Bab 14

BAB 14

AMSYAR berjalan menyusuri kaki lima untuk ke bilik kerjanya. Dengan kot putih yang tersarung pada tubuh, tangan diselukkan ke dalam poket dan rambutnya disebak ke belakang. Malam itu, shif dia dan beberapa orang rakan sekerjanya. Isterinya, Noura sudah balik ke rumah awal darinya.

"Arghh!" jeritnya apabila ada seseorang menarik kolar kotnya dan dihentak ke dinding. Kedua-dua belah telapak tangannya terlekap pada permukaan dinding. Gerangan itu tertawa sinis saat memandang wajah ketakutan yang terpancar pada wajahnya itu.

"Takut? Doktor Amsyar?" soal seseorang itu sinis.

"Ka... kau siapa?" soal dia dengan nada sedikit mendatar.

"Aku datang nak tuntut semula apa hak aku!" Kuat dia menggenggam kolar kot itu sambil tangan sebelah memusing-musingkan pisau belati. Tertelan air liurnya memandang mata pisau yang tajam itu.

"Apa? Hak apa?" tanyanya. Gerangan itu ketawa berdekah-dekah dan memainkan pisau itu pada wajahnya.

"Kau tak ingat apa yang kau dah buat dengan orang sekeliling kau. Kau bongkak, Amsyar. Sangat bongkak! Takbur! Sombong! Kau dah dapat apa yang kau nak dan kau mula sombong dengan orang yang pernah tolong kau waktu kau susah!" marahnya sambil mengacukan pisau di bawah lehernya.

"Ayah?"

Satu suara itu mengejutkan mereka berdua. Lantas gerangan itu melarikan diri saat ternampak susuk tubuh seorang gadis yang sedang berdiri di hadapan muka pintu bilik kerja Amsyar.

*****

"AYAH?" panggil aku beberapa kali. Namun masih tiada sahutan dari ayah. Tadi aku ada terima pesanan dari ayah menyuruh aku datang ke sini sambil membawa fail yang tertinggal di rumah.

"Alyna...," suara itu mengejutkan aku lantas aku memusingkan tubuh menghadapnya. Senyuman kecil aku ukirkan.

"Ni failnya, ayah. Maaf Aly lambat," kataku dengan nada lemah lembut. Walaupun hubungan aku dan dia masih belum pulih sepenuhnya, segala pertolongan yang diminta darinya akan aku turuti. Yelah, dia ayah aku. Berdosa sekiranya aku ingkar kata-katanya. Selagi aku boleh ikut, akan aku tunaikan. Cuma, mengenai perkahwinan itu, masih aku belum boleh menerimanya dan sentiasa berdoa agar hati ayah lembut dan boleh berbincang semula dengan cara baik.

"Alyna dah makan?" soal ayah.

Aku perasan wajahnya sedikit memucat.

"Dah tadi dengan...." Ayatku terhenti seketika sebelum menyebut nama Luqman.

"Dah makan dekat luar..." Segera aku menukar ayat, aku rasa tak perlu ayah tahu aku keluar makan bersama dengan Luqman sebentar tadi.

Dia menganggukkan kepala.

"Ayah okey? Muka ayah nampak pucat? Ayah tak sihat?" soal aku prihatin. Laju dia menggelengkan kepala.

"Tak adalah. Mungkin ayah penat sangat. Dah balik sana, hati-hati. Balik dengan siapa?" soalnya. Aku terasa terharu yang ayah sepertinya mahu berbaik dengan aku. Cara percakapan dia pun tak sedingin seperti selalu.

"Erm. Dengan Prof. Luqman...," jawab aku perlahan.

Ayah sekadar menganggukkan kepala dan aku perhati saja kepalanya dari tadi terteleng ke kanan dan ke kiri seperti mencari seseorang.

"Ayah cari siapa?" soal aku.

"Ah! Tak ada. Cari ibu kamu. Ayah tunggu dari tadi," jawabnya dengan bibir sedikit terketar. Aku mengerutkan dahi.

"Eh? Bukan ibu dan balik ke? Aly nampak ibu dekat rumah tengah susun kertas dalam fail." Seram pula bila ayah cakap macam tu. Habis dekat rumah tadi aku nampak siapa? Takkan hantu pula? Tak pasal-pasal merinding bulu roma aku.

"Erk. Ya? Oh! Ayah lupa. Okey, ayah masuk dulu." Terpinga-pinga aku memandang ayah yang sudah melangkah masuk ke dalam biliknya. Kerutan di dahiku masih jelas.

Perlahan aku melangkah semula ke kaki lima untuk menuju ke kereta Luqman yang sedang menunggu aku di luar hospital. Setiap langkah aku sepertinya ada yang mengekori dari belakang tetapi bila aku toleh ke belakang tiada siapa-siapa. Dalam hati memanjatkan doa agar aku dilindungi. Seram pula bila datang hospital pada waktu malam ni.

Tiba-tiba lampu di kaki lima terkelip-kelip dan suasana menjadi gelap. Langkah aku terhenti. Air liurku telan rakus. Bulu roma kembali meremang tetapi kali ini lebih tinggi dari tadi. Perlahan kepala aku toleh ke kanan kemudian ke kiri. Sunyi! Tiada siapa-siapa. Kaki aku pula seolah-olah terkunci, tak mampu mengerakkan langsung.

Tiba-tiba diri aku mematung saat terasa deruan nafas seseorang berada betul-betul di tepi telinga aku. Aku tergamam dan memejamkan mata sambil berdoa agar sesiapa datang menyelamatkan aku.

"Kau selalu dalam pemerhatian aku..." bisik dia.

Aku semakin menggigil ketakutan.

"Tolong... jangan ganggu saya...," ujar aku terketar-ketar. Suasana menjadi sunyi kembali. Aku masih memejamkan mata dan memeluk tubuh erat.

"Alyna..." Terasa satu tangan kekar menyentuh lengan aku.

"Ah! Tolong! Jangan ganggu saya...," ujar aku dengan mata terpejam.

"Hey, Alyna! Ni Luqman lah. Alyna kenapa? Alyna okey tak?" Segera aku mencelikkan mata saat terdengar suara yang aku kenali.

"Abang Luqman?"

Dia menganggukkan kepalanya. Aku memegang lengannya dan memerhatikan suasana sekeliling dengan ekspresi muka yang resah. Tubuh aku sudah dibasahi dengan peluh dingin.

"Kenapa? Muka Alyna nampak pucat?" soalnya dengan nada prihatin. Lengannya aku genggam kuat. Sumpah, aku masih merasai sisa ketakutan.

"Tak tadi lampu kaki lima ni tiba-tiba mati lepas tu Aly rasa macam ada orang ikut. Lepas tu, ada seseorang bisik dekat Aly," beritahuku dengan suara terketar-ketar. Air mataku mula bertakung. Dia memimpin aku masuk ke dalam kereta supaya dapat meredakan diri aku.

"Okey... Alyna. Tarik nafas dan hembus perlahan. Tenangkan diri. Cerita dekat abang, apa sebenarnya yang terjadi. Jangan takut. Abang ada...," tuturnya lembut sambil mengusap bahuku.

Aku mula menceritakan hal tadi dari mula sehingga akhir. Cerita aku disambut dengan kerutan pada dahinya. Beberapa kali dia cuba menafikan apa yang aku dengar tapi suara seseorang tu jelas dekat telinga aku. Sehingga sekarang terngiang-ngiang suaranya di minda membuatkan tubuh aku berasa seram sejuk seperti mahu demam.

"Alyna jangan takut. Ke mana Alyna pergi kan abang ada. So, don't worry. Lepas ni abang akan teman Alyna. Okey?"

Aku menganggukkan kepala.

"Janji... jangan tinggalkan Aly..."

Laju dia menganggukkan kepalanya.

Entah kenapa, dengan Luqman aku berasa selamat dan aku percaya dia boleh melindungi aku.

Aku nak tahu sangat. Siapa yang bisik dekat aku tadi? Dan macam mana dia boleh lesap selaju itu? Takkan aku punya imiginasi parah sebegini, tak mungkin. Seumur hidup aku, aku tak pernah imiginasi benda yang menakutkan sebegini.

Tapi, tadi pun ayah macam nampak lain dan mukanya pucat. Sikapnya tidak lagi dingin dengan aku.

Berkaitankah hal aku tadi dengan ayah?


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.