Home Novel Cinta Cinta Di Perdu Hati
Cinta Di Perdu Hati
Raiza Khairina
21/11/2014 16:28:56
11,540
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Bab 1


SATU ketika Suhaila merasakan dia adalah insan bertuah kerana mempunyai keluarga yang sangat bahagia. Mempunyai ayah yang bertanggungjawab, ibu yang penyayang dan abang yang tinggi imaginasinya. Mereka sekeluarga sering meluangkan masa bersama. Encik Ibrahim selalu melakukan aktiviti bersama insan kesayangannya. Beriadah dengan basikal mengelilingi taman, sebulan sekali makan malam di restoran kegemaran dan memancing di kawasan air terjun. Sesekali bercuti panjang di kawasan peranginan.

“Ayah, saat-saat inilah yang buat Sue tak sabar datang lagi ke sini. Cantik sangat permandangan sekitar sini, ayah. Pandai ayah cariport tempat melepak,” ujar Suhaila meluahkan isi hati. Ketika itu mereka sekeluarga sedang menikmati udara segar di sebuah pusat peranginan.

“Ayah janji bila ayah selesaikan tugas ayah, kita datang lagi ke tempat macam ni. Tapi, biarlah di tempat lain pulak. Ayah suka bertukar-tukar angin. Asyik ke tempat yang sama boring juga,” luah Encik Ibrahim sambil tersenyum.

“Janganlah abang berjanji. Buatnya abang tak tunaikan janji tu, macam mana.” Suria mencelah. Tidak gemar cara suaminya memanjakan anak-anak.

“Alah, ibu... Sue percaya cakap ayah. Ayah tak pernah mungkir janji, kan?” Suhaila selalu menuntut setiap janji yang diucapkan ayahnya.

Suria menghadiahkan jelingan buat suaminya. Ibrahim akhirnya ketawa. Akur juga dengan kehendak anak perempuannya.

“Iyelah, ayah selalu tunaikan janji ayah. Ibu saja yang tak mahu percayakan ayah.” Saat itulah Ibrahim gembira melihat anak gadisnya melonjak kegirangan. Terserlah kebahagiaan di wajahnya melihat keluarganya bersatu.

Dari jauh tidak sampai sejengkal, Iqram datang menghampiri. Setelah puas bermandi manda bersama Wafhi, dia naik ke atas darat. Sahabat baiknya ketika kecil selalu juga menyertai mereka. Wafhi berasa dihargai dan disayangi ketika bersama mereka. Ini kerana sejak melewati usia remaja, dia sudah kehilangan ayah. Ayahnya meninggal dalam kemalangan ketika dia berumur 10 tahun.

“Ibu, jom makan. Iqram laparlah,” kata Iqram sambil membuat memek muka lapar.

“Abang kacau daunlah. Baru nak sembang-sembang dengan ayah.” Suhaila memuncungkan bibirnya. Tanda protes kerana perhatian orang tuanya kini beralih pula pada abangnya.

“Eh, nak salahkan abang pula. Abang betul-betul lapar ni. Tak gitu Wafhi?” Iqram menyiku lengan Wafhi. Wafhi tersengih sahaja.

“Iyelah tu. Perut kami pun lapar juga,” jawab Wafhi.

Berada bersama keluarga jirannya itu, Wafhi begitu menjaga adab sopannya. Pesan emak sentiada di bawa ke mana-mana.

“Sudahlah, tak baik bergaduh depan rezeki. Jom kita makan,” sela Ibrahim sambil tersenyum bahagia. Hadir satu perasaan yang tidak bisa diucap dengan kata-kata saat menghabiskan waktu bersama keluarga kecilnya.

“Okey, Iqram nak makan apa? Nasi tomato atau mehun goreng?” tanya Suria. Sepasang tangannya lincah menyenduk nasi tomato ke dalam pinggan plastik buat suaminya.

“Iqram nak nasi tomato,” jawab Iqram. Dia memang suka nasi tomato masakan ibunya. Wafhi mengiakan saat ditanya Suria.

Suhaila memilih untuk makan mehun goreng kantonis. Diminta ibunya menyenduk sedikit nasi tomato ke dalam pinggannya. Sebaik sahaja Iqram selesai membaca doa makan, mereka menikmati hidangan pagi itu dengan begitu berselera sekali.

Sambil makan, kecoh mulut Iqram dan Suhaila bercerita itu dan ini. Sesekali ditegur Suria. Bimbang tersedak makanan yang ditelan.

Ibrahim turut berkongsi cerita pengalaman kerjanya. Dia mahu anak-anaknya itu mewarisi bakat berniaga yang ada dalam dirinya. Dahulu keluarganya berjaya hasil titik peluh orang tuanya. Perniagaan warisan keluarga kini diurus oleh abang sulungnya pula. Sebuah perniagaan kedai runcit dan serbaneka di daerah tempat kelahirannya di kampung.

Riuh sebentar suasana keluarga bahagia itu. Suria sangat senang melayan kerenah anak-anaknya. Itulah harta yang sangat bernilai buat dirinya. Dalam diam hati berbisik, berharap kebahagiaan keluarganya berkekalan selagi hayatnya dikandung badan.

Selesai makan, Suhaila membantu ibunya mengemas. Pandangan sayang dilemparkan buat ayah, abang dan Wafhi yang berjalan beriringan menuju ke kawasan air mengalir yang agak dalam. Kelihatannya mereka ingin memancing.

“Jangan lupa pancing ikan yang besar-besar tau, bang. Boleh makan ikan bakar malam ni,” ujar Suhaila sambil ketawa.

“Okey, nanti dapat ikan besar-besar Sue yang bersihkan. Ibu masak sedap-sedap, tau!” laung Iqram pula. Ibrahim menggeleng sahaja mendengar anak-anaknya berbalas kata.

Whatever. Suka atau tak pancing ikan banyak-banyak,. Kalau tak kena denda,” ujar Suhaila lagi. Suka benar menyakat abangnya.

“Sudahlah sayang. Malu dengan orang sekeliling. Nak dengar suara kau orang berdua sahaja,” balas Suria sambil membetulkan tikar buluh yang dihampar.

“Padan muka ada orang kena marah.” Wafhi ketawa mengejek. Dia mengenyitkan mata saat Suhaila mencebik.

Diam tak diam, hampir petang mereka bersantai di kawasan peranginan itu. Pengunjung pun sudah berganti orang. Suasana redup dan nyaman memang menyenangkan sesiapa sahaja. Sudah pasti anak-anak kecil yang paling gembira kerana berpeluang bermandi-manda.

Dari jauh, disebalik pohon pokok yang tumbuh merimbun, tanpa disedari mereka kelihatan sesusuk tubuh seseorang galak memerhati. Dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Hampir sahaja diketahui keluarga bahagia itu apabila kelibatnya di situ ketahuan orang.

ACAP kali juga kenangan bersama keluarga menyusur lalu dalam imbauan Suhaila. Senyum simpul sentiasa menghiasi bibirnya apabila saat-saat bahagia bersama orang tuanya hadir mengusik kalbunya.

“Rumah kita tak jauh lagi dah. Ibu masak apalah ya hari ini?” kata Iqram seakan hendak berlari pulang sahaja ke rumah.

Ketika itu Iqram dan adik perempuannya dalam perjalanan pulang dari sekolah. Kedudukan sekolah tidak jauh dari rumah mereka. Mereka tidak kisah berjalan kaki ke sekolah. Hanya lima belas minit sahaja masa di ambil. Kalau berbasikal pula, tidak sampai sepuluh minit sahaja.

“Nampaknya abang bercakap dengan angin sejak tadi. Sempat lagi dia berangan.” Ucap Iqram sambil melirik adiknya di sisi. Namun, tiada tindak balas. Suhaila seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Idea nakal datang dalam mindanya.

“Hati-hati Sue ada ulat dekat kaki!” pantas saja Iqram melemparkan ranting kayu yang ada di tangan ke arah kaki adiknya.

“Ibu, tolong Sue... tolong cepat, ada ulat dekat kaki!” Suhaila terjerit kecil. Lantang. Ada juga seorang dua yang memandu kereta memandang ke arah mereka hanya menggeleng kepala.

Suara gelak Iqram kedengaran di mana-mana. Waktu itu mereka dua beradik dalam perjalanan pulang dari sekolah. Rutin berjalan kaki ke sekolah yang jarang mereka lakukan. Selalunya mereka menaiki basikal. Cuma pagi itu adik manjanya itu ingin berjalan kaki pula. Alasannya sesekali berjalan kaki apalah salahnya. Bukan jauh mana pun kedudukan rumah dengan sekolah mereka. Akhirnya dia mengalah tanpa rela.

“Abang jahat. Tergamak abang buat Sue macam ni.” Suhaila memasamkan wajah. Dia terasa dipermainkan.

“Abang geram sebab dari tadi abang bercakap sorang-sorang. Sue berangan pula.”

“Ah! Alasan abang saja.” Suhaila melajukan langkahnya meninggalkan Iqram jauh di belakang.

“Abang gurau ajelah. Itupun nak marah.”

“Sue tak beranganlah. Sue tengah fikir ni.”

Entah mengapa rasa takut menyelimuti perasaan. Jujur diakui suasana bahagia yang dirasa bagai menjauh pergi. Suatu dahulu biasa bercanda bersama keluarga sambil menonton tv setiap malam, merasa kasih sayang ibu dan ayah sepanjang masa. Namun, ada sesuatu yang bakal meragut kebahagiaannya. Sesuatu yang bakal menggugat kesabaran ibu mereka. Mengingatkan itu semua, perasaan Suhaila jadi tidak tenteram.

“Sue ada masalah ke?” Iqram menghampiri adiknya. Bimbang menerjah sanubari.

“Abang tak perasan ke perubahan ayah kebelakangan ni? Asyik balik lambat aje. Pergi kerja pun sudah tak sempat nak bersarapan. Itu bukan perangai ayah kan?” Suhaila meluahkan rasa tidak sedap hatinya.

“Abang pun terfikir juga. Tapi, apa yang patut kita buat?” kata Iqram sambil menggaru kepalanya.

“Terus terang dengan ayah. Cakap dengan ayah elok-elok, tak patut buat ibu macam tu.” Suhaila memberi idea.

“Kalau ayah melenting macam mana?” Iqram mengerutkan dahinya.

“Ayah kita tak macam tu. Lembut dalam kata. Sikap marah-marah, panas baran tu semua bukan sikap ayah kita,” kata Suhaila yakin.

“Abang... sebenarnya pernah nampak ayah dengan ibu bergaduh.”

“Kenapa tak cakap dengan Sue?” Suhaila tercengang.

“Sue tengah ada ujian. Abang tak nak ganggu.”

Suhaila mati kata. Dia hilang punca. Tidak tahu bagaimana hendak mentafsirkan ketidaksenangan yang bergumam dalam hatinya.




Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.