Bab 41

BAB 41

AMSYAR berkurung di dalam bilik kerjanya di rumah sejak beberapa hari ini, mengundang perasaan risau di hati sang isteri. Noura perasan suaminya acapkali berkurung di dalam bilik, sudah beberapa hari tidak hadir ke hospital bertugas di sana. Dia yang mengambil alih tugas suaminya itu memandangkan kerjanya sudah lama selesai.

Tok! Tok!

"Abang..."

Sebaik saja dia memulas tombol pintu bilik kerja suaminya itu, dia menjengahkan kepala dan kelihatan Amsyar sedang berbaring di atas sofa sambil meletakkan tangan di atas dahi. Perlahan dia mendekati suaminya itu lalu melabuhkan punggung di tepi Amsyar.

"Abang... abang kenapa ni? Muka pucat lepas tu asyik terperap dalam bilik. Abang ada masalah jangan pendam macam ni. Nanti abang sakit..."

Amsyar mengalihkan pandangannya ke arah Noura. Sayu saja pandangannya. Dia sebenarnya dibelenggu perasaan serba salah. Sudahlah dia gagal menjejaki keberadaan Yazid. Dia mendapat rasa yang lelaki itu sudah melarikan diri kesalahan mereka ini ataupun sudah terkena dengan Firdan. Tapi dia tidak pasti adakah benar Firdan muncul dalam hidup anak perempuannya untuk membalas dendam.

"Sayang... kalau abang cakap, sayang akan tinggalkan abang tak?" soal Amsyar sambil mengubah posisi kepada duduk menghadap isteri kesayangannya itu. Sungguh dia sayangkan satu-satu isterinya itu walaupun sebenarnya dulu perkahwinan mereka susah untuk mendapat restu dari keluarga isterinya itu.

"Apalah abang merepek ni, sayang tak akan tinggalkan abanglah. Kalau abang jujur sekarang dari mulut abang sendiri, sayang masih boleh terima. Kalau orang lain yang sampai mungkin berlaku pekara yang sayang sendiri tak nak," jawab isterinya. Amsyar menganggukkan kepalanya sekaligus menghelakan nafas panjang.

Amsyar mula ceritakan semuanya kepada isterinya tanpa ada satu yang tertinggal. Reaksi Noura sudah semestinya terkejut besar. Dia sungguh tidak menyangka suaminya tergamak mahu membuat pekara yang dianggap kejam itu. Seorang doktor yang bertauliah membunuh seorang pesakit hanya kerana cemburu. Memang tidak dapat diterima langsung! Tapi apakan daya, Amsyar adalah suaminya. Dia juga menyayangi suaminya dan susah senang mereka sejak dulu sentiasa bersama. Langsung tak pernah berpisah.

"Ya Allah, abang... sayang tak tahu nak cakap apa. Sayang tak sangka abang akan sanggup buat pekara macam tu hanya disebabkan abang cemburu dengan Firdan? Sekarang Firdan sasarkan Alyna... abang rasa apa? Apa-apa saja akan berlaku dekat anak kita tu. Satu-satunya darah daging kita, abang...," tangis Noura. Terhinjut-hinjut bahunya menangis kerana takut akan keselamatan anak perempuannya itu.

"Abang, kita dah banyak buat Alyna sedih. Sakitkan hati dia. Abang rasa kalau dia tahu pekara ni. Apa reaksi dia abang? Sudahlah kita buat dia macam tiada perasaan. Marah dan hina dia bagaikan tiada perasaan. Bila sayang teringatkan semua tu balik, sayang rasa sayang tak guna menjadi seorang ibu kepada dia. Sepatutnya sayang seorang ibu harus ada untuk dia selalu saat dia susah dan senang," esak Noura.

"Sayang, jangan menangis macam ni... sayang tak salah. Abang yang salah. Abang yang tamak, sombong dan bongkak. Sayang jangan risau. Abang akan lindungi sayang dan Alyna. Kita akan mempercepatkan pernikahan mereka. Luqman dah tahu cerita ini jadi dia akan jaga Alyna. Abang yakin..."

Noura memeluk tubuh suaminya itu. Sungguh dia tidak sangka. Hatinya sebak saat mendapat tahu pekara yang sebenar terjadi dari mulut suaminya sendiri.

"Abang janji, abang tak akan tinggalkan Noura kan?"

"Abang janji tak akan tinggalkan sayang, tapi kalau abang terpaksa mungkirkan janji tu. Tolong, maafkan abang. Tolong jaga Alyna dengan baik walaupun dia sudah berkahwin. Abang dah sampaikan amanah abang untuk jaga sayang dan Alyna bila abang dah tak ada..."

Semakin kuat esakan Noura sambil memukul-mukul dada Amsyar perlahan.

"Tak. Tak boleh. Abang kena ada dengan Noura. Abang dah janji masa sebelum kita kahwin lagi yang kita akan bersama-sama dan mati pun bersama-sama!" marah Noura.

Amsyar terdiam. Rambut isterinya dibelai lembut. Perlahan air matanya bercucuran jatuh ke pipi. Sungguh dia tidak sangka, sebesar ini risiko yang dia harus tempuhi.

"Kalau abang kena masuk penjara sekalipun, Noura tetap akan tunggu abang... Abang cinta pertama dan terakhir, Noura sampai bila-bila...," ujar Noura dengan nada sebak.

Semakin sayu hati Amsyar mendengar kata-kata isterinya itu. Pelukan mereka dieratkan lagi.

*****

PANDANGAN dilempar ke suasana luar tingkap kereta. Sebaik saja siap membeli-belah barang perkahwinan tadi. Sekarang giliran untuk pergi ke rumah ibu dan ayah. Mulai hari ini aku akan duduk bersama mereka atas permintaan Luqman. Dia masih risau lagi akan keselamatan aku sejak-sejak akhir ini. Setiap malam aku selalu terdengar bunyi orang berada di luar rumah seperti bersembunyi di sebalik semak. Mungkin memerhati segala gerak-geri aku.

"Sayang..."

Aku menoleh laju saat Luqman memanggil aku.

"Ya, abang?" aku nampak Luqman tersenyum kecil sebelum bersuara.

"Ayah ada minta abang untuk mempercepatkan pernikahan kita dan kalau Aly tak keberatan, hari Jumaat ni kita nikah dan majlis makan kita buat hari sabtu. Simple saja. Boleh kan?"

Terkebil-kebil aku memandang Luqman. Aku tak salah dengar rasanya. Jumaat ni aku dengan dia bernikah? Sepatutnya Jumaat minggu hadapan. Mujurlah pernikahan kami ni hanya keluarga aku saja yang tahu memandangkan Luqman tiada keluarga dan saudara semua jauh-jauh belaka.

"Abang serius?"

Luqman sekadar menganggukkan kepalanya. Kereta dipandunya memasuki ke dalam garaj rumah ibu dan ayah. Nampaknya kami sudah pun sampai ke rumah ibu dan ayah.

"Abang serius sayang. Serius sangat. Dah beberapa hari abang tak mengkaji sebab abang risau akan keselamatan Aly. Abang tak boleh tenang kalau Aly dekat rumah sorang diri. Biarlah abang mempercepatkan pernikahan kita ni, abang tak kisah kalau orang nak cakap apa. Lagipun kita tak ada jemput mana-mana kawan. Hanya keluarga sayang saja kan?"

Aku menganggukkan kepala sambil tersenyum kecil.

"Ya abang. Aly tak kisah. Syukurlah kita dah siap beli semua barang. Lagi dua hari saja hari pernikahan kita."

Luqman tersenyum.

"Dah jom keluar... ayah dengan ibu dan tunggu dekat rumah tu."

Serentak kami berdua keluar dari perut kereta dan mengeluarkan barang serta beg bagasi pakaian aku.

Seharian Luqman di situ bersama aku di rumah ibu dan ayah. Ayah mempelawanya untuk tidur di rumah itu di bilik tamu.

"Sayang..."

Aku yang berada di dapur sedang membancuh air susu coklat terkejut saat terdengar suara dia memanggil aku.

"Eh, abang tak tidur lagi ke?" Mata aku mengerling ke arah jam bulat yang tergantung di dinding. Sudah menunjukkan pukul 11:45 malam.

"Abang tak boleh tidur...," jawabnya sambil melabuhkan punggung di atas kerusi tinggi berhadapan dengan kabinet dapur.

"Laa... tak boleh tidur tapi muka tu nampak letih..." Dia tersengih sambil menggelengkan kepala.

"Entahlah. Bila ayah suruh mempercepatkan pernikahan kita, makin tak sabar abang. Rasanya nak lafazkan sekarang je..."

Membulat mata aku mendengar ayat gatalnya itu. Betul-betul tak sabar.

"Uii... abang ni... bukan main ek..."

Dia tertawa kecil.

"Abang bukan apa, sayang. Abang dah lama hidup keseorangan. Bila abang akan berkeluarga, jadi suami kepada gadis yang abang cinta, abang rasa bahagia sangat. Abang tak akan hidup seorang diri lagi. Abang ada teman, abang ada ibu dan ayah walaupun hanya menumpang kasih sayang."

Sebak aku mendengar ayatnya. Serba salah pula aku menyindirnya tadi.

"Abang... maafkan Aly..." Belum sempat aku menghabiskan ayat, laju saja dia menggelengkan kepala tidak beri untuk aku menghabiskan ayat aku.

"Abang tak suka dengar ayat tu kalau Aly tak buat salah dekat abang. Apa yang Aly cakap semua abang dah maafkan jadi tak perlu minta maaf. Kita manusia banyak kesilapan. Okey sayang?"

Meleleh air mata aku tanpa sengaja. Cepat-cepat aku seka tidak mahu Luqman nampak.

"Aly sayang sangat dekat abang. Abanglah hero Aly buat selamanya..."

"Ibu dan ayah Aly adalah ibu dan ayah abang juga. Tak perlu cakap yang abang menumpang kasih sayang. Malah sayangilah mereka seperti ibu dan ayah kandung abang sendiri. Aly gembira sangat. Kita akan jadi keluarga tak lama lagi..."

Lebar senyuman Luqman saat mendengar tutur ayat aku itu.

"Ditambah sekiranya kita ada ramai anak, kan sayang?"

Aku terkejut mendengar ayatnya itu. Anak?

"Erk. Abang ni!"

Mengekeh dia tertawakan aku. Sungguh aku terhibur setiap kali bersama dia. 


Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.