Bab 58

BAB 58

SUDAH beberapa hari ini, banyak berlaku kemalangan memandangkan sekarang musim hujan. Aku dengan Luqman bertungkus lumus merawat pesakit. Kadangkala, Marissa turut ada sekali, walhal dia bukan bahagian sini. Dia doktor pakar puan. Semakin lama aku lihat hubungan dia dengan Luqman bukan main rapat. Aku tengok Luqman pun tak kisah dia bertepuk tampar. Sejak bila Luqman rapat dengan dia entah. Panas saja hati aku tengok dia.

"Sayang... nak makan?" soal Luqman sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam bilik kerja aku. Sekarang jam sudah menunjukkan pukul 3 petang, baru dia nak ajak aku pergi makan. Makin lama aku sakit hati dengan sikap dia. Rasanya tadi pembedahan dah habis seawal jam 1 petang. Dua jam tu dia menghilang entah ke mana.

"Sayang... abang tanya nak makan? Jom..."

"Tak apalah. Perut dah sebu, masuk angin," jawab aku dengan nada rajuk. Mata masih terpaku pada fail pesakit yang aku jaga.

"Sorry, tadi Marissa mintak tolong abang periksakan pesakit dia." ujar Luqman sambil melabuhkan punggung di hadapan aku. Tangan aku ditarik lalu diusap lembut.

"Asyik-asyik Marissa je. Siapa dia sebenarnya? Apa hubungan abang dengan dia?" soal aku dengan nada suara menahan sebak. Sungguh aku tak mampu menahan perasaan cemburu ni lagi. Luqman mengangkat wajahnya memandang aku. Reaksi dia terkejut melihat mata aku yang sudah berkaca. Tangan aku tarik perlahan. Merajuk dengannya.

"Eh, sayang. Tak... abang tak ada apa-apa hubungan dengan dia. Kawan saja. Sayang, jangan salah faham. Abang tak ada niat nak selalu dengan dia. Dia selalu minta tolong abang, abang tolonglah."

"Kawan? Macam tu kawan? Sentuh bersentuhan dengan abang? Selamba bertepuk tampar, bergelak ketawa dengan suami Aly? Arissa pun sibuk asyik cakap pasal dia. Tak habis-habis puji dia. Aly ni siapa? Aly dah lama pendam tau. Aly perhati je dari hari tu lagi. Lama dah Aly simpan. Pendam dan terus pendam." Laju air mata aku mengalir. Luqman memandang aku perasaan serba salah.

"Maaf sayang. Abang tak ada niat. Janganlah menangis."

"Tak apalah, nak pergi check pesakit." Aku memeluk fail-fail pesakit lalu melangkah keluar meninggalkan Luqman seorang diri.

"Sayang, lepas check pesakit, datang bilik abang ya. Abang tunggu... kita pergi ambil kids lepas tu pergi makan sama-sama..."

Aku tak membalas apa-apa. Terus saja berjalan. Aku tahu perbuatan aku itu dosa, tapi hati aku sakit sangat. Aku hanya manusia biasa. Tak lari dari membuat dosa. Aku melepaskan keluhan kecil.

****

SELEPAS memeriksa semua pesakit bawah jagaan aku dan memastikan laporan kesihatan mereka aku isi dengan lengkap. Aku membawa langkah menuju ke bilik kerja Luqman. Entah kenapa hati aku berasa tidak sedap dari tadi. Ada apa-apa jadi dengan Adam dan Arissa ke? Aku berniat nak menghubungi ibu sebaik saja sampai di bilik kerja Luqman nanti.

"Abang, Aly dah..." Langkah aku terhenti sekali gus tercengang melihat situasi di hadapan aku ini sebaik saja aku menolak pintu bilik kerja Luqman tanpa ketuk.

"Alyna..." Luqman terus menolak tubuh Marissa. Laju dia menghampiri aku.

"Sayang tadi tu salah faham. Marissa terjatuh atas abang. Tu saja. Bukan macam yang sayang nampak. Abang tak sentuh dia."

Aku mengetap bibir. Tak tahu nak beri respons apa. Marissa pula terkebil-kebil memandang aku dan Luqman bersilih ganti. Hati aku bagaikan disiat-siat. Memang aku tak nampak Luqman menyentuh dia tapi cara mereka buat hati aku bertambah sakit.

"Jatuh? Berdua-duaan dalam bilik? Biasanya ada jururawat ikut sekalikan kalau nak bagi fail laporan kesihatan. Kenapa ni tak ada?" soal aku kembali. Nada suara aku sudah bergetar menahan tangis.

"Sayang, betul. Abang dengan Marissa tak buat apa-apa. Dia cuma terjatuh saja. Dia cakap sekejap saja mahu bagi fail lepas tu dia nak berdiri sekali terjatuh atas abang..."

Aku menggelengkan kepala perlahan. Terus mengatur langkah keluar dari bilik kerja Luqman dan menangis teresak-esak. Air mata aku cuba seka namun gagal. Masih berdegil mahu mengalir.

"Sayang! Wait! Sayang!"

Aku terus masuk ke dalam bilik kerja. Tidak mahu orang lain nampak aku menangis.

"Sayang... sayang. Percayakan abang. Betul abang tak buat. Kami tak sengaja." Luqman menarik tangan aku lembut lalu digenggam erat. Aku hanya membiarkan saja. Tidak mahu menambah dosa aku lagi. Aku mengalihkan pandangan, hanya mampu menangis.

"Sayang... maafkan abang. Abang janji abang tak buat lagi macam ni. Abang selalu dengan sayang... okey?" pujuk Luqman.

"Alyna.. maaf. Saya tak sengaja tadi. Sumpah, kaki saya tersilap langkah jadi saya terjatuh. Tak sengaja terjatuh atas Luqman."

Aku mengesat air mata. Tangan aku tarik dan terus mencapai beg tangan. Terus aku berlari keluar dari situ. Aku bukan tak percaya tapi aku musykil. Sebab sebelum-sebelum ni dah banyak kali aku nampak Luqman dan Marissa akrab sangat. Siapa yang tak salah sangka?

Kelmarin pun, aku balik dulu dari Luqman. Aku masak masakan kegemaran dia. Tepat jam 9 malam, dia balik aku dah siap hidangkan semua lauk-pauk atas meja tapi dia cakap dia dah makan dekat hospital. Teman Marissa makan tadi. Banyak kali dia minta maaf, dia kata dia kenyang sangat.

Apa perasaan aku saat itu? Mestilah sedih. Sakit hati. Sikit-sikit nama Marissa yang terpacul. Arissa pun sama. Adam pun sekarang dah pandai tanya Marissa. Aku tak nak cerita semua ni dekat ibu sebab aku tak nak ibu susah hati fikirkan aku. Aku sepatutnya pandai selesaikan masalah sendiri tapi aku tak kuat. Aku lemah.

*****

JARUM jam menunjukkan pukul 11 malam dan aku masih belum pulang ke rumah. Beberapa kali telefon bimbit aku bergetar-getar, sudah hampir masuk 130 kali miscalled dari Luqman tapi aku langsung tak sentuh telefon aku itu. Aku melemparkan pandangan aku ke arah tasik yang terbentang luas. Suasana di situ pun agak sepi, aku rasa hanya aku seorang saja yang berada di situ.

Beberapa kali aku melepaskan keluhan kecil. Salahkah tindakan aku ini? Anak-anak aku mesti memerlukan aku. Setiap kali nak tidur, mesti mereka mencari aku. Aku terpaksa buang perasaan negatif aku ni jauh-jauh demi Adam dan Arissa. Mereka tak tahu apa-apa.

Tanpa membuang masa, aku terus meloloskan diri masuk ke dalam perut teksi dan memecut laju pulang ke rumah.

*****

"MAMA!"

"Nak mama!"

Saat aku keluar dari perut teksi, terdengar teriakan Adam diselang-seli dengan Arissa. Dari jauh aku nampak melalui cermin tingkap, Luqman sedang cuba memujuk mereka dan ibu turut membantu Luqman.

"Assalamualaikum..." Perlahan saja suara aku memberi salam.

"Mama! Mama!" Sepantas kilat Adam dan Arissa berlari ke arah aku. Kaki aku dipeluk erat oleh mereka. Tanpa sedar, aku menitiskan air mata. Kejamnya aku sebagai seorang ibu membuat anak-anak menangis disebabkan diri aku yang mementingkan diri sendiri ini.

"Sayang... sayang pergi mana? Abang risau..." Luqman memeluk tubuh aku erat.

Aku menolak perlahan dada Luqman lalu mendukung Adam dan Arissa, mendaki tangga melangkah masuk ke dalam bilik.

"Pujuk baik-baik, Luqman. Alyna tu hati tisu. Dia tak akan pandai merajuk lama-lama. Bincang baik-baik. Cerita pekara yang sebenar. Luqman pun salah sebab buat macam tu. Lepas ni jangan ulang lagi. Luqman suami Alyna, tak elok terlalu rapat dengan perempuan lain. Mesti Alyna terasa bila Luqman buat macam tu..."

Dari atas aku terdengar pesanan ibu. Berjurai-jurai air mata aku mengalir. Adam dan Arissa langsung tak mahu melepaskan aku. Erat sungguh mereka memeluk leher aku sambil melentukkan kepala di atas bahuku.

"Mama pergi mana... kenapa lambat?" soal Adam tersedu-sedan. Arissa pula mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Maafkan mama, sayang. Mama ada kerja sikit je tadi. Maaf, ya. Jom kita tidur. Esok mama cuti. Mama jaga Adam dengan Arissa, ya. Tak mau nangis lagi. Tak comel anak-anak mama ni."

Aku meletakkan mereka berdua di atas katil lalu mengesat wajah mereka dengan tisu basah. Selimut aku tarik sehingga ke paras pinggang mereka. Rambut mereka berdua aku belai perlahan dan mengucup dahi seorang demi seorang dengan penuh kasih sayang.

"Mama tak tinggalkan Adam dan Arissa. Mama selalu ada. Dah tidur, ya," pujuk aku sambil merebahkan diri di sebelah mereka. Perlahan-lahan mereka berdua memejamkan mata dan tak sampai beberapa saat, mereka sudah diulit mimpi.

Maafkan mama, sayang...


Previous: Bab 57
Next: Bab 59

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.