BAB 14
PUAN ASIAH sedang menyidai kain di ampaian. Ada seraga kain yang
dibasuh selepas subuh tadi. Dikibas-kibas kain sarung suaminya itu berkali-kali
sebelum menyidainya di ampaian. Sesekali matanya memandang kelibat suami di
atas bukit sedang menebas kebun pisang mereka. Hasil daripada kebun pisang dan
dusunlah dia dan suami dapat membesarkan anak-anak sehingga berjaya menamatkan
pengajian mereka. Kesemua anaknya boleh dikatakan berjaya dengan hasil titik
peluh suaminya selama ini.
Encik Zainal seorang suami
yang bertanggungjawab dan penyayang. Namun, dia juga seorang ayah yang tegas
dalam soal pelajaran. Maka, tidak hairanlah kesemua anaknya cemerlang dalam
akademik. Puan Asiah faham benar dengan sikap suaminya itu. Dalam lembut dia
bertegas.
Apabila selesai menjemur
pakaian, biasanya Puan Asiah akan menyiram bunga. Ada pelbagai jenis bunga yang
ditanam di tepi pagar. Dahulu taman
kecil itu di urus oleh Nurin Amira. Setelah lama gadis itu tidak pulang ke
rumah, dialah yang menjaganya. Banyak perkara yang disukai dan diminatinya
dikongsi bersama anak gadisnya itu. Kini boleh dikatakan bakat menjahit pakaian
perempuan dan kanak-kanak, menjahit sulaman, mengait, dan memasak diwarisi
anaknya itu. Setiap saat dan detik anak itu yang dikenangnya. Ibu mana yang
tidak mengenangi anaknya yang dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari itu.
Air mata yang mulai
menitis diseka dengan hujung jarinya. Kemudian dia berlabuh duduk di atas
pangkin di bawah rumah. Segala kerja rumah telah dilakukannya awal pagi tadi.
Tinggal untuk memasak tengah hari sahaja lagi.
Mira! Mak rindukan kamu,
nak. Bila agaknya kita akan hidup seperti dulu lagi? Apa yang dibuat Mira saat
ini? Semoga Allah sentiasa memberi perlindungan dan keselamatan kepada
anak-anakku dari mara bahaya baik di dunia mahupun di akhirat. Terutama sekali
anakku, Mira, Ya Allah. Engkau peliharalah dia dalam rahmat-Mu. Andai dia tidak
bersalah, Engkau tunjukkanlah buktinya. Amin.
“Assalamualaikum, Kak
Siah.”
Telinga Puan Asiah
mendengar seseorang sedang memberi salam. Dipandang ke arah gerangan yang
memberi salam. Sisa-sisa air mata yang bergenangan di pelupuk mata segera di
sapunya sebelum menitis lalu membasahi pipinya itu.
“Waalaikumusalam. O Limah
rupanya. Ingat siapalah yang datang tadi.”
“Dari jauh saya nampak Kak
Siah termenung jauh. Apalah yang diingatnya. Abang Nal mana?”
“Di mana lagi kalau tak ke
kebunnya tu. Tunggulah sampai dia balik. Manalah tau rezeki Limah, dia bawak
balik pisang sesikat dua.”
“Tak apalah, Kak Siah.
Saya datang ni nak ambik baju. Dah siap ka, Kak Siah?”
“Dah banyak hari dah siap.
Eh, marilah kita masuk dulu.” Puan Asiah menjemput tetamunya masuk ke dalam
rumah.
Halimah yang datang
melenggang masuk dan terus duduk di sofa di ruang tamu. Sementara menunggu Puan
Asiah masuk ke dalam kamarnya untuk mengambil pakaian yang ditempahnya. Dia
selalu menempah pakaian dengan Puah Asiah. Di kampung itu ramai orang yang
mengambil upah menjahit baju. Akan tetapi, dia lebih rasa selesa dengan pakaian
yang dijahit oleh Puan Asiah. Maka tidak hairanlah dalam sebulan, lebih sepuluh
orang yang menempah baju dengan Puan Asiah. Jahitan Puan Asiah halus dan
memuaskan hati. Tambahan pula Puan Asiah juga pandai menjahit sulaman.
Tidak lama kemudian Puan
Asiah keluar dari kamar tidurnya sambil menjijit beg plastik berisi pakaian
yang dimaksudkan oleh Halimah.
“Saya cuba ya, Kak Siah,”
ujar Halimah sambil menyambut beg plastik yang dihulur oleh Puan Asiah itu.
“Akak ke dapur kejap.
Rasanya teh O dengan goreng pisang pagi tadi ada lagi tu,” kata Puan Asiah,
lantas berlalu ke dapur. Namun, pantas sahaja dihalang oleh Halimah.
“Tak payah susah-susahlah, kak. Saya datang kejap aja
ni.”
“Tak ada susahnya. Kamu duk kalut apa nak balik awai?
Laki kamu kerja, kan?”
Biarpun dihalang, Puan
Asiah tetap berlenggang menuju ke dapur. Halimah hanya mampu menggeleng melihat
langkah kaki Puan Asiah itu. Ketika menunggu Puan Asiah tiba di ruang tamu, dia
mencuba pakaian baharu itu.
“Cantik sungguh baju kamu
ni. Pandai kamu memilih kain,” puji Puan Asiah tiba-tiba. Halimah mengukir
senyuman.
“Bukan saya yang beli, kak.
Adik ipar bagi. Oh ya, kak. Hari minggu ni kalau tak keberatan, harap akak
dengan abang dapat datang ke rumah. Ada jamuan sikit. Ala, anak buah saya baru
habis belajar. Maklumlah itulah satu-satunya anak buah saya.”
Rupa-rupanya kedatangan Halimah ke rumah Puan Asiah bukan
sekadar hendak mengambil pakaian yang ditempahnya. Dia hendak menjemput Puan
Asiah sekeluarga datang ke majlis doa selamat anak saudaranya.
“Insya-Allah kalau tak ada
aral melintang nanti,” jawab Puan Asiah.
“Yang mana satu anak
saudara kamu ni?” tanya Puan Asiah tiba-tiba.
“Shamninalah. Siapa lagi? Dua
orang saja anak buah saya, kak. Dulu-dulu selalu belajar dengan Mira. Tak lama
lagi nak bertunang pulak. Cepat benar masa berlalu,” jawab Halimah.
Puan Asiah kembali
teringatkan anak gadisnya, Nurin Amira. Dahulu anaknya itu selalu menceritakan
kenakalan rakan-rakannya, termasuk Shamsul yang sering mengusiknya. Kini rakan
sekolah anaknya itu bakal menamatkan zaman bujangnya. Sudah tentulah majlis
kahwin itu nanti meriah dengan dihadiri sahabat handai, jiran tetangga dan
saudara mara jauh dan dekat. Dia terkilan kerana pada hari pernikahan anaknya,
dia tidak merasai kemeriahan itu.
“Kak ada apa?” tegur
Halimah apabila menyedari Puan Asiah tiba-tiba sahaja berdiam diri.
“Saya mintak maaf
kalau-kalau saya...”
Kenapa pulak dengan Kak
Siah ni? Aku tersilap cakapkah?
“Err... tak, tak ada apa. Cuma,
akak... emm... Tunang Shamnina orang mana?” tanya Puan Asiah, cuba
menyembunyikan gundah hatinya.
“Tunang dia dekat-dekat
sini saja. Baru habis belajar. Sama macam Shamsul.”
Barangkali juga Kak Siah
ni teringatkan anaknya, Mira. Kasihan. Tak pulang-pulang ke rumah! Hati emak mana
yang boleh tahan?
Dia baharu sahaja mendapat
tahu Nurin Amira sudah lama tidak pulang ke rumahnya. Itu pun melalui anaknya
yang berkawan rapat dengan Nurin Anisha.
“Mira apa khabar, kak?”
tanya Halimah, sekadar ingin tahu.
“Mira sihat-sihat saja.
Adiknya tu selalu berSMS dengannya. Dengan akak tak pernah nak ditelefonnya.”
Ada sendu dari nada suara Puan Asiah. Halimah bersimpati.
“Yalah. Saya faham, kak.
Takut abahnya marah, mungkin.”
“Sudahlah, Limah. Akak tak
nak ingat apa-apa lagi. Dah nasib kami.”
“Bersabaqlah, kak,” ujar
Halimah sambil menepuk bahu jiran tetangganya itu.
“Eh! Dah lama benaq saya
kat sini. Saya nak beransur dululah, kak. Masak pun belum ni.”
“Yalah! Yalah! Hati-hati
di jalan ya, Limah.”
“Jangan lupa 27 hari bulan
ni, kak.” Halimah sekali lagi mengingatkan Puan Asiah yang sudah dianggapnya
sebahagian daripada ahli keluarganya itu. Mereka sudah lama saling mengenali.
Semenjak di alam remaja lagi mereka berhubungan baik.
“Kamu, Limah. Ingatkan
siapa tadi. Patutlah tak nampak akak kamu kat depan. Ada tamu rupanya,” tegur
Encik Zainal yang baharu sahaja mahu duduk di pangkin di bawah rumah. Ada
titisan peluh meleleh di wajahnya yang kepenatan itu.
“Saya nak ambik baju ni
hah. Dah lebih sebulan saya hantaq. Alang-alang datang ke sini, saya nak beritau
majlis doa selamat anak buah saya. Baru habis belajar. Datanglah ya, bang pada
27 hari bulan ni.
“Insya-Allah. Yang mana
satu?”
“Shamnina, adik Shamsul.
Dulu kecik-kecik saya yang jaga dia. Duk mai sini main-main dengan Mira. Takkan
abang dah lupa?”
Mendengar nama Nurin Amira, berubah sedikit seri muka
Encik Zainal. Puan Asiah menyedarinya. Lantas segera dia mengalih perhatian
suaminya itu.
“Akak dah cakap tadi. Ada
rezeki untuk kamu, Limah. Tunggu kejap akak ambik beg plastik,” kata Puan Asiah
selepas memandang setandan pisang dan beberapa biji labu air di atas pangkin.
Pantas saja dia berlalu ke dapur untuk mengambil beg plastik yang dimaksudkan.
Setibanya Puan Asiah di
luar, setandan pisang itu sudah pun dipotong menjadi beberapa ikat pisang. Dia
mengambil dua ikat pisang lalu memasukkannya ke dalam beg plastik yang
diambilnya itu.
“Buat susah-susah saja,
Kak Siah ni. Banyak ni nak buat apa?”
“Bawak ajalah balik.
Pisang emas ni buat kerepek pun sedap. Rebus makan dengan kelapa parut pun
sedap. Buat gulai lemak campur dengan ikan masin pun sedap jugak,” kata Puan
Asiah, memberi idea.
“Dengan Kak Siah hang ni,
semua menjadi. Benda dah ada di depan mata.”
Puan Asiah ketawa mendengar pujian suaminya itu.
“Yalah. Kak Siah ni wanita
serba boleh. Tapi, Kak Siah saja yang tak nak akui. Kalau tak, dah lama dia mau
jadi tenaga pengajaq kelas KEMAS yang baru ditubuhkan di dewan. Ha... Kak Siah
tak tau lagi ka? Kampung kita ni dah ada persatuan wanita,” jawab Halimah.
“Akak dah tau. Akak malas
nak masuk persatuan-persatuan ni. Kat rumah ni banyak kerja yang nak dibuat,”
ujar Puan Asiah pula. Suaminya tersengih sahaja.
“Terima kasih, Kak Siah,
Abang Nal. Saya balik dulu. Assalamualaikum.”
Kedua-dua suami isteri itu
menjawab salam Halimah serentak. Puan Asiah menghilang ke dalam rumah. Kemudian
keluar dengan membawa mug berisi air kopi kegemaran suaminya.
Baru sahaja Puan Asiah
hendak berlabuh di sisi suaminya, telefon mendering minta diangkat. Dia berlalu
ke tengah rumah.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam, kak ngah.”
“Aina.... Awat hang lama
tak telefon akak? Sampai hati hang.”
“Aina sibuk, kak. Abang,
akak dengan anak-anak di sana semua sihat ka?”
“Kami sihat, Na. Sihat
orang tua faham-faham aja la.”
“Ain dah sebulan balik.
Dia nak pi sana. Rindu kat mak ngah, katanya.”
“Bila dia balik? Mai la.”
Ceria wajah Puan Asiah apabila diberitahu anak saudara kesayangannya sudah
pulang dari perantauan.
“Dah sebulan dah.”
“Amboi... dah sebulan
balik, baru nak habaq. Sampai hati noh.” Kedengaran tawa meletus dari corong
telefon.
“Dia cadang nak surprisekan akak. Sebelum tu, Na nak
bagitau. Nanti akak marah pulak.” Faham benar dia sikap anak saudara
kesayangannya itu.
“Tapi... kalau tak beritau
awai-awai, tak sempat akak nak masak. Karang merajuk pulak dia,” ujar Puan
Asiah pula.
“Yalah, kak. Ain tu bukan
tak tau perangai dia. Okeylah, kak. Saya nak pi makan ni. Kirim salam kat Abang
Nal.” Serta-merta talian terputus.
Tersenyum-senyum seorang
diri Puan Asiah di dapur apabila diberitahu oleh adiknya, anak saudaranya
hendak datang ke rumah. Aina, adik perempuannya yang kedua bongsu. Itulah
satu-satunya saudara kandung yang dia ada selepas abang yang sulung meninggal dunia
disebabkan serangan jantung beberapa tahun lalu.
Nurain yang dijaga
semenjak kecil sudah dianggapnya seperti anak sendiri. Nurain sungguh rapat
dengan Nurin Amira dan Nurin Anisha. Mereka bagaikan tiga sekawan yang tidak
boleh dipisahkan lagi. Nama pun bersaudara, apa jua perkara ingin dilakukan bersama.
Sehinggakan dia dan suami tergaru-garu kepala melihat telatah mereka. Ditambah
pula anak sulung dan anak keduanya yang suka menyakat adik-adik mereka.
Bertambah meriah suasana dibuatnya. Tetapi, kini segalanya sudah berubah.
Masing-masing mempunyai tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Sebagai seorang
ibu, dia hanya mendoakan yang baik-baik sahaja untuk kebahagiaan anak-anaknya.
Dan senyuman terus terukir apabila mengenangkan itu semua.
“Siapa yang telefon tu,
Siah?” tegur Encik Zainal yang sudah tercegat di depan pintu tengah rumah.
“Aina, bang!”
“Apa dia nak?”
“Nak beritahu hujung minggu
depan Ain nak datang. Nak surprisekan
kita.”
“Nak surprisekan kita? Patutlah tak jadi datang hari ni, ya. Bertuah
punya anak,” kata Encil Zainal sambil menggeleng-geleng kepala.
“Itu la. Nakalnya tak
pernah berubah. Kalau Aina tak telefon tadi, tak merasalah budak tu makan
sedap-sedap.”
“Yalah. Anak saudara awak
jugak.”
Dalam hati kedua-dua suami
isteri itu berbunga bahagia. Sekurang-kurangnya terubat kecewa yang mencengkam,
terubat rindu yang hadir di laman hati.