Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 34

Bakul duit niaga dicapai dan diletakkan ke bawah meja sebelum dikuncikan pintunya. Selesai mengunci mak bergerak ke luar pasar, hajatnya mahu mengutip anak-anak lada yang tumbuh di dalam pasu konkrit panjang yang ada terdapat di situ. Senyuman mak sampai ke telinga bila melihat anak-anak lada yang tumbuh subur dan sudah sampai umur sesuai untuk dialihkan, lantas, tanpa menunggu lama mak mencabut dan meletakkannya ke atas kertas basah yang ada dibawa bersama.

Sesudah mencabut, mak duduk di pinggir tebing konkit tersebut bila telinga kirinya sudah mula rasa pekak akibat kepanasan yang dirasakan. Puas mak menelan air liur untuk menghilangkan, namun kekal tak berkesan kerana penyakit itu adalah penyakit buatan, ‘hasil tangan’ suami yang sudah lama dihidapi. Serentak itu mak menggeleng-gelengkan kepalanya mahu mengusir kenangan lama yang mula terbit dengan sendiri.

 Keadaan pasar lengang bila semua peniaga lain telah habis pulang, membuatkan mak rasa sepi dengan sendiri dan di kala kesepian, kenangan-kenangan lama segera juga datang bertandang.

 

“Awak, simpanlah duit tu sikit untuk sekolah anak-anak nanti.” nasihat mak pada abah kerana dia tak berkenan melihat gaya kehidupan abah yang terlalu mewah. Walaupun mempunyai perniagaan sendiri, tapi abah langsung tak pernah menabung. Segala hasil perniagaan kilang memproses kayu yang diusahakan lenyap saban bulan. Bila awal bulan, suaminya itu membawa duit penuh didalam poket balik ke rumah, tapi menjelang akhir bulan semua hasil berkenaan dilicinkan.

“Lambat lagi masanya. Anak-anak kan masih kecil, yang esok tu, esok-esok kita cari. Ha, yang sekarang ni untuk sekarang.”

“Nanti-nanti, adalah rezeki.” balas abah acuh tak acuh dan mak hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.

 

“Pagi Omar.” sapa abah pada Omar yang baru masuk ke kedai kopi sedang dia sudah mula nak bersurai.

“Pagi Usin. Dah siap minum?” soalnya pula saat terpandangkan abah yang sudah mula bangun.

“Dah, aku dah siap. Aku nak kena cepat, ada hal pagi ni.” balas abah sebelum menyeluk saku baju dan mengeluarkan jumlah bayaran yang perlu.

“Usin…” tutur Omar kekal mahu menjaga tatasusilanya.

“Kenapa? Kau nak pakai duit lagi? Takpa, kalau macam tu, nanti malam datang rumah. Aku tak boleh lambat sebab pagi ni ada lori nak datang ambil kayu.”

“Kau minumlah. Order apa yang kau nak. Aku bayarkan sekali.” tambah abah sebelum menyeluk saku bajunya lagi.

“Tokey, kira sekali nanti. Duit dekat sini.” tutur abah sambil mengangkat tangan pada tokey kedai kopi itu, dan serentak dengan itu dia membalasnya.

“Ingat, malam nanti datang rumah!” ulang abah lagi sebelum segera beredar.

 

“Awak ni, tak baik buat urusan duit malam-malam buta macam ni. Tak elok! Esok tak boleh?” soal mak pada abah yang sedang menghitung-hitung wang.

“Apalah awak ni? Kenapa pulak tak boleh? Omar tu tak ada duit nak beli susu anak. Dah tu tak payah ditolong?” soal abah tak gembira sampai berkerut-kerut keningnya.

“Itu pesan emak. Dah tu, salah?” soal mak semula sedikit tak puas hati kerana abah langsung tak pernah nak mengambil berat akan saranannya. Abah terus menarik muka masam, tak seronok.

“Eeee, awak ni lah! Tak habis-habis…”

“Usin...Usin!” panggil satu suara di pintu tangga membuatkan mak dan abah melupakan percanggahannya.

“Dah sampai dah dia! Dahlah, awak pergi bukak pintu tu!” arah abah, kekal menghitung jumlah yang perlu.

    

“Esok saya nak keluar. Saya nak kirimkan duit ni untuk mak dengan Su. Awak tolong tengokkan along sekejap nanti ya.” ucap mak sambil tangannya menggoncang buaian yang tersangkut di alang rumah sebelum wajah suaminya itu dipandang. Riak muka abah jelas nampak tak puas hati.

“Huh! Ikut suka hati awaklah! Kalau saya tegahpun, awak bukannya nak mendengar!”

“Itu duit awak, jadi buatlah apa yang awak suka!” balas abah dah mula tegang.

“Tak habis-habis lagi ke marah awak pada mereka? Dah lama semua tu jadi. Kita ni anak. Berdosa bencikan mak bapak.”

“Awak apa tahu! Saya yang tanggung semuanya! Sekarang bila dah susah baru nak mencari! Dulu masa senang kita tak dipandang. Biarlah apa yang nak jadi pada mereka. Saya dah tak nak ambil peduli!” marahnya. Along yang baru nak terlena terus terkejut. Tangisnya kembali. Dah berminggu, tapi keadaan along tetap sama. Menangis, bila tengah malam. Tengah malam sahaja, menangis. Waktu tengah hari tegak dan senja pun begitu. Melalak sampai nampak anak tekak.

“Awak ni pun, cubalah cakap tu perlahan sikit…baru nak tidur anak ni!” ucap mak geram. Serentak, tangannya mencapai along yang berada didalam buaian sebelum dipangku rapat ke dada.

“Awak tu yang selalu buat saya marah! Kan saya dah cakap! Jangan diungkit lagi tentang mereka! Saya tak suka! Awak faham ke tak?!!!” jerkah abah yang dah mula ‘kalah’ untuk kali yang berikutnya.

Tangisan along semakin menjadi-jadi. Tak makan dipujuk dan mak tak tahu apa lagi yang hendak dilakukan.

“Shh shh shh…jangan nangis! Jangan nangis. Mak ada ni.” pujuk mak lagi. Airmatanya dah mula bergenang, lantas dia teringatkan ayah dan emak di kampung. Kalau mereka ada pasti dah macam-macam ikhtiar mereka untuk merawat along.

“Cubalah awak tengokkan anak ni…” pinta mak dalam tangisan. Abah jadi makin marah. Dah berminggu-minggu dia tak dapat melelepkan mata dengan tenang. Tangisan along rasa merunsingkan fikiran dan tanpa menunggu lama along dipangku demi memenuhi permintaan isterinya itu, namun hanya seketika, kerana tangisnya tetap tak reda. Keadaan itu pantas membuatkan abah jadi naik angin lagi dan dengan tak semana-mana tubuh along yang baru masuk 3 bulan itu dihumban ke katil. Melantul tinggi tubuh kecil itu, tapi mujurlah tak tergolek dan terjatuh ke lantai.

“Ya Allah…Awak ni dah kenapa? Sampai hati awak buat anak macam tu? Awak ni dah gila ke?” marah mak sebelum mendapatkan along yang terdampar di atas tilam.

“Oh, inilah rupanya perangai sebenar awak. Depan Abang Ngah awak berpura-pura baik sampai dia termakan dengan lakonan awak. Berbakul-bakul dia puji awak. Cakap yang awak baik, lemah lembut, pemurah, pandai agama, semua! Semuanya yang baik tu, semualah awak! Tapi rupa-rupanya…” belumpun sempat mak menghabiskan, satu tamparan hinggap di pipi. Berdesing telinganya dan serentak itu juga dia dapat rasakan kejanggalan. Telinga kirinya seperti tak dapat nak mendengar lagi. Pekak dan tuli.

“Awak tu yang salah! Anak sorang pun tak reti nak menjaga. Tak tahu ke awak nak mendiamkan budak tu! Kalau itu pun awak tak tahu, dah tu apa yang awak tahu!” sergah abah bak guruh memecahkan hening cakerawala, belum mahu mengendurkan tekanannya.

“Kalau macam ni lah perangai awak…hantar saya balik ke rumah mak ayah saya. Saya dah tak sanggup nak hidup dengan awak lagi!” ucap mak dalam tangisan sebelum along dibawa ke dakapan. Abah mengetap bibirnya kejap sebelum melangkah meninggakkan mak yang terus-terusan dijeruk perasaan.

 

“Usin, hujung tahun saya mau guna ini kilang. Kilang sana tak dapat nak urus semua, sebab ini tahun kayu banyak keluar, jadi saya mau guna kilang lama tu semula.” tutur Long Tack, tokey kilang tempat abah menyewa.

“Aduh Long, kalau you mau ambil ini kilang, saya macam mana? Macam mana saya mau kerja?” soal abah terkejut dengan apa yang baru didengarinya.

“Itu saya tak taulah. Cuba you tanyalah siapa-siapa yang ada tempat lain untuk sewa, sebab saya memang tak dapat nak tolong you lagi.” balas Ah Long, tak dapat nak membantu lagi.

“Boleh you tunggu sampai saya dapat tempat baru dulu? Lagipun tak mudah nak dapat kilang untuk disewa.” soal abah semula minta sedikit masa.

“Saya boleh kasi masa sampai hujung tahun, lebih tak ada. Kayu di kilang sana dah banyak sangat, dah tak dapat nak tunggu lama-lama.” jelasnya membuatkan abah mula merancang sendiri.

 

“Awak nak ke mana lagi ni? Maghrib-maghrib nak keluar, asal maghrib je awak keluar. Kan ke awak baru balik tadi?” soal mak yang sedang menyuapkan makanan ke mulut along, angah dan Mat secara bergiliran. Lepas sesuap, sesuap dihulurkan.

“Saya nak keluar! Nak jumpa dengan kawan! Ada urusan!” balas abah sambil menyisir rambut yang masih kebasahan.

“Cubalah sekali-sekala duduk di rumah, tolong saya tengokkan anak-anak. Lagipun awak nak ke mana? Bukannya awak ada kerja?” bidas mak semula sambil terus menyuapkan nasi yang dah dikepal di hujung tangan.

“Inilah dia sebabnya! Inilah sebabnya saya malas nak duduk di rumah! Sebab inilah!”

“Sebab awak! Awak tak habis-habis nak membebel! Membebel, membebel! Sakit telinga saya ni tahu? Sakit!” keras abah membalas. Along, angah dan Mat segera menundukkan kepala, mula rasa takut dan tak selesa dengan keadaan yang melanda.

“Tengok, saya cakap sikit pun awak dah nak melenting. Kalau bercakap tu elok-elok, tak boleh? Takut anak-anak ni mendengar.” balas mak dengan rasa kecewa, berteman genangan air mata.

“Ah, sudahlah! Dah malas saya nak bertekak!” tutur abah sebelum bergegas keluar dah tak mampu menanggung tekanan.

“Awak!” seru mak yang masih minta difahami, namun gagal, kerana abah dah tak nak mendegar. Mat yang nampak kehadiran abah segera menerpa ke arahnya dengan kedua-dua tangan terbuka, minta dimanja, sampai hampir tersembam dia ke lantai. Namun, abah terus berlalu tanpa langsung menghirauknnya.

“Sampai hati awak kan…sampai hati awak buat macam tu pada anak.” rintih mak dalam tangisan yang dah tak mampu nak ditahan saat melihatkan keadaan. Segera mak mendapatkan Mat yang sudah merangkak, mahu mengejar. Along, angah dan Mat yang masih hijau usianya hanya mampu menatap sahaja, tapi mujurlah ateh masih kekal terlena di dalam buaiannya.

 

“Awak, beras dah habis. Nanti jangan lupa dibeli.” pesan mak yang sedang mendukung Mat pada abah yang sibuk menyisir rambut, bersiap-siap untuk keluar. Terangkat-angkat tangan Mat, gembira bila berada hampir dengan abahnya itu, tapi, seperti biasa, abah tetap bersahaja, langsung ada minat mahu memandangnya.

“Mana saya ada duit! Awak pergi ambil jelah dulu barang-barang dekat kedai tu. Masuk buku 55 dulu.” balas abah sambil merapikan rambutnya lagi.

“Awak suruh saya berhutang? Takkanlah sampai duit nak beli beras pun tak ada? Macam mana hidup kalau macam ni?” tutur mak dengan rasa sengsara, tak menyangka. Abah terus memuncungkan muka.

“Itulah, dulu masa berduit kan saya dah pesan, menyimpan! Tapi awak buat tak dengar je apa yang saya cakap. Tengok sekarang…” belumpun sempat mak menghabiskan kata, abah dah merentus.

“Bising betullah awak ni! Membebel, membebel! Itujelah yang awak tahu! Sakit telinga saya ni, tau? Sakit!” bentak abah dengan muka yang dah berubah merah. Melihat keadaan itu, mak segera menundukkan kepala, tak berani mahu menambah lagi kerana bahana penangan lama masih dapat dirasa pijarnya, sehinggakan telinga masih kehilangan sebahagian derianya. Mat yang terkejut mendengar herdikan abah segera memalingkan badan sebelum tergesa-gesa mendakap tubuh ibunya itu.

“Tak habis-habis! Membebel! Membebel! Inilah sebabnya saya malas nak duduk di rumah! Panas tau, panas!” gerutu abah lagi sebelum segera bergegas pergi. Rumah sewa berlantai papan itu turut menjadi mangsa hentakan kaki kasar abah. Berdentang-dentum bunyi pijakan, sampai rumah dah rasa berbuai-buai. Along dan angah yang berada di tengah rumah turut sama menerima tempias kemarahan abah.

“Cuba tepi! Dah tak ada tepat lain ke kalian nak bermain!” tutur abah menengking, menyebarkan rasa sakit hati yang dah makin berkembang di dalam sanubari. Along dan angah pantas menepi, menjauhkan diri seperti mana yang dikehendaki.

“Sama je semuanya! Hanya tahu nak menyusahkan orang!” tambah abah sebelum bergegas menuruni mata tangga dengan perasaan sebal dan menyampah pada semua benda.

“Setan! Mana pula pergi kasut ni?!!!” marahnya lagi sebelum kasut dapat dicari.

“Tak guna!” tuturnya kekal memarahi dahan pokok rambutan yang terkena pada muka dan tanpa berlengah dahan tersebut menjadi mangsa tanganya, dipatah dan dilantingkan sekuat-kuat hati. Keadaan yang biasa berlaku waktu kemarahannya sudah mencanak sampai di kepala. Mak yang memerhati di muka pintu, ditemani perasaan pilu dan dengan air mata, di cuba memujuk lara yang tiba.

“Makkk…, ayahhh…” rayunya pada kedua orang tua yang sudah tiada, tempat dia pernah bermanja.

“Huuu…” kedengaran esakan kecil dan perlahan di segenap ruang rumah berkenaan, hiba dan memilukan. Along dan angah segera mendapatkan mak yang sedang dilanda kesedihan sebelum mereka sama-sama berpelukan.   

 

“Boss! Datang pun boss. Ingat dah lupa…” tutur Bahar, bekas pekerja kilang abah yang sedang berlonggok bersama beberapa rakan seangkatan.

“Huh!” balas abah sepatah dengan muka yang kekal ditarik, kelat!

“Kenapa boss?” soalnya pula saat terpandangkan wajah bekas ketuanya itu, kerana daripada riak muka dia sudah dapat membacanya sambil tangan kekal mengocak kad permainan.

“Kenapa kau tanya? Sebab apa lagi? Sebab orang dekat rumah tu la! Sebab apa lagi! Hari-hari membebel. Sakit rasa kepala ni!” balas abah yang sudah mula duduk di meja, tempat mereka menghabiskan masa terluang sambil ‘bersukan’.

“Sini, biar aku yang bagi.” tutur abah yang sudah berubah intonasi, kerana akhirnya ada juga perkara yang dapat menenangkan hati.

“Berapa?” soal Bahar pula, mahu menentukan nilai taruhan yang ingin diletakkan. Serentak itu abah mengeluarkan duit yang ada tersimpan di dalam kocek baju kemejanya itu.

 

“Kalau dah susah-susah sangat kita balik kampung. Duduk rumah kampung arwah mak dengan ayah saya.” tutur mak pada abah yang masih terbaring sejak pagi sampai ke petang hari dan terus ke malamnya. Segera abah memalingkan badan sambil tangan pantas memuntal bantal, tak suka dengan cadangan.

“Awak dengar tak apa yang saya cakap ni? Kalau dah tak ada kerja di sini, kita balik kampung!” tutur mak tegas sebelum bangun sambil mengendong ateh yang sudah selesai disusukan. Namun abah kekal keras, tak memberi sebarang reaksi balas.

“Kalau awak tak nak balik…biar saya balik dengan anak-anak!” tambah mak lagi sebelum turut sama merebahkan diri.

 

“Omar…Omar!” seru abah di muka pintu beberapa kali sebelum dia didatangi.

“Usin? Sekejap, biar saya panggilkan abangnya.” balas Jeriah, isteri Omar sebelum bergegas masuk memanggil suaminya. Tangisan anak kecil dapat didengari sampai ke muka pintu membuatkan abah pasti dia takkan betah bertahan lebih lama di situ.

“Usin, masuk. Naik dulu.” pelawa Omar saat terlihat kelibat abah di muka pintu.

“Takpalah Omar, dekat sini jelah, lagipun aku nak cepat.” balas abah sebelum Omar menghampirinya yang masih duduk tercegat.

“Apa cerita datang malam-malam? Ada hal apa?” soalnya sambil tersenyum kerana tak pernah sekalipun Usin menjengahnya di situ.

“Omar, aku..aku nak minta kau bayar hutang yang kau pinjam dengan aku dulu boleh? Sebab aku tengah kering sangat sekarang ni. Dah berbulan-bulan aku tak ada kerja. Kau pun tahu kan yang Ah Long dah ambil semula kilang tu.”

“Hidup aku betul-betul dah susah sekarang ni. Itulah sebabnya aku datang sini, ingat nak kutip semula hutang yang aku pernah beri pada kau dulu.” tutur abah menerangkan dan serentak dengan itu riak wajah Omar segera berubah.

“Boleh kau bayar semula duit tu pada aku? Kalau tak semua pun, bayar sikit-sikit. Ansur-ansur pun aku tak kisah, sebab aku memang dah tak duit sekarang ni.” tambah abah lagi sambil memandang ke arah Omar yang masih sunyi, dah tak mengeluarkan sebarang bunyi. Seketika kemudian Omar bangun sebelum masuk ke dalam rumah dan keadaan itu membuatkan abah rasa lega kerana percaya rayuannya telah diterima, namun itu hanya seketika, bila kenyataannya sangat jauh berbeza.

“Abang! Jangan bang, jangan!!!” pekik Jeriah, meluru mahu membantu.

“Tepi!” bantahnya sebelum sebelah tangan kuat menolak tubuh si isteri jauh darinya.

“Usin! Kalau kau nak duit, aku tak ada! Tapi ini ada!” tegasnya sambil menghunuskan selaras senapang patah tepat ke arah muka abah, membuatkan abah segara mengalah.

“Ok ok ok! Aku pergi! Aku pergi!” tutur abah sambil mengangkat tangan, tak mahu menghangatkan keadaan.

 

Lamunan mak terhenti bila dia dikejutkan dengan bunyi batukkan kuat yang hadir di telinga. Daripada jauh, mak dapat melihat kelibat abah yang sedang santai mengayuh basikal tuanya. Sudah hampir 30 tahun mereka hidup bersama dan sepanjang tempoh itu sudah terlalu banyak perkara yang berlaku padanya, sampai ada kalanya dia pernah terfikir…apakah pengakhiran bagi mereka? Baik…atau sebaliknya?

 

Previous: Bab 33b
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.