Home Novel Cinta Cinta Di Perdu Hati
Cinta Di Perdu Hati
Raiza Khairina
21/11/2014 16:28:56
11,545
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

Bab 2


PERISTIWA itu sudah berbulan berlalu. Saat-saat meniti bahagia yang tidak mungkin dilupakan walau hidup beribu tahun lagi. Suria sangat menyayangi keluarganya. Dia tidak sanggup berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Namun, berita yang didengari dari jiran tertangga, rakan dan pengguna yang membeli barangan kesihatan darinya itu menyampaikan berita yang tidak disangka. Hati kecilnya sedikit banyak tercuit juga.

“Manalah tahu ituclient dia ke?” Suria cuba menidakkan kebenaran.

“Kalau setakatclient kenapa mesti mesra sangat. Bukan sekali dua akak jumpa, Suria. Pernah sekali di restoran, di pusat beli belah dan kalau tak silap akak dekat bank pun akak pernah terserempak dia dengan perempuan tu,” adu Juliah teman karibnya.

Suria terdiam. Ketenangan hatinya dipalu gundah. Resah memikirkan perubahan sikap suami. Benarkah perubahan itu ada kaitannya dengan berita yang dibawa? Ya Tuhan! Andai ianya terjadi Kau kuatkan keimananku, ketakwaanku dan kesabaranku.

“Akak minta maaf sangat-sangat kalau apa yang akak sampaikan ini bikin Suria tidak senang hati. Mungkin andaian akak salah. Tapi, apa-apa pun tabahkanlah hati menghadapi sebarang kemungkinan. Akak sayangkan kamu Suria.” Juliah memeluk bahu Suria. Sudah dianggapnya wanita itu bagai adiknya sendiri. Justeru itulah, kesedihan yang dialami Suria turut dirasainya.

Siapalah dia, untuk terus mengharapkan hari-hari yang penuh membahagiakan, hari-hari gemilang yang dipenuhi keceriaan dengan kehadiran zuriat penyambung kasih. Tidak pernah terfikir walau sehari begini nasib hidupnya. Diri diuji dan teruji dengan dugaan yang bertimpa-timpa hadir mengusik sukma.

Kenangan terindah kini, tinggal sejarah. Sisa-sisa ketabahan dan kesabaran dicari demi meneruskan kehidupan di sisi insan kesayangan. Suria tidak tahu di mana silapnya. Kenapa dan mengapa kisah suami berpacaran di luar sana rancak bertebaran? Lantaran sering sangat bisik-bisik orang sekeliling yang berkemungkinan hendak mengambil berat menampar cuping telinga, dia terus bertanya pada suami. Kebetulan kepulangan suami tengah hari itu, memberi peluang kepadanya untuk bertanya.

“Abang, Suria nak tanya sesuatu. Tapi, abang jujurlah dengan Suria ya?” dipandang wajah suami demi menuntut sebuah jawapan. Dilihatnya dahi Ibrahim berkerut seribu.

“Tanyalah. Apa dia?” pendek kata-kata Ibrahim.

“Apa kena mengena diri abang dengan Fauziah? Dia sepejabat dengan abang kan?” tanya Suria.

Berubah merah wajah Ibrahim ketika itu. Dia tidak pernah menyangka Suria akhirnya akan menanyakan soalan yang tidak pernah terlintas di benaknya selama ini.

“Mana awak kenal Fauziah tu?” soalan dijawab dengan soalan juga.

“Setahu Suria tiada nama lain yang selalu abang sebut. Fauziah, penolong kanan abang tu? Ditambah pula jiran, kawan-kawan dancustomer Suria selalu nampak abang dengan perempuan tu.”

“Awak tiada hak nak tanya. Hal pejabat biarlah abang yang uruskan.”

“Abang, Suria tidak berniat nak buat abang marah. Cuma Suria nak abang berlaku jujur dengan Suria. Itu aje.”

“Berlaku jujur dengan awak? Apa, selama ini abang tak jujur dengan Suria? Sampaikan Suria hendak mendesak abang macam ni?” Ibrahim berpura-pura tidak memahaminya. Pada hal sudah mengalir peluh di dahinya. Andai ada jalan untuk menghindar diri ketika itu mahu sahaja dia lakukan.

Suria menarik nafasnya dalam-dalam. Kemudian perlahan-lahan dilepaskan nafasnya.

“Suria bukan hendak mendesak abang, Suria cuma nak abang bercakap benar. Itu aje. Susah sangat ke abang nak bercakap benar? Sejak akhir- akhir ini abang dah....”

“Ah... susah cakap dengan awak. Abang sibuk bekerja siang malam di luar, awak pula sibuk nak menuduh abang yang bukan-bukan. Macam inikah sikap seorang isteri solehah? Tergamak awak menuduh abang yang bukan-bukan,” tempelak Ibrahim sinis.

“Abang... Suria belum habis cakap lagi. Suria bukan nak menuduh abang. Suria...”

“Ah, awak ni! Soal remeh-temeh macam ni pun awak nak ambil peduli. Sudahlah, saya penat,” kata Ibrahim sebelum berlalu.

Linangan air mata tidak mampu ditahan. Suaminya itu cuba mengelak. Seolah-olah menyembunyikan sesuatu yang tidak ingin dia tahu. Suria penasaran lagi. Sejauh mana kebenaran yang didengarinya masih menjadi persoalan.

Sayup-sayup terdengar suara orang memberi salam. Lantaran terlalu asyik melayan hiba, dia hampir terlupa hidangan tengah hari untuk anak-anaknya belum disiapkan lagi. Pantas dia menjawab sebelum membuka pintu utama.

Sebaik pintu dibuka, kedua beradik itu menyalami tangan ibu mereka. Mereka saling berpandangan. Ada sesuatu yang tidak jelas menjentik naluri.

“Ibu baru lepas nangis?” Iqram memberanikan diri bertanya.

Suria memandang anak sulungnya itu sekilas. Dikerdipkan matanya berkali-kali. Tindakannya itu sekadar ingin menyingkirkan sisa-sisa mutiara jernih supaya tidak kelihatan.

“Mana ada ibu nangis. Lagipun buat apa ibu nak nangis?” Suria menafikan.

Anak remaja seusia Iqram sudah bijak menilai. Dia tahu, ibunya itu berbohong. Namun, tidaklah dia serius memikirkan kerana baginya mungkin ada sebab tertentu ibunya menafikan. Suhaila yang terdiam sedari tadi, dipandang. Adiknya itu sekali lagi kelihatan dalam dunianya sendiri. Dia suka mengusik kala gadis kesayangannya itu hanyut dalam lamunan. Sebaik disergah, pantas saja adiknya terjerit manja. Jadi kecoh sebentar ruang legar rumah teres dua tingkat itu.

Suria tersenyum bahagia. Hilang resah yang bermukim di sanubari saat melihat keletah anak-anaknya yang nakal itu. Itulah harta yang sangat berharga buat dirinya. Tanpa anak-anaknya di sisi separuh nyawanya melayang.


SEJAK kecil Suhaila sering melihat ayah sebelum keluar dari rumah untuk pergi kerja. Ayah akan mencium dahi ibu. Lalu ibu akan menyalami tangan ayah sambil membisikan sesuatu yang hanya mereka suami isteri sahaja yang tahu.

Ibu akan tersenyum sepanjang hari dan menjalankan kerja rumah sambil menanti kepulangan ayah dari tempat kerja. Ibu akan menghantar pesanan ringkas pada ayah ketika keluar rumah untuk menyelesaikan sesuatu urusan. Ibu akan cepat-cepat pulang ke rumah sebaik selesai tugasannya.

Suhaila percaya, keluarga adalah rumah. Di mana sekalipun berada bersama keluarga, hidup sangat bahagia. Mensyukuri keberadaan keluarga sama juga menikmati rezeki besar anugerah Illahi. Segalanya sangat indah. Terpatri dalam lubuk ingatan.

Tetapi kini, kenapa keadaan tidak seperti dulu lagi? Kehidupan mereka sekeluarga sudah banyak berubah. Suhaila bingung memikirkan.

“Adik abang termenung lagi. Ada apa yang? Susah hati abang tengok.” Iqram menegur adiknya sebelum berlabuh di birai katil.

“Kalau Sue cakap abang bukannya percaya. Malaslah nak cakap.” Suhaila memuncungkan mulutnya. Lalu buku yang terhampar di hadapan matanya diselak.

“La, belum cakap apa-apa lagi dah merajuk. Elok sangat buat perangai macam tu,” ujar Iqram. Pelik benar dia dengan perangai adiknya itu.

“Abang tak berasa pelik ke dengan ayah dan ibu tu? Lain macam aje, Sue tengok!” ulas adiknya.

Iqram menarik nafas panjang. Dia sudah jauh menyelidiki permasalahan keluarganya. Apa yang dibimbangi, ditakuti ibunya benar-benar terjadi. Bisik-bisik jiran tetangga dan berita kurang enak yang dibawa rakan baik ibunya benar belaka. Bukan cakap-cakap kosong.

“Abang...” belum sempat Iqram menghabiskan kata-katanya, kedengaran sesuatu terjatuh. Dua beradik itu mengintai dari balik pintu.

“Yang abang tiba-tiba melenting ni kenapa? Kalau tak ada apa-apa masakan abang sampai hati nak jerkah Suria? Betul ke bang, apa yang Suria dengar lewat kebelakangan ni? ” Bertalu-talu pertanyaan Puan Suria.

Ibrahim kelihatan gelisah. Sikapnya berubah serta-merta. Dia jadi bengis tiba-tiba.

“Itulah awak suka sangat dengar cakap orang. Lebih percayakan orang lain dari suami sendiri,” tempelak Ibrahim lagi tidak puas hati. Masih menegakkan benang yang basah.

“Baiklah... apa alasan abang selepas melihat bukti yang Suria ada ni? Salahkah abang berterus terang? Suria nak abang bercakap benar itu aje,” ujar Suria cuba sedaya upaya menahan tangisnya. Dia tidak ingin air matanya terburai pada malam itu.

Wajah Ibrahim serta-merta keruh. Dia kelihatan semakin gelisah. Tidak ubah macam cacing kepanasan.

“Suria tahu abang serba salah waktu ini. Abang takut Suria tersinggung bahkan terguris dengan penipuan yang abang buat selama ini. Tapi, segalanya sudah tidak berguna lagi bang. Suria kecewa sangat-sangat. Abang, suami yang Suria percaya selama ini, Suria sanjung dari hujung rambut hingga ke hujung kaki sanggup membohongi Suria. Abang dah menikam Suria dari belakang. Suria sedar kekurangan yang Suria alami. Tapi, salahkah abang berterus terang?” Suria menghamburkan kata-kata. Emosinya tidak tenteram lagi.

Suria sudah tidak dapat menahan sabar lagi. Sampai bila dia mahu dirinya diinjak-injak sesuka hati oleh suami sendiri. Selama ini dia menutup telinga, pejamkan mata apabila suami membuat onar di belakangnya. Dia ada maruah. Maruah seorang isteri letaknya bukan di kaki. Demi sebuah kebenaran dia cuba merungkaikan segala persoalan pada hari itu. Dia tidak takut lagi kerana sudah terbukti kesahihan suaminya ada membuat hubungan dengan perempuan lain. Dengan bukti yang dia ada, segala teka teki selama ini akan terjawab.

“Kalau Suria takut terguris kenapa Suria tanya abang semua soalan-soalan ini?” Ibrahim tidak keruan. Pembohongannya selama ini tidak mampu menutup segala cela.

“Apa faedahnya abang menipu Suria? Abang tak sedar ke pembohongan abang itu nanti akan meragut kepercayaan Suria pada abang?” ujar Suria geram.

“Abang tak ada pilihan lain lagi. Abang sayangkan dia seperti mana abang sayang Suria.” Akhirnya Ibrahim mengakui juga. Pengakuan yang mana ibarat batu yang meghempap pundak isteri kesayangannya.

“Tak kisahlah apa pun keputusan abang. Suria terima asalkan abang tidak melakukan perbuatan mungkar. Sesuatu yang melanggar hukum hakam agama.” Meski berat membuat keputusan, Suria luahkan juga. Dia tidak mahu keinginan suaminya jika tidak dipenuhi memudaratkan dirinya pula. Dia tidak mahu jadi isteri derhaka.

“Iya... aku memang berhajat nak kahwin dengan dia. Si dia memang lebih berkemampuan. Lebih pandai melayan aku. Awak, apa tahu! Tahu nak berleter saja. Aku bosan... bosan hidup macam ni, tau tak.” Ibrahim berasa tercabar. Lantaran kerana itulah, dia tega melukakan hati isterinya.

Nada suara Ibrahim sudah bertukar nada. Dia sudah membahasakan awak dan aku dengan isteri yang selama ini disayanginya. Hancur luluh hati seorang yang bernama isteri. “Sampai hati abang cakap macam tu.” Suria sudah tidak dapat menahan air matanya lagi.

“Bersedialah. Sehari dua lagi aku akan bernikah lagi. Aku tak main-main,” ujar Ibrahim sebelum menuju ke pintu utama. Padanya, suasana dalam rumah itu tidak lagi memberi ketenangan.

Melihat Ibrahim berlalu, pasangan adik dan abang itu menghampiri ibu mereka. Sakit hati mereka melihat ibu kesayangan diperlakukan sedemikian rupa oleh ayah sendiri.

“Iqram benci ayah. Ayah jahat,” luah Iqram geram.

“Sudahlah Iqram. Jangan benci ayah. Diakan suami ibu dan ayah Iqram,” pujuk Suria meskipun hatinya sendiri dihurung hiba.

“Suami apa kalau begitu perangai dia,” tambah Iqram lagi.

“Janganlah disebabkan masalah ibu, anak-anak ibu hilang rasa hormat pada ayah. Tak baik. Allah marah,” kata Suria lagi.

Perasaan marah Iqram itu turut dirasai adiknya. Sudah hilang rasa hormatkah kepada ibuku? Beginikah sikap ayah yang selama ini menjadi kebanggaanku? Angkara seseorang yang terlalu asing dalam kehidupan kami, ayah berubah sedemikian rupa. Ya Tuhan, aku tidak mengerti! Bertalu-talu pertanyaan itu hadir di ruang fikiran Suhaila.




Previous: BAB 3
Next:

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.