kita jadikan sempadan,” usul Wafhi pula.

Dalam erti kata yang lain Wafhi tidak mahu memanjangkan sengketa dengan gadis itu memandangkan perdebatan mereka tentang Pak Cik Ibrahim ternyata berbeza.

“Maksud abang apa?” Suhaila mengerutkan dahinya.

“Garangnya... lama-lama macam ni boleh gugur jantung abang.” Wafhi berseloroh.

“Abang ni, sempat pulak nak buat lawak.”

Wafhi tersenyum. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Suhaila. Dia sedar, dia perlu menyakinkan gadis itu dengan kelembutan. Hanya kelembutan yang mampu meredakan kemarahan gadis itu.

“Anggap aje segala pengalaman pahit sebagai perencah bagi menyedapkan kehidupan. Kalau tak cukup perencah hidup rasa tak lengkap pulak, kan.”

Suhaila tersenyum. Wafhi memang pandai menceriakan suasana.

“Iyelah tu... abang ni pandai bersastera. Kenapa tak jadi cikgu sastera aje?” Suhaila tersengih.

“Abang memang cikgu pun. Jadi cikgu dalam bidang masakan.” Keduanya tertawa.

“Abang ni ada-ada ajelah. Mentang-mentanglah dah jadi tukang masak.”

Wafhi senang melihat Suhaila ketawa begitu. Kalau diikutkan kemahuan hatinya dia tidak mahu melihat gadis itu berdukacita.

“Assalamualaikum.” Suhaila menoleh ke arah pintu pagar melihat gerangan siapakah yang memberi salam. Namun, wajah yang dicari tidak ada.

Sekali lagi suara orang memberi salam menyapa telinga. Ditoleh-toleh lagi ke arah pintu pagar rumah.

“Waalaikumussalam. Eh, mak teh. Ingatkan siapalah tadi. Masuklah, mak ada kat dalam.” Pelawa Suhaila ramah.

“Di sini rupanya anak bujang mak. Patutlah mak panggil tadi tak menyahut. Kat sini rupanya dia.”

“Mak panggil Wafhi ke tadi? Tak dengar pun!”

“Macam mana nak dengar kalau dah rancak berborak dekat belakang rumah Sue ni. Mak dah agak dah kamu akan ke sini,” ujar Mak Teh Latifah.

Wafhi hanya tersengih. Balik dari kerja kalau tidak bermain sepak takraw hendak ke mana lagi dia. Berborak kosong di kedai makan kerap dilakukan.

“Ini ada mak teh buatkan masak lemak ikan tenggiri dengan sayur goreng pucuk ubi.

Mak kamu suka sayur pucuk ubi goreng ni,” kata Mak Teh latifah sambil menghulurkan mangkuk tingkatnya kepada Suhaila.

“Buat apalah susah-susah mak teh. Setakat nak makan dua orang ni Sue dah masak dah tadi.”

“Iyelah... betullah cakap Sue tu mak. Kot ya pun ajaklah Mak Cik Suria dengan Sue datang ke rumah kita. Tak payahlah bawak mangkuk tingkat tu ke sini. Kan lebih elok makan ramai-ramai.”

“Ewah... ewah.... ke situ pulak cadangan dia. Ha... kalau macam tu dah terlanjur datang ke sini, makan malam ajelah kat sini.” Suhaila memberi cadangan.

“Pulak,” ujar Wafhi sepatah sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Wajah emak dan Suhaila dipandang silih berganti.

“Kalau macam tu tak apalah. Rezeki jangan ditolak. Lagipun dah lama kita tak makan sama-sama. Ha... apasal tercegat kat situ lagi tu. Kejap lagi dah nak masuk maghrib,” kata Mak Teh Latifah lagi. Dia sudah melangkah masuk ke dalam rumah Suhaila melalui pintu belakang rumah yang sudah terbuka.

“Cepat sungguh masa berlalu. Diam tak diam dah senja,” ujar Suhaila dalam remang senja yang mengasyikkan mata.

Wafhi memohon diri beredar untuk pulang ke rumah. Sejak pulang dari tempat kerja tadi, belum sempat membersihkan diri.

SURIA yang sedari tadi asyik memandang Wafhi dengan anak gadisnya itu berbual panjang, tersenyum. Dalam diam dia memasang angan untuk menyatukan mereka. Entah mengapa dia merasakan ada keserasian di antara keduanya.

Wafhi boleh tahan juga segaknya. Malahan juga, seorang anak muda yang jujur dan baik budi pekerti. Dia tahu Wafhi bukan mudah jatuh cinta dengan sebarangan gadis. Begitu juga anaknya, bukan mudah mempercayai orang. Pengalaman hidup mengajar anaknya itu menjadi seorang yang tegas di dalam persahabatan. Tidak ramai lelaki yang berani mendekatinya. Dia tahu itu.

Sudah lama dia tidak melihat anaknya itu ketawa. Wafhi pandai mengambil hati Suhaila. Sedikit sebanyak dia berasa lega. Setidak-tidaknya ada yang menyayangi dan memahami anaknya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.