Bab 21

BAB 21

"TAK sangka kau boleh ajar anak aku sampai dia boleh skor markah tinggi macam nih," ujar ayah setelah lama berdiam diri sambil merenung kertas slip peperiksaan percubaan semester aku itu bersama ibu. Ibu di sebelah hanya mendiamkan diri.

"Saya hanya membantu selebihnya dia yang berusaha sendiri, doktor. Alyna tidaklah selemah yang doktor sangkakan. Dia cuba perlu dorongan dan sokongan dari seseorang untuk dia bersemangat terutamanya sokongan dari doktor dan juga prof," kata Luqman dengan nada tenang.

Hari ini merupakan hari pengambilan slip keputusan peperiksaan percubaan semester, jadi awal-awal pagi tadi ayah sudah berpesan dengan aku supaya membawa Luqman sekali ke rumah bersama-sama dengan slip keputusan. Hanya Allah saja yang tahu betapa gementarnya aku saat menerima slip keputusan itu. Sebaik saja menerima slip keputusan, setiap isi kandungan kertas itu aku tenung bagaikan tidak percaya. Semuanya 85% dan ke atas. Masa tu Luqman dah risau tengok muka aku pucat tak berdarah dan mematung bagaikan tidak bernyawa.

"Baguslah macam tu tapi aku harap kau buat semua ni tak adalah muslihat yang tersembunyi...," kata-kata ayah itu seolah-olah menyindir.

Luqman seperti biasa hanya berlagak tenang sambil meleretkan senyuman tipis. "Saya ikhlas, doktor. Segala ilmu yang saya turunkan kepada Alyna, setulus ikhlas dari hati saya. Doktor jangan risau. Saya tak akan minta apa-apa cuma tolong berikan perhatian yang sebaiknya untuk Alyna. Walaupun dia sudah meningkat dewasa, tiada alasan untuk dia diabaikan dengan cara berdikari sedangkan dia masih mempunyai ibu dan ayah."

Ayah dan ibu terdiam tidak berkutik mendengar pesanan Luqman itu.

"Kau tak payah nak mengajar aku. Anak aku. Aku tahulah nak buat apa. Kau tu jaga diri sendiri, tak perlu sibukkan hal keluarga orang lain." Ayah ni semakin lama aku tengok caranya semakin bongkak. Aku tak tahulah apa yang ayah fikirkan. Sedangkan Luqman ni lah yang banyak membantu aku. Kalau tak anak dia ni bodoh selama-lamanya, tak mampu nak mengikut jejak dia. Dia juga yang menanggung malu nanti.

"Ya, doktor. Maafkan saya, ada apa-apa lagi ke? Saya ada urusan nak diselesaikan," soal Luqman.

"Tak ada, itu saja," jawab ayah lalu menyerahkan semula slip keputusan kepada aku kemudian melangkah masuk ke bilik bersama ibu.

"Abang maafkan ayah, ya. Dia memang kasar macam tu. Aly pun tak tahu kenapa ayah macam tu."

Luqman hanya tersenyum.

"Abang dah biasa, Alyna. Biasalah, orang yang dah memegang pangkat tinggi tak semua yang merendah diri, ada yang sombong bongkak kerana pangkat yang dibawa ke hulur ke hilir itu. Abang tak ada niat nak kutuk ayah dan ibu, Aly... tapi itulah kenyataannya."

Aku sekadar menganggukkan kepala. Faham apa yang Luqman cuba sampaikan.

"Alyna... abang ada nak bincang sikit dengan Alyna... boleh kita bincang dekat luar?" Tanpa membantah, aku terus mengekori langkah Luqman keluar dari rumah dan menuju ke arah keretanya.

"Alyna, cabaran yang abang buat dulu dah tamat, cukup tiga bulan dan hasilnya Alyna berjaya. Serius, hati abang ni gembira sangat Alyna dapat mencapai skor yang sangat luar biasa ini dalam masa yang singkat. Tak semua pelajar yang boleh buat seperti Alyna. Rezeki Alyna dapat skor markah cemerlang dalam percubaan kali ni. Abang harap sangat, final exam nanti... Alyna boleh buat lagi terbaik dari percubaan ini."

Aku tersenyum lebar lalu menganggukkan kepala sekali.

"Abang nak beritahu Alyna yang lepas ni, Alyna akan belajar semula dengan Doktor Dennis, abang dah jarang ada dekat kolej sebab abang kena kerap datang ke Pusat Makmal Negara, mereka memerlukan abang dekat sana tapi tak apa, abang cuti saja... abang akan beritahu Aly, okey?"

Aku hanya mampu tersenyum kecil dan menganggukkan kepala walaupun hati aku saat itu berasa sedih kerana tiada lagi dia yang sentiasa bersama dengan aku.

"Alyna jangan sedih, nanti abang pun rasa sedih. Giliran Alyna pula beri semangat dekat abang, ya?" Dia mengusap bahuku lembut dan aku pula sedaya upaya menahan tangisan dari merembes.

"Baik abang. Alyna selalu doakan untuk abang, dipermudahkan segala urusan," doa aku.

"Aamiin..." Luqman tersenyum.

"Erm... abang... Alyna ada nak cakap sikit..."

Baru saja Luqman mahu bersuara, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering nyaring dalam poket seluar. Terbantut aku mahu meneruskan percakapan aku.

"Alyna, staf dekat makmal tu dah call abang. Abang kena pergi. Apa-apa kita call atau WhatApps, ya?"

Aku melemparkan senyuman kecil saat dia meloloskan diri ke dalam perut kereta. Tangannya melambai ke arah aku sebelum hilang dari pandangan aku.

Tak apa, Alyna. Ada banyak masa lagi untuk kau luahkan perasaan yang kau pendamkan selama ini dekat dia. Dia tengah sibuk sekarang ni, kau kenalah faham. Kalaulah dia dah jadi suami kau nanti, kau kena hadap dia dengan pekerjaan dia sekali.

Eh! Kejap, kenapa aku boleh terfikir sampai ke situ? Allahu... Alyna, kau ni jangan nak perah santan lebih. Nanti kau yang terciduk sendiri bila kena rejek. Tapi aku dah lama fikirkan benda ni, aku nak luahkan perasaan yang dah lama aku pendam ni walaupun baru beberapa bulan aku mengenali dia.

Lepas ni, aku dah jarang hadap muka Luqman sebab dia cakap dia akan sibuk dengan pekerjaan dia dekat Pusat Makmal Negara dan aku pula nak kena hadap semula muka Doktor Dennis tu. Agak-agaknya apa reaksi dia bila dapat tahu aku dah boleh skor markah tinggi ni. Nak dengar juga apa mulut dia tu cakap mengenai keputusan aku. Yelah, dia kan suka marah aku sebab aku ni suka berangan. Tapi, jangan haraplah perangai kuat berangan aku tu akan hilang, semestinya ada lebih-lebih lagi waktu dia mengajar. Memang jauh betul aku termenung tak tahu lah masuk alam fantasi mana.

Aku tergelak kecil seorang diri.

Saat aku berpaling untuk masuk ke dalam rumah, aku perasan ada satu susuk tubuh sedang bersandar pada tembok pagar hujung rumah aku itu. Pandangannya dihalakan ke arah aku. Lama pula tu dia dalam keadaan begitu, sedikit pun tak bergerak ataupun berganjak ke mana-mana.

Tak pasal-pasal merinding bulu roma aku. Seram pula walaupun hari masih cerah. Dah banyak kali aku kena macam ni. Aku syak yang setiap gerak geri aku diperhatikan seseorang. Tapi, siapa? Takkan Doktor Yazid pula? Dia pun satu, perbuatan dia hari tu pun sampai sekarang aku tak dapat nak lupakan. Ada sesuatu yang dia ingin sampaikan tapi sengaja dia buat ayat tergantung supaya hidup aku ini terus-menerus dibelenggu dengan tanda tanya.

Haih... apalah sebenarnya yang terjadi, aku pun tak tahu nak cakap apa? Semuanya membebankan kepala otak aku. Nak kena jaga hati dan perasaan ayah, ibu dan orang lain sedangkan diri sendiri pun melara.

Nur Alyna, harap kau bertabahlah ya sampai mana yang kau mampu. Apa-apa pun aku tetap gembira dengan keputusan aku! Tak sia-sia aku berusaha sampai lewat malam!


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.