Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 80b

Keadaan di rumah menjadi semakin meruncing dan tak terkawal. Abah menggunakan Mat dan Usop untuk menentang mak. Mak mula dilayan dengan sindiran dan ejekan. Semuanya jasa mulut abah yang suka mengadu-domba, dan disebabkan itu juga, sudah hilang rasa hormat mereka pada mak yang mengandungkan.

“Abah dah semakin melampau! Ada ke patut dia caci arwah atok dan nenek depan Mat. Mat mulalah naik gila. Sengaja dibengkokkan sudu di tangannya tu depan mak lepastu sampai hati dia meludah dalam periuk gulai ikan yang mak masak…” adu mak menyatakan kekesalannya dalam tangisan. Safi yang mendengar nyata terkejut. Tak disangka masalah keluarga menjadi seserius itu. Hati jadi tak keruan bila tangisan mak membuatkan dia tambah kerunsingan.

“Mak dah tak tahu nak buat apa lagi Safi…”

“Mak dengan Ina berkurung dalam bilik bila mereka ada, kami tak berani nak keluar. Kami takut!” tambah mak lagi. Safi menarik nafas panjang. Apalah dugaan Allah pada mak. Dah bersusah-payah membesarkan anak-anak, sekarang dia sendiri diperkotak-katikkan sebegitu. Mat dan Usop memang tak berakal! Gerutunya berteman hati yang mula rasa terbakar.

“Haritu mak dengar, masa mereka berborak dalam bilik, Mat marah-marah, dia kata baik parangkan je mak ni, semuanya sebab mereka salahkan mak.”

“Mereka tuduh mak yang sengaja hasut angah supaya tak beli tanah tu. Mereka kata, mak sengaja tak nak tengok abah senang. Sampai hati mereka tuduh mak macam tu…” tangisan mak makin menjadi-jadi. Safi mula sakit hati. Dia mula salahkan abah. Kalau abah tak beriya-iya nakkan tanah berkenaan, keadaan tak akan jadi seteruk itu.

“Tadi mak dengar Mat merapu lagi! Dia kata nak simbahkan asid pada mak. Kami takut Safi…”

“Ya-Allah…” balas Safi minta pertolongan.

“Mak takut kalau dia betul-betul buat apa yang dia cakap. Mak nampak ada botol kaca sengaja ditinggal dekat pintu depan tu. Mak cepat-cepat ambil masa mereka keluar, mak buang dan gantikan dengan air.” terang mak. Safi mula mengetap gigi. Kalaulah Mat dan Usop ada di depan matanya ketika itu, pasti sudah lumat dikerjakan.

“Kenapa boleh jadi sampai macam ni? Yang buat perangai macam orang tak ada otak tu kenapa? Tak ingat tuhan ke?”

“Takpalah mak, nanti Safi bincang dengan angah. Mak sabar dulu ya. Jangan buat apa-apa. Minggu depan baru habis periksa, lepastu Safi dah mula cuti. Nanti Safi balik, biar Safi selesaikan. Kita tengok macam mana nanti. Kalau mak nak pindah, nanti kita usahakan sama-sama.”

“Apa gunanya lagi duduk sebumbung, kalau asyik menyakitkan satu sama lain. Menambahkan dosa adalah. Tapi, nanti, biar Safi bincang dengan angah dulu. Apa-apa nanti Safi telifon, bagitahu mak balik.”

“Mak jaga diri tau. Kalau ada apa-apa jadi, telifon Safi. Kalau tidur jangan lupa kunci pintu.” pesan Safi sebelum perbualan dihentikan.

 

“Sampai hati awak buruk-burukkan mak bapa saya depan anak-anak! Awak tuduh mak saya mati dalam tandaslah, tak sempat sembahyang la, sedang awak sendiri yang menghantarnya ke hospital Subuh tu. Awak saksinya!”

“Kenapa awak bohong?! Awak dah lupa jasa orang tua tu menjaga anak-anak awak masa kecil? Awak dah lupa ke?” tutur mak geram sewaktu mereka hanya ada berdua di rumah. Ina ke rumah kawan, buat kerja sekolah, manakala Mat dan Usop juga tiada.

“Awak kata mak bapa saya tak ada harta? Apa awak lupa? Selama ni, tu tanah kampung yang awak duduk untuk besarkan anak-anak, tanah siapa? Tanah kebun getah yang awak toreh dan dapat hasilnya tu, mana datangnya?!” tambah mak lagi. Hal itu harus diselesaikan. Abah mula hilang sabar, serentak itu, bahagian bawah dagu mak dicekup kasar.

“Lepaslah!” marah mak sambil berusaha menolak tangan abah, bila serangan mula membuatkan dia rasa kelemasan. Namun, abah seperti telah kerasukan Syaitan. Kata-kata mak langsung tak diendahkan, malah semakin kuat cengkaman di tangan.

“Sakit!” marah mak bergabung dengan jelingan tajam abah. Buat seketika kedua-duanya kekal bertahan, sebelum abah akhirnya menolak tubuh mak jauh darinya. Disebabkan tolakan kasar itu, tubuh mak terdorong kuat kebelakang dan mujurlah dia sempat berpegang pada kayu jenang pintu, kalau tak pasti kepalanya sudah terhentak di situ. Sambil terduduk, tangannya memegang bahagian dagu yang terasa sakit.

“Awak memang dah melampau!” jerit mak, sebelum bangun dan bersiap ala kadar. Dia tahu, dia perlu segera keluar dan mencari perlindungan.

 

“Kalau macam tu keadaannya kak, saya rasa baik akak pindah keluar dari situ dulu. Saya takut perkara yang tak baik terjadi.”

“Tapi tuan, saya tak tahu nak ke mana lagi. Anak-anak tak ada, yang tinggal semua menyebelahi abahnya. Saya dah tak tahu nak buat apa lagi tuan.” adu mak. Pegawai polis di hadapannya nyata terkejut. Dia mengenali keduanya agak rapat dan tak disangka keadaan seperti itu akan terjadi.

“Okey. Kalau macam tu, akak ambil no telifon ni. Kalau ada apa-apa jadi lepas ni, akak cepat-cepat telifon balai. Kalau tidur, jangan lupa kunci pintu.” arah pegawai polis tersebut, sambil menghulurkan kertas yang tertera nombor telifon balai untuk tujuan kecemasan.

“Terima kasih tuan.” balas mak menghargai kerjasama yang diberikan.

 

Malam tu, mak tidur dengan penuh ketakutan. Dia bimbang mereka akan diapa-apakan. Rumah yang diharapkan dapat melindunginya daripada panas dan hujan, rupa-rupanya bertukar menjadi neraka dunia ciptaan abah, suami yang dikahwininya, yang sudah melupakan tuhan. Tiba-tiba, mak teringatkan kata-kata arwah pak ciknya lama dulu, sebelum dia berkahwin dengan abah.

 

“Mah…tak baik keturunanya tu! Kenapalah tak dicari orang kita? Senang, tahu asal usulnya. Macam mana Mah boleh kenal dengan dia?”

“Hati manusia, bukan boleh kita boleh duga. Pak cik takut Mah tak bahagia nanti.” ujarnya bimbang.

“Bukannya Mah yang pilih pak. Abang Ngah tu yang pandai-pandai menerima! Dibuatnya kita ni macam anak dia.”

“Kak Ngah pun menyokong sama. Dicanangnya pada mak yang Mah dah banyak makan belanja lelaki tu. Mak yang tak tahu apa-apa percaya. Cincin tanda tu terpaksa Mak ambil juga.” jawab Timah, serentak itu, pak ciknya terus terdiam.

 

Sekarang mak seperti sudah menyesali tindakannya mengahwini suaminya itu. Kata-kata pak ciknya itu seperti ada kebenarannya. Setelah lebih 30 tahun hidup bersama, suaminya itu masih dengan perangai lamanya. Tak pernah berusaha untuk berubah. Hidupnya sengsara, dari dulu hingga kini. Dalam tak sedar dia menitiskan air mata lagi…dan lagi.

“Makkk…”

“Ayahhh…” rayunya sayu. Wajah mak dan ayah jelas di hadapan mata. Terasa baru samalam, dan kenangan terhadap keduanya tak pernah terpadam. Wajah mak dan ayah yang tersenyum padanya terasa mengubat hati yang dijeruk duka. Dia sedar dia sudah ditinggalkan sebatang kara dan kini, tiada tempat lagi baginya untuk mencurah rasa.

 

Previous: Bab 80a
Next: Bab 81

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.