Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 93a

Semakin hari, pertuturan angah jadi makin terganggu. Bila dia perlukan sesuatu, angah perlu fikir lebih dan lebih lama berbanding sebelumnya. Bila ditanya, angah juga perlukan masa lebih panjang untuk menjawapnya. Mujurlah Safi pernah hidup serumah dengan angah sewaktu belajar dahulu, dan dia fasih benar dengan gerak-geri angah. Melalui lirikan mata sahaja dia sudah tahu apa yang angah inginkan.

“Safi…”

“...tolong…”

“...tolong angah.”

“Handbag angah tadi, mana?”

“Tolong ambik handbag angah.”

“Angah…”

“Angah, nak tengok telefon.” tuturnya setelah lama menyusun kata.

“Kejap, tapi tadi bukan angah dah angkut bawak masuk bilik ke?” jawap Safi pula sebelum segera mencari.

“Ha? A’alah,..angah lupa.” balasnya.

 

“Safi…” ucap angah sambil menoleh ke kanan dan ke kiri sebelum meraba-raba kawasan bawah sofa berhampiran dengan batang kaki, mencari cawan yang sudah dihabiskan isi.

“Angah nak air?” soal Safi, sudah dapat meneka apa yang angah perlukan.

“Hmm. Boleh ambikkan angah air?” soalnya pula, meminta pertolongan daripada yang lebih mempunyai upaya dan seperti biasa, Safi segera memenuhi apa yang angah hajatkan.

 

“Safi…” belumpun sempat angah meneruskan Safi dah memberikan jawapan.

“Ha! Ni mesti dah nak tidur kan? Eeee angah ni! Kan baru lagi lepas makan?” pintas Safi setelah melihat angah seperti mula bosan pada tontonan. Mendengarnya angah segera mencebik pula.

“Dah la, dah. Kalau nak tido, jom kita tidur. Tapi jangan terlajak sampai Asar macam semalam sudahlah. Berat kepala, rasa macam bodoh pun ada.” tambah Safi sebelum kedua-duanya ketawa. Safi segera bangkit lalu bergegas membantu angah untuk bangun.

 

“Safi…” panggil angah tak berapa lama kemudian, mengejutkan Safi yang sudah terlayang buat beberapa ketika.

“Ha?! Kenapa?” soal Safi yang sudah terduduk sambil menguap dan menutup mulut.

“Angah…”

“Angah nak pergi tandas?” soal Safi lagi setelah melihat riak wajah angah yang kurang selesa.

“Hmm.” tutur angah sambil menekan depan badan.

 

Rawatan kimoterapi angah bermula di tempat kerja lamanya, tempat yang banyak menyumbang bakti padanya, tempat dia belajar segala-gala. Tentang cara menguruskan manusia dan pengurusan tekanan juga. Tak ketinggalan tempat dia berkawan dan berteman.

Ketika berita kehadiran angah di sana disebarkan oleh Imah, ramai yang ternanti-nanti saat pertemua semula dengan angah, daripada pihak atasan sampailah ke mak cik yang bekerja di bahagian pembersihan. Semuanya rapat dengan angah kerana angah memang jenis yang suka berkawan. Kalau tak berbual pun dia biasanya akan menghadiahkan senyuman juga anggukan.

Safi nampak betapa banyak angah dihargai di situ dan dia sangat gembira melihat keadaan itu. Walaupun angah kelihatan sangat tegas di rumah, tapi sebaliknya dia sangat bertimbang rasa di luar. Ceria dan lebih banyak senyum serta ketawa.

 

Suasana matahari terbenam dapat disaksikan dari kaca tingkap yang luas. Cahayanya rasa sayu, suram, sebelum beransur-ansur kelam. Angah menikmati permandangan yang sangat dirinduinya itu. Tenang lagi menenangkan. Namun ketenangannya diganggu dengan bisikan yang berada jauh di lubuk hati. Safi seperti dapat mengerti akan gerakan tubuh badan yang angah pamerkan.

“Angah? Angah takut ke nak buat kimo?” soalnya tadkala melihat wajah memendam angah.

“Bukan takut…”

“...cuma…”

“Angah rasa…”

“...nak cuba pergi dulu ke Melaka.”

“Pergi tempat yang Pak Wan…”

“Tempat yang dia suruh pergi tu dulu.”

“Nak cuba cara lain dulu…sebelum buat kimo.”

“Kimo ni Safi…”

“...sebenarnya bahaya.”

“Dalam kita nak bunuh sel kenser…”

“...sel yang baik pun, mati sekali.”

“Risikonya…”

“Tinggi…” tutur angah menyatakan pendiriannya sekali lagi.

“Nak pergi Melaka? Tapi kita nak pergi naik apa? Safi tak pandai bawak kereta. Tapi, kan esok dah nak mula. Dahtu macam mana?” soal Safi bercampur-baur diantara setuju dengan tidak. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia membawa angah ke tempat yang ingin dia pergi. Tapi…

“Hish…stressnya…” rintih Safi di dalam hati, namun tekanan itu segera pergi saat terpandangkan senyuman yang angah hadiahkan di pipi.

“Takpalah…angah cakap je.”

“Safi…angah ngantuk la.”

“Boleh tak kalau angah nak tidur kejap.” tutur angah meminta.

“Tidurlah. Takpa, biar Safi jaga.” balas Safi sambil di dalam hati masih memikirkan cara untuk memenuhi apa yang angah ingini.

“Nak pergi Melaka? Tapi macam mana?”

“Takpa, baik tanya Man!” bisiknya setelah memikirkan penyelesaian.

 

“Man, angah mintak nak pergi ke Melaka. Nak cuba berubat dengan ustaz dekat sana. Dah tu macam mana?” tutur Safi di atas tangga kecemasan, tempat terbaik untuk melakukan panggilan.

“Ha? Ke Melaka?! Kan esok dah nak buat kimo.”

“Takpayahlah! Lagipun esok Man kerja!” balas Man sedikit tegang, tak dapat nak mempersetujui, membuatkan Safi terus tak jadi mahu bercerita dengan panjang lebar lagi.

 

Sesi pertama kimoterapi berjalan seperti yang dirancang. Fizah, Cen dan Imah sanggup menunggu seharian demi menemankan angah melalui detik pertama rawatannya. Selesai beberapa hari setelah berkimo, angah dibenarkan untuk pulang.

“Angah, nak makan apa pagi ni?” soalnya pada angah yang sedang duduk berlunjur di tuang tamu.

“Entahlah? Apa yang ada?” soalnya pula.

“Roti, tepung pun ada. Angah nak makan cengkodok ke roti telur? Ke angah nak makan nasi?” soal Safi semula, memberikan pilihan.

“Makan roti telur jelah.”

“Lagipun angah, tak ada selera sangat nak makan…” balas angah sambil tersenyum. Safi memahaminya kerana dia menyaksikan sendiri keadaan angah. Angah dah tak berselera seperti dahulu. Kalau makan pun biasanya hanya beberapa suapan atau kunyahan, kesan daripada tali perut yang telah terlalu banyak dibuangkan sehingga langsung tiada masa untuk penyimpanan dan penghadaman.

“Ok, angah tunggu sekejap ya. Safi pergi buatkan. Nak minum apa?” tuturnya pula.

“Tak kisahlah. Teh pun ok.” balas angah sebelum merangkak mahu memasang tv. Safi yang perasan segera berpaling dan menghampiri.

“Angah nak tengok tv?” tuturnya sebelum bergerak ke dalam bilik dan mengambil bantal beserta selimut.

“Angah baringlah dulu. Kejap lagi dah masak kita makan.” tambahnya sebelum bergerak ke dapur pula.

“Ok. Time kasih…” balas angah sambil tersenyum menyatakan penghargaan dan Safi hanya membalasnya dengan senyuman.

 

“Safi…”

“...betul ke Safi boleh jaga angah?”

“Master Safi?”

“Macam mana dengan master Safi nanti?”

“Safi dah tak nak belajar lagi?” soal angah pada Safi yang sedang menuangkan air ke dalam cawan.

“Takpalah, buat yang penting dulu. Belajar tu bila-bilapun boleh buat. Selagi hidup, selagi tulah boleh cari ilmu. Lagipun, Safi dah tak ada hatilah nak belajar sekarang.”

“Safi nak jaga angah. Ke angah tak nak Safi jaga angah? Angah nak Ina yang jaga?” soal Safi pula mahu mendengar apa yang angah fikirkan, serentak itu angah memuncungkan bibir dan menggelengkan kepalanya.

“Angah tak nak…” jawap angah terang dan jelas membuatkan Safi ketawa sendiri.

“Kenapa tak nak?” soalnya ingin tahu, saat terlihatkan riak wajah itu.

“Ina masak tak sedap!” balas angah bersahaja sebelum mereka sama-sama ketawa.

“Kalau Ina tahu angah cakap macam ni, habislah. Mesti Ina merajuk.” tutur Safi dan angah segera mengiyakan.

 

“Safi, jom kita tidur…” tutur angah bila mata dah mula rasa penat.

“Tido? Ok, jom kita tidur.” balas Safi melancarkannya sahaja.

“Tapi nak tidur sini ke dekat dalam?” soalnya semula.

“Dekat sinilah. Lapang sikit.” balas angah sebelum meluruskan pinggang.

“Angah, nanti! Biar Safi ambik alas dulu.” tegas Safi sebelum berlari.

 

Saaa…”

Safiii…” seru angah pada Safi yang sudah terlena di sebelah.

“Ha?! Kenapa?” soal Safi seraya terjaga, mahu segera memberikan khidmatnya.

A..angah…

Angah sejuk!” tuturnya yang sudah mula terketar-ketar, menggigil dan memeluk badan sendiri. Safi yang terkejut segera mencapai alat kawalan jauh kipas syiling dan mematikannya sebelum bergegas ke bilik untuk mencari selimut. Segera angah yang masih terbaring diselimutkan sebelum tubuh kakaknya yang masih terketar-ketar dipeluk erat. Safi mula rasa hilang arah namun didalam hati tak henti-henti berdoa memohon bantuan daripada Allah. Buat beberapa ketika mereka berkeadaan begitu sebelum akhirnya demam sejuk angah beransur kebah. 

Previous: Bab 92
Next: Bab 93b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.