Bab 9

BAB 9

PAP!

"AKU tengok kau dah pandai keluar dengan lelaki. Balik lambat! Kau pergi mana? Kau buat apa, huh? Kau jangan sampai aku dapat tangkap yang kau buat benda terkutuk dekat belakang aku!" tengking ayah.

Aku mengetap bibir kuat, menahan tangisan pada masa yang sama menahan geram akan sikap ayah yang main tuduh aku melulu tanpa soal.

"Ayah! Aly tak tergamak nak buat pekara terkutuk yang ayah cakapkan tu! Aly berusaha nak naikkan prestasi Aly, peperiksaan Aly dah tak lama. Aly mintak tolong pensyarah yang sudi bantu Aly dalam pelajaran Aly!" balas aku tetapi masih lagi mengawal suara aku agar tidak mendatar.

"Belajar? Sampai petang macam ni baru kau balik? Aku perhati lama. Dalam sebulan dua ni kau selalu keluar dan balik sebelum pukul 7 petang! Kau pergi mana? Takkan belajar sampai ke senja?" soalnya, dengan nada suara tidak puas hati. Ibu di sebelah hanya menyilangkan tangan dan memandang aku tajam. Dua-dua langsung tak nak ambil tahu mengenai aku.

"Kenapa ibu dan ayah dah tak macam dulu? Takkan salah Aly, sampai macam ni sekali ayah dan ibu pinggirkan Aly? Aly rindukan ibu dan ayah Aly yang dulu, walaupun sibuk tetap ada masa dengan Aly walau sesaat!" Empangan air mata aku akhirnya pecah berderai dan jatuh ke pipi. Ayah mendengus kuat lalu mencekak pinggangnya.

"Aku sibuk cari rezeki untuk kau! Bertungkus lumus nak bayar yuran kolej kau! Kau ingat murah ke, huh? Ikutkan hati aku, nak saja aku berhentikan kau dari kolej tu tapi kau merayu dekat aku kononnya nak naikkan prestasi. Kau yakin ke kau boleh naikkan prestasi kau, dulu pun sebab aku yang ajar. Kalau aku tak ajar? Kau takkan boleh punya nak skor markah. Kau tak boleh nak ikut langkah aku dengan ibu kau!" luluh hati aku mendengar caci maki dari mulut ayah sendiri. Air mata aku semakin deras mengalir membasahi pipi.

"Ibu perhati saja Alyna keluar dengan seorang lelaki selama ini tapi ibu diam tapi dah melarat macam ni. Siapa yang tak panas hati? Belajar apa sampai senja? Dekat mana? Kenapa tak boleh belajar dekat kolej, huh? Kenapa mesti jauh-jauh sampai dekat taman tasik lah, situlah, sinilah. Huh?" Giliran ibu pula bersuara. Aku sudah kehilangan kata-kata. Aku menggalas semula beg galas aku pada sebelah bahu lalu membuka pintu utama.

Ibu dan ayah sememangnya tak sayangkan aku lagi. Mereka tak tahu apa yang aku buat tika mereka tiada.

"Alyna!" panggil ayah dengan suara lantang. Aku mengesat air mata dan terus melangkah keluar dari rumah.

Saat kakiku mahu menuruni anak tangga rumah. Satu tangan kekar menahan lengan aku dari pergi. Perlahan aku mendongakkan kepala.

"Abang Luq?"

Dia menayangkan wajah serius dan segera menarik aku ke rumah semula manakala dia berdiri di hadapan pintu utama.

"Doktor Amsyar, saya Prof. Luqman, pensyarah kepada Nur Alyna. Saya kat sini nak bagi keterangan mengenai salah faham antara doktor dan Alyna," ujarnya. Aku tunduk menekur lantai rumah dengan air mata masih lagi mengalir.

"Hah! Kau ke yang bawa anak aku ke hulur ke hilir? Professor jenis apa kau ni? Betul ke kau mengajar anak aku? Sampai senja? Kau buat apa dengan anak aku sampai senja baru balik?"

Terkejut aku mendengar kata-kata kesat ayah pada Luqman. Aku ingin berbahas tetapi tenungan tajam dari Luqman membuatkan aku kehilangan kata-kata.

"Ya, saya yang bawa Alyna ke tempat-tempat yang sesuai untuk dia belajar dan dapat menimba ilmu dengan mudah selain di kolej. Saya tahu doktor mesti pernah alami semua itu semasa menuntut ilmu di sesebuah kolej. Pasti kita akan mencari pengalaman dan meluaskan ilmu pengetahuan dengan menjejaki tempat-tempat yang sesuai," ujar Luqman.

Ayah terdiam seketika sebelum bersuara.

"Kau nak ajar aku pulaklah sekarang ni?" soal ayah kepada Luqman.

Laju kepala Luqman menggeleng.

"Bukan niat saya untuk mengajar doktor, cuma saya beritahu apa yang sebenarnya saya buat pada Alyna. Saya ingin bantu dia untuk meningkatkan prestasi sebelum peperiksaan berlangsung," jawab Luqman.

Ayah tersenyum sinis.

"Anak aku tu lembap. Dari dulu memang harapkan orang saja nak ajar dia, tak boleh nak usaha sendiri. Kau yakin ke kau boleh ajar anak aku, skor dalam semua subjek? Huh? Kalau dia gagal jugak, kau nak buat apa? Boleh aku laporkan mengenai kau dekat kolej? Yang kau ni seorang professor dan juga pensyarah yang menggagalkan pelajar."

Aku tersentak lantas mendongakkan kepala.

"Ayah! Kenapa ayah hina Aly teruk macam ni? Apa salah Aly pada ayah? Hanya kerana Aly tak mampu nak mengikuti jejak langkah ayah dan ibu, ayah jadi macam ni sekali? Siapa Alyna sebenar pada ayah dan ibu? Siapa?" tangis aku teresak-esak. Menggeletar tubuh aku berhadapan dengan situasi begini. Tak sanggup mahu mendengar kata-kata hinaan ayah lagi. Ibu di sebelah langsung tak bersuara apa-apa.

Di manakah sifat nalurinya sebagai seorang ibu?

Sepertinya aku bukan anak mereka.

"Ya! Aku malu yang anak aku seorang ni tak boleh nak ikut jejak aku! Sedangkan sepupu-sepapat kau, saudara-mara kau semuanya boleh ikut jejak ibu dan ayah mereka dan ada yang nak graduasi dah tahun ni! Tapi kau? Masih lagi terkial-kial nak usaha, apa semua ni? Selama 4 tahun kau berada di kolej, kau belajar apa, huh?"

Aku mengetap bibir kuat sehingga bibirku merah.

"Doktor, bertenang. Macam ni lah. Tak lama lagi, Alyna akan menduduki peperiksaan, apa kata doktor beri keizinan pada saya untuk bantu dia dalam pelajaran dia. Sekiranya dia berjaya dalam peperiksaan akhir semester dia ni dan layak untuk graduasi pada akhir tahun ini, saya nak doktor ada di samping dia saat dia mengambil ijazah tapi sekiranya saya gagal mengajar dia, doktor boleh buat apa saja yang doktor mahukan. Saya terima," celah Luqman.

Membulat mata aku mendengar kata-kata Luqman. Dia nak ambil risiko tinggi macam ni demi aku? Kenapa dia sanggup buat semua ni hanya disebabkan aku? Aku tak nak dia hilang kerjaya disebabkan aku.

"Abang Luq...." Dia menggelengkan kepalanya, melarang aku meneruskan kata-kataku.

"Baik! Aku izinkan! Tapi kalau dia tak boleh skor juga, aku salahkan kau!" Ayah bersetuju dengan cadangan Luqman tetapi aku tidak. Sama sekali aku tidak setuju.

Kenapa jadi begini?

Kenapa aku heret Luqman masuk ke situasi begini?

Ayah dan ibu terus menaiki anak tangga dan masuk ke dalam bilik.

"Abang Luqman, kenapa? Abang tak perlu buat semua ni!" esak aku.

Luqman menggenggam kedua-dua belah tangan aku. Jarinya menyeka air mataku.

"Kan abang dah janji yang abang akan bantu Alyna sampai berjaya dalam masa tiga bulan ni, kalau Alyna berjaya abang turut gembira. Sudahlah jangan menangis. Abang tahu Alyna pasti boleh!"

Aku memejamkan mata seketika. Mengumpul semangat yang diberi oleh Luqman sebentar tadi.

"Alyna, janji dengan abang? Okey? Alyna pasti boleh..." Jari kelingking kami bertaut.

"Janji...," ucapku dengan nada perlahan dan serak akibat menangis.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.