Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab117b

“Nah, ambil pakai tudung mak ni! Yang ni tudung baru, mak tak pernah pakai pun lagi.” tutur mak yang sudah masuk ke bilik melihat Safi berhias.

“Tak payahlah. Tudung Safi ada. Lagipun…”

“Eee…banyak sangat kelip-kelipnya tu. Safi tak suka dengan yang banyak kilat-kilat ni. Takpalah, mak pakai.” balasnya menolak.

“La, apalah salahnya. Hari ni kan hari istimewa. Kenalah pakai yang cantik-cantik, kalau tak nanti…”

“Kalau tak? Tak jadi?”

“Biarlah mak, kalau tak jadipun takpa. Safi tak kisah.” balas Safi bersahaja sambil mengemaskan letak duduk pembahagi bahagian atas bahu baju kurungnya.

“Eh, Safi ni! Orang ajak berjumpa untuk berkenal-kenal, bukannya nak suruh diputus.”

“Iyalah, kalau dia tak dapat terima macam mana Safi sekarang, tak mungkin dia boleh terima bila kami dah kahwin nanti. Safi nak jadi diri sendiri dan macam nilah Safi. Tak perlulah rasanya nak kena mencantikkan diri semata-mata nak menarik perhatian orang.”

“Kalau ok, teruskan, tapi kalau ko, kita tutup buku.” jawap Safi yang sudah mula memakai tudung merah, warna kegemarannya.

“Ya-Allah! Tudung merah Safi pakai! Dah tak ada ke warna yang lain? Pakailah warna yang lembut-lembut sikit, terkejut dia nanti!”

“Dah dah! Ambik tudung merah jambu mak ni. Ambik pakai, mak dah gosokkannya tadi.”

“Takpa-takpa. Safi nak pakai warna ni. Safi nak tengok, dia lari atau dia duduk nanti.” balas Safi sambil ketawa dan mak dah tak mampu lagi menegahnya.

“Apalah Safi ni. Kalau dia betul-betul lari nanti macam mana?” tutur mak tak mempersetujuinya.

“Biarlah dia lari. Lebih baik dia lari sekarang, daripada dia lari lepas kami dah kahwin nanti.” serentak itu mak menggeleng-gelengkan kepala, sedang Safi makin mekar senyumnya.

“Ikut Safilah. Tapi, nah! Ambik ni, pakai bedak dengan gincu ni!” tutur mak yang sudah menyua perkakasan solekan miliknya.

“Ish! Tak nak! Safi tak nak pakai bedak!”

“Ambiklah pakai!” gesa mak semula.

“Taknak! Mak bukannya tak tahu, selama hari ni, Safi langsung tak pernah pakai bedak. Gincu lagilah!”

“Waktu Safi belajar dulupun Safi tak pernah pakai.”

“Yang dulu tu dululah, tapi ni sekarang. Ambik pakai! Biar nampak berseri sikit. Sini, biar mak tolong pakaikan.” balas mak masih dengan pendiriannya.

“Mak, tak nak! Nanti rasa berminyak!”

“Ish Safi ni, berminyak apanya?! Sini! Biar mak buat!”

“Bibir tu buat macam ni.” ajar mak sambil menunjukkan bentuk di bibir sendiri sebelum kedua-duanya kekal berdongeng tak nak berhenti.

 

“Assalammualaikum…” ucap Puan Zaiton dan Wan serentak, pada mak yang sudah sedia menanti di muka pintu.

“Waalaikumussalam…”

“Alhamdulillah dah sampai dah! Masuk-masuk.” tambah mak selesai bersalaman dan berkucupan.

“Duduk dulu. Sekejap, akak panggilkan Safinya.” balas mak sambil menyusun langkah.

“Safi cepat keluar! Dah sampai dah mereka tu.” bisik mak selesai mencari.

“Dah sampai dah?!”

“Iyalah. Yang Safi duduk lagi dekat situ kenapa, cepatlah keluar!”

“Sekejap-sekejap!”

“Sekejap apanya lagi! Sekarang! Orangnya dah datang!” bisik mak menahan perasaan.

“Iya, tahu! Sekejap, sekejap je lagi.” balas Safi kekal meminta masa.

“Laillahaillallah, budak ni! Ha, sekejap je tau. Sekejap lagi keluar. Nanti cepat datang dapur, tolong mak bawakkan airnya ke depan.” tutur mak berpesan.

“Ok!” balas Safi sebelum menarik nafasnya dalam, sedalam-dalamnya. Mencari kekuatan untuk menguatkan hati dan perasaan.

“Astargfirullah hal adzim…astargfirullah hal adzim…”

“Astargfirullah hal adzim…”

“Laillahailla anta, subhanakainni, kuntuminaszolimin…” bisiknya berulang kali, pinta ketenangan.

 

Kilasan pandangan dihadiahkan sebelum dia memindahkan air daripada teko ke dalam cawan yang sudah tersedia minta diisi. Wan turut melakukan perkara yang sama. Satu kali pandang berlawanan dengan lima kali tunduk. Mak dan Puan Zaiton hanya memerhatikan gelagat keduanya yang nampak masih malu-malu itu.

“Ha, cerita tentang bunga. Banyak bunga akak. Pandai akak jaga.” tutur Puan Zaiton memulakan cerita.

“Akak memang suka bunga. Sejak daripada kecik lagi akak dah minat dengan bunga-bunga ni. Pantang jumpa, mulalah rasa nak mintak sikit benihnya, nak buat tanam.”

“Ada banyak lagi ke pokok bunganya kak?” soal Puan Zaiton pula.

“Adalah jugak. Dekat tingkat atas ada, belakang pun ada lagi. Pantang ada ruang, mesti nak diisi.”

“Boleh akak bawa saya tengok?” balas Puan Zaiton sambil memberi isyarat mata pada mak dan mak tak perlukan masa yang lama untuk memahaminya.

“Ton nak tengok? Iyalah, kalau macam tu, mohlah kita.”

“Kalian berboraklah ya. Kami nak ke belakang.” tutur mak yang sudah mula bangun sambil diikuti Puan Zaiton membuatkan Safi dan Wan terus rasa canggung.

 

Previous: Bab117a
Next: Bab117c

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.