BAB 5
NURIN AMIRA tidak senang duduk di tempatnya. Sedari tadi Zakuan
asyik mencuri pandang ke arahnya. Lelaki itu sekadar memandang dari kejauhan sahaja.
Apabila mendekat, Zakuan menjauhkan dirinya. Sedikit sebanyak hati gadisnya
tersinggung. Sikap Zakuan sudah jauh berubah. Baharu sahaja dia datang mendekat,
segera lelaki itu menjauhkan diri. Pura-pura sibuk bekerja.
Nurin Amira melepaskan keluhan berat. Sambil memejamkan
matanya, dia menarik nafas panjang. Dalam keadaan begitu, sukar untuknya
memberi tumpuan kepada kerja yang menimbun di atas meja.
“Emm! Emm!” Nurin Amira membuka matanya apabila mendengar
ada orang berdekatan mejanya.
“Hang, Lily! Ada apa?” tanya Nurin Amira.
“Aku ni bukannya nak menyibuk. Cuma, aku simpati melihat
kau dengan Zakuan tu. Apasal, ha? Kau orang bergaduh ke? Seorang ke utara,
seorang ke Selatan! Macam ada something! Itulah. Dari awal lagi aku dah
cakap jangan sembarangan menjalin hubungan dengan Zakuan tu. Kau tak layak
sebenarnya.” Terhambur kata-kata yang menyakitkan hati dari seulas bibir teman
sekerjanya itu. Nurin Amira menelan air liurnya.
Lily Zuhaily, gadis kelahiran Kuala Selangor yang kembali
menetap di Kuala Kedah sebaik sahaja ayahnya bersara dari tentera darat. Sejak
mula bertugas di Perwira Enterprise, ramai yang menyedari dalam diam dia
meminati Zakuan. Namun, Nurin Amira tidak mengendahkan khabar angin itu.
Biarlah. Sedikit pun dia tidak berasa tergugat.
Sememangnya Nurin Amira sedar Lily Zuhaily dan Susan
tidak pernah mahu menerimanya sebagai seorang kawan. Dia tidak tahu mengapa.
Dia tidak pernah menyakiti hati kedua-dua orang gadis itu. Tidak pernah
menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati. Mungkin juga tidak ada
keserasian di antara mereka. Dia hanya membuat telahan sendiri. Hati manusia
siapa tahu.
“Lily! Mira... Mira tak paham apa maksud Lily ni?” Lily
ketawa sinis.
“Kau ni bertanya seperti tak ada perasaan.”
“Siapa yang tak berperasaan sebenaqnya. Hang atau aku?
Keterlaluan tuduhan hang ni!” ujar Nurin Amira menampakkan kemarahannya. Kata-kata
Lily Zuhaily itu menyakitkan hatinya. Dari sudut lain pula kadang kala dia
hendak tergelak melihat temannya itu terkial-kial cuba memahami maksud
kata-kata rakan sekerja yang lain dalam loghat Kedah yang kelat.
“Jangan nak berlakonlah, Mira....”
“Berlakon apanya? Dahlah ceroboh tempat kerja aku ni...,”
pantas sahaja Nurin Amira memotong percakapan Lily itu. Tercabar kesabarannya
apabila diserang begitu. Lebih-lebih lagi ketika waktu kerja begitu.
“Kenapa, Mira? Lily! Apa hang buat kat sini? Dah tak dak
kerja ka? Mengendeng saja dari tadi,” sampuk Safiah yang sedari tadi melihat
dari mejanya. Dia bercekak pinggang sambil memandang gelagat Lily Zuhaily dari
hujung rambut ke hujung kaki.
“Tanyalah kawan baik kau tu.” Sinis kata-kata Lily itu.
Dia beredar ke mejanya.
Buat kesekian kali Nurin Amira menitiskan air mata.
Safiah bersimpati dengan nasib yang menimpa teman baiknya itu. Namun, apa yang
mampu dilakukannya untuk membantu teman baiknya itu.
“Bersabaqlah, Mira. Usah diambil hati kata-kata Lily tu.
Dia tertekan agaknya. Lain kali jangan dilayan orang tak betui tu. Okeylah,
Mira. Aku ada kerja ni. Rehat nanti kita rehat sama-sama, ya.”
Kata-kata Safiah itu menyejukkan hati Nurin Amira saat
itu. Dia membalas senyuman Safiah sebelum gadis itu berlalu. Saat dia mendongak,
matanya bertembung pandang dengan mata Zakuan yang mungkin memerhatikan adegan
yang tidak disangka tadi. Cepat-cepat Zakuan melarikan matanya dan beredar dari
mejanya. Nurin Amira tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya dengan sikap endah
tak endah lelaki itu.
Kenapa dengan Zakuan? Dia seperti membenciku. Dia tidak
tahu duduk perkara yang sebenarnya. Apakah kerana dia mendengar dari mulut
orang lain? Oh Tuhan! Apalah salahnya jika dia memberiku peluang untuk
menjelaskan segalanya, bisik hati kecil Nurin Amira.
*************
“HARUS bagaimana lagi? Wan dah tak percayakan aku lagi.”
Nurin Amira meluahkan rasa tidak sedap hatinya kepada
Safiah sebaik sahaja berpeluang rehat bersama-sama. Dahulu dia dengan Zakuan
sering mendapat peluang rehat bersama-sama. Tetapi, kini segala-galanya sudah
berubah.
“Cubalah berdepan dengan Wan. Beritaulah perkara yang
sebenaqnya. Kalau tidak, keadaan akan bertambah buruk,” ujar Safiah pula. Nasi
goreng di pinggan disuapnya lagi. Dia meneliti setiap inci wajah Nurin Amira
yang kini sudah kelihatan hilang serinya.
“Aku dah cuba. Wan nak mengelak aje,” kata Nurin,
seakan-akan berputus asa.
“Kalau tidak kerana mulut murai Kak Leha tu, tak adalah
Zakuan marah macam tu sekali. Sepatutnya dia beri hang peluang untuk berterus
terang.”
Nurin Amira menyilang tangannya di atas meja. Kuetiau
goreng yang tinggal separuh di pinggan ditolak ke tepi.
“Ooo... gitu. Patut la
sikap Wan berubah,” ujar Nurin Amira. Dia kesal dengan apa yang telah terjadi
dalam hidupnya. Walaupun harapan yang disandarkan di bahu lelaki itu hancur
musnah, dia bertekad akan menjernihkan keadaan. Dia penat sebenarnya menghadapi
kehidupan baharu yang dilaluinya kini. Pengertian daripada Zakuan amat
diharapkannya.
“Petang nanti hang keluaqlah awal sikit. Lepas sembahyang
asar, hang terus keluaq. Lagipun semenjak dua menjak ni, Wan selalu keluaq
awal.”
“Hang ni macam spy pulak. Jam berapa Wan masuk,
jam berapa Wan keluaq, jam berapa Wan ada appointment, tahu aje hang.
Mentang-mentanglah PA bos.”
“Dah itu kerja aku, kan. Kalau tak tau nanti susah la.
Tak pasal-pasal aku dibuang kerja nanti. Apa la hang ni.”
“Saja nak mengusik hang. Dah lama sangat aku tak buat
kerja yang satu ni.”
“Macam tulah. Kan nampak manis kalau tersenyum macam tu.
Ini tidak. Macam orang sakit aje hang ni.”
Nurin Amira tersenyum. Hati menjadi girang apabila
bersama kawan yang memahami. Hilang sebentar masalah yang menghantui benaknya.
Saat mahu beredar dari restoran, Nurin Amira berlaga bahu
dengan Zakuan yang baharu turun dari tingkat atas. Teguran Nurin Amira tidak
diendahkan oleh Zakuan. Nurin Amira sedih bukan kepalang. Begitu sekali Zakuan
membencinya.
Safiah yang menyedari insiden yang berlaku, segera menghampiri
kawan baiknya itu sambil memeluk bahunya.
“Sabaqlah, Mira. Tentu ada hikmah di sebalik semuanya
ini. Jom kita ke surau dulu.”
Mereka berjalan beriringan menuju ke pejabat. Sepi
seketika.
“Aku sebenaqnya tertanya-tanya tentang sesuatu yang aku tak
pasti.”
Nurin Amira berhenti melangkah. Dia menghadap teman
baiknya itu.
“Setahu aku, kahwin paksa ini tak sah di sisi agama sebab
ia melibatkan hidup mati kita sama ada bahagia atau tidak. Kita ada hak untuk
membuat keputusan. Tapi, bab-bab agama ni aku tak begitu pandai sangat. Kalau
hang nak tau lebih lanjut, hang kena rujuk pejabat agama.”
Safiah mengutarakan pendapatnya. Sebagai seorang sahabat,
dia tidak mahu sahabat baiknya terus-terusan dirundung duka. Baginya Nurin
Amira seorang anak yang baik, teman yang memahami, sembahyangnya tidak pernah
tinggal, kecuali pada waktu keadaan tidak mengizinkan. Tiba-tiba timbul
perasaan ingin tahu keadaan hidup sahabatnya itu di rumah mentuanya.
“Are you sure?”
“Yeah! Tapi... aku
sebenaqnya risau dengan hang. Tiduq sebilik dengan Najib. Tak takut ke?” Soalan
cepu mas itu terlontar juga akhirnya dari bibir mungil Safiah.
“Maksud hang, menyerah
diri? Gitu?”
Safiah mengangguk.
“Buat masa ni,
Alhamdulillah. Aku masih waras lagi. Sampai bila-bila pun aku akan pertahankan
kesucianku. Mudah-mudahan diizinkan Allah. Tapi, walau dalam keadaan terpaksa,
aku rela,” jawab Nurin Amira pasti.
“Masya-Allah. Mintak
selisih malaikat 44. Tak dapat aku nak bayangkan. Jangan cakap macam tu Mira.
Mintaklah Tuhan lindungi hang.”
“Terima kasih, Yaya. Sebab
ambik berat tentang aku.”
“Aku akan mendoakan keselamatan
hang. Itu yang terbaik. Aku tak berkenan Najib tu jadi suami hang. Tak padan
langsung. Bagi aku la, hang tu layak bersuamikan lelaki yang lebih baik
daripada Najib tu.”
Matanya yang bundar,
bercahaya. Sebagai seorang wanita, Nurin Amira terharu dengan pengakuan yang
dibuat oleh teman baiknya itu. Tidak terlintas di benaknya untuk dipuji begitu.
“Janji dengan Mira, ya. Rahsiakan
hal ni.”
Safiah mengangguk.
“Dah. Jangan diragui
kejujuran hatiku ini, sahabat. Hang takkan dapat ketemu lagi sahabat sebaikku
ini,” ujar Safiah sambil ketawa. Nurin Amira turut tertawa. Terhibur dengan
lawak spontan Safiah itu.
Nurin Amira berjanji pada teman baiknya itu untuk menemui
pegawai jabatan agama bagi mendapatkan nasihat.
**********
TANPA disedari, hampir dua minggu Nurin Amira tidak bertegur
sapa dengan Zakuan. Setiap kali bertembung dengan Zakuan baik ketika tiba di
pejabat mahupun ketika pulang, Zakuan cuba mengelak daripada bertentangan
matanya dengannya. Sikap Zakuan itu sedikit sebanyak menimbulkan masalah
kepadanya. Rakan-rakan sepejabat yang tidak tahu duduk perkara yang sebenarnya
sudah mula membuat andaian yang tidak betul.
Sudah banyak kali dia
menegur Zakuan baik ketika berselisih bahu mahupun ketika bertembung di pintu
keluar. Tetapi, Zakuan buat tidak endah sahaja. Kalau menjawab pun, acuh tak
acuh sahaja jawapannya itu. Dia melepaskan keluhan berat.
“Zakuan
tahu hang dah kahwin. Sebab tulah dia lari. Dia tak nak ganggu hang yang dah
jadi isteri orang ni,” kata seorang teman sejabatan dengan Nurin Amira.
“Sampai
hati kau mempermainkan hati Zakuan tu. Dia baik orangnya. Tak sangka begini
perangai kau. Kalau aku tahu kesudahan percintaan kau orang, dah lama aku pikat
hati Zakuan tu,” kata Lily Zuhaily, menuduhnya yang bukan-bukan.
“Hang ni, Lily tak sudah-sudah nak menyakitkan hati
orang. Kalau macam ni la perangai hang, tak ada sapa pun yang berani nak jadi
suami hang.”
“Hei, Safiah! Jaga mulut kau tu. Kalau tidak, tahulah
nasib kau.” Seperti selalu, Lily Zuhaily akan berang jika Safiah membela Nurin
Amira.
“Hei, girls!
Apa lagi ni?” Zaleha yang baharu keluar dari pantrydatang ke arah mereka.
“Siapa lagi, kalau bukan Mira ni? Tak sedar diri dah jadi
isteri orang, ada hati nak jumpa Zakuan tu,” kata Lily Zuhaili sambil ketawa
sinis. Hatinya puas dapat mengenakan Nurin Amira.
Nurin Amira menarik tangan Safiah agar berundur dari
situ. Dia tidak mahu keadaan menjadi bertambah buruk jika situasi tersebut
diketahui majikan mereka. Dia tidak mahu prestasi kerjanya terganggu.
Kamu semua tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Kenapalah cetek benar fikiran kalian? Kenapa tidak diselidik dahulu? Main
tuduh-tuduh saja. Terdetik suara hati kecilnya. Hendak menangis, ditahannya juga.
“Aku rasa nak cili-cili mulut laser tu. Dia ingat dia sapa? Berlagak. Eksyen pulak tu. Sesedap
rasa nak sakitkan hati orang!” bebel Safiah, menahan geram.
“Sudahlah, Yaya. Marah pun tak guna. Perangai depa bukan
boleh diubah. Tuhan tahu! Aku sedaq ini ujian Tuhan untukku. Mungkin aku tak
lama di dunia ini.”
Safiah sedikit terkejut, lantas memeluk teman baiknya
itu.
Tuhan sahaja
yang tahu aku sering diserang sakit kepala. Semakin kerap semenjak beberapa
bulan yang lalu. Ada kalanya sebelah dan ada kalanya keseluruhan kepala berasa
sakit yang teramat sangat. Apakah ia sekadar penyakit migrain yang dideritaiku
beberapa tahun lalu? Aku cuma mampu menduga. Sungguh aku pasrah andainya inilah
petanda aku akan pergi. Saat itu dia baharu teringat dia perlu membuat temu janji
dengan doktor klinik panelnya untuk memastikan penyakitnya yang sebenar.
“Apa hang cakap ni ,Mira? Tolonglah! Jangan mengalah
begini. Tabahkanlah hatimu, Mira. Yaya percaya suatu hari nanti hang menemui
kemenangan dalam hidup ini. Percayalah cakap Yaya!” Safiah meleraikan pelukan
Nurin Amira sambil menyapu air mata yang berjuraian di pipi temannya itu.
“Hang sahabat yang baik yang pernah aku temui. Aku
beruntung punya sahabat sepertimu. Tuhan sajalah yang dapat membalas budi
baikmu.”
“Mira! Aku sayangkan hang. Aku sedih tengok hang
menderita macam ni. Hang terlalu baik.”
Sekali lagi mereka berpelukan.
Andai dapat diulang masa lalu, aku tak ingin berada dalam
situasi begini. Untuk apa? Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
“Kalau hang perlukan aku, datanglah ke rumahku. Pintu
rumahku sentiasa terbuka untukmu. Bila-bila masa saja hang boleh datang ke
rumahku. Yaya tidak kisah.”
Menyedari Nurin Amira tidak selamat pulang ke rumah Mohd
Najib, Safiah mempelawa teman baiknya itu datang ke rumahnya.
“Terima kasih, Yaya.” Dalam diam dia bersyukur kerana
masih ada insan yang amat mengambil berat dirinya.
************
NURIN AMIRA tidak kisah lagi pulang lambat ke rumah. Biarpun bimbang
akan keselamatan dirinya tinggal sebilik dengan suami yang tidak diiktirafnya
itu, dia hanya mampu bertawakal menghadapi segala kemungkinan.
Pada pengamatannya, sikap Mohd
Najib itu ada kalanya keanak-anakan. Padahal usianya sudah menginjak dewasa.
Dalam masa yang sama, dia hairan kerana boleh tinggal sebumbung dengan keluarga
lelaki itu. Bukan niatnya merendahkan orang lain. Memang sudah termaktub di
sanubarinya, Mohd Najib bukan pilihan hatinya. Namun, dia percaya tentu ada
hikmahnya Tuhan menduganya dengan dugaan yang maha hebat ini. Dia beristighfar
lagi. Mengelak daripada terjahan bisikan syaitan yang sering membisikkan
kata-kata nista di telinganya.
“Emm…” Mohd Najib berdehem sebaik sahaja kaki Nurin Amira
memijak lantai ruang tamu. Nurin Amira memandangnya sekilas.
Mohd Najib kelihatan sedang tersenyum hingga ke telinga.
Nurin Amira mencebik sambil mengutuk dalam hati.
Ya Allah. Apa ke hal pulak
lelaki ini di sini?
“Dari mana?” tanya Mohd Najib sebaik sahaja Nurin Amira
mencapai tuala untuk masuk ke dalam bilik air.
“Kenapa nak tau?”
“Saya berhak, tau. Awak isteri saya.” Kedengaran suara
Mohd Najib yang agak kasar. Nurin Amira berkerut dahi. Tidak faham dengan sikap
Mohd Najib yang sering berubah-ubah. Baharu sekejap tadi dia melihat suaminya
itu tersenyum ceria. Perlahan-lahan perasaan gerun menular ke dalam
sanubarinya.
“Isteri? Emm... awak saja menganggap saya sebagai isteri
awak. Tapi, saya tak pernah mengiktiraf awak sebagai suami saya.”
Merah padam wajah Mohd Najib menahan geram. Ingin
ditampar wajah wanita di hadapannya itu.
“Awak nak tampar saya, kan? Tamparlah! Saya boleh buat report polis nanti mengatakan awak
mendera saya.”
Mohd Najib menjatuhkan tangannya. Direnung wajah yang
manis itu. Tajam. Dia mendengus. Dadanya
bergetar hebat melawan nafsu berahi yang datang silih berganti. Andai kata
rumah yang didudukinya itu rumahnya, bukan rumah keluarganya, sudah lama tubuh
seksi milik Nurin Amira jatuh ke dalam dakapannya. Sudah lama dia memendam
rasa.
“Hang taulah akibatnya
nanti!” kata Mohd Najib sambil menunjuk jari terlunjuknya ke arah Nurin Amira.
Sabaqlah Najib. Tak ke
mana gunung di kejar. Bisikan-bisikan syaitan beralun di benaknya.
Tiba-tiba sahaja lelaki itu berubah sikap. Dari seorang
lelaki yang sentiasa menahan sabar tatkala berhadapan dengannya, kini menjadi
seorang yang pembengis. Renungan tajam itu menelanjangi seluruh tubuh Nurin
Amira. Gelabah dia buat seketika. Kedengaran ketukan yang bertalu-talu di luar
pintu menyelamatkan keadaan. Dia berasa lega. Buat kesekian kalinya dia
terselamat daripada nafsu gila suaminya itu.
“Oh Tuhan! Isteri apakah aku ini? Namun, aku tidak mahu
masuk ke dalam neraka-Mu. Bukakanlah hati dia untuk melepaskan aku. Sungguh aku
tidak tahan lagi untuk hidup di samping dia. Antara kami tiada chemistry.
Sampai bila aku harus begini? Bantulah aku untuk keluar dari belenggu ini!” Bergema
jeritan hatinya.