Bab 13

BAB 13

STRAW di dalam gelas diputar-putarkan sambil menongkat dagu sebelah tangan. Hal semalam masih segar lagi dalam ingatan aku. Luqman di hadapan hanya memandang aku sepi. Sejak dari tadi, aku mendiamkan diri. Sekiranya bersuara pun, menjawab soalan yang ditanya oleh Luqman.

"Alyna...," panggil Luqman perlahan.

Aku mendongakkan kepala, memandang wajah Luqman yang sedang merenung ke arah aku.

"Hmm?"

"Janganlah termenung je, tak elok," katanya.

Aku melepaskan keluhan kecil.

"Ya abang. Maafkan Aly. Aly cuma fikir hal semalam. Masih segar dalam ingatan Aly. Aly tak nak abang..." Perlahan air mataku menitis. Dia mengusap bahuku perlahan.

"Jangan fikirkan sangat. Nanti sakit. Apa kata Alyna buang semua tu dulu, fokus pada pelajaran Alyna. Diaorang kata lepas final exam, kan? Sekarang ni Alyna jangan fikirkan dulu. Percaya cakap abang semua ni ada hikmahnya. Alyna dah janjikan nak naikkan prestasi Alyna. Nak buktikan pada ibu dan ayah?" pujuk Luqman.

Perlahan aku menganggukkan kepala. Mujur ada dia yang sudi memberi nasihat yang membuatkan otak aku berfikiran positif. Andai kata, aku seorang diri dan tiada siapa yang membantu, apalah nasib aku ketika itu.

Satu per satu masalah yang menimpa aku. Kalau ikutkan hati, aku dah lama lari jauh dari sini tapi aku tahu semua itu takkan menyelesaikan masalah. Bertambah masalah adalah.

"Okey dah? Jom, abang bawa Alyna ke satu tempat. Sambil menenangkan hati, boleh menimba ilmu di situ," ajak Luqman.

Aku tersenyum kecil lalu menganggukkan kepalanya.

Luqman bingkas bangun lalu melangkah ke kaunter untuk membuat pembayaran. Sementara itu, aku menghabiskan minuman dan anak mata aku terpaku pada susuk tubuh seseorang yang seolah-olah sedang memerhatikan aku. Aku tak tahu sama ada dia pandang aku atau orang lain tetapi setahu aku, belakang aku tak ada orang lain.

"Jom Alyna...," suara Luqman mengejutkan aku, mujur dia tak perasan. Segera aku mengangkat punggung dan mengekorinya dari belakang, masuk ke dalam kereta.

*****

BEBERAPA minit kemudian, kami sampai di sebuah taman bunga yang sepanjang hidup aku tak pernah lagi menjejakkan kaki di sini. Taman ini sangat kaya dengan pelbagai spesies bunga. Ada yang bunga tak pernah aku tahu jadi tahu mengenai spesiesnya.

"Aly kagum sangat dengan abang tau!" puji aku dengan nada teruja sambil tangan membelek-belek bunga yang berhampiran dengan aku. Luqman memandang aku dengan kerutan di dahi.

"Hah? Kagum kenapa? Apa yang buat Alyna kagum dengan abang?" soalnya sambil memeluk tubuh. Tangan kanannya menyingkap rambutnya ke belakang. Terserlah ketampanannya di situ. Aku tersenyum lebar lalu berdiri di hadapannya.

"Bangga dapat belajar dengan abang! Kagum dengan abang sebab abang rajin sangat mengkaji macam-macam yang ada dekat muka bumi ni. Aly rasa tak semua Prof, yang mampu mengkaji banyak-banyak macam abang ni. Kalau boleh, Aly nak jadi macam abang tapi itulah... Aly tak..." Ayat aku terhenti saat abang Luqman meletakkan ibu jarinya hampir ke bibirku menyebabkan aku mengundur ke belakang setapak.

"Abang terharu Aly kagum dengan abang tapi kalau ayat terakhir Aly tu, abang tak nak dengar. Abang tak suka. Abang akan bantu capaikan impian Alyna, kalau betul Alyna nak jadi macam abang."

Aku menundukkan wajah. Aku tak yakin dengan diri sendiri masalahnya. Berat untuk melangkah ke dunia gelaran doktor mahupun professor.

"Alyna..."

Aku mendongakkan kepala saat terdengar nama aku diseru.

Sekuntum bunga dihulurkan kepada aku. Terkebil-kebil aku memandang ke arahnya sebelum mengambil bunga itu.

"Tahu ni bunga apa?" soalnya.

Lantas mata aku membelek setiap inci bunga itu sambil dahi berkerut cuba mengenalpasti spesies bunga itu.

"Macam pernah nampak, tapi tak ingatlah nama bunga ni apa? Sebab jarang nampak dekat kawasan lain...," ujar aku dan mata masih lagi terpaku pada bunga itu.

"Bunga ini namanya Brugmansia atau lebih dikenali sebagai Bunga Trompet Malaikat. Memang tiada di tempat sembarangan kerana bunga ini biasanya banyak terdapat di Amerika Selatan, Amerika Utara, Australia dan Afrika. Di Asia juga ada cumanya tak banyak seperti di negara yang lain."

Aku mengangguk-anggukkan kepala aku tanda faham dan disimpan ilmu itu di dalam minda.

"Brugmansia ialah sebuah belukar besar atau pokok kecil, dengan kayu berbatang separa, biasanya banyak batang pokok bercabang. Pokok ini boleh mencapai ketinggian 3 sehingga 11 meter. Daun-daunya yang besar di sepanjang dahan kecil. Nama 'trompet malaikat' dirujuk kepada bunga yang besar, berjuntai dan berbentuk trompet. Didatangi dalam pelbagai warna seperti putih, kuning, merah jambu, jingga, hijau, atau merah. Kebanyakannya mempunyai bau yang kuat dan menenangkan yang paling ketara pada waktu petang," terang Luqman panjang lebar.

Aku membuka nota pada iPhone dan mencatat segala maklumat yang disampaikan olehnya.

"Cantik bunga ni. Lain dari yang lain. Bau dia pun, wangi! Suka!" kata aku dengan teruja sambil mengambil gambar bunga itu.

Luqman hanya tersenyum.

*****

AKU menunggu Luqman yang sedang beratur membeli minuman untuk kami berdua tidak jauh dari taman itu. Aku berjalan sekitar taman bunga itu, cuba menenangkan fikiran.

BUK!

Argh!

Hampir saja tubuhku mahu jatuh ke tanaman bunga sekitar situ tetapi terasa satu tangan kekar merangkul pinggang, menahan diri aku dari jatuh. Aku menghela nafas lega. Kalau aku jatuh atas tanaman tu mahu tak penuh dengan tanah pakaian aku.

"Lain kali hati-hati...," pesannya dengan nada suara yang agak garau, mampu merindingkan bulu roma aku.

"Erk... terima kasih..."

Suara dia seperti aku kenal tetapi siapa ya? Masa macam ni lah ingatan aku tak nak bekerjasama.

"Alyna?" suara Luqman memecahkan lamunan aku. Segera aku berpaling, memandang ke arahnya. Luqman terus merapati aku dan memandang lelaki itu dengan reaksi kosong.

Lelaki itu menarik hoodie ke belakang. Tergamam aku melihat wajahnya.

"Oh, Doktor Yazid..."

Luqman mengoyakkan senyuman kecil. Aku masih lagi membisu. Terkejut melihat susuk tubuh di hadapan aku ini. Dia pun ada dekat sini?

Yazid tersenyum.

"Buat apa dekat sini?" soalnya seperti mahu mengorek rahsia kami.

"Berkongsi ilmu dengan anak murid." Senyum Luqman. Yazid mengangguk sekali kemudian memandang aku lama sebelum beralih ke arah Luqman.

"Prof, memang berkongsi ilmu dengan membawa anak murid jalan-jalan sekeliling dan hanya berdua?" Cara dia soal seolah-olah memerli Luqman tetapi Luqman menunjukkan reaksi biasa, tiada sebarang perubahan.

"Ya. Dengan cara itu dapat membantu pelajar lebih memahami ilmu tersebut dengan lebih mendalam. Tak salah rasanya kecuali menyalahgunakan caranya," perli Luqman semula.

Dia hanya tersenyum.

"Baik-baik Prof. Luqman. Jangan sampai benda lain yang jadi. Jangan jatuhkan kerjaya sendiri pula," ujarnya dengan nada sinis dan berlalu pergi. Aku menghantar pemergiannya dengan ekor mata.

Kenapa dia nak cakap macam tu dekat Luqman?

Apa hak dia? Dia bukannya mengajar kelas aku pun.

Kenapa nak sibuk-sibuk? Hairan aku dengan dia. Hari tu bukan main lagi menyombong. Sekarang siap perli-perli Luqman. Ingat dia handsome sangat agaknya.

Meluat pula aku tengok. 


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.