Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 2

Perut yang terasa mula berkeroncong, sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya saat itu, tapi itu cuma sedikit, kerana gangguan terbesar bagi dirinya kini datang daripada bisikan adik-adiknya yang ada duduk berlunjur bersama.

“Hari ni hari Sabtu, sekejap-sekejap je dah sampai cuti hujung minggu lagi…” bisik angah di dalam hati sambil mata sesekali dialihkan ke jalan mengarah rumah, tetap setia menanti kepulangan mak dan abah.

“Angah, angah tak lapar? Bila mak nak balik? Mak balik lambat lagi ke?” soal Man, sambil menyental-nyental kulit perut lisut yang terdedah tak berbaju.

“Kenapa? Man dah lapar sangat ke? Tapi kita tak ada benda nak buat masak. Tepung dengan beras dah habis, tunggulah kejap lagi, sekejap-kejap lagi mesti mak balik.” balasnya sebelum menepuk belakang Man lembut. Angah tahu adik-adiknya masih terlalu muda untuk memahami keadaan keluarga mereka yang ibarat kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang itu. Ateh baru 10 tahun, Usop, 7, Safi belumpun sampai 5 tahun usianya, Man dan Ina lagilah kecil, baru 3 dan 2 tahun.

“Angah…betul ke tak ada apa yang boleh buat masak?” soal Safi pula, dah tak tahan menahan lapar. Ateh pelajar darjah 4, segera mengulang semula ke kawasan dapur yang sudah usang sebelum membuka bekas beras yang terasa sangat ringan di tangan, sampai dah boleh ditolak ke kiri dan kanan kerana hasilnya sepadan, beras yang ada hanya muat untuk satu genggaman dan dengan rasa kecewa, bekas beras ditutup semula, sebelum dia kembali ke tempat duduknya tadi, mata tangga kayu yang paling atas.

“Dah tak ada kan?” soal angah pada Ateh yang baru duduk, dan serentak dengan itu Ateh menganggukkan kepalanya.

“Entah kenapalah Mat tak sampai-sampai lagi. Biasanya waktu tengah hari mesti dia hantarkan barang-barang untuk dimasak, tapi sekarang dah dekat nak Asar…entah kemana perginya entah.” ngomel Angah curiga, kerana perkara seperti itu jarang benar berlaku.

“Entah-entah, basikal mak rosak lagi tak? Tak ingat masa dulu, waktu basikal mak tak boleh gerak, masa tupun Mat tak hantar lauk tengah hari sebab dia malas nak jalan kaki, ingat tak?” soal Angah pada Ateh, dan Ateh hanya menjongketkan bahu, tak tahu, malas nak membuat andaian, juga  bertujuan untuk mengurangkan sedikit perbualan.

“Jom kita tengok buku respi mak nak?” cadang Angah untuk mengisi masa terluang, selebihnya bagi mengalihkan sedikit rasa kelaparan yang semakin lama semakin mencengkam di dada kerana kali terakhir mereka makan adalah pada waktu sarapan, itupun berlaukkan ubi rebus dicicah dengan sedikit kuah gulai ayam yang ada bersisa semalam.

Safi, Man dan Ina segera duduk di dalam kumpulan, tak mahu ketinggalan bermain dengan buku resepi kesayangan mak, buku yang mak tak suka mereka mengusiknya, itu kalau mak ada, kalau mak tak ada? Itu…namanya biasa.

“Nak nak, nak tengok!” tutur Safi, Man dan Ina kalut, sama-sama berebut. Permandangan yang biasa dilihat, betul-betul serabut, bisik Ateh di dalam hati, tapi diri sendiri tak mahu ketinggalan untuk mengulangkaji isi. Usop yang sedari tadi menjauh turut sama tertarik hati dan dalam sekelip mata buku yang sudah hampir tertanggal bahagian kulit luarnya itu, diterokai bersama.

“Nak yang ni!” teriak Safi, Man dan Ina sambil tangan pantas sahaja mendarat pada gambar puding buah yang nampak sangat lazat di mata, walaupun hanya gambar semata-mata, sebelum menyuapkannya ke mulut. Permainan mereka, biarpun nampak macam gila, tapi itu sudah cukup untuk  menerbitkan bahagia. Angah, Ateh dan Usop riang melihatnya, gembira bila ada yang dah mula ketawa.

“Dah, dah, biar Angah bukak muka surat yang kedepan pulak.” pinta angah pada adik-adiknya yang dilihat masih beraksi menyuapkan makanan ke mulut sendiri, berpura-pura makan dengan senang hati.

“Emm, nyam-nyam…” tutur Safi, Man dan Ina, ceria.

“Ok, lauk yang seterusnya…” ucap angah sambil memandang setiap wajah yang ada, sebelum muka surat kedua dibuka sepantasnya. Apa lagi, kali ni Ateh dan Usop pun tumpang sekaki, tak mahu tercicir dalam permainan, dan begitulah keadaannya, berulang dan terus berulang. Terjerit-jerit Man dan Ina kerana sekarang diri dilihat semakin kurang peluang, tapi mungkin lebih baik begitu… daripada mereka menyusahkan orang.

 

Safi terdongak-dongak memeriksa pokok manggis tua yang ada tak jauh daripada rumah, daripada satu sisi, satu sisi pokok itu diperhati sebelum dia akhirnya hampa sendiri. Sesekali selipar jepun pinjam milik Ateh itu tersadung pada akar manggis yang timbul di permukaan tanah dan setiap kali berlaku, hatinya rasa tak selesa dan bergerutu. Saiz selipar yang dua kali ganda saiz kakinya sedikit sebanyak mengganggu langkahan kaki untuk bergerak sehendak hati.

“Safi, ada ke buah manggisnya?” soal Man pada Safi bila dia juga gagal mencari. Ina hanya mampu melihat pada keduanya dengan mulut yang ternganga, tak tahu apa-apa, yang dia tahu hanya menunggu sahaja.

“Tak ada lah, dah habis dah yang rendah. Kalau ada pun, tu nampak, tu yang ada kat hujung dahan tu, tinggi sangat, macam mana nak ambik? Nak jolok dengan galah pun tak sampai.” terangnya sambil masih lagi berjalan mengelilingi batang pokok manggis tersebut, sedang mata meliar mencari habuan mudah, buah-buah yang jatuh ke tanah. Sambil berjalan, kaki digerakkan ke kiri dan kanan untuk memeriksa timbunan daun-daun yang banyak berguguran, manalah tahu kalau dah rezeki, dan nampaknya umur dia memang ada panjang lagi.

“Ha, ada! Ada jumpa sebiji!” tutur Safi hampir terjerit, gembira dengan hasil usahanya.

“Mana-mana? Nak-nak!” tutur Man dan Ina yang rasa gembira tak terkata. Tanpa menunggu lama, kedua-duanya mengerumuni Safi, minta berkongsi.

“Safi ada berapa?” soal Man pula.

“Apa?” balas Safi segara.

“Isi dia, ada berapa?” tambah Man lagi.

“Ooo…kejap Safi tengok dulu.” ucap Safi sebelum memeriksa bahagian ekor manggis berkenaan, kerana biasanya jumlah isi bersamaan dengan bilangan corak sisi yang ada di bahagian buntutnya, biasanyalah.

“Ada…enam, semuanya ada enam. Bolehlah dapat dua sorang. Jom kita tengok betul ke tak.” tambahnya lagi sebelum mengepikkan tangan yang memegang manggis ke celah kedua-dua belah lutut, minta bantuan sokongan, kerana tenaganya belum mencapai tahap yang diperlukan.

“Ha, nampak! Ada enam. Betullah ada enam, sorang dapat dua. Nah ambil dua sorang.” tuturnya sambil mengagihkan rezeki yang diperolehi.

Angah yang kebetulan mahu mencuci baju di sungai, dapat melihat kegiatan yang adik-adiknya lakukan, dan serentak dengan itu dia teringatkan apa yang mak pesan.

“Kalian buat apa tu ha? Kenapa main kat bawah tu? Dah dah balik!” arahnya sambil sebelah tangan mencekak pinggang dan sebelah lagi memegang baldi kain yang sarat dengan muatan, sengaja buat-buat garang, supaya tak dipandang rendah orang.

“Sekejap la…sekejap lagi kami balik!” balas Safi, ketua operasi.

“Sekejap, sekejap, daripada tadi angah tengok kat situ, meresap-resap. Kan mak dah pesan jangan main kat semak tu, tak ingat? Entah ada ular ke, lipan ke, kala jengking ke kat bawah daun-daun tu, mana kalian tahu! Dah dah, balik!” arahnya lagi lebih tegas daripada tadi.

“Kejap la, sekejap je lagi.” tutur Man pula, tersenyum, sengaja buat muka comel sambil mengangkat-angkat tangan, minta kebenaran. Ina pun tak ketinggalan tersengih sakan menampakkan tunggul-tunggul batang gigi yang sudah banyak rosak dan kehitaman.

“Ok, sekejap je lagi! Angah bagi sekejap je lagi, tapi sebelum angah siap basuh baju, angah nak tengok kalian dah ada kat rumah. Nanti kalau angah tengok kalian kat situ lagi, siaplah!” balas angah tegas dengan nada mengugut, kerana dah tak ada cara lain dah, sebab dia tahu adik-adiknya tu memang susah sangat nak ditegah.

  

Selesai menghabiskan manggis atau mungkin disebabkan baru makan benda manis, Safi dan Man mula rasa makin lapar. Sambil-sambil duduk berlunjur di atas tanah mereka saling berbalas pandang, bila idea baru tiba-tiba datang.

“Man tak lapar ke?” soal Safi memulakan.

“Lapar, mestilah lapar. Pagi tadi kan makan cengkodok, itupun dapat sikit je sebab Usop harini, dia makan banyak. Dia makan yang Man punya.” balas Man mengadu sambil termuncung-muncung bibir menceritakan.

“Usop memang macam tu, haritu Safi ingat lagi, dia pun ambik goreng pisang Safi, entah apa-apa. Perangai dia memang macam tu, suka sangat ambil apa yang orang punya.” balas Safi turut meluahkan isi, berteman kerutan di dahi tanda tak rela hati.

“Man, jom kita masak nak?” tutur Safi mencadangkan.

“Nak-nak, tapi kita nak masak apa?” balasnya pula sambil melibas-libaskan tangan ke arah muka, bagi menghalau kawanan nyamuk-nyamuk liar yang sedang berusaha mendapatkan sarapan, serentak Safi mengarahkan pandangan pada punca sumber makanan yang ada berdekatan, pokok-pokok ubi kayu yang ada berderetan.

 

“Ya-Allah…apa yang kalian…”

“Ya-Allah apa yang kalian buat ni ha?” ucap angah sambil ternganga sesampainya ke atas rumah selesai kerja-kerja pembersihan, hampir terlompat Safi, Man dan Ina dibuatnya kerana kerja mereka masih belum selesai.

“La ilahaillallah, muhammadulrasulullah…kat mana kalian dapat ubi ni? Kalian cabut pokok ubi mak ya?” tuturnya sambil mencekak pinggang.

“Kan ke kecik lagi ni, baru besar jari! Ha, lantak kalian la, nanti kalau Mak tanya, kalian jawap la sendiri!” ngomel angah marah, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya tak percaya.

“Tapi, kan dah ada isi ni.” balas Safi sambil menyuakan tangan yang masih lagi berusaha untuk membuka kulit yang melekat pada isi ubi.

“Ada apanya! Baru besar jari, kan ke mak baru lagi tanam ubi tu, kalian dah menggalinya. Nanti kalau mak tanya, nak jawap apa?” balas angah masih tegang, pening kepala dengan kelakuan adik-adiknya, setelah sedar, nanti dia juga yang akan kena. Dileter kerana tak menengok adik-adik, tapi hakikatnya memang tak tertengoklah kalau ada adik-adik yang perangai macam ni, gerutunya sendiri.

“Tapi, orang lapar…” balas Man yang tetap duduk mencangkung di sebelah Safi.

“Lapar apanya lagi, kan dah makan cengkodok pagi tadi.” balas angah sedikit tak puas hati, tapi sedih tu ada bila mengetahui puncanya.

“Mana, dapat makan sikit je tadi, dapat makan lima bijik je, sebab Usop mintak nak makan yang Man punya.” jawapnya mengadu, serentak angah melepaskan keluhan yang berat, sarat dengan kekesalan kerana bukan tak biasa, dah selalu sangat begitu. Usop kalau makan, memang tak ambil kisah tentang hak orang lain. Bila ditegur dia membentak, lepastu kalau berjalan nanti, mulalah menghentak-hentak.

“Angah, nanti lepas kami goreng ubi ni, angah tolong kami boleh?” soal Safi minta bantuan.

“Taknak! Angah tak nak tolong!” balas angah tegas. Tak mahu menggalakkan, paling penting tak nak melibatkan diri dalam perbuatan.

“Angah…tolonglah…tolong sekali ni je, sekali je.”

“Tolong masakkan ubi ni dengan lada dengan gula, kami tak pandai nak buat. Tolonglah ya?” rayu Safi dengan mata tepat memandang ke arah angah yang kekal tercegat, masih sukar mempercayai apa yang dilihat.

“Takk…nak! Angah taknak! Kalau kalian nak buat, kalian buat, angah tak nak terlibat.” balas angah sebelum bertindak meninggalkan adik-adiknya itu, dah malas nak menambah-nambah, paling teruk, bila mak tahu apa yang jadi, nama dia mesti akan naik sekali dan dia tak suka perkara macam tu jadi, sebab dia paling tak suka tengok mak marah, bukannya seronok pun.

“Angah…” tutur Safi, Man dan Ina serentak, merayu dengan suara yang mendayu-dayu, tapi nampaknya langsung tak dilayan oleh kakaknya itu, kerana angah betul-betul meninggalkan mereka di situ, sebelum ketiga-tiganya mula mati kutu sambil menggaru-garu dagu.

“Safi macam mana? Dah tu nak buat macam mana sekarang?” soal Man tak tahu, sedang Ina terus bangun dan beredar bila dah mula rasa takut.

“Ina nak pergi mana tu?” soal Safi tadkala melihat gelagat adiknya yang bongsu, serentak Ina menggeleng-gelengkan kepalanya, dah tak nak melibatkan diri barangkali.

“Teruk betul, Ina ni memang jenis yang tak boleh percaya!”

“Entah apa-apa entah, tadi dia yang beriya-iya mintak cari banyak-banyak, dah tu sekarang, dia pulak yang hilang…ha, Man jangan ikut Ina, tak ingat ke tadi? Man yang kata Man lapar, sekarang jangan nak lari pulak.” tutur Safi mengingatkan, juga merupakan ugutan bila perasaan takut mula terbit di hati, takut dimarahi nanti, dan serentak dengan itu, Man mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan.

 

 “Angah, tolonglah…tolonglah buatkan, tolonglah masakkan ubi ni dengan lada dengan gula, kami tak pandai…” tutur Safi merayu lagi, sambil menggoncang-goncangkan lengan angah perlahan, selesai kerja-kerja penggorengan.

“Hish, kan angah dah cakap angah tak nak. Kalau angah dah cakap tak nak, maksudnya tak naklah!” balas angah tegas sebelum fokus pada pembacaan, mengulangkaji pelajaran bila ada kesempatan.

“Tolonglah…” rayu Safi, tak berhenti.

“Angah tolonglah ya, ya. Tolonglah kami.” tambah Man pula cuba membantu untuk meyakinkan, tapi mungkin dia dah lupa dengan siapa mereka berhadapan, angah, si naga berapi, kalau dah mengamuk, hidungpun boleh keluar api.

“Orang dah kata taknak, taknaklah! Dah pergi sana! Jangan kacau angah nak baca buku!” balas angah tegang sebelum menghempaskan badannya ke atas lantai, masih tak mahu menyerah kalah, paling tak adik-adiknya itu perlu diberikan sedikit pengajaran terlebih dahulu, agar tak mengulangi kesalahan yang sama di masa depan. Memang dia kasihan bila tahu adik-adiknya lapar, tapi kan boleh sabar. Bisiknya di dalam hati, tak mahu dilihat terlalu senang dan dipandang mudah.

“Takpalah, kalau angah tak nak tolong…takpalah. Biarlah kami buat sendiri…” balas Safi yang dah mula kecil hati, ditemani rasa sedih yang makin lama makin berkembang, sampai airmata pun dah mula bergenang dan serentak dengan itu, pinggan plastik yang ditatang dibawa semula ke dapur belakang.

Bunyi tapak kaki kecil yang berdedai menjauhi tempat dia berada sedikit sebanyak membuatkan angah berfikir untuk kali yang kedua, perlukah dia jadi setegas itu? Dalam dia berfikir-fikir, bunyi sudip yang berlaga dengan kuali mula menyesakkan hati, bila sedar, adik-adiknya itu dah nekad dengan apa yang dihajat dan tanpa berlengah dia bangkit lalu mendekat.

“Mana? Mana dia ubinya?” tutur angah mengalah, suka atau tak keselamatan adik-adiknya itu perlu diutama. Gula hangat kalau dah dicampur air, panasnya tak payah cakap, silap langkah kulitpun boleh cair. Hal mak tunggu dan tengokjelah, bisiknya sendiri. Melihat keadaan itu, Safi, Man dan Ina terjerit-jerit suka hati kerana betullah apa yang mereka fikirkan selama ni, angah memang seorang yang baik hati.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.