Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 32

Bunyi periuk belanga yang berlaga di dapur mengejutkan Safi dari lena. Serentak itu, mata yang masih melekat berusaha untuk dibuka. Dari depan, dia nampak bayang mak yang sedang kehulu ke hilir mahu menyediakan sarapan dan ruang rumah dipenuhi dengan bau aroma daun pandan beserta lemak santan. Maklumlah rumah kampung seperti itu, biliknya tak berdinding. Ruang-ruang bilik hanya ditutupi dengan kain langsir yang mak jahit dengan tangan.

Safi dapat meneka bekalnya pagi ini tentunya nasi lemak dengan sambal kerang, lebihan hasil jualan hari sebelumnya yang menjadi kegemaran semua. Penat macam mana pun mak tak pernah culas dalam tanggungjawap menjaga makan dan pakai mereka. Kata mak, kalau beli makanan di luar kenalah belanja lebih sikit, tapi kalau mak masak dapatlah jimat, sekeluarga dapat makan.

Begitulah rutin harian mak setiap hari sekolah. Mereka tak pernah diabaikan. Walaupun hidup mereka susah, tapi mereka bahagia bila semuanya bersatu, menjaga antara satu sama lain.

Safi segera bangun lalu mendapatkan mak yang berada di dapur kerana bau nasi lemak yang enak betul-betul mencucuk-cucuk hidung. Nota matematiknya yang diletakkan di hujung kepala turut dicapai sebelum langkah diatur perlahan dia atas papan lantai yang berkeriak-keriuk bila dipijak, supaya tidak mengganggu yang lain. Tiba-tiba dia teringatkan abah. Dia tak tahu samaada abahnya sudah pulang ataupun belum.

“Kenapa bangun awal sangat ni? Belum pun pukul 5 lagi. Pergilah tidur. Nanti mak kejutkan.” ujar mak tak mahu Safi mengantuk di sekolah tadkala melihat mata anaknya itu masih pejam celik-pejam celik lagi.

“Pagi ni ada ujian matematik. Ingat nak buat ulangkaji sikit.” balas Safi dengan nota kecil di tangan. Nota ringkasan fomula-fomula penting yang ditulisnya lebih awal. Dia duduk di pintu tengah, bersebelahan dengan guni kayu api yang masih penuh sebelum nota dihadapannya diteliti lagi, sekadar untuk menguatkan ingatan, tak mahu terkeliru nanti.

“Mak, abah dah balik ke?” soal Safi perlahan sambil matanya terarah pada bilik mak yang masih bertirai. Mak menggeleng perlahan. Safi tahu, mak risaukan abah. Mesti semalaman mak tak dapat tidur memikirkan tentang abah. Maklumlah jarak perjalanaan dari timur ke selatan yang agak jauh, penuh dengan risiko yang tak terjangka.

“Belum…abah kalian ni memang tak pernah serik. Dah macam-macam yang jadi, tapi dia tetap dengan kerja mengarutnya tu. Tak tahulah mak bilanya dia nak berhenti…”

“Mak dah tak tahu nak nasihatkan macam mana lagi. Bila tak ada duit, kita pulak yang jadi mangsa. Dah macam anjing menyalak bukit kita dibuatnya.” tambah mak perlahan.

“Jadi ke angah bagi duit yang abah mintak tu mak?” soal Safi lagi.

“Mestilah kena bagi. Kesian Angah, nak ditolak dia rasa bersalah. Dia tak nak abah marah.” balas mak semula pada Safi yang kekal memasang telinga.

“500 ringgit bukannya sikit. Boleh buat belanja bayar sewa rumah angah berbulan-bulan lamanya.” tambah mak lagi sebelum dia menghela nafas panjang sambil tangannya memasukkan cili kering yang telah ditumbuk lebih awal ke dalam kuali. Safi juga buntu memikirkannya, tapi dia tiada kuasa sakti untuk mengubah cara pemikiran abah. Abah kata dia yakin sangat yang satu masa nanti usahanya itu akan membuahkan hasil.

Usia Abah sudah menjangkau 56 tahun, tapi perangainya tetap tak berubah. Itulah akibatnya kalau tersalah pilih kawan, kawan yang menjahanamkan. Tak habis-habis. Lepas satu, satu projek mengarut yang diusahakan dan mereka hanya boleh tolong tengok. Kalau ditegah takut nanti perang besar lagi. Dia tahu yang mak sayangkan abah sebab tu lah mak menegah. Hanya abah yang tak tahu menghargai pengorbanan mak. Dah banyak yang mak bekorban demi keluarga, namun tetap juga ada cacat celanya. Nasihat mak untuk kebaikan abah, tapi abah buat tak endah, asyik nak gunakan cara mudah.

Tanah yang ada dibiarkan semak, tak pernah nak diusaha. Abah tak minat untuk bertani, tak seperti mak. Pantang ada kawasan lapang, ada saja pokok yang ditanam, dari cili padi, sawi, bayam, maman, semuanya ditanam sendiri untuk kegunaan keluarga. Kalau ada lebih barulah mak bawa ke pasar untuk diniagakan. Hasilnya mak simpan untuk kegunaan masa-masa kecemasan.

“Mak memang seorang yang gigih dan tabah.” bisiknya di dalam hati selesai membuat kesimpulan pada masalah yang mereka hadapi sambil mata masih lagi tertumpu pada mak yang kekal tekun menjalankan pekerjaan.

 

“Tuk..tuk..tuk, tuk, tuk,tuk, tuk tuk tuk tuk…”

Bunyi keketuk dari masjid berdekatan jelas kedengaran di telinga. Tak berapa lama kemudian azan Subuh dilaungkan. Safi bergegas mengejutkan Man dan Ina yang masih lena dibuai mimpi.

“Man…Ina…bangun.” ucapnya sebelum mencapai baju sekolah yang tersidai di alang rumah. Baju yang belum kering sepenuhnya itu dibawa ke depan untuk digosok. Namun, tidur adik-adiknya itu langsung tak terusik. Mereka masih keras membatu di atas lantai kayu yang hanya dilapik tikar getah.

“Man, Ina, bangun.” ucapnya lagi. Makin dipanggil, makin hilang di sebalik selimut, masih tak rela untuk bangun. Safi membiarkan seketika adik-adiknya itu kerana masih ada masa. Lagipun, Subuh masuk agak awal berbanding biasa.

Sterika besi yang agak usang itu dicapai. Berdesir bunyi baju bila bertemu sterika sebelum wap berkepul-kepul naik memenuhi wajah. Buat seketika Safi leka dengan tugasnya yang satu itu, tugas menyediakan pakaian sekolah untuk yang lain-lain. Baju sekolah mereka hanya ada sepasang dan itulah yang perlu di basuh hari-hari.

Mak hanya dapat menggantikan baju mereka selang dua tahun. Selagi boleh dipakai, biasanya mak tak tukarkan. Mak beli kain dan jahit sendiri baju dengan tangan sambil-sambil menunggu pelanggan di pasar. Makan masa berhari juga untuk disiapkan bagi setiap helaian.

Bila tahun berganti baju baru, seronoknya…tak payah cakaplah. Rasa macam boleh terbang, gembira tak terkata. Dapat pakai baju yang putih bersih sama macam rakan-rakan yang lain pada hari pertama persekolahan. Hati rasa berbunga-bunga, gembira, bangga, semua tu ada, tapi bila tahun baju tak berganti, sedih tu memang ada, tapi Safi tahu mak dan abah dah buat yang termampu dan dia tak mahu menyusahkan mak dan abah hanya disebabkan sehelai baju.

Lagipun mak dan abah memerlukan belanja yang banyak untuk menampung kos pendidikan abang dan kakaknya di universiti. Kasut sekolah pun begitu, selagi tak koyak atau berlubang di tapak, selagi itulah khidmatnya ditagih dan dituntut.  

Jam di dinding di kerling, hampir pukul 6.00 pagi, serentak adik-adiknya dipanggil lagi, tapi kali ini lebih kuat daripada tadi.

“Man! Ina! Bangunlah! Dah pukul berapa dah ni!”

“Takpa…siapa lambat Safi tinggal! Biar pergi sekolah sendiri!” ugutnya memberi amaran. Man dan Ina pantas bangun. Takut ditinggalkan lagi. Kakaknya itu memang tak boleh dibuat main. Segala kata-katanya pasti akan dikotakan. Nanti mereka pula yang menyesal tak sudah, ditinggalkan dalam kegelapan. Tak mahu mereka, takut, serentak mereka berebut-rebut ke tanah untuk mandi membuatkan Safi tersenyum sumbing sendiri.

Tandas terletak agak jauh di luar, bersebelahan dengan bukit di bahagian belakang rumah. Bekalan air yang digunakan adalah dari air sungai yang dipunggah menggunakan baldi-baldi cat yang mak minta bila ada orang buat projek pembangunan di sekitar kawasan pasar. Mak bawa balik dan bersihkan. Bagi cat yang dah keras, mak umpil dengan parang. Begitulah mak. Otaknya bergeliga sepanjang masa.

Abah tak mampu untuk masukkan paip ke rumah macam orang lain. Katanya buat habis duit, tapi buat kerja mengarut tu tak membazir pulak. Mak sering berleter mengenai perkara berkenaan, sampai Safi sendiri dah jadi lali. Mana taknya bila nak guna air untuk memproses ayam mak pun dilibatkan sama, disuruh mengangkat air juga, bukannya abah sorang yang susah. Semua orang susah.

Safi menjenguk ke dapur. Dia nampak mak sedang sibuk memasukkan bekal mereka dalam beg plastik putih yang biasa digunakan untuk membungkus lauk di kedai. Kos untuk membeli bekas simpan makanan agak mahal. Lagipun mereka ada berempat, mahu kopak mak dibuatnya nanti. Pakai plastik bolehlah jimat sikit. Sekali pakai, sekali buang, kan senang.

“Mak, petang ni Safi balik lambat. Ada kelas tambahan. Boleh tak mak bungkus lebih sikit untuk Safi.” tuturnya, tak mahu kelaparan.

“Dah. Mak dah bungkuskan. Satu buat makan waktu rehat. Satu lagi buat makan petang nanti.”

“Ok, time kasih.” balasnya dengan senyuman. Mak memang seorang yang memahami.

 

Selesai menggosok baju, Safi menuju ke bilik abangnya. Baju Usop digantung di paku dinding, sebelum dia berlalu untuk membersihkan dirinya pula, sempat juga dia menjeling pada Mat dan Usop masih nyenyak tidur, sampai berdengkur-dengkur.

“Ha, tulah, semalam menggila sangat dengan smackdown, sekarang ambik kau, tidor berlingkau.” bisiknya perlahan ditemani senyuman.

Man dan Ina yang telah selesai membersihkan diri menggigil kesejukan berteman bibir biru yang menahan ketaran.

“Sekejapnya mandi? Gigi tu dah gosok ke belum?” soal Safi mahu memasti.

“Da..da..dah!” jawap keduanya kekal terketar-ketar dan serentak dengan itu, Safi jadi geli hati, tak menyangka kesan air sungai yang didiamkan semalaman, boleh jadi sampai sehebat ini.

“Kalau dah, keringkan rambut tu elok-elok. Lepastu pakai baju.” arahnya ketika melepasi Man dan Ina sebelum dia ke tanah.

 

Kesejukan air yang disimpan dalam baldi terasa sampai ke tulang. Mungkin disebabkan rumah mereka terletak di kawasan pedalaman dan dikelilingi dengan pokok-pokok hutan membuatkan suhu di kawasan itu sangat sejuk pada waktu malam. Satu demi satu cebok air dicurahkan ke badan. Kata mak kalau mandi dengan air sejuk, tulang akan jadi kuat. Kebaikan yang jarang diperoleh orang.

Suara mak mengejutkan Mat dan Usop dapat didengari sampai ke tanah. Semalam abah dah berpesan, andai dia lambat balik, dia suruh Mat dan Usop untuk memproses ayam seperti biasa. Tak payah tunggu dia, takut kalau lambat ada pula yang terpaksa ponteng sekolah lagi.

“Mat…Usop, bangun. Dah pukul berapa dah ni. Nanti abah kalian balik, mengamuk pulak.” ucap mak sesudah menyelak tirai kain yang menutup bilik.

Perlahan-lahan Mat dan Usop bergerak sebelum bangun. Usop masih belajar di tingkatan 3, manakala Mat…dia sudah tak bersekolah lagi.

 

Selesai bersarapan, Safi dan adik-adiknya menyalami mak sebelum berangkat ke sekolah. Mak merapikan rambut Man yang agak kusut. Baju sekolah anak-anak yang kekuningan dan agak lusuh ditatap lama. Air sungai kotor dengan keledak tanah akibat daripada aktiviti pembalakan di kawasan hulunya. Mak tahu itu saja yang termampu untuk dia berikan buat masa ini. Tahun depan kalau ada rezeki dia bercadang untuk membelikan yang baru.

“Nanti mak belikan nila. Petang nanti lepas basuh baju, Safi pakai. Biar nampak bersih sikit.” ucap Mak. Safi mengangguk faham.

“Jalan elok-elok. Safi tengokkan adik-adik tu. Kalau lalu lori balak, jalan ke tepi sikit. Bahaya.”

“Biarlah masuk sampai dalam rumput pun tak apa, asal jangan ada yang kena.” pesan mak lagi mengingatkan mereka kerana sudah jadi kebiasaan, seawal subuh lagi dengan jelas dapat didengari bunyi enjin lori balak yang ulang-alik mengangkut muatan dari atas bukit jeram ke arah rumah mereka yang terletak di bawah bukitnya.

“Ok.” jawapnya sebelum mencapai obor yang diperbuat daripada kertas surat khabar yang telah digulung dan dipintal separa kemas dan memulakan perjalanan.

“Assalammualaikum mak…” tutur Safi sebelum turut sama diikuti oleh Man dan Ina yang ada di sisi.

“Waalaikummussalam…ingat, hati-hati!” balas mak, tak penat mengingatkan.

“Ha...” jawap kesemuanya sambil melambai-lambaikan tangan. Api dari obor kertas cukup untuk menerangi jalan yang becak diakibatkan hujan yang berlarutan semalaman. Safi bergerak di hadapan sekali sambil diikuti oleh Ina dan Man. Habis segulung, segulung lagi kertas yang dikepit di bawah ketiak di capai dan dihidupkan.

Setibanya di pertengahan jalan, mereka seperti ternampak cahaya yang semakin lama, semakin menghampiri mereka. Berderau darah dibuatnya. Ingatkan apa? Rupanya abah yang baru balik dari perjalanan panjangnya.

“Ish!… menakutkan orang je.” bisik Safi di dalam hati.

“Dah nak pergi sekolah?” soal abah dalam kesamaran pagi.

“Ha.” balas Safi sepatah.

“A’ah.” balas Man dan Ina pula, serentak.

“Duit belanja dah ambik?” soal abah kembali.

“Dah, tadi mak dah bagi.” jawap Ina pantas.

“Iyalah, jalan elok-elok. Safi tengokkan adik-adik. Nah, ambil, guna lampu ni.” arah abah pula.

“Takpa. Kami boleh guna ni, lagipun dah nak dekat sampai. Kami pergi dulu.” ucapnya pada abah sebelum langkah diatur kembali kerana dia nak cepat sampai, supaya dapatlah dia mengulangkaji lagi sekali sebelum menduduki ujian nanti.

 

Selesai ujian, Cikgu Khalid mengisi masa yang tersisa dengan menyampaikakan sepatah dua kata.

“Macam mana dengan ujian? Boleh jawap ke tak?” soalnya sambil mundar mandir di sekitar kelas, dari depan ke belakang, memeriksa semua pelajar-pelajarnya.

“Boleh cikgu…” jawap sebahagian daripadanya, namun sebahagian kekal tak bersuara membuatkan dia segera tersenyum suka.

“Awak macam mana? Boleh?” soalnya pada Safi selesai bertentang mata.

“Hmm.” balas Safi ringkas, sambil mengangguk perlahan, menyatakan keadaan, lagipun matematik memang subjek kegemaran, tapi apa yang belaku selepas itu membuatkan dia mula rasa rimas dan panas. Cikgu Khalid, meramas-ramas bahunya lagi.

“Ish!” bisiknya di dalam hati, diteman rasa benci.

“Cikgu ni dah kenapa!” gerutunya lagi, tapi kekal juga di dalam hati kerana ini bukanlah yang pertama kali, dan dia juga bukanlah pelajar tunggal yang kena. Noraini dengan Azlie pun selalu kena sebab mereka duduk di bahagian belakang sekali. Safi hanya mampu keraskan badan dan berdoa pada tuhan agar perbuatan itu segera dihentikan, kerana dia betul-betul rasa tak selesa dan perhatian yang rakan-rakannya berikan membuatkan dia malu tak terkata. Mujurlah, selesai melakukan ‘ututan’ cikgu berkenaan akhirnya berhenti dan bergerak ke hadapan.

“Ish…tak guna!” bebelnya sendiri berteman rasa sakit hati.

 

Previous: Bab 31
Next: Bab 33a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.