Tujuh hari mencari madu
Oleh Raiza Khairina
AKU memandang langit yang hitam pekat melalui tingkap
bilikku. Bulan bercahaya terang bagai
tersenyum bahagia padaku. Indahnya kurasa. Tambahan pula, belaian manja encik
hubbyku romantik masih terasa hingga ke tulang sum-sum. Layanannya tidak perlu
dipertikaikan lagi. Bagai semalam kami menikmati malam pertama perkahwinan.
Aku
bersyukur sangat. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, kucupan mesra yang
hangat, makan pun masih bersuap, solat berjemaah dan mandi bersama. Ha ha ha.
Ketawaku dalam hati. Kenakalanku juga masih terserlah meskipun sudah berstatus
isteri orang.
Namun,
ada gundah yang berlagu dijiwa. Sementelah usia perkahwinan kami sudah
menginjak hampir tiga tahun. Kehidupan rumahtangga kami sepi tanpa kehadiran
cahaya mata buat menceriakan kehidupan kami.
Aku
sudah pun berjumpa doktor sakit puan. Alhamdulillah, hasil pemeriksaan doktor
ternyata aku sihat. Aku mampu mempersembahkan bukti kasihku pada hubby dari
rahimku sendiri. Pesan doktor supaya mengajak hubbyku sekali berjumpa dengannya.
“Abang,
Mia nak penuhi impian abang. Mia dah
berusaha jumpa doktor. Ternyata Mia
sihat. Cuma... kata doktor, abang kena
ikut sekali.” Beria-ia aku mengajak hubbyku. Encik Hubby kelihatan tegang. Dia
seperti tidak dapat menerima kata-kataku.
“Kenapa
pula abang mesti ikut cakap Mia?.”
“Kita
cuma berikhtiar bang. Mia ingin penuhi langit impian abang,” pujukku lagi.
“Abang
tak mahu. Tak mahuuu. Keturunan abang tak ada yang mandul,” ujar hubby tetap
berdegil.
“Abang...
dengar dulu penjelasan Mia.”
“Abang
dah ada cadangan lebih bagus dari ini. Abang cuma nak persetujuan Mia saja,”
kata hubby sambil tersenyum lain sekali.
Mataku
terkebil-kebil memandangnya. “Apa dia bang?” aku tidak sabar ingin tahu.
“Sempena
hari baik, bulan baik ini, abang nak Mia restui abang kahwin lagi.” Bagai
hendak gugur jantungku dibuatnya mendengar khabar itu.
“Abang
mampu ke nak tambah lagi satu?”
“Mampu
ke, tak mampu ke abang nak juga.”
‘Biar
betul hubbyku ini.’ Aku berbicara sendiri.
“Tergamak
abang nak lukai hati Mia,” ujarku lagi demi meraih perhatiannya.
“Tak
kiralah. Abang bagi tempoh seminggu saja. Selama tujuh hari abang akan cari
madu yang sesuai buat Mia. Genap tujuh hari abang persembahkan pada Mia demi
menuntut restu Mia.”
“Kalau
tak jumpa dalam masa tujuh hari?”
“Abang
turuti nasihat Mia.”
Terkedu
aku dibuatnya sambil menahan rasa. Tidak aku sangka sama sekali hubbyku sanggup
menodai cinta suciku. Alahai... sayonara maduku, apa akan jadi padaku andai
ianya berlaku?
“Abang outstation seminggu.”
“Abang outstation seminggu nak ke mana?”
“Abang
cari madu buat Mia.”
“Abang...” briefcasedi tangan aku lontarkan ke
arahnya. Namun, pantas encik hubby melarikan diri.
Aku
tidak mampu memendam rasa kecewa. Lantaran itulah aku tanpa segan mengadu pada
ibu mentua. Aku menangis teresak-esak dibahunya.
“Agaknya,
kesepian yang dilaluinya mengingatkan dia pada kekasih lamanya.” Bagai hendak
tercabut jantungku buat ke sekian kali.
“Kekasih
lama? Abang ada kekasih sebelum Mia?” tanyaku.
“Abang
sangat sayangkan dia. Setiap kali abang balik kerja kekasihnya itu menunggu di
depan pintu. Kalau boleh sebelum tidur, abang ingin dodoinya dahulu.”
“Habis...
kalau ada kekasih, kenapa pilih Mia?”
“Kekasih
abang meninggal akibat demam panas. Kasihan, waktu terakhirnya kurus sangat
sebab tidak lalu makan,” kata ibu mertuaku lagi dengan wajah kasihan.
Dengan
wajah cemberut aku meminta diri. Tidak sanggup lagi aku menahan rasa yang
berbaur di dada.
Kecewaku
bukan sahaja tidak terubat. Malahan hatiku sakit bagai disiat-siat, bagai
ditusuk sembilu. Aku bawa diriku ke rumah mama. Setelah tiga hari berdiam diri,
aku hamburkan rasa kecewaku pada mama pula.
“Bawalah
berbincang elok-elok. Tak baik bermasam muka.”
“Abang outstation seminggu.”
“Eloklah
macam tu. Suami outstation, Mia
merayap ke sana ke sini.” Mama berleter pula.
“Mama...
Mia ingat datang sini boleh release
tension. Dengar mama berleter, sakit telinga Mia dengar.”
“Itulah
kamu. Mama kuat berleter merajuk. Marah sikit merajuk. Suami gertak sikit saja dah merajuk.
Betul-betul dia cari lain baru tahu,”
kata mama seolah-olah tidak percaya pada apa sahaja kataku.
“Mana
ada abang gertak Mia. Dia cakap betullah mama. Mia cuma ajak abang jumpa doktor
sebab abang selalu cakap dunianya sunyi tanpa anak-anak.”
“Pergilah
rumah anak yatim. Ambil anak angkat. Manalah tahu berkat jaga anak angkat, Mia
ada rezeki dapat anak sendiri.” Mama memberi cadangan.
“Apa ni
mama? Mia boleh mengandung. Abang tu yang degil. Mia cuma nak abang buat rawatan.
Manalah tahu ada masalah di pihak abang. Tak sangka abang berniat nak tambah
cawangan lagi.”
“Melarikan
diri dari suami itu bukan penyelesaian masalah. Apa salahnya duduk berbincang
elok-elok. Sepakat cari jalan keluar.” Mama memberi pendapatnya pula.
“Mama...
Mia dah cuba. Abang degil juga. Katanya, dalam masa tujuh hari dia mencari madu
buat Mia. Dalam masa tujuh hari dia jumpa calon yang sesuai, dia balik jumpa
Mia.” Mama terlopong seakan tidak percaya.
“Seminggu
outstation ni, dia pergi cari madu
buat Mia la ni?” tanya mam lagi.
“Iyelah
mama.” Mulut mama terlopong lagi.
“Kalau tak jumpa?” tanya mama.
“Kalau tak jumpa abang akan
dengar cakap Mia. Tetapi, kalau dah jumpa calon yang sesuai, dia persembahkan
pada Mia.”
“Pulak!”
ujar mama sambil menepuk dahinya.
“Macam
inilah. Sudah beberapa hari Mia duduk di sini. Elok Mia pulang ke rumah Mia.”
“Mama
halau Mia. Sampai hati,” kataku hampir hendak menitiskan air mata.
“Bukan
mama nak halau Mia. Mia kan sudah bersuami. Tempat isteri di sisi suaminya.
Kalau arwah papa ada, sudah tentu dia pun tak setuju dengan tindakan Mia.”
“Jadi...
mama setujulah dengan tindakan abang tu?”
“Bukan
macam tu...”
Belum
sempat mama menghabiskan kata-katanya, aku berlari keluar. Aku tidak sanggup
lagi mendengar bebelan mama yang lebih menyokong tindakan hubbyku itu.
Aku
tidak tahu lagi ke mana harus kutuju. Mahu atau tidak, aku kembali ke rumahku.
Namun, aku pastikan pada ketika itu encik hubbyku tiada di rumah. Aku tidak
sanggup lagi mendengar pujukannya untuk menambah isteri lagi. Sungguh... aku
tidak sanggup.
Aku
mengemas beberapa helai pakaian. Malam itu dan malam seterusnya aku ingin
bersendirian. Di mana aku belum pasti lagi. Yang jelas selagi belum genap
seminggu aku tidak mahu bersua muka dengan hubbyku lagi.
Dalam
kalut aku menolak bagasiku, terdengar deringan telefon di ruang tamu. Aku
tertanya-tanya siapa pula yang menelefon tengah hari itu. Oleh kerana perasaan
ingin tahu membuak-buak, aku mengangkat juga gagang telefon.
“Hello...
sayang!” kedengaran nyaring panggilan dari arah sana. Hampir terlepas gagang
telefon kerana terkejut.
“Hello,
hendak cakap dengan siapa?” aku pura-pura tidak kenal mendengar suara hubbyku.
“Nak
cakap dengan sayanglah. Dengan siapa lagi.”
“Maaf
salah nombor,” ujarku sebelum meletakkan gagang telefon.
Sejurus
selepas itu, kedengaran ada mesej masuk di peti pesanan ringkas telefon
bimbitku. Lambat-lambat aku membacanya. Mesej dari encik hubbyku rupa-rupanya.
‘Sayang...
abang dah jumpa pengganti kekasih hati abang yang meninggal tu. Hidupnya tidak
tentu arah. Kesian abang tengok anak-anak dia seramai tiga orang tu. Datanglah
rumah ibu. Abang kenalkan dia pada Mia.’ Begitu yang tertulis di skrin telefon
bimbitku.
‘Arg!
Suamiku... biar betul. Janda anak tigakah? Apa hebatnya janda tu? Belum pun
genap seminggu. Takkan sebegitu cepat? Dah tak sabar sangat ke dia?’ gumamku
dalam diam.
Namun
begitu, aku tidak mengendahkan maksud kata-katanya itu. Aku malas hendak
melayannya. Biarlah berlalu di angin lalu. Sejak hari itu aku lebih banyak
mengabdikan diri pada-Nya. Malas aku hendak memikirkannya lagi. Buat sakit
hatiku sahaja.
Setelah
aku cuba melupakan apa yang terjadi, tengah hari minggu suamiku pulang ke rumah
kami. Kali ini dia tidak bersendirian. Dia membawa ibunya sekali. Di sampingnya
tidak kelihatan pengganti kekasihnya yang meninggal itu. Suamiku tersenyum
penuh makna, apabila menyedari reaksiku sebegitu.
“Kejap
abang lupa sesuatu,” katanya.
“Inilah
buah hati abang yang abang cakap tu,” katanya lagi sebaik sahaja mengeluarkan
sangkar kucing dari dalam kereta wiranya.
“Seminggu
abang outstation abang cuma cari
kucing ni?” tanyaku.
“Kawan
abang dekat Johor Baharu berikan pada abang. Nak cari sangkar secantik ini
punyalah susah,” katanya lagi.
Ibu
mertuaku yang sedari tadi diam tidak mampu menyembunyikan tawanya lagi. Meledak
tawanya memenuhi ruang tamu rumah kami.
“Kenapa
ibu tidak berterus terang sahaja hari itu?” kataku pula.
“Belum
sempat ibu nak beritahu, Mia tergesa-gesa keluar dari rumah. Ibu panggil pun
Mia buat tak dengar,” ujar ibu mertuaku.
Giliran
encik hubbyku pula mentertawakan aku. Hanya senyum maluku sahaja yang melebar
menghiasi rona wajahku saat itu.