Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 50

Kedatangan Rita dan Kty pagi tu disambut hairan. Mujurlah Bodok bertambat. Kalau tak, dah jadi lauklah mereka berdua.

“Safi, kenapa tak siap lagi? Kita dah lambat ni!” tutur Rita hairan sambil mengerutkan alisnya yang lebat lagi berkilat.

“Kenapa? Kita nak ke mana? Ada kita janji ke?” balasnya.

“Kau ni, dah kenapa Safi? Tak baca surat khabar? Tak tengok berita semalam? Harini kan result UPSR keluar!”

“Aku daripada semalam lagi tak senang duduk, risau memanjang. Sampai tidur pun dah tak nyenyak. Aku telifon kau, tak angkat, kenapa?” bebel Kty pula.

“Kau telifon masa tak ada orang kat rumahlah kot.”

“Takpalah, kalau macam tu, jomlah naik dulu. Tunggu aku bersiap jap.”

“Nanti-nanti, betulke keputusan dah keluar? Korang tak tipu aku kan?” soal Safi tak percaya.

“Gila kau nak tipu! Aku dari pagi tadi dah bersiap. Tapi tak berani nak pergi lagi. Itu yang datang ajak kau sekali. Cepatlah siap. Kami tunggu.” balas Kty yang mudah kecut perut. Kalau nak periksa, asyik keluar masuk tandas je kerjanya. Nak terkucil. Risaunya sampai berpeluh-peluh tangan.

“Okey, jap ya aku bersiap. Naiklah dulu.” pelawanya sekali lagi.

“Takpalah aku nak main dengan arnab kau ni. Comelnya dia.” kata Rita peminat tegar haiwan berbulu lalu menuju ke sangkar arnab yang terletak di bawah rumah. Sejoring lobak merah yang ada berdekatan dicapai lalu disuakan kepada arnab belaan Safi itu. Kty yang takutkan binatang hanya melihat dari jauh sahaja.

“Safi, comelnya anak dia ni. Bagi aku satu boleh?” minta Rita dengan senyuman yang sampai ke telinga.

“Nanti aku tanya abang aku dulu. Arnab tu dia yang beli. Aku cuma tukang jaga.” balasnya.

Bunyi suara yang agak kuat itu mengejutkan Bodok yang sedang beristirehat di dalam tong bila telinganya seperti dapat mengesan sesuatu yang janggal. Sergahan Bodok dari belakang mengejutkan Rita dan Kty yang sedang asyik bermain di bawah rumah.

“Auk auk auk!!!” jerit Bodok, merangkap loceng pagar rumah.

“Tercampak semangat aku!” ucap Kty terkejut sambil memegang dada dan perut.

“Safi cepatlah! Kami takut ni…” tutur Rita pula.

“Jap-jap! Sikit lagi!”

“Janganlah takut, kan dia bertambat tu.” balasnya yang sudah selesai berpakaian. Terkoco-koco di manuju ke arah lipat kain mak sebelum tudung yang biasa dipinjamnya itu dicapai dan dipakai ala kadar. Selesai di cermin, dia segera menuruni anak tangga.

“Bodok senyap!” jeritnya, tak berkesan kerana Bodok memang jenis yang tak makan saman, lalu sepuntug kayu diraih lalu diketuk-ketukkan ke tanah, mengacah.

“Jom cepat! Tu lah sebabnya aku pesan jangan datang rumah.”

“Bukannya aku tak suka, tapi Bodok tu yang tak suka. Mujur dia bertambat tadi. Kalau tak, hai…dah jadi lauk lah korang tahu tak.” gurau Safi.

“Kau tu lah. Orang telifon tak angkat. Tapi nasib baiklah dia bertambat kan.” ucap Rita mensyukurinya.

“Hmm. Nasiblah…Jomlah cepat, nanti kita lambat. Tapi, bukak pukul berapa? Dah boleh ambik ke pagi-pagi macam ni?” soal Safi pula.

“Dahlah, dah boleh dah. Ini pun kita dah kira lambat dah ni. Mesti ramai yang dah sampai.” balas Rita sebelum mereka sama-sama menguatkan langkahan.

 

Mereka saling berpandangan antara satu sama lain bila dewan telah dipenuhi dengan muka-muka yang tak asing lagi bagi mereka. Melihat keadaan itu, Kty mula cuak lagi dan serentak dengan itu juga, tangan kanannya memegang perut. Safi tahu, Kty pasti mahu ke tandas lagi, sama seperti selalu.

“Korang tunggu tau. Aku nak pergi tandas dulu. Jangan masuk dulu ya.” ucapnya sebelum hilang di sebalik dinding konkrit. Safi dan Rita hanya mampu ketawa melihatnya.

“Takut ke?” duga Safi dan Rita hanya mampu membalas dengan anggukan bila debaran di dada semakin kuat terasa kerana segala usaha yang dicurah selama ini akan dituai sebentar lagi. Harapan mak dan ayahnya tinggi untuk dia berjaya dan keadaan itu telah membuatkan dia rasa lebih tertekan kini. Serta-merta lengan Safi dipegang.

“Safi, nak mintak pinjam tangan boleh? Tangan kau sedap je, panas.” pintanya seperti selalu, bila setiap kali dia gementar.

“Nah.” tutur Safi sambil menghulurkan tangannya dan Rita menyambut dengan gembira.

“Kenapa sejuk sampai macam ni? Janganlah takut. Kan kau dah usaha. Apapun keputusannya nanti, kita terima sama-sama. Okey?” tambahnya demi menghapuskan gemuruh jiwa.

“Okey.” balas Rita sebelum mengemaskan genggaman.

Daripada jauh sudah kelihatan kelibat rakannya yang dinanti sejak tadi, Kty.

“Dah jom! Tapi jap. Nak jugak.” tuturnya sambil menghulurkan tangan pada Safi. Safi pantas mengerutkan dahi.

“Tak nak aku! Kan kau baru balik dari tandas. Eee…geli lah.” guraunya.

“Janganlah macam tu! Macam tak biasa! Cepatlah, aku takut ni!” balasnya sambil sengaja menggoyang-goyangkan kedua-dua belah kaki. Lemah lutut konon. Safi hanya mampu mencebik bila Katy sudah mula menarik.

“Ambiklah.” ucap Safi beserta senyuman dan Kty gembira tak terkata kerana kehadiran Safi sedikit sebanyak dapat mententeramkan hatinya yang sedang bergelora dan tanpa membuang masa mereka beriringan memasuki dewan.

 

Kelihatan Cikgu Suraya sedang sibuk memberikan slip keputusan pada pelajar-pelajar darjah 6 lain yang telah tiba lebih awal. Berbagai riak wajah dapat dilihat. Ada yang senyum sampai ke telinga malah ada yang menitiskan air mata dan Safi tak pasti samaada ianya air mata gembira atau duka.

“Safi kau dulu. Aku tak sedia lagi.” ucap Kty yang jelas masih belum bersedia.

“Okey. Tapi bagilah balik tangan aku. Macam mana nak pergi kalau macam ni.” genggaman yang masih kemas bertaut diangkat tinggi. Serentak Rita dan Kty ketawa.

Wajah Cikgu Suraya yang kecil molek di hadapan dipandang sebelum mereka bertukar senyuman. Cikgu Suraya nampak ceria tak macam biasa, serius dan tegas sahaja.

“Ha, Safiyyah. Duduk dulu. Tunggu cikgu carikan.” tuturnya sebelum tangan pantas menyelak kepingan slip yang bertindanan.

“Tahniah!” ucapnya sepatah.

“Terima kasih cikgu.” balas Safi sebelum menuju ke belakang dewan tanpa memeriksa terlebih dahulu keputusan di tangan.

“Macam mana? lulus tak?” soalnya pada Rita dan Kty yang baru selesai mendapatka keputusan masing-masing.

“Lulus tu…lulus lah. Tapi tak macam yang aku harapkan.” jawab Rita yang jelas kecewa. Dia tahu sedikit sebanyak kekecewaan itu pasti akan dikongsi sama oleh mak dan ayahnya. Sudah banyak dia berguru, malah gurunya bukan calang-calang, semuanya boleh dikatakan yang terbaik di daerah itu. Siang malam dia belajar, tapi hasilnya tetap tak seberapa.

“Iya lah . Berapa?” soal Safi lagi.

“2B, 3C. Kau mesti dapat baik kan? Nak tengok.” pintanya, membuatkan Safi rasa serba salah, tak mahu menambah duka di hati rakannya itu.

“Bagi aku tengok kau punya!” Kty cuba mencapai slip keputusan di tangan Safi dan sepantas kilat Safi mengelak.

“Janganlah kedekut. Baklah sini, aku nak tengok!” tambahnya lagi.

“Kau bagilah aku tengok yang kau punya dulu. Lepastu aku bagi yang aku. Macam mana?” cadang Safi pula.

“Aku macam biasalah. Semua cukup. A,B,C,D semua ada. Bagilah sini, aku nak tengok jap.” tuturnya lagi. Safi berpaling dan berhajat ingin melarikan diri, namun Kty terlebih dahulu menarik tudungnya daripada belakang. Lagaknya tak ubah pembuli dalam drama yang sering disiarkan di kaca tv. Safi terus mati langkah dan serentak itu, slip bertukar tangan.

“Ha. Kalau bagi dari tadi kan senang. Ini, berahsia sangat. Bukannya kita…” kata-katanya terhenti di situ.

Matanya bulat memandang Safi. Rita yang sedari tadi bertindak sebagai pemerhati menghampiri. Slip di tangan Kty diambil dan diamati. Reaksi mereka sama tapi tak serupa dengan mata bulat memandang ke arah Safi.

“Kau dapat semua A Safi? Kenapa tak cakap daripada tadi? Tahniah. Kau memang hebat! Aku bangga dengan kau.” ucap Rita ikhlas. Matanya penuh keceriaan.

“Tak sia-sia aku berguru dengan kau.” tambahnya lagi.

“Mana aci. Masa aku ajak study kau tak nak. Tapi bila Rita ajak, kau boleh pulak.” Kty merajuk. Tangannya sengaja disilangkan tanda tak puas hati.

“Kau tu lah. Bila kami ajak kau kata sibuk. Bila kami sibuk kau ajak pulak. Dah tu nak buat macam mana?” balas Rita. Kty terus menggigit jari kerana dia tahu, dia yang tak dapat memberikan komitmen setiap kali diajak belajar bersama. Ada tugas yang lebih penting menantinya. Mak perlukan pembantu. Gerai makan yang diusahannya tu taklah sebesar mana dan untuk mengaji pekerja, mak takkan mampu.

“Safi, aku rasa kalau kau pohon masuk sekolah berasrama penuh confirm dapat ni. Kalau kau nak pohon nanti aku bagitahu mak aku. Dia kan cikgu. Mesti dia boleh tolong. Nak tak?” tutur Rita sambil slip di tangan masih tak lekang daripada pandangan, masih sukar untuk mempercayainya.

“Takpalah. Aku tak rasa nak pergi ke situ. Lagipun adik-beradik aku masih ada ramai lagi yang nak belajar. Angah dengan ateh tengah nak pakai banyak duit.” balasnya tenang.

“Lagipun kalau aku pergi, siapa yang nak tengokkan adik-adik aku yang berdua tu? Siapa yang nak gosok baju, nak hantar sekolah lagi. Mesti mak yang susah nanti. Aku nak tunggu sampai SPM sama macam ateh. Masa belum sampai untuk aku tinggalkan rumah.” tambahnya pula.

“Rugilah nanti!” balas Rita sedikit tak bersetuju. Dia nak melihat rakannya itu berjaya sama seperti pelajar-pelajar cemerlang yang lain.

“Tak ada ruginya. Aku nak sekolah dekat-dekat sini je. Sekali dengan Usop gedegang tu. Aku nak tengok apa yang dia buat dekat sekolah.”

“Geram betul! Tak habis-habis cari fasal dengan aku! Takpa, tengoklah nanti. Aku akan korek rahsia dia, lepastu bagitau kat mak, baru padan muka dia.” jawap Safi sambil tersenyum sumbing, gembira hanya bila memikirkannya. Berbagai-bagai rancangan jahat muncul di fikiran dan sampai masanya nanti, abangnya itu pasti akan dikerjakan.

“Tak baiklah kau ni. Dia kan abang.” bela Rita.

“Abang! Abang apanya! Semua nak ikut cara dia. Bila kita bangkang mulalah mengadu. Lepastu akulah yang kena. Mengada-ngada. Perangai macam perempuan! Memalukan! Takpa, ada ubi ada batas, lain hari aku pasti akan balas. Hahaha…” tuturnya gembira dan Rita hanya menggeleng-gelengkan kepala sedang Kty turut sama tersenyum suka.

“Yes!!! Nanti bolehlah kita sekolah sama-sama.” ucap Kty riang. Dia juga berhasrat untuk bersekolah di sekolah menengah yang berhampiran. Tak perlu dia tinggalkan mak lagi kerana sejak ayah pergi, mak hanya ada dia disisi.

“Kau?” soal Kty pada Rita. Wajah cerianya berubah mendung. Pantas dia kembali ke alam realiti.

“Aku masuk sekolah agamalah, sama macam akak dengan abang aku…” sayu kedengaran di telinga. Mula sedih kerana tepaksa berpisah dengan kedua-dua sahabat karibnya itu.

“Kita sekolah kan dekat-dekat. Nanti kita boleh balik sama-sama lagi, macam selalu. Betul tak?” tutur Safi yang sudah memalingkan wajahnya ke arah Rita dan dibalas dengan senyuman.

“Jomlah kita balik. Aku rasa dah lambat ni. Adik-adik aku kat rumah tu, entah apalah yang dibuatnya sekarang ni. Tadi abang aku kata dia tunggu sampai pukul 10, ni dah pukul berapa? Entah ke mana pulak merayapnya budak dua-beradik tu nanti.”

Memikirkan kata-kata Safi itu, Rita dan Kty turut berasa bimbang. Pantas, mereka mengatur langkah pulang.

 

Previous: Bab 49
Next: Bab 51

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.