Bab 49

BAB 49

KERUSI bangku tinggi ditarik kemudian dia melabuhkan punggung sambil tangannya membelek buku modul. Seorang lagi pula sedang memerhatikan dia sambil tersenyum-senyum simpul. Tengok dari reaksi muka seperti sudah angau. Aku yang sedang menyemak fail pesakit hanya memerhatikan gerak-geri mereka dengan kerutan di dahi.

"Andra Farissa... awak buat apa? Tersenyum-senyum?" Teguran aku mengejutkan Andra sehingga dia hampir saja mahu jatuh dari kerusi bangkunya itu. Firdan yang tadinya tekun membaca buku modul mengangkat muka memandang aku dan Andra bersilih ganti.

"Tak kak... Andra tengah fikir sesuatu...," jawab Andra terketar-ketar. Firdan berkerut memandang ke arahnya.

"Ye ke?" Sengaja aku mahu menyakatnya. Aku dah perasan sejak kebelakangan ni, Andra selalu perhatikan Firdan sampai tak hiraukan suasana sekelilingnya. Luqman sudah beberapa kali menegur Andra sewaktu dia mengajar di bilik latihan. Andra akan pandang Firdan sehingga tidak berkelip matanya.

"Haa... ya. Betullah, kak. Tengah fikir..."

"Eleh... fikir masa depan bersama Firdan lah tu...," usik Isha yang baru saja melangkah masuk ke dalam bilik latihan bersama Nazrif.

"Dah agak dah. Dalam diam minat Firdan rupanya, ya. Patutlah saya mengajar selalu, fikiran awak ke mana. Rupanya ke Firdan..." Kedengaran suara Luqman pula mencelah sebaik saja dia keluar dari bilik stor ubat-ubatan. Aku tertawa kecil sambil menggelengkan kepala.

"Eh... janganlah... mana ada..." Andra masih mahu menafikannya, sedangkan pipinya sudah merah padam bak buah delima. Firdan pula tersenyum kecil memandang Andra.

"Kalau dah berkenan cepat-cepat mengaku sebelum dia dimiliki oleh orang lain. Kan Puan Nur Alyna?" sakat Luqman. Aku pula dari tadi ketawa, geli hati melihat muka Andra yang sudah merah itu.

"Cakap jelah, Andra. Betul ke?" soal Firdan tiba-tiba.

Andra laju mengangkat mukanya dengan reaksi terkejut. Tak lama itu, kepalanya perlahan-lahan mengangguk tanda mengiyakan soalan Firdan.

"Kan betul...," celah Nazrif kemudian dia tertawa bersama Isha.

Firdan tersenyum. Tak tahu apa maksud di sebalik senyumannya itu. Sama ada dia pun suka Andra ataupun tidak.

"Andra, nanti lepas habis kerja. Kita jumpa dekat taman." Selamba saja Firdan mengajak Andra untuk berjumpa dengannya di hadapan kami.

"Kalau macam tu, kita pun nak join lah..." Selamba Nazrif sambil memeluk bahu Isha. Serentak kami berempat memandang ke arah mereka dengan pandangan penuh tanda soal.

"Erk... Rif... apa awak ni..." Perlahan saja Isha bersuara. Tadi bukan main menyakat orang sekali terkena pada batang hidung sendiri. Andra sudah tersengih-sengih memandang ke arah Isha.

"Ooh... cakap orang Dia dengan Nazrif dah couple. Tak cakap pun eh...," sakat Andra.

Isha sudah tersengih malu. Nazrif masih lagi kekal dengan riaknya yang tersengih seperti kerang busuk itu. Firdan pula tertawa kecil sambil menggelengkan kepala.

"Ya, kelmarin aku confess dekat dia, Andra. Tak sangka pulak dia simpan perasaan dekat aku jugak," jujur Nazrif.

PAK!

"Aduhhh... sakitlah!" rintih Nazrif saat telapak tangan Isha hinggap di betisnya itu.

Mengekeh aku dan Luqman ketawa. Terhibur dengan telatah mereka yang lawak itu.

"Jujur sangat kau ni, Nazrif. Dalam hubungan nanti teruskan sikap kejujuran kau ni. Nanti bertambah-tambahlah sayang Isha dekat kau," usik Firdan.

Isha tersenyum malu manakala Andra sakan mentertawakan mereka.

"Hah, alang-alang tu. Antara Firdan dan Andra. Siapa nak confess dulu?"

Membulat mata aku memandang ke arah suami aku ini. Selamba badak dia saja menyuruh Firdan dan Andra confess sesama sendiri. Mestilah diaorang malu. Isha dengan Nazrif sudah tersenyum-senyum kambing. Firdan dan Andra berpandangan sesama sendiri sebelum mengalihkan pandangan mereka ke arah Luqman.

"Erm... abang Firdan. Andra suka dekat abang Firdan..." Perlahan saja Andra meluahkan perasaannya pada Firdan.

Suasana menjadi sepi selepas Andra mengaku dirinya menyukai Firdan.

"Erm..."

Firdan seperti teragak-agak mahu membalas. Mungkin malu. Luqman punya kerjalah ni. Sesuka hati dia saja. Tapi, tabik juga dengan sikap keberanian Andra. Dia masih boleh bersuara lagi untuk meluahkan perasaan.

"Erm... abang pun sayang dekat Andra masa pertama kali nampak Andra, abang rasa ada satu aura yang menarik abang untuk terus mendekati Andra."

Semua terpana mendengar pengakuan Firdan. Aku pula sudah tersenyum gembira. Bermakna sekarang ini, Firdan boleh tidak lagi menyimpan perasaannya dekat aku. Bolehlah aku menarik nafas lega dan bertenang.

"Jom kahwin!" celah Isha selamba.

"Oi! Kau ni melebih-lebih!" marah Andra sambil bertepuk tampar dengan Isha.

"Eh... awek aku tu! Jangan pukul-pukul..." Halang Nazrif.

"Macam-macamlah korang ni. Dah baca modul lepas tu pergi wad, periksa semua keadaan pesakit. Jangan tanya soalan cinta dekat pesakit pula. Karang makin sakit dia...," sindir Luqman sambil memimpin tangan aku keluar dari bilik latihan itu.

"Sayang... sayang okey tak? Ada rasa apa-apa? Sakit ke?" soal Luqman sebaik saja kami melangkah masuk ke dalam bilik kerjanya. Tangannya mengusap perut aku penuh kelembutan.

"Ya abang. Okey je. Tak ada sakit. Cuma tu jelah kadang-kadang datang rasa mual lepas tu pening. Tapi tak seteruk hari tulah...," jawab aku dengan senyuman di bibir.

Luqman menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Sempat lagi dia mencium dahiku.

"I love you...," ucapnya dengan nada berbisik.

"I love you too..."

"Sayang, mengenai Yazid, abang dan Firdan dah buat laporan polis. Sekarang ni polis tengah cari keberadaan dia. Rasa-rasanya Yazid tak jauh dari sini. Dia mesti lagi mencari sayang. Tak pun cari Firdan atau ayah. Senang cakap, kita jelah."

Aku menghelakan nafas. Bercakap mengenai Yazid membuatkan aku berasa tidak sedap hati. Walaupun Luqman sentiasa di samping aku tetapi keselamatan kami tetap terasa terancam disebabkan Yazid yang tiba-tiba saja muncul dan hilang kawalan.

"Abang sebenarnya, Aly takut kalau dia muncul dan apa-apakan kita. Macam mana? Aly tak nak apa-apa jadi dekat abang, ayah dengan Firdan."

"Sayang... buang fikiran dan perasaan negatif tu. Jangan ikutkan sangat. Buat biasa saja. Nanti sayang tertekan. Kesian baby kita. Kandungan sayang masih awal lagi. Kena jaga, jangan stres. Okey?" pujuk Luqman.

Aku menganggukkan kepala sambil tersenyum kecil.


Previous: Bab 48
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.