BAB 23
EMPAT hari lalu, Nurin Amira tidak datang ke pejabat. Zakuan
kegelisahan. Pelik. Tetapi, itulah realiti. Dalam beberapa hari ini, dia jadi
rindu pada wajah yang lembut itu. Dia tidak pasti akan perasaannya terhadap
gadis itu. Cuma dia rasa bersalah yang amat sangat kerana selama ini meletakkan
kesalahan hanya di bahu gadis itu tanpa menyiasat perkara yang sebenarnya
berlaku. Dia tidak berniat untuk menghukum gadis itu atas apa yang berlaku
terhadap perhubungan mereka.
Kembalinya Nurain mengubah
segala-galanya. Cinta pertama yang hadir di mana dia masih mentah menilai erti
cinta yang hadir dalam diri. Dalam masa yang sama, berjuang menuntut
pengorbanan yang bukan sedikit meraih keputusan cemerlang dalam pelajaran.
Mujurlah dia berjaya mengawal emosi daripada dibuai oleh perasaan. Namun, dia
pasti debaran yang datang bertandang saat bertemu mata dengan Nurain ialah
cinta sejati yang lahir dari keikhlasan hatinya.
Nurain dan Nurin Amira. Dua orang wanita yang berjaya
mengocak hati lelakinya. Kedua-duanya mempunyai keperibadian dan personaliti
berbeza. Walaupun kedua-duanya lemah lembut, Nurain lebih agresif.
Perlahan-lahan memori alam
persekolahan saat bersama Nurain hadir mengocak perasaan.
Ingatan terhadap peristiwa
kali pertama bertemu di Parkson sehingga terjalin persahabatan di antara mereka
sentiasa bermain di ruang fikiran. Dia menyenangi Nurain yang mudah mesra itu.
Selepas insiden bertemu Nurain di pasar raya tersebut, Zakuan berharap mereka
dipertemukan lagi. Mereka dipertemukan lagi di sekolah di mana Zakuan belajar
ketika itu. Zakuan sungguh gembira kerana mereka dipertemukan lagi dalam
situasi yang sungguh berbeza.
Pada suatu hari yang tidak
di duga, dia benar-benar gembira kerana buat kesekian kalinya dipertemukan lagi
dengan Nurain di sekolah di mana Zakuan belajar ketika itu. Nurain menjadi
sebahagian daripada rakan sekelasnya. Pelajar perempuan itu ialah anak saudara
penolong kanan sekolah itu. Memandangkan kerjaya bapanya sebagai seorang
tentera, mereka sering berpindah-randah. Selepas itu, dia menjalinkan persahabatan
yang akrab dengan Nurain.
Zakuan tidak menafikan dia
menyenangi Nurain kerana senyumannya manis, gayanya yang periang, gemar
mengusik, mudah mesra, peramah, dan tidak kedekut ilmu. Tidak menghairankan
jika Nurain disenangi ramai orang, termasuk guru-guru di sekolah itu. Tetapi,
ada juga yang mencemburuinya kerana sering mendapat perhatian rakan-rakan
seusianya. Namun, Nurain tidak pernah menyombong diri. Nurain lebih suka
merendah diri.
“Hai, Nurain.
Sudi-sudikanlah join dengan kita
orang ni,” usik seorang pelajar lelaki yang gemar menyakat pelajar perempuan.
“Tak naklah. Nurain nak masuk kelas.
Ada kerja nak disiapkan. Lagipun tak baik buang masa macam tu.” Jawapan Nurain
mengecewakan pelajar lelaki tersebut.
Di dalam kelas, Zakuan dan
Fadli sedang sibuk membaca. Kedua-dua sahabat itu memang minat membaca. Nurain
menuju ke arah mereka.
“Hai. Busynampak.”
Zakuan terperanjat apabila ditegur oleh Nurain. Dia
tersenyum.
“Baca buku apa tu?” tanya
Nurain.
“Novel Basikal Tua. Ayah beli semalam,” jawab
Zakuan.
“Tak bosan ke? Asyik
membaca aja. Dah makan?” Nurain mengajukan pertanyaan berkenaan kerana hari itu
ada jamuan di antara guru dengan pelajar tingkatan empat dan lima.
“Dah.”
Sepatah jawapan Zakuan yang lebih berminat pada jalan
cerita novel yang dibacanya itu. Dalam hatinya mengomel geram kerana
konsentrasinya terganggu. Fadli pula dari tadi sudah tidak dapat menahan
ketawanya. Zakuan hanya menjeling geram.
“Hobi kami memang suka
membaca. Asal ada peluang aja. Kalau tak di library,
di pondok bacaan tu, ha,” sampuk Fadli yang juga sedang membaca sambil
melebarkan senyumannya.
“Apasal ni, Wan? Nampak
gelisah aja,” tegur Nurain.
“Tak ada apa. Cuma Wan tak
ingat istilah inersia!”
Zakuan berdalih. Sebenarnya dia segan apabila Nurain
memerhatikan dia membaca.
“Inersia? Minta buku tu.”
Zakuan memberi buku latihan Sains kepada Nurain.
“Inersia maknanya sifat
jasad yang sentiasa menentang perubahan keadaan.”
Begitu bersemangat Nurain memberi jawapan sambil menulis
apa yang dikatakannya.
“Senang aje. Terima kasih,
Ain,” jawab Zakuan. Dia menjeling Fadli yang sedang tersengih.
Seketika kemudian, loceng
berbunyi. Nurain keluar menuju ke bilik guru untuk membantu guru menyediakan
apa-apa yang patut sebelum menjamu selera dengan hidangan yang ditempah khas
oleh pihak pengetua sekolah. Dia sempat mengerling Zakuan yang masih
memerhatikannya.
“Hei! Wan. Jom keluaq
minum.”
Terkejut Zakuan dari menungannya yang panjang. Salleh
sedang tersengih selepas menepuk bahunya.
“Hang ni buat terkejut aku
aja.”
“Itulah hang. Termenung...
berangan itulah kerja hang. Entah apalah yang diingatnya. Teringat dekat Mira
ataupun berangan-angan jadi raja sehari, kot?” teka Salleh sambil tertawa. Suka
benar dia menyakat Zakuan.
“Merepeklah hang ni. Sudah
la... belikan aku teh ais.”
“Nak sambung berangan lagi
la tu.” Salleh ketawa melihat wajah Zakuan yang sudah merona merah.
Pantas sahaja Zakuan menolak tubuh Salleh agar berlalu
dari mejanya. Tidak senang duduk dia apabila diusik begitu.
Zakuan meraup wajahnya
beberapa kali. Baharu dia teringat dia masih belum menunaikan solat. Dia segera
berwuduk untuk sujud kepada Allah yang Maha Agung.
**************
“ASSALAMUALAIKUM.”
“Waalaikumusalam. Emm... Ila.
Ada apa?”
“Maaflah mengganggu! Kau
sibuk ke?”
“Boleh tahan jugaklah. Ada
beberapa fail yang aku perlu semak semula.”
“Kalau kau tak keberatan,
jom kita keluar makan ramai-ramai. Lagipun, aku dah inform dekat member-member kita.”
Nurain melepaskan nafasnya. Dia cukup tidak suka apabila
temannya yang satu itu mengatur pertemuan tanpa bertanya dia terlebih dahulu.
“Emm... tengoklah dulu.
Kau ni pun satu. Tak nak beritau aku dulu.”
“Janganlah marah. Dah
susah sangat nak jumpa kau. Dia orang tu banyak kali tanya aku bila boleh
keluar sama-sama macam dulu.”
“Bukan aku tak nak jumpa
kau orang. Aku banyak kerja,” ujar Nurain, perlahan. Namun, Ila mengerti
sahabatnya itu sedang menyembunyikan rasa marahnya.
“Bolehlah, Ain. Bukan
selalu kita keluar, tau.”
“Okeylah,” jawab Nurain.
Kedengaran Ila menjerit kegirangan.
“Okey. Macam tulah kawan
sejati. Kita orang tunggu kau kat lobi, ye.”
“Yep.”
“Okey, bye.” Sejurus itu
talian terputus.
“Lisa. Kalau ada panggilan
lagi, cakap saja saya meeting,” pinta
Nurain sejurus taliannya disambungkan dengan setiausaha syarikat ayahnya itu.
“Baiklah, Cik Ain.” Lisa
akur.
Hari ini jadual kerjanya
agak padat. Sehingga petang masanya terisi. Sebelah pagi, dia perlu menyemak borang
tuntutan daripada pekerja-pekerjanya. Tengah hari dan petangnya pula, dia perlu
menyemak beberapa kertas cadangan yang disiapkan oleh pekerja-pekerjanya. Jika
ada yang bersesuaian, dia akan mengusulkan cadangan itu kepada ayahnya sebagai
ketua Lembaga Pengarah Beauty Crystal Network. Penat usah dikira. Namun, tidak sedikit
pun dia mengeluh. Malah, dia cuba bekerja dengan sebaik yang boleh. Mungkin
dengan cara itu boleh meningkatkan mutu kerjanya, fikirnya dalam hati.
Dia melelapkan matanya
yang letih barang seketika. Mindanya seakan tenang apabila berbuat begitu.
Namun, kali ini telefon bimbitnya pula berdering minta diangkat. Lama dibiarkan
berdering. Oleh kerana bingit telinganya mendengar, dia mencapainya juga.
Melihat nama yang tertera pada skrin telefon, segera dia menjawab panggilan
itu.
“Waalaikumusalam.”
“Errr... maaf,
mengganggu.”
“It’s okay. Ada apa, Wan?”
“Wan ingat nak ajak Ain
keluar petang ni. Boleh, kan Ain?”
“Sebenarnya, Wan, kalau
nak diikutkan, Ain tak nak keluar sebab banyak kerja. Tapi, baru sekejap tadi
kawan Ain telefon ajak makan malam bersama. Lain kalilah ye, Wan.”
“Tapi, Ain....”
“Dah lama sangat Ain
beralasan. Kasihan pulak. Lagipun kami ni berjiran. Pejabat kami pun berdekatan.”
“Baiklah kalau macam tu.”
“I’m so sorry. Mungkin lain kali? Ain janji.”
“Okeylah. Bye, Ain.”
“Bye.” Klik. Talian
terputus.
“Argh...” Spontan keluar
dari seulas bibir yang menawan itu.
Bodohnya aku. Aku dah
menolak tuah. Kenapalah cepat sangat aku menolak permintaannya, sedangkan itu
yang aku inginkan? Sebuah pertemuan yang romantis ditemani silauan cahaya lampu
malap menerangi ruang santai kami. Oh... Tuhan. Berikan aku ketenangan barang
sekejap.
Langsung Nurain berdiri
sambil menopang dagu menghadap tingkap kaca di kamar pejabatnya. Lalu lintas
kenderaan yang berpusu-pusu menuju ke destinasi masing-masing tidak menarik
perhatian Nurain kala itu. Yang pasti, sudah hilang moodnya untuk meneruskan kerja.
Lewat kebelakangan ini Nurain sering mendapat panggilan
daripada orang yang sama. Nurain terkejut setiap kali menerima panggilan itu. Namun,
hatinya tetap berbunga bahagia kerana dapat mendengar suara yang dirinduinya
itu.
Nurain hairan atas keperluan
apa Zakuan ingin menemuinya. Tidak pula dia terfikir Zakuan mahu serius
dengannya. Lagipun, dia sudah berjanji pada diri tidak mahu melayan
angan-angannya. Bimbang ada hati yang akan terluka nanti.
Nurain keluar awal dari
kamar pejabatnya. Sebelum beredar, sempat Nurain menghubungi ibunya memberitahu
kepulangannya lewat sedikit daripada biasa. Sekadar memenuhi permintaan kawan
yang sudah lama ingin keluar dengannya.
Kalau tidak disebabkan
kerja, dia tidak keberatan sebenarnya memenuhi permintaan rakan-rakannya sambil
menghimbau kenangan lalu. Dapat juga bertukar fikiran tentang pengalaman yang
telah dilalui. Juga membicarakan tentang hari depan yang bakal mereka terokai
nanti. Menurut perkhabaran teman-teman, ada beberapa orang rakan mereka telah
pun menamatkan zaman bujang. Ada juga telah memiliki cahaya mata sendiri. Cuma,
Nurain tidak pasti bilakah dia bakal merasai kehidupan berkeluarga. Sebagai
seorang wanita yang normal, pasti sedikit sebanyak tersentuh juga hatinya untuk
hidup di samping suami yang penyayang dengan membina keluarga bahagia. Tanpa
sedar, fikirannya jauh terkenang akan impian remajanya sebelum dia berangkat ke
luar negara. Kenangan silam masih menghantui dirinya. Bukan mudah untuk melupai
segalanya sekelip mata.
************
RAKAN-RAKAN Nurain sedang menunggu di ruang menunggu di tingkat
bawah pejabatnya. Selepas bertanya khabar, mereka jalan beriringan menuju ke
sebuah restoran yang tidak jauh dari pejabat Nurain. Lebih kurang enam bulan
mereka tidak bertemu. Memandangkan masing-masing sibuk dengan kerja, mereka
jarang dapat bersua. Sesekali ada masa terluang bersua muka dimanfaatkan
sebaik-baiknya dengan bertukar-tukar fikiran dan beramah mesra. Nurain memang
berkawan rapat dengan Syahila, Hazim, Norly, dan Zakri. Teman-temannya itulah
yang sering menemaninya di alam maya, selain Nurin Amira sepanjang dia
menyambung pengajian A-Level di London suatu waktu dahulu.
Keakraban mereka masih tidak berubah. Sesekali Nurain diusik
bila lagi hendak menamatkan zaman bujangnya. Usianya juga sudah 25 tahun. Hazim
pula berlainan sekali. Renungannya benar-benar lain. Nurain perasan Hazim
menyimpan sesuatu yang sukar untuk dimengertikan dan dijelaskan oleh empunya
diri. Namun, dia tidak ambil pusing sangat tentang itu.
************
ILA, teman kejiranannya itu sering mengatur janji temu tanpa
memberitahunya terlebih dahulu. Hendak tidak hendak dia terpaksa memenuhi
permintaan teman-temannya. Sekalipun pada hujung minggu. Umi menggeleng hairan.
Kerap sangat dia keluar dengan Ila. Dahulu sebaik pulang dari luar negara,
tidak pula gadis itu ingin bertemu dengannya. Namun, dia tidak pula memikirkan
sebarang kemungkinan yang sedang diatur oleh temannya itu. Yang dia tahu dapat
memenuhi permintaan kawan-kawan. Itu sudah memadai baginya.
Kali ini mereka
mengunjungi pusat beli-belah pula. Kebetulan ada sesuatu yang hendak dibeli
oleh Norly sempena hari ulang tahun perkahwinan orang tuanya. Nurain pula
pantang melihat kedai buku, ingin segera mengunjunginya. Dalam pada itu, dia
berasa hairan kerana Hazim sering mengekorinya hinggakan beberapa buah novel
yang dipilih oleh Nurain ingin dibayarnya. Nurain menolak. Nurain tidak mahu
membebankan temannya sendiri. Tambahan pula dia mampu membayarnya.
Tiba-tiba telefon tangannya berdering. Nurain melihat
nama yang tertera pada skrin telefon tersebut. Lantas segera menjawab panggilan
itu. Mendengar sahaja nama Zakuan yang meniti di bibir gadis manis itu, jelas
kelihatan garis kecewa pada wajah Hazim. Nurain tidak mengerti.
“Siapa lelaki tu?” Nurain terkejut
dengan pertanyaan Hazim. Namun, dia cuba untuk bertenang seboleh mungkin.
“Kawan lama.”
“Kawan lama? Boleh percaya
ke?”
“Kenapa Zim tanya macam
tu? Yalah, kawan lama ke, apa ke, apa pulak kaitannya dengan Zim?”
“Ya... Zim perlu tau sebab
Zim...”
“Sebab apa, Zim? Dengan
siapa Ain nak berkawan Zim pun nak tahu semua. Dah lama Ain perhatikan. Ain
sengaja diamkan. Takut Zim terasa hati. Umi dan abah pun tak pernah soal Ain
macam ni sebab dia orang percayakan Ain. Tapi, hari ni Ain dah tak sabar lagi,”
ujar Nurain menyuarakan rasa tidak puas hatinya.
“Sebab Zim sayang sangat
dekat Ain. Kalau boleh....”
“Itu hanya alasan Zim.
Kononnya hanya Zim seorang yang sayang Ain. Padahal ramai orang sayangkan Ain.”
Bagi Nurain, istilah
sayang besar pengertiannya. Sayang sahabat, sayang saudara, sayang orang tua,
sayang guru, dan sebagainya.
“Tapi... sayang Zim lebih
daripada seorang kawan. Zim cintakan Ain.”
“What? Zim dah gila ke?” Nurain benar-benar berang. Dia mengepal
genggaman tangannya. Namun, dia tidak sampai hati memalukan Hazim di khalayak
ramai. Dia tidak menyangka Hazim akan berkata begitu. Selama ini dia melayan
teman-temannya sama rata. Baik lelaki mahupun perempuan.
“Eh! Apa hal ni? Zim...
Ain.... Lain macam aje kau orang ni?” tegur Zakry, hairan.
“Tak ada apa. Cuma sedikit
perselisihan pendapat. Biasalah. Masing-masing nak menang, kan?”
Nurain sedar dia berbohong. Namun, dia tidak tahu apa
jawapan terbaik untuk diberitahu kepada temannya itu.
“Ye ke? Apa yang dibincangkan?”
soal Zakry lagi.
“Er... lain kali la kita
bincang hal tu, ye. Hazim tu pun dah hilang mood
agaknya,” jawab Nurain pantas. Dikerlingnya Hazim yang diam membisu. Tidak
berkutik.
“Okey. No problem. Jom kita pergi makan. Dah tengah
hari dah ni. Norly dan Ila pun dah tunggu tu,” kata Zakry.
“Tapi, Ain tak lapar. Ain
mintak maaf sangat-sangat. Lagipun Ain ada hal dekat salon umi. Lain kali kita
jumpa lagi ya. Kali ni... aje. Ataupun datang saja ke rumah Ain hujung minggu
ni. Ain masak. Boleh?”
“Boleh! Boleh! Dah lama
aku teringin nak merasa air tangan Ain ni. Lagipun, masakan Ain enak tau, Zim.
Rugi kalau tak datang.”
Norly segera menyetujui saranan Nurain itu. Entah bila
dia dan Norly mengikuti perbualan mereka.
Nurain bukan apa. Baginya,
biarlah dia dan Hazim sahaja yang tahu keadaan sebenar. Dia ingin menzahirkan
rasa bersalahnya kerana tidak dapat menyertai rakan-rakannya itu. Lantas
mempelawa mereka datang ke rumahnya. Dia tidak keberatan dikunjungi rakan-rakan
baik pada hujung minggu nanti. Lagipun, dia tidak ada apa-apa rancangan pada
hari minggu nanti.
“Boleh sangatlah tu. Aku
tak dak masalah. Zim tu tak taulah pulak,” jawab Zakri.
“Bolehlah! Ain serius nak ajak hang pa datang rumah.
Lagipun, kita bukan selalu dapat berjumpa.”
Nurain tersenyum sebaik sahaja
Hazim mengangguk. Kemudian dia segera memohon diri untuk beredar. Telefon
dicapai. Ada SMS. Siapa lagi yang menghantarnya, kalau bukan seseorang yang
sering meniti di halaman hatinya. Girangnya dia saat itu. Namun, yang pasti dia
cuba untuk tidak melayan perasaannya demi persahabatannya dengan Nurin
Amira.