Home Novel Cinta Cinta Di Perdu Hati
Cinta Di Perdu Hati
Raiza Khairina
21/11/2014 16:28:56
11,539
Kategori: Novel
Genre: Cinta

Bab 4

PANAHAN mata Suria tajam menikam. Namun, Iqram tidak sedar renungan tajam ibunya. Bahkan adiknya Suhaila turut tidak menyedari kelakuan aneh ibunya itu. Mereka terleka mendengar nasihat berguna daripada Ustaz Roslan.

“Pergi kau dari sini. Aku benci kau. Benciii...” bergempita suara Suria. Terkedu Haji Fuad dan isteri serta anak-anak saudaranya mendengar jeritan Suria itu. Tetapi, tidak pada Ustaz Roslan dan pembantu-pembantunya.

Ustaz Roslan sudah bersedia sedari tadi. Sejak awal pagi keluarga pesakit datang ke pusat perubatannya itu, dia sudah tahu ada sesuatu yang mendampingi Suria. Jiwanya tersentuh melihat wajah pesakitnya itu. Tanpa disuruh pembantunya yang seramai lima orang itu terus mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran.

Sejak akhir-akhir ini kian menjadi-jadi pula penyakit yang dihidapi Suria. Haji Fuad membawa dia berubat di Perubatan Islam Nihayatul Jati, Bagan Serai Perak. Ketika proses perubatan baharulah diketahui Suria terkena sihir.

“Argh...” Iqram tidak sempat berbuat apa-apa saat diterkam ibunya. Suhaila juga terjerit nyaring akibat terperanjat.

“Kau lelaki tak guna, Ibrahim.”

Haji Fuad, Puan Maria dan Suhaila menjadi cemas. Mereka berusaha meleraikan cengkaman tangan Suria di leher Iqram sambil dibantu pembantu Ustaz Roslan.

“Astaghfirullahalazim. Bawa mengucap Suria. Lepaskan Iqram,” jerit Haji Fuad sambil menarik tangan Suria.

“Aku nak bunuh dia. Dia jahat,” jerit Suria lagi. Sikapnya tidak terkawal. Kian lebat air mata Suhaila menitis di pipi.

Belas jadinya hati Haji Fuad sekeluarga terhadap Suria yang telah kehilangan orang tua dan diceraikan suaminya. Dibawa ke hospital, doktor sudah menganalisa penyakitnya. Sudah di ambil darah, kahak, najis, X-ray dan pelbagai ujian lagi. Akhirnya Suria disuruh pulang. Penyakitnya tidak dapat dikesan.

Sudah lama Suria menderita sakit. Simpati Maria terhadap adik sepupunya itu bertambah bila melihat wajah itu pucat tidak bermaya. Hilang sudah seri wajah anggun itu. Makannya juga turut tidak menentu. Adakalanya dia meracau seperti orang hilang akal. Menjelang maghrib dia menjerit tidak tentu hala. Ada ketikanya dia menangis tersedu-sedu. Pernah juga mengekek ketawa sambil mengilai nyaring. Naik seram bulu roma Iqram dan Suhaila saat melihat ibunya dalam keadaan begitu.

“Bersabarlah Fuad. Insyaallah Suria akan sembuh. Bukan dia yang bercakap sekarang ni.” Ustaz Roslan bersuara.

Haji Fuad dan isterinya saling berpandangan. Menitik lagi air mata di pipi Suhaila melihat keadaan ibunya itu.

“Amalkanlah bacaan Ayat Kursi pada permulaan siang dan permulaan malam. Lakukanlah bacaan ini sebagai amalan rutin. Insyaalllah akan terjaga dari maksud jahat orang zalim kerana selalu dalam perlindungan-Nya. Syaitan pun tidak berani mengganggu,” ujar Ustaz Roslan.

“Macam mana pulak sekiranya tiba-tiba ibu tidak sedar diri?” tanya Iqram.

“Usapkan dengan tangan kanan ubun-ubun kepala ibu, lalu bacakan doa ini;

Hilangkanlah penyakit wahai Rabb manusia dan berilah kesembuhan, sesungguhnya Engkau adalah Maha Menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali dengan kesembuhan dari-Mu, berilah kesembuhan total yang tidak menyisakan penyakit,” ujar Ustaz Roslan sambil menulis di atas kertas maksud ayat-ayat yang disebutnya itu dan juga bacaan surat Al-Falaq, An-Nas, Al-Fatihah atau doa-doa perlindungan lainnya dan diusapkan ke anggota badan yang sakit.

Suria didudukkan berlunjur menghadap kiblat. Sementera Ustaz Roslan memegang kepala Suria sambil mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Salah seorang pembantunya duduk di hujung kaki Suria. Seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri. Sementara yang lain diarahkan membaca ayat Kursi dan surah Yassin.

Buat seketika, keluar suara aneh dari celah bibir Suria. Perkataan yang tidak mampu difahami oleh sesiapa pun. Namun, Ustaz Roslan dan pembantunya langsung tidak mengendahkan. Penat terpekik terlolong dengan suara yang kuat, Suria akan jatuh pengsan. Meskipun pengsan, rawatan tetap dijalankan. Sebaik sedar sahaja dari pengsan, Suria diberi minum air terapi Al-Quran.

“Insyaallah, penyakit ibu kamu akan sembuh. Banyakkan istighfar dan berserahlah kepada Allah. Allah maha penyembuh dan maha mengasihani,” pesan Ustaz Roslan kepada Iqram dan Suhaila.

“Siapa yang tergamak buat ibu kami macam ni?” tanya Iqram tidak sabar. Suhaila turut menganggukkan kepalanya tanda ingin tahu.

“Siapa pun dia yang buat jahat, biarlah Allah yang membalasnya. Bawa bersabar banyak-banyak Iqram. Insyaallah, tak ada masalah yang tidak boleh di selesaikan.” Haji Fuad bersimpati pada nasib yang menimpa adik sepupu isterinya itu. Bahu anak saudaranya itu ditepuk perlahan.

“Apa yang boleh Iqram buat? Kasihan ibu jiwanya terseksa,” luluh jiwa Iqram bagai turut merasai kesakitan ibunya.

Hati Iqram dipagut rasa kesal pada ayahnya. Sakit hatinya pada ayah yang lupa pada tanggungjawab. Tiada lagi sikap mesra, kasih sayang dan perhatian ayahnya. Rindu pada ayah diganti benci. Kebencian yang tidak terbendung.

“Iqram jangan risau. Ustaz akan cuba bantu mengubati penyakit ibu Iqram hingga sembuh. Di samping tu, amalkan ayat-ayat Ruqyah yang ustaz bagi tadi dan juga wirid Fatihah sebanyak 100 kali sehari pada setiap-tiap selepas solat sebanyak 20 kali. Mintalah pada Allah supaya menguatkan semangat dan menyembuhkan penyakit ibu Iqram dan Suhaila.” Kusyuk Suhaila dan Iqram mendengar penerangan Ustaz Roslan.

“Hanya Allah swt yang berkuasa menyembuhkan setiap penyakit. Kita hanya berikhtiar mengubatinya,” celah Maria pula yang sedari tadi hanya membisu sahaja.

“Abang....” jerit Suhaila. Terkocoh-kocoh dia berlari mendapatkan ibunya.

“Kenapa Sue?”

“Ibu muntah darah lagi. Tidak berhenti-henti darah keluar dari mulut ibu,” sambung Suhaila lagi sambil tubuhnya menggigil akibat terkejut melihat sakit ibunya yang semakin melarat.

Serta merta resahnya datang. Jiwanya dipagut bimbang. Bimbangkan kesihatan ibunya yang kian meruncing.

Bergegas Haji Fuad dan Iqram masuk ke dalam rumah. Batuk Suria kian menjadi-jadi. Bajunya sudah basah dengan darah.

‘Ya, Allah! Kau kuatkanlah semangat ibuku. Kasihanilah dia. Sembuhkanlah penyakitnya. Aku yakin pada-Mu Ya Allah, setiap perbuatan zalim itu pasti akan mendapat balasannya yang setimpal di akhirat kelak. Kembalikanlah kehidupan normal ibuku.” Bisik hati kecil Iqram.

Previous: BAB 2
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.