Home Novel Cinta Cinta Di Perdu Hati
Cinta Di Perdu Hati
Raiza Khairina
21/11/2014 16:28:56
11,542
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Cinta Di perdu Hati

Prolog


Apabila kasih merimbun, pepohon pun berbuah lebat. Buah kasihnya ranum mengembang merimbuni kehidupan. Namun, sebuah cinta itu tidak lengkap dengan ucapan kata-kata sayang, belaian manja dan senyuman menawan semata-mata. Ianya butuh pengorbanan paling setia, siangnya dikaburi sinar mentari, malamnya berteman igauan mimpi...


SURIA resah tidak menentu. Dia runsing memikirkan anak terunanya, Iqram. Ke manalah anak kesayangannya itu pergi? Sejak pagi lagi sudah keluar. Hampir jam satu belum nampak batang hidung. Sekejap lagi bakal berakhir sesi persekolahan. Anak perempuan tunggalnya pun akan pulang. Mereka akan makan tengah hari bersama.

Sejak beberapa hari lepas mereka bertiga berkongsi kegembiraan apabila Iqram mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di UiTM, Dato Keramat. Namun, duit yang dikumpul tidak mencukupi. Hal ini menyukarkan keadaan untuk proses pendaftaran. Suria langsung tidak bersetuju dengan idea gila Iqram untuk meminta wang daripada ayahnya. Sudah tentu ayahnya itu akan naik hantu. Dia bimbangkan anak itu nekad dengan keputusannya.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam... ha, eloklah kamu datang ke mari Wafhi. Mak cik tak sedap hatilah. Iqram sejak pagi keluar belum pulang lagi. Ke manalah dia tu?” keluh Suria dengan debaran yang menggila. Desah nafasnya tidak teratur. Kebimbangan jelas ketara di wajah anggunnya.

“Dia ada cakap nak pergi mana?” Wafhi terkejut mendengar perkhabaran itu. Dahinya berkerut seribu. Ke mana pulak Iqram ni?

“Dia tak cakap. Tapi semalam ada beritahu mak cik dia nak jumpa ayahnya. Mak cik tak benarkan. Kamu tahukan kenapa!” Suria merungkaikan persoalan yang bermain di minda Wafhi.

Wafhi teringat satu perkara. Sahabat baik yang sudah dianggapnya saudara itu ada meluahkan isi hatinya. Dia mempunyai masalah kewangan untuk pendaftaran masuk universiti. Jadi, Iqram ada memberitahu dia untuk pergi ke suatu tempat yang tidak pernah dijejaknya selama ini.

“Saya tahu ke mana Iqram pergi. Mak cik sabar ye,” jawab Wafhi penuh keyakinan. Luluh jiwanya melihat keresahan yang dipamerkan Suria.

“Mak cik harap dia bukan ke tempat ayahnya,” harapan yang cuma tinggal harapan. Selebihnya Allah S.W.T lebih mengetahui apa yang dikehendakinya. ‘Ya, Allah! Kembalikanlah anakku dengan selamat. Lindungilah dia. Jauhilah dia dari segala musibah,” desis hati kecil Suria.

“Dia memang pergi ke sana mak cik. Beberapa hari lepas dia ada beritahu.” Wafhi berterus terang. Kusut jiwanya menumpang kesedihan yang bertamu di jiwa Iqram. Sahabatnya itu sudah banyak melalui kepayahan tanpa ayah yang memahami. Bukan mudah menjadi anak buangan. Ada satu-satu masa jiran tetangga memandang serong terhadap keluarga mereka. Menuduh tanpa usul periksa.

“Ya, Allah! Iqram ni macam tak tahu sikap ayahnya macam mana,” bertambah kalut dibuatnya Suria. Langsung tidak menyangka Iqram nekad bertemu ayahnya. ‘Ya, Allah! Lindungilah anakku,’ doa Suria dalam hati.

“Mak cik doakan yang baik-baik saja. Saya menyusul dia sekarang.” Wafhi bergegas mendapatkan motosikal kesayangannya. Ingin segera sampai ke tempat yang dituju. Langsung tidak diendahkan kepenatannya yang baru pulang dari sekolah.



“GOOD afternoon, miss... Miss Effa.” Iqram mengucapkan kata-kata hormat pada setiausaha ayahnya. Tanda nama yang tertera di baju gadis itu dijeling. Inilah kali pertama dia ke situ. Setelah sekian lama tidak menjejaki premis perniagaan di tempat ayahnya bekerja.

“Ya, encik. Boleh saya bantu?” jawab setiausaha Ibrahim sambil mengerutkan dahinya. Dia mengamati wajah itu. seakan pernah dilihatnya anak muda itu. Tetapi di mana?

“Saya nak jumpa ayah saya. Encik Ibrahim ada?” tanya Wafhi berterus terang.

“Encik Ibrahim ada. Tapi, encik ada temujanji dengan dia ke?” jawab setiausaha sambil melebarkan senyumannya.

“Saya anaknya. Ada urusan penting nak bincang dengan dia. Takkan itu pun tak boleh?” Iqram sudah mula hilang sabar. Darah mudanya mendidih tiba-tiba.

“Bukan macam tu, encik. Encik kena faham prosedur syarikat. Kalau tidak ada janjitemu susah nak buat perbincangan. Encik Ibrahim tengah sibuk di dalam,” terang Miss Effa itu lagi.

I don’t care. Saya perlu jumpa dia.” Iqram melajukan langkah ke arah pintu pejabat ayahnya. Tidak kisahlah apa yang bakal terjadi. Apa yang penting melampiaskan rasa tidak puas hatinya yang membelenggui jiwanya selama ini.

“Tapi, encik. Tindakan encik ni salah. Bawak bersabar sikit ya!” pujuk Miss Effa sudah mula berasa risau. Risau tidak pasal-pasal nanti dia dibuang kerja pula kerana gagal memenuhi arahan majikannya.

“Tak apa. Awak jangan takut. Saya ada,” jawab Iqram yakin. Di kuaknya pintu pejabat Ibrahim. Buat seketika mereka bertentang mata. Miss Effa yang melihat sudah mulai menggigil kepala lututnya. Wajah serius majikannya itu direnung. ‘Matilah aku kali ni. Apalah nasib aku hari ini.’

“Maaf,Encik Ibrahim. Saya dah halang tadi, tapi...”

Pantas Ibrahim memintas kata setiausahanya itu. Dia tahu setiausahanya itu sudah berusaha apa yang terbaik. Hampir tiga tahun dia mengenali gadis itu. Faham benar cara gadis itu menjalankan tugasnya. Dia sangat berpuas hati dengan potensi yang ditunjukkan.

“Tak apa. Awak boleh keluar,” mendudu Miss Effa itu keluar dari ruang legar pejabat majikannya. Tidak sanggup dia berlama-lama di situ. Sikap majikannya itu tidak boleh dijangka.

Ibrahim memberi tumpuan terhadap anak muda yang berdiri di hadapannya itu. Dia memberi isyarat mata meminta anak itu duduk. Iqram yang memahami bahasa tubuh ayahnya itu terus duduk di atas kerusi yang disediakan.

‘Saya datang ke sini ada hajat besar nak beritahu ayah. Harap ayah faham,” tersengih Ibrahim mendengar luahan Iqram. Dia seperti dapat menduga apa yang berlegar di minda anak muda itu.

“Kenapa? Ibumu dah tak larat nak tanggung kalian lagi? Datang ke sini semata-mata nak minta belas ikhsan aku, begitu?” terbeliak mata Iqram menahan rasa geram yang hadir di sanubarinya. Sudahlah ayahnya itu membuang mereka. Ahli keluarganya sendiri. Kini, sesedap mulut sahaja hendak menempelak ibunya. Siapa boleh tahan!

“Saya datang ke sini dengan niat baik. Ayah jangan cuba-cuba nak sentuh perihal ibu pulak,” jawab Iqram geram. Sudahlah mereka jarang berjumpa. Apabila berjumpa hangat pula suasana.

“Apa ayah-ayah! Siapa ayah kau. Aku tak ada anak yang kurang ajar macam kau,” sindiran Ibrahim bagai guruh yang bergempita di langit menunggu masa menembak mengena sasaran.

“Okey Tuan Ibrahim. Sikap tuan tak pernah berubah nampaknya. Apa bukti tuan yang yang saya dan Suhaila ni bukan anak tuan? Nak buattest DNA setelah sekian lama dulu kita mengecap bahagia? Macam tu ke? Tuan benar-benar tak layak dipanggil ayah sebab kegagalan tuan memberi kasih sayang dan tanggungjawab yang sewajarnya. Sampai bila tuan nak macam ni? Tuan nak tunggu malaikat maut datang cabut nyawa baru tuan nak sedar hakikat tuan mempunyai sebuah keluarga yang dah tuan buang?” tempelak Iqram berani. Hilang keterujaannya untuk berkongsi berita bahagia yang dibawanya. Terbang rasa hormat pada lelaki yang baharu melewati usia 40 an itu. Luka yang dulu kembali berdarah.

“Sudah! Anak tak guna. Baik kau keluar dari pejabat aku sekarang. Kalau tidak aku boleh sumbatkan kau ke dalam jel sebab menceroboh masuk ke pejabat ini. Faham!” lantang suara Ibrahim melantun keluar. Bergema hingga kemana-mana.

“Baik, saya akan keluar. Tunggulah Tuan Ibrahim balasan Allah Taala. Doa anak-anak teraniaya cepat dimakbulkan Allah. Tuan akan menyesal nanti,” tanpa berlengah Wafhi segera berlalu dari situ menuju ke pintu pejabat.

Ibrahim berang. Apa yang ada di atas meja dicampaknya ke arah anaknya itu. Mujur Iqram dapat mengelak. Anak itu duduk agak jauh darinya. Kalau tidak mahu dia lepaskan pelempang maut di pipi anak muda itu. Sungguh mencabar kewibawaannya sahaja.

Di suatu sudut kelihatan susuk tubuh asing yang mencuri dengar perbalahan dua beranak itu. Dia menjadi pengintip tidak bertauliah seseorang di pejabat itu. Hari itu benar-benar menyerlahkan identitinya sebagai pengintip yang berwibawa. Setelah yakin dengan segala yang didengarinya,lalu segera disampaikan informasi tersebut kepada orang yang mengupahnya. Senyuman yang terukir di bibir dilebarkan. Bangga betul membuat sesuatu yang sememangnya dimurkai Tuhan.



WAFHI yang baharu sampai di perkarangan pejabat Encik Ibrahim, perlahan-lahan memberhentikan motosikalnya. Dipandang kawasan sekitar kiri dan kanan mencari motosikal milik Iqram. Dari seberang jalan dia nampakmotosikal Iqram elok terparkir di bawah pokok rendang. Bukan tidak ada ruang kosong berhampiran pejabat Encik Ibrahim. Iqram seperti sengaja memarkirkan motosikalnya ditempat tersorok. Pelik dia memikirkan kerenah sahabatnya itu.

Sebaik memarkirkan motosikalnya, Wafhi melangkah laju ke arah pejabat Ibrahim. Dengan cuaca yang agak panas sedikit membakar kulit wajah yang kemerah-merahan itu. Dikesat renik-renik peluh yang membasahi wajahnya.

Namun, langkahnya terhenti saat terpandang susuk tubuh Iqram yang sedang melangkah ingin menyeberangi jalan. Anak muda itu menunduk sahaja ketika berjalan. Wafhi terperasan sesuatu. Langkah Iqram seakan tidak bermaya. Langsung tidak memandang kiri dan kanan jalan. Hatinya mulai berasa tidak sedap. Ya, Allah! Jauhkanlah sahabatku ini dari perkara yang tidak diingini. Janganlah kerana patah hati Iqram langsung tidak memikirkan keselamatan dirinya.’ Doa kesejahteraan dipanjatkan Wafhi di dalam hati. Dia lalu menjejaki Iqram.

Namun, siapa kita untuk menidakkan rencana Allah. Sebaik Iqram cuba hendak melintas jalan, anak muda itu sudah pun berkali-kali memastikan tiada kenderaan lain yang mengganggu tumpuannya untuk melintas. Apakan dayanya perkara yang tidak diingini berlaku juga.

“Iqrammmm, hati-hati!” Jerit Wafhi dari kejauhan. Belum pun sempat Iqram melintas datang sebuah kereta MyVi putih yang laju dari arah bertentangan. Tanpa belas kasihan melanggar Iqram hingga tubuh itu tercampak ke seberang jalan. Terpegun Wafhi melihat adegan yang tidak disangka itu berlaku di hadapan matanya. Cepat-cepat dia mendapatkan sekujur tubuh Iqram yang sudah berlumuran darah.

“Tak guna betul. Siapalah punya kereta tu? Dah langgar orang lari pulak. Celaka!” kedengaran satu suara yang tidak berpuas hati dengan pemandu MyVi tersebut. Sebaik melanggar orang, pantas sahaja memecut laju.

“Ya Allah, sahabatku Iqram. Bawa mengucap Iqram. Bersabarlah ya. Jangan tinggalkan aku. Tolong encik... tolong bawa kawan saya ni ke hospital.” Merembes air mata lelakinya membasahi pipi. Sekejapan sahaja kawasan kejadian dikerumuni orang ramai.

` “Naik kereta saya, naik kereta saya,” sahut seorang hamba Allah yang prihatin ingin membantu.

“Angkat dia cepat,” balas seorang lagi hamba Allah yang tidak dikenali Wafhi. Tubuh lemah Iqram diangkat menuju ke arah sebuah kereta yang berhenti di seberang jalan.

Mereka yang melihat turut terpempan. Tidak menyangka sama sekali kejadian seumpama itu berlaku. Ada yang sempat mencatit nombor plat pendaftaran kereta MyVi itu.

“Mengucap Iqram... bertahan ya. Kita ke hospital,” pujuk Wafhi yang erat memangku kepala sahabatnya itu. Darah keluar dengan banyaknya melalui hidung dan telinga Iqram. Nyawanya seakan-akan dihujung tanduk. Tangan kanannya juga terkehel tidak sempurna lagi. Lutut kaki sebelah kiri berlumuran darah. Ada luka sebesar ibu jari di situ.

“Wa... Wafhiii... to... tolong berjan...ji dengan aku. Kalau aku tak ada... to... tolong tengok-tengokkan ibu dan adik aku. Sayangi me... mereka seperti mana a... aku menyayangi mereka. Sampaikan salamku kepada mereka. Halalkan makan minumku,” dalam kepayahan Iqram menuturkan satu amanat. Wafhi hanya mampu mengangguk. Mengiakan sahaja permintaan Iqram itu.

Tanpa menghiraukan tubuh badan Iqram yang dilumuri darah, Wafhi memeluk kejap tubuh itu. Mungkin buat terakhir kali. Wafhi pasrah. Ketika itulah satu bisikan menyinggah di cuping telinganya. Iqram membisikkan sesuatu yang membuatkan dia terus terpana. Wasiat apakah ini?

“Iqram... bertahanlah. Aku tahu kau kuat. Janganlah tinggalkan aku. Kasihan adik dengan ibu kau. Mereka perlukan kau,” kata Wafhi tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang ditanggung sahabatnya. Perlahan-lahan Iqram menutup matanya. Terukir senyuman di bibirnya yang dipenuhi darah. Seakan-akan satu kepuasan pula apabila dapat meluahkan hasrat yang yang bergayut di tangkai hati.

Wafhi memeriksa nadi di pergelangan tangan Iqram untuk memastikan sahabatnya itu masih bernyawa. Sejurus selepas itu dia menarik nafas lega. Nadi Iqram berdenyut lagi.

“Abang, dia masih bernyawa. Masih ada harapan,” ujar Wafhi pada pemandu Proton Wira itu.

Pemandu kereta Proton Wira itu melajukan keretanya selaju yang boleh. Dia tidak mempunyai masa lagi untuk berlengah-lengah. Nyawa anak itu mesti diselamatkan.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.