Bab 7

BAB 7

AKU dan dia mengiringi langkah masuk ke dalam sebuah hospital yang aku tengok seperti hospital swasta yang mewah. Bangunan dia sangat cantik dan warna dia sesuai untuk pesakit atau pelawat yang datang ke hospital ini. Aku lihat Luqman sudah menyarungkan kot putih ke tubuhnya manakala satu lagi kot putih digantung pada lengannya.

Kami masuk ke sebuah bilik yang penuh dengan pelbagai jenis ubat-ubatan. Kot yang tergantung pada lengannya diberikan kepada aku. Tanpa menyoal, aku menyarung ke tubuh dan menghampirinya.

"Baiklah. Saya nak ajar awak mengenai ubat-ubatan yang ada di sini. Seperti yang awak tahu, ada yang dos tinggi dan ada yang dos rendah. Dos-dos perlu diikuti siapakah pesakitnya dan apakah penyakitnya. Jangan beri sembarangan ubat yang boleh mendatangkan risiko tinggi pada pesakit. Kita sebagai penyelamatnya perlu awasi dengan keadaan sekeliling." Aku menganggukkan kepala dan menyalin maklumat-maklumat yang disampaikan di dalam buku nota yang dibawa.

Dia mula menunjuk sample-sample ubat yang ada di situ. Ada nama ubat yang pertama kali aku dengar pun ada. Sungguh aku ni kekurangan ilmu walau sudah menjadi pelajar semester 3. Semester-semester sebelum ini pun aku dapat skor sebab subjek aku boleh bawa dan ketika itu ayah banyak meluangkan masa untuk aku cuma sekarang ni saja.

Entahlah. Sejak dia kecewa dengan keputusan aku tempoh hari, dia jarang balik ke rumah. Kalau balik pun, sunyi sepi saja di rumah. Macam aku duduk seorang diri di rumah. Lagi-lagi Kak Mutiara sekarang pulang ke kampung selama dua minggu di Terengganu.

Esok adalah hari kelahiran ayah dan aku sekarang buntu nak belikan dia hadiah apa. Sungguh aku rindu nak meluangkan masa dengannya. Aku harap dengan pemberian hadiah dan kata maaf dari aku, ayah akan berbaik dengan aku semula. Hubungan kami jadi seperti dulu. Itu saja yang aku minta, tak banyak pun. Ibu pun sama. Siapa yang tak rindu dengan ibu dan ayah sendiri.

"Alyna, sekarang awak boleh rehat. Kafe ada di tingkat bawah sekali. Lepas tu saya akan bawa awak ke satu bilik untuk kita praktikkan supaya awak lebih mahir menggunakan alatan medikal," katanya.

Aku tersenyum kecil lalu meminta diri untuk keluar.

*****

SETIN air minuman aku beli di kafe dan membawa langkah ke taman belakang hospital itu. Ada ramai orang di situ, ada yang berkunjung bersama keluarga. Mata aku terpaku pada sebuah sepasang suami isteri yang sedang melayan dua orang anak kecil mereka. Bergelak ketawa dan saling kejar-berkejaran. Tanpa sedar, air mata aku jatuh setitis demi setitis. Rindu. Itu saja yang mampu aku ungkapkan.

Aku rindu ibu dan ayah. Memandangkan aku anak tunggal, dari kecil aku dimanjakan oleh mereka walaupun aku sudah di alam sekolah menengah ketika itu tetapi layanan mereka tak pernah berubah sehingga satu hari itu mereka dinaikkan pangkat dan tugas mereka semakin bertambah. Sejak itulah, mereka selalu sibuk dan terus sibuk dengan tugas mereka sebagai doktor dan professor.

Air mata yang mengalir membasahi pipi, diseka perlahan tetapi tetap berdegil mahu mengalir. Hati aku sebak. Luluh. Sayu. Terlalu rindukan mereka. Sudah beberapa minggu, mereka jarang balik ke rumah. Kalau balik pun, mereka suka terperap di dalam bilik. Tiada langsung mahu bertanya khabar tentang aku.

Besarkah salah aku kerana tak mampu menunjukkan prestasi yang cemerlang dan tidak yakin mampu menjejaki langkah mereka. Untuk menjadi seorang doktor dan professor bukanlah pekara yang senang. Banyak proses pembelajaran yang perlu aku lalui. Mujur ada Luqman yang sudi membantu aku memberi penerangan satu per satu dengan lebih mendalam walaupun mulutnya itu kuat menyindir aku.

Aku berterima kasih sangat kepadanya.

Aku menekup wajah dan menghamburkan tangisan teresak-esak. Perasaan sebak masih terbuku di dada dan ingin dilepaskan dengan air mata.

"Kakak..." Seorang kanak-kanak lelaki menarik-narik tangan aku. Segera aku mengelap air mata dan mendongakkan kepala.

"Ya?" sahut aku dan mata aku meliar melihat sekeliling. Anak siapa pula yang datang dekat aku ini. Karang tak pasal-pasal ibu dengan ayah dia mencari anak dia.

"Adik kenapa ni? Mana ibu dan ayah?" soal aku.

"Ayah dan ibu dekat sana tu..." Dia menuding ke arah sepasang suami isteri yang sedang memandang ke arah aku dengan melakarkan senyuman. Aku membalas senyuman mereka.

"Kakak, ada orang suruh bagi ni dekat kakak dan dia cakap jangan menangis lagi." Satu paket coklat Cadbury dihulurkan kepadaku. Terkial-kial aku mahu mengambilnya. Dia memeluk aku dan melambaikan tangannya menapak ke arah ibu dan ayahnya. Tak sempat aku nak tanya siapa yang beri coklat ni.

Erm. Coklat. Sedap pula. Aku tersengih seorang diri.

"Haa... senyum pun. Ingatkan nampak coklat nak menangis jugak," perli seseorang dari belakang aku. Segera aku menoleh dan sesusuk tubuh yang sangat aku kenal sedang berdiri sambil menyeluk tangannya ke dalam poket. Bibirnya melorekkan senyuman kecil. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah aku.

"Prof?"

Dia menganggukkan kepala.

"Saya cari awak tadi di kafe dan tergerak hati nak cari awak dekat taman ni. Kenapa duduk sini?" soalnya sambil memeluk tubuh.

"Err... saya tak... tak selera nak makan. Saja nak ambil angin di sini," jawab aku sambil menekur lantai taman.

"Kenapa awak menangis? Ada masalah? Perlukan seseorang untuk meluahkan perasaan?" soalnya bertubi-tubi. Aku mengetap bibir perlahan dan membelek-belek coklat itu.

"Saya tahu awak tak suka saya sebab perangai saya yang kuat menyindir awak. Maafkan saya. Saya memang macam ni sejak azali lagi." Dia tertawa kecil membuatkan hati aku terusik mendengar tawanya.

Dia mengambil coklat di tanganku lalu dibuka, kemudian diberikan semula kepada aku.

"Makanlah coklat ini dan nikmati rasa kemanisannya. Awak akan rasa seronok," ujarnya sambil tersenyum. Aku mengigit sedikit coklat itu dan mengunyah perlahan. Rasa manisnya membuatkan diriku terasa lain.

"Sedap..." Itu respons pertama aku sebaik saja coklat dikunyah sehingga habis. Dia tertawa lalu menganggukkan kepalanya.

"Ada sesetengah saintis mengatakan, makan coklat ketika dalam perasaan duka boleh menggembirakan hati seseorang." Aku menoleh memandang sisinya. Serius, memang tak dapat dinafikan. Ketampanan dia terserlah ketika ini membuatkan aku terasa malu duduk di sebelahnya.

"Saya pernah dengar kenyataan itu," beritahuku. Dia hanya mendiamkan diri seolah-olah memikirkan sesuatu.

"Saya tahu awak ada masalah dan semestinya masalah keluarga kan? Saya tahu ia adalah privasi tapi saya nak awak tahu yang awak tak boleh pendamkan masalah itu seorang diri untuk mengelakkan mental awak diganggu. Kalau awak mencari seorang teman untuk diluahkan, saya bersedia untuk mendengarnya. Mana tahu saya boleh bantu awak dari segi nasihat atau hiburkan hati awak untuk lupakan sementara masalah itu."

Aku tersenyum kecil. Entah kenapa hati aku tersentuh saat mendengar kata-katanya.

Perlahan air mata aku mengalir sekali lagi dan aku mula menceritakan masalah aku kepadanya dengan mudah, tanpa perasaan gugup. Dia setia dan fokus mendengar masalah aku.

Mata aku terpaku pada reaksi wajahnya setiap kali aku menceritakan masalah aku. Wajahnya yang bersih dan tenang itu membuatkan hati aku terusik dan satu perasaan baru menyerap masuk ke dalam diriku. Aku sendiri tak tahu apa perasaan itu.

Adakah....

Tak mungkin...

Tapi,

Perasaan itu kuat mengatakan yang aku...

Mula jatuh cinta kepadanya?

Alyna, kau jangan cari pasal. Kau niat nak naikkan prestasi bukan bercinta.

Jauhkanlah perasaan itu...


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.