Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
133,844
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

BAB 3

HIDUPNYA kembali sepi. Jiwa terasa kosong. Hanya kenangan yang menghiasi ruang hati yang terluka. Namun, dia sedar sebanyak mana pun terhimpun kebencian terhadap gadis itu, hati tetap dicuit rasa ingin memandang setiap inci wajahnya yang manis, manja dan lembut itu.

Ah! Kenapa susah sangat aku hendak melupakannya?

Itulah kenyataan yang seharusnya dia hadapi sebaik Nurin Amira berkahwin dengan orang lain. Tidak tergambar di ruang fikirannya akan perjalanan hidupnya nanti tanpa kehadiran Nurin Amira di sisi.

Zakuan mengurut kepalanya yang sakit tiba-tiba. Keliru mungkin dalam menilai kecurangan seorang gadis yang amat dicintainya. Berkali-kali mengutuk, memaki dan menyindir gadis itu dalam hati, dia tidak dapat lari daripada hakikat cintanya memang tumbuh subur buat gadis itu.

Bahunya ditepuk oleh seseorang. Dia menoleh sekilas.

“Ayuh, kawan. Apa susah sangat? Pi jumpa dia mintak penjelasan. Hang tak boleh macam ni,” tegur Salleh, rakan seangkatannya.

“Nantilah aku tanya dia.”

“Tapi, bila? Sampai dia dah tak cintakan hang lagi? Masa tu, masa prestasi kerja hang dah jatuh merudum, baru nak tanya. Come on la. Buruk rupa hang dalam keadaan macam ni,” kata Salleh yang kurang senang dengan jawapan yang diberikan oleh Zakuan itu.

Salleh salah seorang teman rapat yang sangat memahami. Mereka sering berkongsi rahsia dan masalah diri masing-masing. Sikap Salleh yang tenang, optimis dan mengambil berat itu memang mudah disenangi rakan-rakan lain.

Zakuan dilihatnya meraup wajah sambil menundukkan kepalanya. Seperti memikirkan sesuatu yang tidak pasti.

Salleh menggeleng-geleng lagi. Walaupun turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Zakuan, dia tiada daya hendak membantu. Hanya Zakuan yang dapat membantu dirinya sendiri.

“Aku tau perasaan hang yang feeling habis dekat Mira. Tapi, aku yakin Mira tu ada alasan tersendiri menikah dengan orang kampungnya tu,” pujuk Salleh lagi.

“Takkanlah secepat itu? Padahal aku dengan dia dah berbincang nak bertunang menjelang cuti sekolah nanti,” jelas Zakuan. Satu soalan yang tidak pernah lekang di fikirannya, sudah hilangkah rasa cinta di hati gadis itu untuknya?

“Hang kena ingat. Kita merancang, Tuhan yang menentukan. Lagi satu perkara aku nak ingatkan hang. Mira tu gadis baik-baik. Aku kenai sangat orangnya macam mana. Selama ini tak pernah aku tengok dia bergandingan dengan lelaki lain, kecuali hang sorang. Semua staf lelaki di pejabat ini dilayan sama rata,” ujar Salleh untuk meyakinkan rakan pejabatnya itu tentang peribadi Nurin Amira yang mempesona.

“Aku tak dak maksud lain. Pujianku ikhlas. Walau apa pun yang terjadi pada hang, aku akan cuba dapatkan informasi berguna tentang Mira,” sambung Salleh sambil menilik jam di pergelangan tangan.

“Aku kena pi ni. Kejap lagi nak kena mengadap bos nak bagi sample yang diminta oleh pelanggan ni. Nak minta komen bos. Aku harap hang kuatkan semangat,” kata Salleh, eksekutif muda merangkap pelukis pelan di syarikat tersebut.

Zakuan tersenyum sinis. Dia memikir-mikir bagaimana reaksi Nurin Amira seandainya dia datang kepada gadis itu memohon penjelasan. Sedangkan hampir dua minggu yang lalu dia memendam rasa. Dingin bagai air batu.

Patutkah aku datang kepadanya untuk meminta sebarang penjelasan? Tapi, bukankah dia dah jadi isteri orang? Untuk apa? Untuk menyakitkan hatiku lagi! Oh Tuhan! Apa kena denganku ini?

Saat hati remuk-redam, hadir Lily Zuhaily yang merengek manja menagih perhatian dan rasa cintanya. Sudah lama gadis itu mencari peluang mendekatinya. Namun, cintanya cuma pada yang satu. Biar sepuluh wanita cantik yang manis, manja, dan menggoda hadir dalam hidupnya sekali pun, tidak mungkin sama dengan Nurin Amira dan cinta pertamanya dahulu. Kedua-dua wanita ini amat berbeza di matanya.

“Hai, Wan. Jom kita lunch sama-sama.” Rengekan manja Lily Zuhaily itu meremangkan bulu romanya. Belum sempat dia hendak menolak, pandangannya berlaga dengan Nurin Amira yang secara kebetulan tertoleh ke arahnya.

Pantas sahaja Nurin Amira menunduk. Pura-pura tidak melihat adegan mesra dua teruna dara itu.

“Er... Boleh la. Give me five minits. You tunggu Ikat luaq, okey,” jawab Zakuan. Namun, hatinya mulai tidak faham pada diri sendiri. Mungkin juga kerana rasa sakit hati pada gadis itu, dia memaksakan diri menerima perlawaan Lily Zuhaily.

Lily Zuhaily dengan lenggok bersahaja, meninggalkan Zakuan dengan hati yang puas sambil memandang sinis ke arah Nurin Amira.

Lihatlah nanti. Zakuan akan jadi milik aku tidak lama lagi. Hati Lily Zuhaily bernyanyi riang. Mungkin juga mimpikan kemenangannya tidak lama lagi.

***********

NURIN AMIRA sedar semua itu. Namun, apalah dayanya. Baginya, Zakuan berhak menjalin hubungan dengan sesiapa pun. Keadaan sudah lama berubah. Siapalah dirinya di hati Zakuan? Siapalah dirinya untuk berasa cemburu?

Puas sudah memujuk hati agar menerima ketentuan takdir. Puas sudah melayani hati yang remuk-redam kerana kekasih hati tidak sedikit pun memberi ruang kepadanya menerangkan apa yang telah berlaku. Lantaran kecewa dengan perubahan hidup yang dialaminya.

Aku takkan menangis lagi. Cukuplah dengan apa yang telah aku lalui selama ini. Cukuplah setakat ini! Titik!

************

LILY ZUHAILY tersenyum puas. Selama ini dia terpaksa bersaing dengan Nurin Amira untuk memenangi hati jejaka kacak pujaan ramai itu. Kini dia tidak perlu bimbang lagi. Cuma, sedikit usaha diperlukan dalam misinya agar lelaki itu tunduk mengagungkan cintanya.

Dia menunggu dengan sabar kehadiran Zakuan kerana lelaki itu akhirnya sudi keluar makan tengah hari dengannya. Sebelum ini, berkali-kali dia cuba mendekati lelaki yang telah menarik perhatiannya itu untuk dijadikan kekasih hatinya. Dia yakin seratus peratus dia akan berjaya menakluki hati lelaki yang beku itu setiap kali dia mengajak keluar bersama. Tambahan pula, Nurin Amira bukan saingannya lagi. Mereka bukan lagi pasangan kekasih. Jadi, dia memang menaruh harapan yang tinggi untuk bergandingan dengan Zakuan. Dia bersyukur sangat-sangat Nurin Amira memilih lelaki lain.

Namun, senyuman yang meleret sedari tadi hilang bersama debu-debu yang dibawa angin lembut yang menampar pipinya. Betapa hati merungut geram kerana Zakuan keluar dari pejabat bergandingan dengan rakan-rakan lelakinya yang lain sambil bergelak ketawa menuju ke arahnya.

“Hai, Lily. Lama tunggu?” Zakuan menyapa sambil mengukir senyuman menggodanya.

“Er.... Tak. Tak lama. So, kat mana kita nak lunch?” tanya Lily Zuhaily cuba menutup kekecewaan.

Zakuan mengerling ke arah Karim, Salleh, dan Murad.

“Hang pa ada cadangan nak lunch kat mana?” tanya Zakuan lagi.

“Kita lunch kat Restoran Seribu Rasa, nak? Kat situ makanan dia boleh tahan jugak,” jawab Murad sejurus selepas melihat rakan-rakannya terkulat-kulat memikirkan tempat yang sesuai.

“Kalau macam tu, elok jugak. Aku pun belum pernah makan kat situ. Sesekali ubah selera apa salahnya, kan,” sela Salleh pula. Zakuan dan Karim hanya mengangguk.

“Macam mana, Lily? Setuju joindengan kami semua?” tanya Zakuan sambil menatap lembut wajah gadis campuran Melayu-Cina itu.

Lily Zuhaily memandang seorang demi seorang lelaki yang sedang berdiri megah di hadapannya itu. Hatinya berkira-kira ingin menolak kerana kurang selesa keluar makan dengan sekumpulan lelaki itu.

Emmm... empat campur satu. Nampaknya, nanti kecoh satu office aku keluar dengan empat lelaki sekali gus. Tak pasal-pasal jadi gosip pulak.

Akal Lily Zuhaily ligat berfikir mencari jalan untuk meloloskan diri daripda keempat-empat lelaki yang sedang merenungnya itu.

“Oh, ya. I baru teringat Kak Leha nak beli sesuatu dan dia nak I temankan. Mungkin lain kali kita boleh lunch sama-sama. I’m so sorry, okay. I pergi dulu,” ujar Lily Zuhaily selepas memohon diri beredar.

Zakuan tersenyum girang. Malah, dia arif benar dengan perangai perempuan itu yang berpura-pura berasa tidak selesa berada dalam lingkungan teman-teman seangkatannya. Sebelum berlalu, dia mengenyitkan mata kepada teman-temannya itu.

************

DI SUATU sudut Restoran Seribu Rasa, empat sekawan bergelak ketawa. Meriah dengan pelbagai gosip yang mereka bualkan. Buat seketika, Zakuan dapat mengubat hati yang kecewa.

“Aku tengok perempuan cantik dan seksi macam Lily tu bukan saja cerdik, tapi bijak menggoda. Rugi hang tolak dia,” ujar Salleh sekadar hendak mengusik Zakuan yang diam membisu sedari tadi.

Mata Zakuan yang tajam, menikam tepat ke anak matanya. Kemudian berderai ketawanya memecah keheningan yang mulai hadir di antara mereka. Melihat Zakuan ketawa, Karim dan Murad juga turut ketawa.

“Kalau hang rasa perempuan tu hebat, awat hang tak tackel dia?” kata Zakuan dalam sisa-sisa ketawanya. Sedangkan dia tahu ciri-ciri perempuan yang sedang mereka bualkan. Walaupun memiliki pakej yang menarik, perempuan itu tidak mampu menggoncang hati lelakinya.

Salleh juga turut ketawa. Pada mulanya hendak mengusik Zakuan. Akhirnya, diri sendiri yang terkena.

“Kalau aku berkenan, dah lama aku jadi steady boy friend dia. Tapi, perempuan macam tu mana nak layan lelaki macam aku ni. Kalau Wan, lainlah. Macho, kacak, dan segak macam model lagi,” usik Salleh sambil ketawa.

“Yalah. Si Lily tu bercita rasa hebat. Maklumlah, gadis kota. Silap hari bulan coupledengan perempuan macam tu, kering poket aku dibuatnya,” kata Murad pula. Serentak dengan itu, berderai ketewa mereka.

“Ala... Sikap buruk tu boleh dikikis dari awal. Boleh berubah, asalkan kena dengan lelaki yang sudi membimbing dia. Mana tau nanti boleh jadi perempuan Melayu terakhir, gitu. Yang jadi masalahnya, dia tu tergila-gilakan kawan kita ni,” sampuk Karim.

Zakuan menepuk dahinya pula. Dia tersenyum geli hati. Balik-balik, dia juga yang terkena. Dan ketika itulah matanya menangkap sesusuk tubuh wanita yang selama ini amat disayanginya. Dia memandang dengan penuh khusyuk. Sedikit sebanyak dapat merawat rindu yang mencengkam diri.

Wajah itu tidak mempamerkan kegembiraan. Nampak sayu dan dilanda kesedihan. Namun, masih terserlah keayuan. Dan seandainya dia tahu apa yang membuatkan gadis itu murung, dia akan cuba menggembirakannya sehingga gadis itu ketawa. Tetapi, dia tidak mampu menidakkan perasaan. Hatinya masih sakit. Masih belum sembuh daripada luka dikecewakan. Bagaimana hendak berhadapan dengan gadis itu? Hatinya mula bertanya apa yang perlu dilakukannya saat berhadapan dengan wanita itu nanti.

Salleh menyedari gelagat rakannya itu. Dia menggeleng-geleng.

Kasihan kawan aku ni. Betapa dia seorang yang setia. Bersih lagi menarik. Di manalah silapnya sampai boleh jadi macam ni?

“Sabarlah, Wan. Kami paham perasaan hang,” kata Salleh sambil menepuk bahu Zakuan perlahan.

Zakuan hanya mendiamkan diri. Tidak berminat mengeluarkan sebarang alasan lagi.

“Walau dalam apa keadaan sekali pun, hidup mesti diteruskan,” kata Murad pula yang memahami maksud kata-kata Salleh itu. Dia turut menoleh memandang wajah gadis yang menarik perhatian Zakuan itu.

Zakuan tersengeh. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukannya lagi. Selepas membayar harga makanan yang dipesan, mereka beredar menuju ke surau sebelum meneruskan pekerjaan mereka.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.