Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 31

(bahagian kedua)

Hujan turun kuat menghentam atap rumah yang diperbuat dari zink. Lebat, sehingga membuatkan telinga terasa binggit dan sakit. Rumah peninggalan arwah atok dan nenek menjadi tempat berteduh mereka 10 beranak makin lama makin uzur dan usang, selari dengan perubahan tahun yang berlalu, pantas.

Safi sedang sibuk menadah air yang tiris dari lubang-lubang atap. Satu demi satu kawasan bocor diletakkan dengan besen dan baldi untuk mengelakkan lantai rumah basah, lalu mereput.

Asap dari dapur kayu berkepul-kepul di dalam rumah. Selesai menadah Safi bergegas semula ke dapur yang masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk hidup. Pantas tangannya mencapai salur buluh dan meniupnya berulang kali. Seketika kemudian barulah kelihatan lidah api yang kecil terbit dari longgokan kayu yang ada di bawah dapur.

“Sikit sangat umpannya tu. Cuba cari kayu-kayu yang kecil sikit, buat mangkin. Kalau pakai semua kayu yang besar, memang susah nak hidup api tu.” tutur mak pada Safi dan dia lantas menurut.

Mak sedang duduk di bangku papan rendah buatan tangannya sambil mengikat sayur-sayur kampung yang dipetik siang tadi untuk dibuat jagal. Mata Safi tertumpu pada longgokan pucuk paku, kangkung dan pucuk ubi yang bertimbunan.

“Banyak ke mak minggu ni? Banyak dari minggu lepas ke?” soal Safi ingin tahu.

“Alhamdulillah. Nampak gayanyalah. Esok Safi nak apa? Nanti mak belikan. Nak kacang kuda rebus macam selalu?” jawap mak dengan mata yang jelas mencerminkan keceriaan dan Safi tumpang gembira melihatnya.

“Nak!” balas Safi teruja, tak mahu melepaskan peluang bila berpeluang.

“Mak, tadi Man kata ateh telefon mintak masukkan duit. Ateh kena beli buku lagi.” tutur Safi yang baru teringat akan pesanan ateh siang tadi.

“Takpa, nanti mak beritahu abah. Ayam kampung dekat tanah tu macam ada yang dah besar, dah boleh dipilih untuk jual. Boleh agih sikit sorang nanti. Bagi sikit kat along dengan angah sekali. Angah ada bagitahu yang dia kena bayar sewa rumah hujung minggu ni.” balas mak sambil tangannya tetap bekerja mengikat pucuk paku yang sudah dicekak dengan gelang getah.

Safi mendengar dengan tekun. Dia tahu keadaan keluarganya yang serba kekurangan. Walau sesusah manapun hidup mereka, pendidikan anak-anak tak pernah mak dan abah abaikan. Mak kata ilmu tu penerang hidup. Mak tak nak anak-anaknya keciciran dalam pelajaran. Kata mak, dia tak nak anak-anak jadi sepertinya yang tak habis sekolah disebabkan arwah atok tak mahu membelanjakan kos persekolahan mak masa tu. Atok kata buat apa sekolah tinggi-tinggi, orang perempuan, duduk di dapur juga akhirnya nanti.

Safi bertekad untuk mengikut jejak langkah kakak-kakak dan abangnya satu masa nanti. Dia bersyukur kerana mempunyai mak yang turut serta membantu menambahkan pendapatan keluarga. Wang daripada hasil menjual ayam di pasar tak mampu menampung perbalanjaan pendidikan adik-beradiknya di IPT. Mujur ada kebun getah arwah nenek, dapatlah juga menambah mana yang kurang.

Angah sedang menuntut di Universiti Malaya dalam bidang farmasi, ateh di UiTM, mengambil jurusan perakaunan manakala along yang menjadi harapan keluarga sedang menjalankan latihan praktikal di sebuah hospital swasta di Johor Bharu dan bakal menamatkan pengajiannya dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi. Mak dan Abah betul-betul berharap yang along akan dapat membantu meringankan beban keluarga, bila tiba masanya nanti.

Perniagaan abah di pasar tidaklah semaju mana kerana terpaksa bersaing dengan perniaga-perniaga lain yang jelas mahu memonopoli perniagaan tersebut. Sudah bermacam-macam cara dilakukan mereka untuk membuat mak dan abah gulung tikar. Sambil memerhati, cerita lama datang lagi.

 

Suasana pagi yang damai dan sunyi terganggu kententeraman, bila mata Safi terpandang beberapa biji limau yang dilihat sengaja diletakkan dia atas kotak kayu yang menjadi pintu gerai. Bila diamati, dia dapat melihat ada beberapa batang jarum turut dicucuk pada limau tersebut. Dicucuk secara bersilangan, dengan tujuan yang segera dapat dipastikan. Nampaknya ada yang nak mempamerkan ‘kekuatan’.

“Mak, apa benda atas meja tu?”

“Apa bendanya lagi tu?” tuturnya pada mak yang baru tiba di pintu gerai dan mak hanya mampu menggelengkan kepala sebelum menarik nafas panjang.

“Apa lagilah yang mereka semua ni nak dari kita? Tak habis-habis. Ada saja yang nak dibuat. Tak takut mati agaknya. Tak ingat tuhan!” ucap Mak dengan perasaan kesal.

Safi memahami maksud mak kerana sudah acap kali benar perkara seperti itu berlaku. Dulu ada yang letak abu di atas tempat niaga mereka. Bau setanggi? Tak payah cakap lah, boleh dikatakan hari-hari. Mak selalu mengadu sakit-sakit badan, tapi dia lihat mak tetap juga teruskan.

“Dah tu nak buat macam mana? Nak ambil buang?” soal Safi lagi sambil tangannya pantas saja mahu mencapai buah limau tersebut.

“Safi jangan! Jangan ambil dengan tangan!”

“Biar mak yang buat. Safi janggan usik.” segera mak membalas kerana mak tak mahu ada sesuatu yang tak baik berlaku. Safi nampak mak sampul tangan dengan plastik dan kumpulkan semua limau-limau yang ada dalam sehelai plastik yang lain. Safi sentiasa rasa bingung bila setiap kali perkara seperti itu terjadi, bukan kerana dia tak mampu untuk memahami, sebaliknya dia sangsi pada sikap dan pendirian segelintir manusia yang lain.

Manusia memang makhluk yang pelik kan? Sanggup melakukan apa saja termasuklah mensyirikkan Allah hanya untuk memastikan apa yang mereka hajati tercapai. Mahu jadi tuhan, sampai sanggup meminta dengan syaitan. Muka nampak baik, boleh senyum dan ketawa, tapi dalamannya penuh dengan perasaan dengki dan iri hati. Keadaan sebegitu benar-benar menakutkan kerana seringkali kita gagal untuk memastikan yang mana satu kawan dan yang mana satu lawan.

“Biarlah mereka nak buat apa pun, kita sabarjelah.” balas mak perlahan sambil sebelah tangannya menggenggam tangkai cebok yang penuh dengan muatan sebelum menjiruskan air di kawasan yang berkenaan. Daripada intonasi mak, Safi tahu mak sedih dan kecewa, tapi dia tahu juga, mak memang seorang yang penyabar dan berkat kesabaran, semuanya Mak tempuh dengan tenang. Bergerak-gerak bibir mak, seperti berbicara sendiri, membuatkan Safi jadi ingin tahu pada apa yang mak sebutkan.

“Mak baca apa?” soal Safi ingin mengetahui.

“Bacalah apa-apa yang patut. Baca surah al-fatihah, tiga kul, ayat kerusi dan selawat pada nabi, sebab itu jelah yang kita ada.” balas mak sambil terbongkok-bongkok mencebok lagi dan meneruskan bacaan. Safi hanya mampu melihat mak berusaha membersihkan ‘kekotoran’ yang dikirimkan.  

Walau apapaun yang mereka usahakan, mereka lupa yang semua itu tetap perlukan perkenan dari Yang Satu dan kita hanya dapat berdoa, meminta agar dijauhkan dari pandangan buruk manusia seperti itu.

 

Bunyi hilaian ketawa Man dan Ina yang keseronokan dengan tontonan segera membawa Safi kembali ke alam nyata. Wajah mak lama Safi tatap. Dia simpati pada mak sambil di dalam hati dia berikrar untuk mengubah nasib keluarganya. Dia tak mahu lagi mak dan abah bersusah payah. Dia juga mahu berbakti pada mereka, tapi masanya belum tiba kerana pelajarannya baru di darjah 6 sahaja. Masih terlalu jauh perjalanan yang perlu ditempuh. Dia hanya dapat berdoa agar Allah memanjangkan usia mak dan abah agar dia berpeluang untuk merelisasikan impiannya itu.

“Abah balik pukul berapa nanti mak?” soal Safi, tapi mak macam tak ada minat untuk menjawapnya. Bila melihat keadaan itu, Safi pun terus hilang minat untuk berbahas mengenainya. Dia tahu, bukannya mak tak sayangkan abah, tapi perangai abah yang tak pernah nak berubah. Suka sangat percayakan perkara-perkara yang tahyul dan tak berfaedah. Sibuk ke hulu ke hilir dengan kawan-kawan mencari ‘tok guru’ yang dikatakan mampu membantu mereka membuat ‘duit tarik’, pekerjaan terbaru abah setelah terpengaruh dengan beberapa orang kenalan yang seronok berkongsi pengalaman.

Safi sendiri hairan, kenapalah abahnya terlalu percayakan perkara karut seperti itu. Bukankah berdosa besar hukumnya bila kita minta sesuatu dari makhluk lain, selain Allah? Safi ingat lagi apa yang di sampaikan oleh Ustazah Rodiyyah dulu, dosa syirik kalau tak sempat bertaubat, nanti tak dapat bau syurga. Baunya pun tak dapat, inikan pula nak memasukinya. Dia takut. Dia takut abah tak sempat berubah.

Abah berhabis duit, sampai sanggup menggunakan duit modal perniagaan untuk menampung kos perjalanan mereka sekawan ke merata negeri. Hari ni pun abah tak ada. Lewat petang tadi Pak Majid dan Wak Kerman datang jemput abah seperti selalu.

“Saya nak ke Melaka. Mak Leha ajak semua turun ke Melaka malam ni, katanya ada berita baik, untung-untung berhasil.”

“Jangan lupa letak lampu suluh dekat bawah pokok durian. Saya balik lambat nanti.” ucap abah yang sedang menyarungkan pakaian.

Safi tengok mak hanya diam. Tak dapat nak buat apa dah sebab abah memang tak boleh nak ditegah. Kalau ditegah pasti kesannya lebih parah. Alih-alih nanti bergaduh tak tentu arah, seminggu dua pun tak sudah.

 

“Tak payah la fikirkan abah tu. Mak pun tak tahu bila baliknya. Entah-entah Subuh pun tak sampai lagi. Ikan tadi dah masak? Kalau dah panggil adik-adik makan.” ucap mak, mematikan lamunan panjang Safi. Sebelumnya dia sangka mak tak mendengar, tapi rupanya mak dengar cuma mak tak nak membincangkan perihal abah dengan lebih panjang dan lebih lebar.

“Man, Ina, mak panggil makan. Sudah sudahlah dengan TV tu!” teriak Safi dari dapur, tetapi tiada sahutan kerana kedua-duanya masih terpaku di hadapan tv berkenaan. Safi terus saja menyendukkan nasi ke dalam pinggan dah tak nak membuat ulangan, namun setelah sekian lama menantikan, Man dan Ina masih belum kelihatan.

Hatinya geram, serentak itu dia melangkah ke rumah depan. Dia dapat melihat Man dan Ina masih leka melayan rancangan kartun kegemaran. Tap! Skrin tv gelap. Hanya itu caranya. Kalau dah melekat depan tv, makan pun boleh sampai tak ingat.

“Safiiii…, janganlahhh…janganlah padam!”

“Dah nak habis dah tu. Sekejap je lagi...” rengek Ina sambil menggesel-geselkan kaki pada lantai. Man turut memuncung dan mencerlung dengan rasa tak puas hati.

“Apa pandang-pandang? Korek mata tu kang? Dah! Jangan nak mengada-ngada. Mak panggil makan! Cepat bangun!” balas Safi sambil menjenggilkan mata. Man dan Ina menurut dalam terpaksa. Bukan mereka tak tahu angin Safi bagaimana. Kalau tak diikut nanti, esok adalah yang kena tinggal di belakang. Dahlah gelap, saja dia membalas dendam meninggalkan mereka dengan berjalan laju-laju dan takkan termampu mereka mengejar langkahan besar kakaknya itu. Kalau terjemoh dengan kerbau Hj.Noh lagi parah. Besar mengalahkan gajah, kalau ikut hati, terus tak jadi ke sekolah dah.

“Cepat sikit!” arah Safi lagi. Keduanya menurut. Sempat juga dia menepuk belakang kepala Man yang terdedah, mempemerkan kekuatan.

Menu nasi putih, ikan sungai goreng dengan gulai lemak pucuk paku sudah cukup menyelerakan. Ikan sungai yang Usop jala petang tadi nampak garing di atas pinggan dan menu sebegitu sememangnya adalah menu kebiasaan.

“Mat, Usop, makan sekali.” ujar mak pada Mat dan Usop yang sedang leka membaca komik di dalam bilik, serentak keduanya datang ke dapur. Mak rasa bersyukur kerana dibekalkan dengan hasil-hasil alam yang ada di sekeliling mereka. Kalau nak makan ikan pergi menebar di sungai, pucuk paku usah cakaplah, tumbuh subur di tebing-tebing sungainya.

Mak gembira bila tengok anak-anaknya makan dengan berselera. Dia bersyukur kerana hari ini masih ada lagi rezeki baginya dan anak-anak, sebelum lambat-lambat mak menyuapkan nasi ke mulut.

“Dengan izin Allah…mereka takkan kelaparan.” bisiknya gembira di dalam hati, tapi cuma seketika sebelum ia diganti dengan perasaan hiba bila teringatkan suaminya pula.

“Kenapa awak nak kesenangan dengan cara yang salah? Kenapa tak nak minta dengan Allah…” rintihnya pedih, serentak airmatanya rasa bergenang.

 

Safi duduk bersandar di dinding sebelum mencapai nota ringkasan yang ditulis sendiri dengan tangan, untuk menambahkan pemahaman dan mengemaskini hafalan. Berbekalkan cahaya lampu dari ruang dapur dia menelaah apa yang telah disedia. Terangguk-angguk kepalanya mencerminkan ketekunan sambil mulut terkumat-kamit melancarkan. Agak lama dia berkeadaan begitu sehinggalah dia jadi pasti segala yang diperlukan sudah ada tersimpan di dalam kotak fikiran.

Keadaan rumah yang sunyi sepi menimbulkan ketenangan, kerana keadaan seperti itu hanya datang bila malam menghuni, waktu yang sangat sesuai untuk memuhasabah diri.

“Apa yang perlu dia lakukan lagi? Dan apa pula kelemahan yang perlu dia perbaiki?” soalnya pada diri sendiri sebelum peristiwa yang berlaku seminggu sudah mucul dengan sendiri. Peristiwa di mana abah buat mak dan angah menumpahkan hujan air mata…lagi.

 

Kepulangan angah disambut dengan permintaan yang sukar untuk angah tunaikan kerana dia langsung tak menyangka apa yang menantinya.

“Duit pinjaman angah dah masuk kan? Boleh abah pinjam 500? Nak guna buat modal minggu depan. Abah nak ke Melaka.” pinta abah tanpa langsung ada rasa bersalah. Angah hanya mampu membisu sambil menggarau-garu dagu.

“Nanti kalau dah jadi benda tu senanglah kita semua. Abah dah pernah tengok ada yang dapat! Haritu Mak Leha dah tunjuk pada abah duit yang mereka buat dengan kumpulan yang lain dulu. Tak jadi, kabur tulisannya sebab ada yang bengkok akal, ada yang simpan niat tak baik dalam hati, sebab tulah tak jadi, tapi kali ni rasanya boleh berjaya, sebab Mak Lela kata dia yakin dengan kumpulan abah ni, itu yang abah nak cuba sangat. Angah dulukan ya.” tambah abah tanpa berfikir panjang, meminta angah dulukan duit pinjaman JPAnya untuk buat ‘modal kerja’.

“Mak Leha kata dia dah jumpa dengan tok guru yang dapat buat benda tu. Angah tak payahlah risau, tak lama nanti kita dapat semua, bukan modalnya je, dengan untungnya sekali. Banyak tu kalau berjaya nanti.” pujuk abah lagi dengan senyuman yang sampai nampak gigi, menandakan kesenangan hati, namun angah hanya terdiam dan membisu sebelum matanya tertumpu pada wajah mak yang jelas tak setuju dengan permintaan suaminya itu.

“500 abah?” tutur angah tak percaya, kerana jumlah itu sudah hampir bersamaan dengan separuh daripada baki pinjaman pelajaran setelah ditolak yuran dan kos-kos yang lainnya.

“Ha, 500, nanti bila dah berjaya abah pulangkanlah balik. Boleh?” soalnya semula kekal tersenyum, taktik memujuk yang biasanya mampu mencairkan hati sesiapa. Tanpa langsung ada terdetik rasa bersalah abah menanti, tapi tak lama sebelum wajahnya berubah bila terlihat alis mak dan angah yang jelas berkerut tak selesa, atau lebih tepat lagi tak mahu menunaikan permintaannya.

“Tapi abah…” belumpun sempat angah membalas, abah dah mula merentus marah.

“Kalau tak nak bagi, takpa! Tapi ingat! Kalau dah berjaya nanti, jangan haraplah kalian dapat sesen pun duit tu. Tengok ajelah nanti!” bentak abah sebelum mencapai baju kemeja lusuh yang tersangkut di dinding.

Baju di sarung dengan perasaan marah. Marahkan angah yang tak mengerti usahanya untuk mengubah nasib keluarga. Juga marahkan mak yang langsung tak berusaha untuk memujuk angah. Berderak-derak bunyi jeritan lantai papan rumah bila dipijak kaki kasar abah.

“Takpa, kalau tak nak bagi takpa, kalian tengokjelah nanti!” tambahnya sebelum bergegas pergi, meninggalkan rumah yang dirasakan telah hilang kedamaian. Safi tengok mak dan angah hanya mampu mengalirkan air mata. Man dan Ina pula, masih terlopong dibuatnya.

“Abah memang tak pernah fikirkan perasaan orang lain...” bisik Safi sambil menggeleng-gelengkan kepala perlahan, kesal dengan apa yang baru terjadi. Dia kenal sangat dengan sikap abah. Semua yang abah hajati perlulah dipatuhi. Kalau tak dapat mulalah mengamuk, memuncung ke sana, ke sini. Pantang ada sesiapa yang silap, pasti akan dimaki.

Mangsa yang paling mudah seharusnya mak nanti. Bila mak tanya haram dijawabnya, buat mak macam tak wujud. Safi tahu mak sedih, sebab dia selalu nampak mak menangis bila bersendiri. Ingin dibantu, tapi dia sendiri tak tahu bagaimanakah cara untuk dia…membantu.

 

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.