Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 74

Gagang dihampas dengan perasaan marah setelah berita yang tak disukainya itu diterima. Tak bertangguh, dia mencari punca bagi segala permasalahan yang sedang dihadapinya.

“Usop mana? Usop?”

“Arun, cari Usop dan suruh dia datang jumpa saya!” arah ketua di bahagian percukaian, majlis daerah tempat Usop bekerja.

“Baik-baik, nanti saya panggilkan.” balas Arun lantas mencari.

“Sop, bos panggil. Dia suruh masuk jumpa dia.” sampainya.

“Kenapa? Ada apa hal? Apa yang dia tak puas hati kali ni?” soal Usop mula tegang dengan mata buntang.

“Ini mesti sebab kes kilang bata tu. Kan aku dah cakap, jangan kira cukainya, kau tak nak dengar.” jawap Arun pula.

“Lah, dah memang kilang tu patut bayar cukai kan?! Dah apa yang salah? Dah berpuluh tahun, kilang tu ada dekat situ, tapi macam mana langsung tak pernah sekali pun dicukai. Mesabah ke? Bukan kilang kecik, kilang besar. Pekerja pun dah berpuluh-puluh orang, untung? Tak payah cakaplah, berjuta-juta setahun.” bidas Usop kekal tidak berpuas hati.

“Iyalah, tak bayar pada kita, tapi bayar pada dia. Patutlah menggelupur semacam sebab lepas ni dah tak adalah peluang nak dapat duit mudah.”

“Cuba kau pergi tanya dia, berapa tokey kilang tu bayar dia untuk dia tutup sebelah mata.” balas Usop, menjelaskan.

“Gila kau! Tak berani aku! Kalau kau berani, kau pergilah tanya dia.”

“Dahlah, pergi cepat! Kang aku pulak yang kena sekali.” gesa Arun sedang Usop masih malas-malas lagi.

“Sop! Cepatlah pergi! Bukan kau tak tahu angin dia macam mana. Tak kena gaya, terbang kita semua.” tambah Arun sebelum mengambil tempat duduknya pula.

 

“Kan saya dah cakap, jangan kira dan ambil cukai daripada kilang tu. Tapi kenapa awak masih buat juga?” tutur pegawai berkenaan, tak gembira dengan apa yang sedang berlaku.

“Saya cuma ikut undang-undang. Semua premis perniagaan termasuk kilang yang berada dalam daerah ni, wajib membayar cukai dan tak seharusnya ada yang dikecualikan.” jawap Usop kekal dengan pendirian.

“Melainkan ada yang menyuap, lepastu sembunyi tangan.” sindirnya pula.

“Oh, sekarang dah pandai?”

“Ingatlah sikit, siapa yang bantu kau dapat kerja ni, kalau bukan aku!”

“Sekarang bila dah senang sikit dah mula lupa asal usul. Kalau tak sebab kerja ni, sampai bila-bila kau dengan keluarga kau masih hidup susah macam dulu, duduk dekat rumah pusaka lama tu.”

“Tu! Rumah taman tu, kalau tak sebab aku, jangan haraplah kau dapat rumah tu. Jadi tolong ingat sikit!” marahnya, mengungkit lagi.

“Ah! Dah panjang sangat dah tu abang cakap.”

“Isu kita tentang kilang yang dah berpuluh tahun tak dicukai, yang abang makan komisyennya bulan-bulan. Ini pokoknya! Yang abang nak mengungkit tentang kerja saya dengan rumah tu pulak kenapa? Saya yang membayarnya! Dah? Sibuk apa?” jawap Usop berbalas rasa.

“Apa ingat saya tak tahu? Abang ambik duit dia kan? Berapa dia bayar? 5 ribu ke 6 ribu? Memang berbaloi sangatlah macam tu, dapat untung atas angin.”

“Makin besar kepala kau sekarang?! Hei, kalau kau tak puas hati dengan aku, baik kau berhenti!”

“Kalau tak disebabkan mak kau, dan memikirkan tentang hubungan keluarga kita, jangan haraplah aku bantu kau untuk dapat kerja ni dulu. Hanya disebabkan dia dengan Kak Ainun, kakak saudara kau tu, isteri aku, aku setuju untuk bantu, tapi tak sangka, macam ni cara kau balas aku.”

“Aku cabar kau, kalau dah hebat sangat…berhenti!” Usop makin panas hati dan bertambah benci.

 

“Abah, Usop dah berhenti!” tuturnya pada abah yang sedang bertenggek di akar kayu, tempat biasa dia mengambil angin.

“Dah berhenti? Tapi kenapa? Kenapa Usop berhenti!” balas abah tak dapat mempercayainya.

“Dah malas nak kerja dekat situ. Anak saudara mak tu, tak habis-habis nak cari pasal dengan Usop. Usop buat tu salah, ni salah, ade je yang tak kena!”

“Tapi Usop tahu, dia sebenarnya bukan apa, sakit hati. Tak suka yang Usop buat nilaian cukai pada kilang bata yang sogok dia selama ni.”

“Abah tahu? Dah berpuluh-puluh tahun kilang tu ada dekat situ, tapi, sekali pun tak pernah dicukai. Sebab apa? Sebab kilang tu bayar pada dia.”

“Berapa banyak yang kerajaan negeri rugi. Kalau diikutkan, berpuluh-puluh ribu cukai yang dia kena bayar, tapi disebabkan arahan dia, takada yang berani mengutipnya selama ni. Waktu Usop kerja, habis semua Usop kira. Tu yang dia tak puas hati, sengaja cari salah Usop.”

“Cakap yang Usop tak pandai nak buat kerjalah. Pergi kerja tak pakai baju kemaslah, macam-macam. Dah tak dapat tahan dah Usop ni!”

“Lantaklah! Apa nak jadipun, jadilah!” tutur Usop membela diri, membuatkan abah terlopong sendiri.

“Kalau macam tu, kenapa tak diadu? Buat laporan pada orang atas. Kan lebih elok. Kenapa mesti sampai nak berhenti kerja? Ha, nanti, pinjaman Usop macam mana? Macammana nak bayar?” balas abah mempersoalkan akibat.

“Huh! Lantaklah!” balasnya mudah.

 

“Tadi, abang cik Nor yang kerja menyapu dekat majlis tu ada datang. Dia pesan yang pegawai daerah nak jumpa dengan Usop. Esok dia suruh Usop datang ke pejabat. Usop pergi ya.” tutur mak menyampaikan pesan. Selebihnya dia mahu Usop tak mensia-siakan peluang yang diberikan.

“Malaslah.” balas Usop ringkas tak mahu nak berurusan.

“Janganlah macam tu Usop. Pegawai daerah yang suruh datang. Takpayahlah buat keras kepala macam ni. Nanti Usop nak kerja apa lepasni? Bukannya senang nak kerja dengan kerajaan. Kalau dah dapat tu, bersyukurlah.” tutur mak kekal memujuk. Usop mendengus kuat, tak suka diarah-arah oleh sesiapa.

“Huh! Usop malas mak, dah malas nak ambil tahu tentang semua orang dekat situ. Mak ingat Usop tak rasa malu, bila saudara mak tu mengungkit-ungkit hal Usop pada semua orang dekat tempat kerja?”

“Canang pada semua yang dialah yang bagi Usop kerja. Ni, rumah murah ni katanya, kalau tak sebab dia, jangan haraplah kita dapat merasa. Itu kata dia!”

“Dah tu, mak masih nak suruh Usop bekerja di situ lagi? Fikirlah mak, fikir. Usop dah malas nak ambil tahu lagi dah!” tuturnya melepaskan kemarahan sebelum bangun dan turun ke tanah, meninggalkan mak sendirian.  

 

Selesai tempoh hukuman, Mat kembali semula ke kampung. Sebelumnya Mat tak mahu pulang namun demi mak, dia turutkan juga. Mat tak sampai hati menghampakan mak. Mak nak Mat sentiasa ada di depan mata, macam dulu. Abah layan Mat ala kadar. Mat perasan, namun dia tak boleh nak buat apa kerana dia sedar puncanya dari dirinya sendiri. Dia yang mungkir janji.

 

“Ha, Mat! Dah sampai!” tutur Dr. Hadi, pada Mat yang baru tiba.

“Assalammualaikum…” balas Mat yang sambil membetulkan kotak alatan kerja tangan.

“Waalaikumussalam…masuk-masuk! Khairi masuk sekali. Jom kita minum dulu.” arahnya.

“Kami baru makan tadi Dr. Takpalah kami terus buat kerja.”

“Ha, kalau dah makan, takpa, minum dulu. Takpun makan je lagi sekali. Banyak mak cik kau masak hari ni bila tahu Mat nak datang buat kerja. Kalau tak dimakan kang, ha…merajuk pulak nanti. Mak apa khabar? Sihat?” soalnya pula.

“Alhamdulillah sihat. Tadi mak ada kirim salam pada Dr. dengan…” kata-katanya terhenti seketika sambil memikirkan penggunaan bahasa yang bersesuaian.

“Tak payah berdoktor-doktor Mat! Panggil pak cik! Mak Mat tu saudara angkat dengan mak ciknya. Sekolah pun sama dulu. Tak payahlah kita nak beriya-iya sangat.”

“Dahlah, dah lama dah mak cik tu menunggu sampai pak cik ajak makan pun tadi, dia kata nanti.” tambah Dr. Hadi sebelum ketawa sendiri.   

 

Sejak seminggu lepas perangai abah berubah. Semakin baik. Bercakap pun lembut tak macam biasa. Mak jadi tak sedap hati kerana perubahan abah dilihat terlalu berlebihan, seperti sengaja dibuat-buat. Mak hanya ikutkan saja rentaknya, kalau ditanya, takut abah jadi sebaliknya.

“Saya nak beli tanah getah yang Sohor nak jual tu. Luas kebunnya. Pokok pun masih muda. Awak tolong saya pujukkan angah nanti boleh? Pujukkan dia belikan tanah tu untuk saya.” tutur abah dengan senyuman. Syaknya berasas! Baik suaminya memang ada makna! Mak mula tak selesa mendengarnya.

“Dia kan dengar cakap awak. Awak tolonglah saya ya.”

“Dia nak jual murah je tu, RM 40,000. Nanti, kalau angah dah beli tanah tu, tak payahlah dia bagi saya duit bulan-bulan dah. Saya boleh bergantung dengan hasil jual getah untuk buat belanja. Awak tolonglah cakapkan dengan dia.” pujuk abah lagi, melembutkan gigi . Mak serba salah kerana dia tak mahu susahkan angah.

“Mengapalah sampai nak meminjam-minjam pulak nak buat harta. Awak tak kesian ke dekat anak tu? Dah banyak dia berkorban untuk keluarga, untuk kita, untuk adik-adik. Saya tak sanggup nak susahkan dia.”

“Kalau awak tetap nak, awak cakaplah sendiri dengan dia.” balas mak. Abah mula naik darah. Sia-sia dirasakan usahanya selama berminggu kerana isterinya itu langsung tak termakan umpan.

“Awak tu memang kan! Tak pernah sekali pun nak menyokong saya! Sudahlah kalau awak tak nak tolong!” sergah abah. Motor honda kapcai mata bulat dihidupkan, sebelum bunyinya mengaum meninggalkan mak sendirian dalam kesedihan. Suasana pasar yang sunyi terasa mencengkam di hati setelah sedar diri bakal dipinggirkan lagi.

Mak mengeluh. Air matanya sudah kering menangisi ‘rezeki’ sepanjang tempoh perkahwinannya itu. Sudah berpuluh tahun dia berusaha, tapi hasilnya sama. Perangai kepala angin suaminya itu langsung tak pernah berubah. Betulkah kata orang? Perkahwinan atas dasar paksaan mengundang kesengsaraan yang tak berkesudahan? Sejauh mana lagi dia akan diuji dan sekuat mana lagi dia mampu bertahan? Dia sendiri tak pasti. Serentak kenangan waktu lalu menjelma kembali.

 

“Apa yang kau dah buat Mah?! Kan mak dah pesan, jaga maruah keluarga! Kenapa Mah sanggup malukan mak dengan ayah?” rintih mak dalam tangisan. Ayah hanya mampu duduk berjuntai di tangga dengan kepala tertunduk.

“Apa yang Mah dah buat mak?”

“Apa yang mak cakap ni? Mah tak faham.” soalnya yang baru mencecahkan kaki kerumah, setelah balik bercuti hujung minggu.

“Abang Ngah kau datang kemarin.”

“Dia suruh mak terima pinangan ni. Dia bawakan cincin tandanya sekali. Katanya dia dah terima. Dia terima sebab Mah dah banyak makan duit lelaki tu…”

“Kan dah banyak kali mak pesan, jangan sesekali makan belanja orang. Kenapa Mah tak dengar cakap mak.” tutur mak kecewa sebelum tangisannya menjelma.

“Mana ada Mah buat macam tu mak! Pesan mak tak pernah Mah lupa. Sampai hati Abang Ngah tuduh Mah macam tu!”

“Demi Allah mak, demi Allah! Mah sumpah! Tak pernah sekalipun Mah makan duit lelaki tu. Usahkan makan duit, kenal pun tak. Abang Ngah memang dah melampau!” jawap Mak geram tak menyangka didalam diam, abang iparnya itu merancang untuk menjodohkannya dengan lelaki yang dia sendiri tak pernah mengenalinya, dan yang paling menyakitkan hati, dia difitnah sedemikian rupa. Mah sesal, sesal kerana rancangannya untuk mencari rezeki bakal berakhir sebagai mimpi ngeri.

“Angah kata lagi yang Mah sengaja pindah dari rumah dia untuk duduk dengan kawan-kawan sekilang, sebab Mah nak hidup bebas. Nak hidup ikut suka hati Mah. Boleh keluar, balik, bila-bila Mah suka…”

“Dah tu mak percaya? Mak percaya apa yang Abang Ngah cakap tu?! Mak dah tak percayakan Mah?” soalnya semula. Sebak rasa hatinya dipersoalkan begitu dan serentak itu juga, maknya terdiam.

“Mana tak Mah pindah mak. Mah dah tak tahan dah!”

“Hari ni beli beras, esok pagi bila nak masak, nak bawa bekal, beras dah habis. Setiap kali pun macam tu. Habis diniagakan Abang Ngah. Mah dah tak tahan Mak!”

“Takkanlah sampai kena main sorok-sorok pulak? Kita menumpang. Nanti apa kata orang?”

“Dari tinggal di situ baiklah Mah duduk dengan kawan-kawan sekilang. Senang, masak sama, kongsi belanja sama-sama, lagi jimat.” terangnya. Dia betul-betul terkilan. Abang Ngah sengaja menabur fitnah demi mencapai hasrat untuk menjodohkannya dengan lelaki itu. Mak kekal terdiam, namun dia sedar yang dia telah terlanjur menerimanya.

Timah mati-mati tak mahu dikahwinkan. Hasratnya hanya ada satu, iaitu ingin menjaga mak dan ayah sampai ke akhir usianya. Membina keluarga sendiri? Langsung tak pernah terlintas difikirannya sejak hatinya dipermain-mainkan satu ketika dahulu. Bukannya tiada yang berkenan, cuma dia yang dah malas nak melayan. Di kampung pun ramai yang menyatakan hasrat untuk menyuntingnya, cuma rasanya sudah tiada.

Bila dah jadi macam ni, rasa macam nak lari bawa diri, biar tiada siapa yang dapat mencari, tapi bila fikirkan tentang mak dan ayah, dia jadi tak sampai hati.

“Ya-Allah…apa yang perlu aku buat sekarang…” bisiknya minta pertolongan dari sebaik-baik penolong berteman air mata yang mula bergenang.

 

“Mah, nah! Minum ni!” arah Abang Ngah sambil menyuakan segalas air putih kepada Timah.

“Air apa ni Abang Ngah?” soalnya semula.

“Air buat penguat semangat. Badan Timah tu tak kuat. Nah, bawak minum air ni. Harap-harap, dapat jauh daripada benda-benda yang tak elok nanti.” gesanya lagi dan Timah menerimanya tanpa langsung ada rasa sekelumit curiga mahupun segenggam buruk sangka.

Previous: Bab 73
Next: Bab 75

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.