Bab 5

BAB 5

"ALYNA..."

Aku mendongakkan kepala saat namaku dipanggil. Sebatang pen sudah dipegang oleh aku untuk mencatat setiap info yang disampaikan oleh dia. Aku perhati saja dia menggantungkan cermin mata petaknya pada hidung kemudian kedua-dua belah hujung lengan baju disinsing sehingga ke paras siku.

"Ya, Prof," sahut aku dengan nada perlahan tetapi jelas.

"Jenis saya kalau mengajar, saya suka tengok anak murid saya turut pakai kot makmal supaya dia aura semangat nak belajar tu menyerap masuk ke dalam tubuhnya."

Aku sedikit terkejut apabila sehelai kot putih makmal diberikan kepada aku.

"Pakai?" tanya aku tidak percaya. Mana pernah lagi aku belajar di sini memakai kot makmal rasmi sepertinya. Siap ada logo dan steteskop sekali. Seolah-olah aku dah jadi doktor...

"Tak lah, pergi bakar dekat belakang bangunan sekolah sana..." Baik punya perlian dia, tanpa buang masa aku menyarung kot makmal itu pada tubuh dan memegang semula pen.

"Sebelum saya nak ajar awak, saya nak tengok setakat mana kefahaman awak tentang subjek biologi yang diajar oleh Doktor Dennis. Saya nak tanya dan awak kena jujur dengan saya. Adakah Doktor Dennis tak pandai mengajar atau awak yang lembap?"

Aku mengetap bibir apabila gelaran lembap itu diberikan kepada aku. Aku sendiri keliru dengan sendiri, sama ada aku sendiri atau Doktor Dennis.

"Erm. Saya rasa diri sa..."

PAP!

Sekeping fail di atas meja, ditepuk oleh dia kuat membuatkan percakapan aku terhenti. Terketar-ketar bibir aku melihat dia berbuat sedemikian.

"Saya tak suka ada perkataan 'rasa' dekat dalam ayat awak. Lagi sekali."

Aku mengemam bibirku lalu membuka mulut untuk menjawab semula soalan dia tadi. Kenapa dia garang sangat pula ni? Naik seram aku nak belajar dengan dia.

"Saya yang lembap." Terpaksalah aku mengakui diri aku sendiri. Kak Mutiara ajar, biar kita yang beralah supaya keadaan menjadi jernih.

"Bagus. Mengaku diri sendiri, huh?" soalnya.

Dia menahan sikunya pada meja panjang lalu mengambil satu fail tidak terlalu tebal diberikan kepada aku.

"Itu nota saya buat khas untuk awak dari bab pertama sehingga terakhir, itu hanya subjek biologi saja. Subjek lain saya akan berikan hari kemudian."

Aku menganggukkan kepala lalu mengucapkan terima kasih.

"Saya nak tanya awak, Nur Alyna. Apa yang awak faham dengan biologi? Apa itu biologi?" Soalan dia buat aku terdiam, cuba mengingati ilmu yang pernah diturunkan oleh Doktor Dennis sebelum ini.

"Nur Alyna...."

Aku tersentak dan saat itu, dia merenung aku dengan jarak yang agak dekat membuatkan tubuh aku terundur sedikit ke belakang. Cari nahas saja dia ni. Suka buat aku blushing, tak pun suka sakitkan hati aku. Kenapalah dia yang jadi mentor aku? Sungguh menjengkelkan.

"Saya bagi awak klu dan saya nak awak sambung ayat saya...," ujarnya sambil membetulkan kaca matanya yang melorot ke bawah.

Air liurku ditelan seteguk. Tekak mula terasa pahit. Janganlah dia bagi aku klu yang membuatkan otak aku semakin lembap. Aku mohon sangat, otak sila beri kerjasama dengan tuan kau ni, ya.

"Biologi adalah sains semula jadi yang mengkaji kehidupan dan organisma hidup, termasuk?" Dia menghentikan ayatnya dan memandang aku dengan wajah kosong. Aku menggaru tepi leherku cuba mencari jawapan yang padan dengan ayatnya. 

 "Err..." Aku tak mampu bersuara, memberikan dia sambungan ayat itu kerana tenungannya membuatkan otak aku terus tidak berfungsi. 

"Hadeh..." Dia meraup wajahnya beberapa kali dan menghela nafas panjang. Aku menundukkan kepalaku., menekur lantai makmal yang diperbuat daripada simen marmar. 

"Nur Alyna, awak dah semester tiga tau! Sepatutnya awak dah boleh berikan jawapan untuk ayat saya tadi tu! Apa awak buat ni, Alyna? Awak jangan malukan pelajar kelas Sains tau...," bebelnya. 

ZUPPP! Ayat-ayatnya itu, menusuk sehingga ke kalbu. Aku tersentap dengan kata-katanya dan hanya mampu mendiamkan diri. Air mata sedaya upaya ditahan supaya tidak jatuh ke pipi. Karang dia nampak, bertambah malu. Lebih-lebih lagi sindiran dia yang pedas itu. 

"Okey, Alyna. Look at me." Perlahan-lahan aku mendongakkan kepala dan pandanganku cuba dialihkan ke arah wajahnya yang sedikit tegang itu."Awak tengok saya dan dengar apa yang saya nak cakap dengan awak ni," ujarnya dengan nada serius. 

 Aku menganggukkan kepala dan cuba mencari kekuatan untuk menguatkan hati saat memandang wajahnya yang agak serius itu.

 "Saya akan cabar awak mulai hari ini. Saya akan ajar awak seluruh topik satu dan selepas itu saya akan buat satu ujian persendirian untuk awak. Sekiranya awak berjaya skor 80% ke atas, awak boleh tanya dan buat apa saja kepada saya. Tapi, sekiranya awak gagal, dan dapat markah bawah 80%, selama tiga bulan berturut-turut awak kena dengar cakap saya dan masa lapang awak juga saya akan sentuh sampai awak betul-betul mahir. Faham?"

 Aku menelan air liur beberapa kali. Terkejut mendengar cabaran serta ganjaran yang diberikan olehnya. 

 "Baiklah. Saya setuju." Dalam hati aku sebenarnya memberontak tak nak. Aku takut kalau aku gagal, aku nak kena hadap muka dia ni setiap hari tanpa henti. Nak tak nak aku terpaksa ikut cabaran dia kalau tidak aku mengeruhkan lagi keadaan dan hanya dia seorang saja yang sudi membantu aku walaupun dia ni jenis kuat menyindir. 

 "Baiklah, saya akan ajar awak mengenai topik biologi. Apa itu biologi?" Dia mula mengajar menggunakan papan putih. Dengan penuh karisma dia menulis segala maklumat mengenai biologi. 

 "Biologi adalah sains semula jadi yang mengkaji kehidupan dan organisma hidup, termasuk struktur fizikalnya, proses kimia, interaksi molekul, mekanisme fisiologi, perkembangan dan evolusi..."

 Aku menyalin segala info yang diberi, di dalam buku nota aku sendiri sambil mengangguk-anggukkan kepala. 

 "Di sebalik kerumitan sains, konsep penyatuan tertentu menggabungkannya menjadi satu bidang yang koheren. Biologi mengenali sel sebagai unit asas kehidupan, gen sebagai unit asas keturunan, dan evolusi sebagai mesin yang mendorong penciptaan dan kepupusan spesies. Organisma hidup adalah sistem terbuka yang bertahan dengan mengubah tenaga dan mengurangkan entropi tempatannya untuk mengekalkan keadaan stabil dan vital yang ditakrifkan sebagai homeostasis." 

 Aku sedikit terkejut mendengar penjelasannya yang terlalu dalam mengenai biologi dan membuatkan aku mula faham dengan penerangannya walaupun dia baru saja memberikan beberapa info penting. "Faham?" soalnya tetapi pandangannya ditumpukan sepenuhnya pada papan putih. 

"Saya nak tanya. Kiranya dengan wujudnya ilmu biologi ini untuk membolehkan penciptaan mesin dan mampu mengubah corak dunia?" soal aku tetapi pandangan aku masih ke buku nota, bersedia untuk menulis jawapan dia. 

"Ya betul. Nanti saya akan ajar awak, macam mana seorang saintis mengkaji." Aku menganggukkan kepala. 

"Apa beza professor dengan doktor? Kalau jadi Professor boleh kita rawat pesakit?" soal aku lagi. Dia meletakkan marker pen di celah bawah papan putih itu kemudian melabuhkan punggung di sebelah aku. 

"Doktor dan Professor ada persamaan dan perbezaan. Professor boleh merawat pesakit sekali gus bekerja di kampus sebab dia telah mempelajari banyak ilmu dengan lebih mendalam berbanding doktor." 

 Aku menganggukkan kepala. 

 "Sebab tu ada sesetengah orang memperoleh gelaran, sebagai contoh, Prof. Dr Luqman Rafhael." Aku mengetap bibir. Sempat pula dia menggunakan namanya sebagai contoh. 

"Oh... baiklah terima kasih." 

 Dia sekadar mengangguk lalu mengajar aku dengan beberapa kertas soalan latihan dicetak olehnya. Aku hanya bersabar saja. Sambil mengajar, sempat lagi dia menyindir aku. Macam manalah aku nak kuatkan semangat aku nak belajar ni.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.