Bab 57

BAB 57

"BAIKLAH, awak sakit apa?" soal seorang kanak-kanak perempuan sambil melekapkan steteskop pada dada seorang kanak-kanak lelaki.

"Saya batuk-batuk, doktor...," jawab si kanak-kanak lelaki itu.

"Oh! Sejak bila awak batuk?"

"Sejak semalam, doktor."

Terangguk-angguk kepala si kanak-kanak perempuan itu.

Krekk...

Serentak kepala mereka berdua menoleh ke arah pintu yang terkuak dari luar.

"Papa!" jerit Adam dan Arissa serentak sebaik saja Luqman melangkah masuk ke dalam bilik kerja aku.

Dari tadi aku memerhatikan anak kembar aku yang kini sudah berusia 4 tahun, bermain dengan mainan doktor. Sekejap sahaja mereka sudah membesar. Dua-dua petah bercakap dan sangat aktif. Arissa memang manja dengan Luqman manakala Adam manja dengan aku. Kalau aku menghilang pasti Adam akan mencari aku, kalau tak dapat cari, meraunglah sampai tak sudah. Luqman pujuk pun tak akan boleh.

"Prince dengan Princess papa ni buat apa, huh?" soal Luqman sambil mendukung si kembar. Pipi Adam dan Arissa dikucup beberapa kali. Suka betul mereka dimanjakan oleh Luqman.

"Main doktor-doktor! Sebab, Arissa dah besar Arissa nak jadi doktor macam mama!"

"Adam pula nak jadi professor macam papa!"

Luqman tersenyum sambil memandang ke arah aku. Aku turut membalas senyuman lebar. Tak sangka si kembar ni sudah mempunyai cita-cita tersendiri walaupun masih kecil. Tahun ni Luqman tidak mahu menghantar mereka ke tadika, katanya biar tahun depan. Dia mahu Adam dan Arissa menikmati kehidupan kanak-kanak terlebih dahulu sebelum masuk ke alam persekolahan. Takut mereka akan cepat bosan. Tetapi di rumah setiap hari Luqman akan mengajar mereka dan pada masa yang bermain bersama-sama.

"Sayang, shif abang dah habis. Jom melawat Andra. Firdan dah call abang tadi, Andra baru je selamat bersalin. Dapat baby boy," beritahu Luqman. Teruja aku mendengar berita baik yang disampaikan oleh Luqman itu. Firdan kini menjadi seorang ayah setelah tiga tahun dia berkahwin dengan Andra. Sebelum ini, Andra mengalami keguguran sebanyak dua kali. Akhirnya, dia dan Andra memperolehi rezeki pada tahun ketiga perkahwinan mereka.

"Jom!"

Aku mengambil Adam dari dukungan Luqman dan beriringan jalan bersama-sama menuju ke wad Andra.

"Uwerkk... uwerkk..."

Dari luar wad, aku sudah terdengar suara tangisan bayi Andra dan Firdan. Sama-sama aku melangkah masuk bersama Firdan.

"Alhamdullilah, Firdan awak dah jadi ayah..."

Firdan yang sedang mengendong bayinya, tersenyum memandang ke arah aku. Aku menurunkan Adam lalu mendekati Firdan. Bayi yang baru lahir itu aku gendong dan mengucup dahi si kecil itu.

"Nama apa?" soal Luqman.

Andra dan Firdan saling berpandangan sambil tersenyum.

"Fayyadh Abraham...," jawab Firdan.

"Wah! Nama... cantik sangat...," ujar aku sambil mengelus pipi si kecil itu.

"Fayyadh Abraham, comellah awak ni. Ada iras muka Firdan dengan Andra. Campur."

Firdan tertawa kecil manakala Andra tersenyum.

"Semoga Fayyadh jadi anak yang soleh," doa Luqman.

"Mama, ni adik Adam jugak ke?" soal Adam sambil menarik-narik hujung bajuku.

Aku melabuhkan punggung di atas sofa sambil membetulkan gendongan Fayyadh. Kepala aku anggukkan, mengiyakan jawapan Adam.

"Ya, ni adik Adam. Anak ayah Firdan...," beritahu aku.

Adam dan Arissa menepuk tangan serentak. Suka mereka mendapat adik baru.

"Nanti Adam nak jaga adik!"

"Arissa pun! Arissa pun!"

Luqman melabuhkkan punggung di sebelah aku sambil meriba Arissa. Adam pula duduk menyelit di tengah-tengah, di antara aku dan Luqman. Firdan tersenyum memandang ke arah Adam dan Arissa yang sedang asyik mengusap pipi Fayyadh. Andra pula sedang diperiksa oleh jururawat.

"Eh, Luqman, you ada kat sini? I ingat you dah balik," sapa Marissa sebaik saja masuk ke dalam wad Andra. Aku hanya mendiamkan diri. Sebenarnya tak berapa minat cara Marissa menggunakan panggilan macam tu. Entahlah, aku rasa kurang selesa.

"Hai aunty Marissa!" sapa Arissa. Laju saja dia turun dari riba Luqman lalu mendekati Marissa. Tubuh Arissa didakap erat oleh Marissa.

"Hello my twinny, Arissa Rizqina..."

Memandangkan nama mereka lebih kurang sama. Marissa menganggap Arissa seperti kembarnya. Luqman tersenyum sambil menganggukkan kepala. Adam pula hanya duduk diam sambil memeluk lengan aku.

"Alang-alang you ada dekat sini, I nak bagi fail yang you mintak tadi tu."

Luqman menganggukkan kepala lalu bangun mengekori Marissa tanpa beritahu aku apa-apa. Arissa pun sibuk membuntuti mereka. Tinggal aku bersama Adam. Firdan sedang berbual-bual dengan Andra. Fayyadh sudah diambil oleh jururawat tadi untuk diperiksa lebih lanjut.

"Urm, Firdan, Andra. Saya balik dulu, ya."

"Eh, tak tunggu abang Luqman ke?"

Aku sekadar menganggukkan kepala sambil mendukung Adam yang sudah tersengguk-sengguk menahan kantuk. Adam terus melentukkan kepalanya di atas bahu aku, tangan merangkul leher aku dan memejamkan mata.

Aku keluar dari wad Andra lalu cuba mencari kelibat Luqman dan Arissa. Namun aku sendiri tidak tahu ke mana mereka pergi. Luqman selamba saja pergi tanpa beritahu aku apa-apa. Terasa aku dengan dia ni. Asyik rapat dengan Marissa aje sejak-sejak akhir ni.

Cemburu? Isteri mana yang tak cemburu kalau suami rapat dengan perempuan lain walaupun rakan sekerja. Boleh jadi, Marissa suka dekat Luqman. Macam mana? Arissa pun rapat semacam dengan Marissa. Menyampah aku dibuatnya. Tu anak aku, bukan anak dia. Tahulah dia yang sambut anak-anak aku tapi dia tak boleh nak rapat dengan anak aku macam tu.

Kepala Adam aku usap lembut lalu mengucup dahinya. Lena dia tidur di atas bahu aku. Kesian pula. Mana pula Luqman ni? Malas nak mencari, aku mengambil keputusan untuk menunggu di kereta saja. Kunci kereta dekat dia pula. Mujur cuaca tak panas, mendung seperti mahu hujan. Aku bersandar pada badan kereta sambil membetulkan dukungan Adam.

"Thank you, aunty Marissa. Sayang aunty!"

Setelah sejam aku menunggu di sini, barulah aku nampak kelibat si Luqman dan Arissa yang sedang bergelak ketawa bersama Marissa sambil melangkah keluar dari hospital. Jujur, hati aku sakit melihat mereka begitu. Aku menunggu di sini ibarat patung tak berharga. Dengan Adam yang merengek, tidak selesa tidur dalam keadaan berdukung.

"Mama! Arissa dapat coklat dari aunty Marissa!" teruja Arissa sambil menunjuk satu kotak coklat mahal ke arah aku. Aku hanya tersenyum segaris sambil menganggukkan kepala.

"Sayang lama ke tunggu? Sorry tadi ada hal sikit."

Macam tu saja? Dia tak tahu ke sejam kot aku tunggu dia dekat sini. Rasa nak patah kaki aku. Nak tunggu dekat dalam bising, macam-macam bunyi. Menganggu lena Adam.

"Hmm.." Tak banyak cakap, aku terus masuk ke dalam kereta selepas memasukkan Arissa di tempat duduk belakang manakala Adam aku riba. Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri. Serius, hati aku sakit sangat. Takkan Luqman tak perasan riak wajah aku berubah.

Jangan cakap Luqman sebenarnya dengan Marissa ada apa-apa hubungan. Tak-tak, aku tak nak buruk sangka dengan suami aku sendiri tapi cara Luqman buat aku terasa hati. Kenapa asyik nak rapat dengan Marissa tu je? Dulu tak rapat sangat pun, ataupun aku tak tahu. Tapi sejak bila? Aku sendiri tak tahu sejak bila Luqman dan Marissa saling berkenalan.

Aku tak nak tanya banyak-banyak. Sebaik-baiknya aku elak untuk bergaduh, sebab aku dengan Luqman tak pernah bergaduh. Cuma aku nak ajar Arissa, jangan nak terlalu rapat dengan Marissa. 


Previous: Bab 56
Next: Bab 58

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.