Home Novel Cinta Cinta Di Perdu Hati
Cinta Di Perdu Hati
Raiza Khairina
21/11/2014 16:28:56
11,536
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

Bab 3


AKHIRNYA Ibrahim selamat diijabkabulkan. Dalam keterpaksaan Suria merelakan. Sedaya upaya memujuk diri agar merestui pernikahan itu. Meskipun terdapat halangan daripada keluarganya, rancangannya untuk memperisterikan Fauziah tetap diteruskan. Suria tidak mengambil pusing sikap endah tak endah Fauziah yang sudah sah menjadi madunya itu. Dari awal lagi dia belajar untuk ikhlas menerima. Jadi, dia amat berharap madunya itu dapat menerima dirinya seada apanya.

Suria mencari ketenangan dengan membaca pelbagai buku dan sumber bacaan dari internet untuk merawat hati yang terluka, agar mampu bangun dan menghirup udara Allah ini dengan kekuatan baru dan tidak berterusan meratap hiba. Dalam diam dia berharap akan ada sinar kebahagiaan baik di dunia mahupun di negeri abadi.

Suria berusaha merawat diri daripada belenggu emosi dan bisikan buruk dari dalam hati. Namun, sikap Ibrahim benar-benar berubah. Perhatiannya tidak lagi adil terhadap Suria dan anak-anak. Apatah lagi selepas Fauziah disahkan hamil anak mereka. Suria merasa keanehan yang luar biasa saat Ibrahim pulang ke rumahnya. Segalanya jadi baik-baik sahaja apabila Ibrahim pulang ke rumah isteri kedua. Persoalan yang bermain di benaknya saban waktu.

“Kenapa dengan Abang ni? Kenapa?” Suria jadi risau melihat suami menggelisah sahaja.

“Panaslah dalam rumah ni. Yang awak tu kenapa tampal bedak macam opera China?” komen Ibrahim tidak puas hati.

‘Panas? Opera China? Bila pulak aku pakai masker ni? Seingat aku, aku tak pernah pakai masker. Sekadar krim malam tu adalah,’ ngomel Suria di dalam hati.

“Dah pasang ‘aircond’ pun masih panas lagi ke bang? Kenapa abang cakap saya pakai bedak macam opera China? Mana ada Suria pakai bedak?” beritahu Suria, jujur.

“Arghhh!” Ibrahim mendengus sebelum berlalu keluar dari kamar mereka.

Punah harapan Suria. Baharu saja dia mahu bermanja dengan suaminya. Mendambakan belaian kasih sayang suami seperti dulu-dulu. Emosi Ibrahim berubah tanpa diketahui puncanya.

Ketika melintasi di antara ruang dapur dan ruang tamu, Suria seakan ternampak kelibat lembaga hitam melintasi tingkap ruang tamu rumahnya. Pantas tanpa meninggalkan jejak. Dia menghampiri Ibrahim. Serta-merta tubuhnya menggigil ketakutan. Riak wajahnya berubah pucat kerana terkejut. Seumur hidupnya, inilah kali pertama melihat lembaga aneh yang muncul entah dari mana.

“Awak ni kenapa? Dah hilang akal? Dah buang tabiat?” Ibrahim menengking pula. Spontan meluncur laju di bibirnya. Tidak dihiraukan punca sebenar isterinya itu ketakutan. Entah angin apa yang merasuknya, dia sendiri tidak faham.

“Abang… selama ni abang bercakap baik-baik saja dengan Suria. Kenapa sejak akhir-akhir ni abang dah tak macam dulu lagi? Apa salah Suria?” Suria melepaskan rasa yang berbuku. Seingat dia sejak kahwin tidak pernah dia ditengking begitu. Luluh hatinya apabila yang menengkingnya itu suami yang disayanginya. Sesekali dia mengerling tingkap ruang tamu rumahnya. Kelibat lembaga hitam tadi masih membayanginya.

Suria yang mendengar pun mahu gugur air matanya. Apa salah dirinya dilayan begitu? Dia tiada hak untuk diperlakukan begitu. Dia seorang isteri yang ditatang bagai minyak yang penuh oleh lelaki yang selama ini sangat menyayangi dirinya. Tetapi, sekarang sikap penyayang itu sudah tiada. Hati Suria yang sudah layu menjadi semakin sedih.

“Bila abang cakap, ada jer jawapan awak. Ish! Susah!” kasar nada suara Ibrahim. Dia baharu sahaja hendak merebahkan diri di sofa ruang tamu rumah mereka.

“Suria tak berniat pun macam tu. Suria terkejut tadi. Ada lembaga hitam melintas di luar tingkap rumah kita. Itu saja,” ujar Suria, jujur. Dia memerhati gelagat Ibrahim yang berlalu menuju ke tingkap rumahnya. Diselak-selak langsir tingkap. Tidak ada apa-apa di situ.

“Mana ada apa-apa. Hanya perasaan awak saja,” balas Ibrahim tidak lama kemudian. Dalam masa yang sama hati lelakinya terusik. Berasa pelik pada perubahan sikapnya sendiri. Namun, tidak lama. Rasa itu hilang selepas dia merasakan alasan penat sikapnya berubah.

“Abang nak pergi ke mana?”

“Abang nak tidur dalam bilik tetamu. Panas dekat atas.” Berkerut dahi Suria memikirkan kata-kata suaminya itu. Selama mereka berkahwin tidak pernah sekalipun mereka tidur berasingan. Hadir cuak daripada sanubarinya.

“Abang…”

“Sudahlah, saya nak tidur. Esok nak kerja,” balas Ibrahim tanpa memandang isterinya itu. Malam itu dia ingin sendirian dengan harapan segalanya kembali baik-baik saja keesokkan harinya.

Mahu atau tidak Suria mengalah lagi. Segala rasa kurang enak yang menghimpit perasaan ditolak ke tepi. Namun begitu, kejadian aneh yang dilaluinya kebelakangan ini tidak langsung dilupakan. Dia amat berharap kejadian-kejadian aneh yang dilalui cuma sekadar ilusi sahaja.

SEJAK Ibrahim bernikah lagi, jiwa Suria terseksa, batinnya merana. Ibrahim tidak lagi prihatin seperti dulu. Sikapnya berubah jadi pembengis. Sering mengeluarkan kata-kata kasar yang menyakitkan hati. Hubungan mereka menjadi dingin. Suria dibenci tanpa sebab yang tidak diketahui.

Segala rasa aneh, kejadian-kejadian pelik yang dialami seperti melihat bayangan hitam berjalan berdekatan rumah, mendengar bunyi orang berjalan, dengusan kuat serta cakaran di dinding segera diceritakan pada suami. Malangnya, suami tidak mengendahkan.

“Awak ni tak habis-habis nak buat cerita. Itulah selalu sangat tengok drama pelik-pelik. Bila dah mimpi yang bukan-bukan mulalah awak nak merengek dengan saya,” balas Ibrahim geram. Semakin tidak selesa dengan keadaan isterinya itu.

“Suria mana ada masa nak menonton tv. Sibuk ke sana ke mari. Abang sendiri tahu, kan? Suria ni macam mana?” bentak Suria. Lelah dibuatnya kerana sejak akhir-akhir ini dia tidak cukup rehat dengan rutin harian. Ditambah kejadian-kejadian pelik yang dialami. Kenyataan suami pula bagai tidak mengenali dirinya buat menambah kusut jiwa.

“Itulah awak. Bila saya cakap, awak membantah. Ada saja jawapan awak. Awak fikir awak saja yang betul. Cakap-cakap saya ni tak ada makna lagi kan?” jawab Ibrahim tidak masuk akal.

“Abang ni kenapa? Apa salah saya? Dahulu abang tak macam ni!” Suria membentak lagi. Meluahkan rasa yang membuku di dalam hati.

“Aku penat kalau selalu macam ni. Balik sini kalau tak bergaduh dengan awak tak sah. Bila tak balik aku dituduh tidak adil. Habis apa yang patut aku buat?”

Suria mengecilkan anak mata. Kecil sahaja batang tubuh suaminya itu dari pandangan matanya.

Apa dah jadi dengan abang? Sejak abang kahwin lain, ada saja tak kena. Bukan nak bantu Suria selesaikan masalah Suria. Tapi, kata-kata abang langsung tak membantu. Abang salahkan Suria pula,” jawab Suria lantang. Tidak mampu menahan sabar lagi.

Ibrahim mendekati Suria. Buat pertama kalinya, kesan lima jari miliknya melekat mengena pipi mulus Suria. Dia terpempan. Akibatnya dia terjerit nyaring. Tidak pernah seumur hidupnya menerima hadiah berbisa seperti itu. Hadiah daripada seorang suami yang pelembut, penyabar suatu ketika dahulu. Hari itu dia seperti tidak mengenali suaminya sendiri.

Air mata, tanpa dijemput mendudu keluar, Suria cuba menahan. Namun, semakin ditahan, empang dada menyesakkan dan memecahkan sukma. Tapak tangannya diletakkan balik pada bekas pijar tadi, seakan memegang tangan Ibrahim yang memujuknya dan memohon maaf. Menggeletar seluruh tubuh dan giginya juga bergetapan sambil menahan segala-galanya. Segala-galanya menyakitkan. Seolah-olah tamparan tadi serentak datangnya dengan sedas tembakan yang menembak tepat ke hati.

Tanpa belas kasihan Ibrahim berlalu pergi. Fikirannya jadi serabut seandainya berlama-lama di situ. Di rumah yang pernah menjadi syurganya itu kini padanya sudah layu. Tiada lagi kemanisan. Tiada lagi haruman kasih sayang. Segalanya tidak penting lagi. Baginya, Suria dan anak-anak bukan tanggungjawabnya lagi. Dia perlu mengejar kesempurnaan hidup yang lebih bermakna. Kesempurnaan itu tiada pada Suria. Terbayang wajah kekasih hati yang sedang tersenyum di tubir mata, jiwa lelakinya seakan tidak sabar untuk segera kembali ke sisi wanita yang sudah dinikahinya itu.



Previous: Bab 1
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.