Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,448
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 26

BAB 26

TERPEGUN Zahim melihat persekitaran kediaman Nurain yang dihiasi landskap menarik di halaman rumah. Pelbagai jenis bunga hidup dan pokok keladi hiasan yang ditanam di sudut kiri sebelum masuk ke dalam rumah kelihatan menarik dan menyerlah dengan aksesori hiasan seperti batu pelbagai saiz, bentuk dan warnanya yang menarik dan ditaburkan di hadapan pagar mini yang dibina. Ini belum lagi melangkah masuk ke dalam rumah. Dia memuji kebijaksanaan penghuninya menghias rumah menjadi secantik itu dalam hati.

Nurain dengan ramah menjemput mereka bertiga masuk ke dalam rumah. Seorang demi seorang teman-teman rapat Nurain melangkah masuk ke ruang tamu utama. Dia berbesar hati menerima kunjungan teman-temannya itu. Dalam pada itu dia perasan teammereka kurang seorang.

“Eh... mana Ila? Kau orang tak ajak dia ke?” Ketiga-tiga orang sahabat itu saling berpandangan.

“Ala... Ain. Apa susah-susah? Call aje dia. Rumah dia pun tak jauh dari sini, kan!” cadang Norly.

“Ye tak ye jugak,” jawab Nurain sambil menggaru kepalanya. Entah gatal entah tidak.

Nurain menyeluk poket seluar jeansnya. Dia ingin menghubungi saudara sepupunya itu. Namun, tidak jadi berbuat kemudian apabila dimaklumkan oleh Mak Leha, Ila ada menelefonnya ketika dia tidak ada di rumah pagi tadi. Gadis itu memaklumkan bahawa dia mengikut keluarganya pergi berkelah di Bukit Merah.

Zahim masih meneliti setiap sudut di dalam rumah teres dua tingkat itu. Hatinya tertarik. Dari pengamatannya, pemilik rumah tidak banyak menggunakan perhiasan yang agak berat dan sarat. Pemilihan perabotnya serba sederhana. Sekadar satu set sofa menghiasi ruang tamu utama.

Zahim terleka memandang hiasan dinding rumah. Beberapa buah bingkai gambar hiasan itu menarik perhatiannya. Pendek kata, ringkas dan lapang memberi keselesaan sama ada kepada penghuninya mahupun tetamu. Kemudian matanya terarah kepada satu sudut di ruang makan tamu di mana sebuah almari kaca yang menempatkan barang-barang yang dia sendiri tidak mengetahui isinya. Dia tidak sedar namanya dipanggil. Setelah dicuit oleh Zakry, baharulah dia bersuara.

“Duduklah dulu ye, Yim, Ain nak ke dapur siapkan minuman,” kata Nurain, sekilas meneliti wajah Zahim yang hitam manis dan berkumis itu. Tidak banyak berubah penampilan lelaki itu di mata Nurain. Cuma, kumis nipisnya menambah ketampanan lelaki itu. Selepas menghadiahkan senyuman manis, Nurain berlalu ke dalam.

Nurain teringat perbalahan yang berlaku di antara dia dengan Zahim beberapa minggu lalu. Terdetik di hati, untuk apa dikenangkan perkara itu. Sedangkan kesalahan Zahim tidak sebesar mana. Dia sudah pun memaafkan lelaki itu.

Tidak ke mana perginya jika dilayan hati yang merajuk. Sudahnya dia sendiri yang akan merana kerana memendam rasa geram, kecewa dan marah.

Dalam diam, Nurain berusaha memujuk diri menerima Zahim sama seperti dulu.

“Mak Leha dah pun siapkan minuman.”

Belum pun sempat Nurain berlalu menuju ke binaan anak tangga yang memisahkan ruang tamu dengan ruang makan tamu, Mak Leha terjenguk di situ dengan sedulang minuman dan sedikit kuih buat menjamu tetamunya.

“Mak Leha! Mak Leha! Pantas saja kerja Mak Leha ni,” ujar Nurain sambil memberi laluan kepada Mak Leha.

Mak Leha tersenyum.

“Tak ada susahnya menyiapkan minuman, noh,” kata Mak Leha pula dengan loghat Indonesianya biarpun sudah lama menetap di Malaysia. Tambahan pula dia tidak mempunyai anak. Cuma, anak-anak saudara yang menumpang kasih sayangnya. Suaminya sudah lama meninggal di negara seberang. Keluarga majikannya itu sudah dianggap seperti ahli keluarganya sendiri. Dia terhutang budi dengan layanan baik yang diberikan Puan Aina dan Encik Ghazali.

Nurain mendial nombor telefon bimbit abahnya. Sekurang-kurangnya dengan kehadiran abah dan adik lelakinya, kedua-dua orang rakan lelakinya itu ada teman berbual. Dia ada kerja perlu dibereskan di dapur.

Sementara menunggu kepulangan abah dan adiknya dari berjoging, Nurain membawa rakan-rakannya menikmati udara segar di belakang rumah di mana ada kolam ikan yang dibina hasil kreativiti abahnya. Di situ mereka sering menghabiskan masa bersama. Aroma bunga-bungaan yang ditanam oleh Puan Aina sungguh menyegarkan. Mereka terpaku melihat keindahan bunga yang menghiasi sekeliling kolam ikan bertingkat itu. Ada pelbagai jenis bunga ditanam di situ.

“Kolam ikan ini idea abah. Abah memang suka bela ikan. Umi pulak suka tanam bunga. Jadi, depa ni berkongsi idea bagi menghasilkan binaan kolam ikan bertingkat yang menarik. Sedap mata memandang.”

“Memang sedap mata memandang pun, Ain. Macam duduk kat sebuah tasik pulak. Pendek kata, tak payah pergi jauh kalau nak menghayati keindahan alam. Belakang rumah Ain pun boleh,” kata Norly pula. Seiring dengan itu, mereka berempat ketawa lucu.

“Ye la. Cuci mata kat sini pun damai. Tengoklah punya kreatif abah dengan umi Ain ni,” puji Zakry pula.

“Kalau macam tu, sudi-sudilah mai ke sini selalu. Ain gembira sangat kalau kau orang datang melepak kat sini. Boleh gak kita berkongsi cerita,” ujar Nurain lagi.

Kedengaran suara Encik Ghazali berbual dengan Puan Aina di dapur. Nurain mengajak teman-temannya masuk ke dalam melalui pintu utama. Rasa tidak manis pula mengajak mereka masuk melalui pintu belakang. Selepas memperkenalkan teman-temannya kepada abahnya, dia meminta diri beredar ke dapur. Norly mengekorinya.

“Tak payah susah-susah la Ain. Masak ala kadar aja la. Kami tak kisah pun kalau hanya ada sambal belacan dengan ulam-ulaman. Pagi tadi kami dah pekena nasi lemak,” kata Norly.

“Jangan macam tu. Ain dah janji nak masak, kan?”

Norly terpaku melihat suasana dapur yang luas itu.

“Umi dengan bantuan Mak Leha dah siap masak pun. Siap dengan pencuci mulutnya sekali, puding karamel,” kata Puan Aina yang sedang menyenduk kari ayam ke dalam mangkuk.

“Patut la bau sedap semacam. Emm... nampaknya tak dapat la Ain nak buktikan kepakaran Ain memasak hari ni,” kata Nurain.

“Ala Ain. Norly tengok orangnya pun Norly dah tahu. Tak payah la nak susah-susah masak untuk kami.”

“Jangan puji lebih-lebih, Norly. Anak untie ni pantang dipuji.”

Serta-merta Nurain menarik muka masam. Berpura-pura merajuk.

“Ye ke? Alamak, kenalah Norly tarik balik kata-kata tadi tu.”

“Umi ni.”

Mak Leha dan Puan Aina ketawa serentak. Kemudian disusuli Nurain pula yang tidak tahan melihat umi dengan pembantu rumahnya ketawa.

Tidak lama kemudian, Puan Aina meminta diri untuk mengerjakan solat zuhur. Nurain mengambil kesempatan itu menyediakan hidangan di atas meja di ruang makan tetamu. Bau kari ayam, sup sayur campur, sambal tumis udang, acar timun, sambal belacan dan sedikit ulam itu sungguh menyelerakan.

Mereka makan dengan berselera sekali. Zakry tidak segan menambah nasi Cuma, Zahim sahaja yang malu-malu dengan orang tua Nurain. Mujurlah Encik Ghazali seorang yang mudah mesra dan peramah. Tidak kekok melayan tetamu. Nurain senang hati melihat teman-temannya itu berselera makan masakan uminya.

Selesai makan, Puan Aina dan Encik Ghazali memberi ruang kepada Nurain berbual-bual dengan teman-temannya. Banyak perkara yang hendak anak-anak muda itu bualkan. Jadi, sebagai orang tua, mereka tidak mahu campur tangan perihal yang berkaitan dengan anak gadis mereka. Kesempatan yang ada itulah memberi peluang kepada Nurain menerangkan serba sedikit berkenaan produk keluaran syarikat milik keluarganya.

Satu hal yang menjadi tanda tanya di benak Nurain, ketika mereka berempat itu leka berbual-bual, tiba-tiba sahaja Norly dan Zakry memohon diri beredar ke belakang. Kononnya tidak puas melihat panorama indah di persekitaran kolam bertingkat itu. Kedua-dua orang temannya itu seperti tahu apa yang mahu dibicarakan oleh Zahim dengannya. Namun, Nurain cuba tidak memikirkan sangat tentang itu kerana dia tidak mahu rasa marah, geram dan kecewa kembali bermukim di hatinya. Dibiarkan saja Norly dan Zakry berlalu.

Zahim lebih banyak berdiam diri. Dia seolah-olah mati kata untuk berbual-bual dengan Nurain. Padahal sebelum ini, dia paling nakal suka mengusik Nurain. Sesekali Nurain menahan tawa melihat sikap Zahim yang kelihatan seperti segan hendak berbual-bual dengannya.

Ada yang tak kena pada Zahim ni. Tapi apa, ya!

“Yim. Dah petang ni. Jom balik, nak?” Terkejut Zahim di tempat duduknya. Norly dan Zakry sudah berada di depan mata mereka berdua.

“Yalah, Yim. Dah petang ni. Nanti mama marah pulak. Norly keluaq pun sejak pagi lagi.”

“Alah! Anak dara ni tak boleh berenggang dengan mama dia pulak.” usik Zahim, cuba menutup keresahan hatinya.

“Hei... orang serius ni.”

“Ye la! Ye la! Kami nak mintak diri dulu la, Ain. Terima kasih kerana belanja kami makan hari ni,” ujar Zahim sambil tersenyum.

“Kasih diterima. Nanti kita confirm balik, ya. Ain call you all when I free, okay.”

Norly dan Zakry berpandangan.

Wait! Wait! Apa ni? Tak faham,” kata Zakry.

“La... tadi kata nak ikut Ain pergi melawat ladang herba di Tanjung Dawai?” ujar Nurain, mengingatkan mereka.

“Ya tak ya jugak. Lupa,” ujar Zakry, tersengih.

“Tua sebelum waktunya,” ujar Encik Ghazali yang mendengar perbualan mereka. Mereka semua ketawa serentak. Selepas bersalaman, Zahim, Zakry, dan Norly memohon diri untuk beredar pulang. Nurain menghantar rakan-rakannya pulang hingga bayangan kereta Proton Wira milik Zakry hilang dari pandangan.

Sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah, telefon bimbitnya berdering pendek menandakan ada mesej masuk.

Hi Ain! Tntng hari tu, Yim minta maaf byk2. Mungkin kata2 Yim dah menyinggung perasaan Ain. Walau apa pn keputusan Ain, Yim terima. B’pun hati Yim sedikit kecewa. Yim x memaksa. Utk apa memaksa? Kita msh kwn kan?

Nurain tersenyum selepas membaca mesej yang ditulis oleh Zahim itu. Hatinya sedikit tersentuh dengan pengakuan ikhlas Zahim itu. Namun, apa yang mampu dilakukannya. Dia tidak mungkin jatuh hati pada teman yang sering menemani dan membincangkan isi pelajaran yang tidak difahaminya.

I’ts okay. Ain tabik hormat pengakuan Yim tu. Yim berani meluah’n rasa hati. Namun, x ada apa2 rasa di hati Ain buat Yim. Hrp Yim fhmlah. Ain doa’n Yim b’jumpa dgn seseorg yang lbh baik lg.

Nurain menekan punat REPLY pada permukaan skrin telefon bimbitnya dan menaip ayat-ayat yang dirasakannya sesuai sebelum menekan punat SEND. Seminit berlalu, kemudian lima minit, akhirnya hampir sejam berlalu, Zahim tidak membalas mesej yang dihantarnya. Nurain hampa. Mungkin juga hampa kerana gagal meneroka jauh perasaan Zahim terhadapnya saat ini.

**************

NURAIN masuk ke dalam kamarnya. Dipandang jam dinding sudah menunjukkan hampir pukul 4.00 petang. Sudah dua hari dia tidak dapat menunaikan rukun Islam kedua itu kerana keuzurannya. Dia berkira-kira hendak membasahkan diri sahaja. Badan yang melekit buat dia tidak berasa selesa. Namun, belum sempat masuk ke kamar mandi, langkahnya terhenti. Telefon tangannya berdering menandakan ada mesej yang masuk.

Baharu Nurain terperasan sejak tiga jam yang lalu dia tidak menyentuh telefon bimbitnya itu. Entah berapa mesej yang masuk tidak diketahuinya. Lantas segera mencapai telefon itu. Lama dia memerhatikan nombor yang tertera pada skrin telefon itu. Dahinya berkerut. Ada tiga mesej dari nombor yang sama.

Hello! What are you doing?

Sorry to disturb you. Ain busy ke?

Sorry sekali lagi. Ingat nak ajak Ain keluaq tapi tak apalah kalau Ain busy. See you later, bye!

Nurain terfikir-fikir. Sejak beberapa hari ini Zakuan selalu menghantar mesej kepadanya. Kalau tidak bertanya khabar, ada-ada sahaja ceritanya. Dia tidak mengerti sejak kebelakangan ini lelaki itu sering mengambil berat tentang dirinya. Tetapi, bagaimana dengan Mira?

Mira! Dah lama kita tak berbual seperti dulu. Laman blog pun dah lama hang tinggalkan. Langsung tidak ada mesej yang masuk. Apa ceritamu sekarang? Aku rindu. Rindu pada kenangan, rindu pada seraut wajahmu yang lembut dan rindu pada segala-galanya yang pernah kita kongsi bersama. Ah! Mira, situasi kita sekarang sudah berbeza. Tuntutan kerja telah memisahkan keakraban kita.

Tidak semena-mena nama Mira diseru. Nurain tersenyum apabila tiba-tiba sahaja terfikirkan sepupu kesayangannya itu. Perlahan-lahan dia melangkah ke kamar mandi semula. Dia ingin segera membasahkan diri.

************

ZAKUAN berkira-kira hendak berehat sahaja di rumah. Mesej dihantar ke nombor telefon bimbit Nurain tiada jawapan. Pada awalnya dia ingin mengajak gadis itu keluar. Namun, apabila tidak ada sebarang balasan daripada gadis itu, dia membatalkan hasratnya. Teman-teman serumahnya pun tidak keluar ke mana-mana. Malam tadi sahaja mereka bertiga tidur hampir pagi kerana menyaksikan perlawanan bola sepak di TV. Siangnya mereka menyambung tidur.

Sedang leka membaca Harian Metro, Zakuan dikejutkan bunyi deringan telefon minta diangkat.

Suara halus seorang wanita bergelar ibu menyusup masuk ke dalam sanubarinya. Lembut pertanyaan ibu tirinya itu.

“Ibu sihat? Adik-adik, abah semua apa cerita?”
“Semua kat sini sihat. Wan pulak macam mana? Itulah. Abah kamu pun dok tanya ibu Wan dah lama tak ke sini. Dah dekat dua bulan. Kenapa? Wan sibuk ke?”

“Sibuk jugak, ibu. Abah mana ibu?” Zakuan sengaja menukar topik perbualan. Bertalu-talu pertanyaan ibunya itu buat dia tidak sampai hati hendak berbohong.

“Abah kamu apa lagi kalau tak ke dusun. Sekarang kan musim buah. Durian pun menjadi tahun ni. Datanglah, Wan. Buah pulasan pun menjadi. Kalau Wan tak balik, tak meriah pulak rasanya.”

“Okeylah, ibu. Petang nanti Wan sampai. Assalamualaikum, ibu.”

Panggilan telefon daripada ibunya di Taiping benar-benar membuat Zakuan tidak sampai hati untuk menolak. Dia tidak ada sesiapa lagi. Semenjak ibunya meninggal lima tahun lalu, pada ibu tirinya itulah dia menumpang kasih.

Alang-alang hendak balik ke Perak, dia mengajak kawan-kawannya sekali. Dia tidak rugi apa-apa mengajak Aziz dan Jeffri ke kampungnya kali ini. Melompat kegirangan apabila mendapat tahu musim buah datang lagi. Bukan dia tidak tahu kedua-dua orang rakan baiknya itu hantu durian.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.